TARBIAH DAN PEMBENTUKAN GENERASI RABBANI

Kalimah Rabbani digunakan oleh Syeikh Said Hawa dalam satu risalah kecilnya “إحياء الربانية” (Menghidup kembali generasi Rabbani)[1] bagi menggambarkan generasi yang akan menyelamatkan Islam pada masa kini. Beliau berpandangan, hanya generasi Rabbani yang mampu diharapkan untuk mengembalikan kegemilangan Islam di zaman moden ini setelah sekian lama ia mengalami keruntuhan.

Siapakah generasi Rabbani ?

Kalimah Rabbani( الرباني ) bersandar kepada kalimah Rabb ( الرب) yang bermaksud Tuhan. Rabbani dapat dimaknakan dalam bahasa Melayu dengan “Ketuhanan”. Generasi Rabbani dari segi maknanya bermaksud generasi Ketuhanan.

Secara lebih nyata; generasi Rabbani ialah generasi yang menyandarkan diri mereka kepada Tuhan di mana mereka hidup untuk melaksanakan matlamat yang ditetapkan Allah, mencari kerdhaanNya semata-mata, mereka menjalani kehidupan di atas manhaj Allah (yakni Islam) dan mereka bermati-matian memperjuangkan manhaj tersebut dengan mengorbankan apa sahaja yang ada pada mereka sama ada harta, tenaga dan jiwa raga mereka.

Generasi rabbani adalah generasi muslim sejati. Mereka bukan sekadar beramal dengan Islam tetapi juga bekerja untuk menegakkan Islam (yakni menjadi Amilin Islam). Mereka tidak hanya menjadi penyokong kepada Harakah Islam, tetapi juga adalah pendokong dan tunggaknya. Contoh unggul bagi generasi Rabbani ini ialah para sahabat yang dididik dan ditarbiyah oleh Rasulullah s.a.w..

Ciri-ciri golongan Rabbani

Golongan Rabbani (ketuhanan) di dalam al-Quran diungkapkan Allah tentang mereka dengan memakai beberapa istilah antaranya; al-Mukminun[2], al-Muttaqun[3], al-Muflihun[4], Hizbullah[5], Ansarullah[6], ‘Ibadur Rahman[7], Orang-orang yang bersama Muhammad[8] dan sebagainya.

Antara ciri-ciri mereka -sebagaimana yang dibentangkan Allah di dalam al-Quran- ialah;
1. Beriman kepada Allah dan rukun-rukun iman yang lainnya.
2. Mendirikan Solat dan menjaganya.
3. Membayar zakat dan bersedekah.
4. Yakin dan beramal dengan al-Quran.
5. Nenjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan sia-sia.
6. Menjaga kehormatan dirinya (dari zina dan sebagainya).
7. Menjaga amanah dan janjinya.
8. Berjalan di muka bumi dengan sopan santun (yakni tidak angkuh dan bongkak).
9. Tekun mengerjakan ibadah di malam hari.
10. Berdoa kepada Allah agar dijauhkan azabnya.
11. Bersederhana dalam membelanja harta (tidak boros dan tidak bakhil).
12. Tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu.
13. Tidak membunuh tanpa hak.
14. Tidak menghadiri tempat-tempat maksiat.
15. Memberi perhatian kepada peringatan Allah.
16. Berdoa kepada Allah agar dikurniakan pasangan dan anak yang baik dan menjadi ikutan kepada orang bertakwa.
17. Dicintai Allah dan menyintai Allah.
18. Bersifat lemah-lembut (kasih sayang) kepada orang beriman.
19. Bersikap tegas kepada musuh Islam.
20. Berjihad di jalan Allah tanpa takut celaan sesiapapun.
21. Memberi wala’ sepenuhnya kepada Allah, Rasul dan kepimpinan orang beriman.
22. Sabar dalam berhadapan dengan segala kesukaran dalam mentaati Allah.
23. Al-Musabarah (meningkatkan ketahanan dalam menghadapi musuh).
24. Ar-Ribath (Sentiasa berjaga-jaga dan bersiap-sedia menghadapi musuh).

Apa yang kita kemukakan di atas hanya sebahagian sahaja dari ciri-ciri golongan Rabbani yang terdapat di adalam al-Quran. Pengemukaan di atas hanya suatu tasawwur awal. Untuk pengukuhannya, adalah dicadangkan supaya diadakan suatu pengisian yang khusus berkenaan dengannya.

Menurut Syeikh Said Hawa, seseorang insan muslim hari ini tidak akan berjaya untuk menjadi seorang insan Rabbani kecuali dengan memiliki empat perkara;

Kemantapan dari sudut ilmu tentang Islam.
Kematangan dari sudut ronani.
Penghayatan dari sudut akhlak Islam.
Mempunyai kefahaman harakah dan organisasi yang bertepatan dengan tuntutan amal Islami semasa.

Peranan Tarbiyah

Generasi Rabbani dengan pengertian dan ciri-ciri yang dikemukakan di atas tidak akan lahir tanpa dilakukan usaha-usaha ke arahnya. Di sinilah letaknya peranan tarbiyah. Perlaksanaan tarbiyah yang berkesan amat diperlukan untuk melahirkan insan rabbani yang mantap ilmu, rohani dan akhlaknya serta faham tuntutan harakah dan dakwah.

Apa yang dikatakan tarbiyah?

Tarbiyah adalah suatu kalimah yang bermaksud memelihara, mengasuh, mendidik dan mengajar. Dengan itu, kalimah tarbiyah lebih luas pengertiannya dari kalimah ta’lim (yang bermaksud pengajaran atau penyampaian ilmu). Ta’lim hanya menekankan pertumbuhan dari aspek aqli manusia sahaja. Akan tetapi tarbiyah menekankan seluruh aspek pertumbuhan manusia; aqalnya, rohaninya, akhlaknya, perasaannya, semangat jihadnya, fizikalnya dan sebagainya.

Oleh itu, seorang murabbi tugasnya bukan sekadar menyampaikan ilmu -sebagaimana seorang mu’allim atau guru- tetapi mentarbiyah atau dalam erti kata lain memberi perhatian bersungguh kepada orang-orang yang ditarbiyahnya sehingga tercapai sasaran yang dikehendaki. Dalam konteks perbicaraan kita dalam kertas ini, sasaran tarbiyah ialah membentuk insan Rabbani.

Penyusunan Tarbiyah Islamiyah masa kini

Penyusunan tarbiyah Islamiyah masa kini -bagi mencapai insan Rabbani- hendaklah merangkumi dua aspek utama iaitu;
1. Pembinaan diri (Tarbiyah Rohaniyah, Aqliyah dan Jasadiyah).
2. Penglibatan dengan Harakah (Tarbiyah Harakiyah).

Perlaksanaan terhadap dua aspek di atas seboleh-bolehnya dilaksanakan secara beriringan mengikut tahap-tahap keahlian yang ada dalam jama’ah. Perlaksanaan juga hendaklah merangkumi teori dan praktikal atau ilmu dan amali kerana inilah corak pentarbiyahan yang telah diamalkan oleh Rasulullah terhadap para sahabat.

Tarbiyah untuk pembinaan diri

Tarbiyah pembinaan diri yang berjaya hendaklah merangkumi semua unsur dalam diri manusia; Qalb, roh, aqal, nafs dan jasad. Oleh itu, program tarbiyah hendaklah merangkumi;

1. Program untuk mengislahkan qalb dan meningkatkan ruhani.

Iaitu dengan melaksanakan ibadah dan zikir seperti; Menjaga solat lima waktu, solat-solat sunat, Qiyamullail, membaca al-Quran, berzikir (tahlil, tahmid, istighfar dan sebagainya), pembacaan maksurat pagi dan petang dan sebagainya.

2. Program peningkatan ilmu atau aqli

Iaitu dengan mengadakan program untuk menambah ilmu agama dan duniawi dengan mengadakan majlis-majlis ilmu, melalui usrah, perbincangan, pembacaan dan sebagainya. Di samping itu dalam al-Quran, Allah menggalakkan manusia supaya merenung, berfikir serta mengkaji bertujuan untuk meningkatkan ketajaman minda dan aqal.

3. Program untuk membina ketahanan jasad

Iaitu dengan melakukan riadah jasadiyah. Dalam satu hadis, Rasulullah menyatakan bahawa; “Seorang mukmin yang kuat tubuh-badannya lebih baik di sisi Allah dari mukmin yang lemah”. Rasulullah juga menggalakkan para sahabat berlatih menunggang kuda, memanah, bergusti, berenang dan sebagainya. Imam Hasan al-Banna pernah berpesan dalam satu pesanannya kepada ahli Ikhwan agar mereka menjaga kesihatan mereka.

4. Membendung nafsu

Nafsu manusia jika tidak dibendung akan memudaratkan diri, menjerumuskan diri ke lembah maksiat. Oleh itu, amat perlu nafsu ini dilatih dengan puasa, mengurangkan makan, mengelak dari bergelak ketawa/bergurau berlebih-lebihan, menahan pandangan dan sebagainya. Untuk menyempurnakan pentarbiyahan terhadapan nafs ini, amat baik jika kita dapat mendalami ilmu tasauf.

Tarbiyah penghayatan Harakah (Tarbiyah Harakiyah)

Tarbiyah ini menjurus kepada membina seorang muslim yang memahami kewajipan berharakah dan sanggup bergerak aktif dalam harakah. Lebih jelas, tarbiyah ini merangkumi;
1. Faham apa itu harakah Islamiyah, ciri-cirinya, peranan-peranannya dan juga cara pergerakannya khususnya di zaman ini.
2. Memahami tanggungjawab sebagai ahli Harakah.
3. Memahami peranan Qiyadah dalam Harakah apabila ditugaskan memimpin Harakah.
4. Berkomitmen sepenuhnya dengan Harakah dan program-program Harakah.
5. Memberi wala’ (kepatuhan) kepada pemimpin Harakah.
6. Sanggup berjihad dan berkorban bagi melaksanakan cita-cita harakah.
7. Memahami adab-adab Jama’ah seperti mematuhi keputusan syura, beradap dalam memberi teguran kepada pemimpin, menghormati kepimpinan dan keputusan mereka, dapat menerima teguran dan kritikan dan sebagainya.

Imam Hasan Al-Banna dalam Risalah At-Ta’alim (Peraturan dan Arahan kepada Amilin Ikhwan) telah menggariskan 10 sifat yang mesti dilazimi oleh para Amilin dalam jama’ah Ikhwan iaitu; Faham, Ikhlas, Amal, Jihad, Berkorban, Taat, Tsabat, Tajarrud, Ukhuwwah dan Tsiqah.

Penutup

Program tarbiyah yang berkesan ialah yang istiqamah (berterusan) dan bersungguh-sungguh walaupun sederhana. Keutamaan hendaklah diberikan kepada perlaksaan perkara-perkara yang diwajibkan Syara’, kemudiannya barulah pergi kepada yang sunat. Demi keberkesanan tarbiyah, ahli-ahli jama’ah hendaklah rela untuk menerima taklif Ibadah atau amali yang diberikan oleh kepimpinan walaupun ia adalah sunat atau harus di sisi Syara’. Pada masa yang sama, kepimpinan jamaah juga hendaklah sentiasa mengambil kira kemampuan ahli jamaah untuk menerima taklif yang diberikan mengikut tahap-tahap masing-masing.

Hendaklah diingat bahawa keberkesanan tarbiyah dalam jamaah bukan sahaja bergantung kepada program yang diatur, tetapi juga kepada kesedaran ahli. Ahli-ahli jamaah hendaklah mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap kepentingan tarbiyah dan sentiasa bersedia untuk ditarbiyahkan oleh jama’ah.

(Ditulis pada; 25 Mei 2001 : USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL)

Nota kaki;

[1] Risalah ini terkandung dalam buku beliau “كي لا نمضي بعيدا عن احتياجاتنا العصر” (Agar kita tidak lari jauh dari kehendak-kehendak semasa di zaman kita), ter. Dar as-Salam, Kaherah.
[2] Rujuk surah al-Mukminun ayat 1-11.
[3] Rujuk surah al-Baqarah 1-5.
[4] Antara ciri-ciri al-Muflihun ialah dalam surah Ali Imran ayat 200.
[5] Rujuk surah al-Maidah ayat 54 hingga 56.
[6] Rujuk surah as-Saff ayat 14.
[7] Rujuk surah al-Furqan ayat 63-76.
[8] Rujuk surah al-Fath ayat 29.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: