Aduhai pemimpin negara ku…

Sudah hampir dua bulan BN memenangi pilihanraya umum ke 12, dengan majoriti mudah dan membentuk kerajaan, namun menteri-menteri yang dilantik, atau secara mudahnya pemimpin negara, masih tidak melaksanakan tugas sebagai pemimpin negara dengan sebaik-baiknya.
Mereka lebih menumpu kepada usaha membaiki parti mereka, tanpa menghiraukan amanah sebagai menteri. Saban hari berita-berita media arus BN melaporkan itu dan ini hanyalah pergolakan yang berlaku dalam umno/BN. Bilakah mereka ini akan mentadbir negara dan melaksanakan manifesto yang mereka janjikan?
Aduhai pemimpin negara ku…
jika anda tidak mampu memerintah, serahkan kepada orang yang mampu. Jika masih mahu sibuk urus parti, silakan serah tampuk kepimpinan itu kepada parti yang mampu. Jangan membazir masa lagi…

Blog Ali Rustam diklon untuk pengunjung memberi komen

Oleh: aneroid09
Blog Dato Mohd Ali Rustam baru dilancarkan selepas BN kalah teruk dalam PRU-12 lalu, tetapi beliau mendabik dada seperti sudah lama menulis blog. Satu artikel yang di-post oleh beliau, menerima berpuluh-puluh komen , sama macam blog Dr Khir Toyo juga.
Namun selepas beberapa hari, kelihatan blognya itu sudah tiada link komen untuk para pengunjung memberi sebarang komen terhadap komentarnya. (Lihat blog beliau http://mohdalirustam.blogspot.com/).
Takut dengan kebenaran yang semakin terdedah, dihilangkan semua komen pembaca di blognya. Itu Ali Rustam! Mujur pihak tertentu telah membuat salinan terhadap komen-komen berkenaan dan setentunya ia bahan arkib yang amat berharga yang cuba ditutup oleh blogger yang bernama Ali Rustam ini.
Malah lebih jauh dari itu Sebol di dalam satu tulisannya menyatakan adanya usaha Profesor Klon, telah mengklonkan Blog Ali Rustam dengan lengkap dan disitu para pelayar blog boleh mengulas serta meninggalkan komennya.Alamat Blog Ali Rustam Klon adalah:http://mohdalirustam2.blogspot.com/
Yang anehnya profil Ali Rustam turut diklonkannya. Kata sebol: “Tahniah kepada profesor klon kerana telah mengklonkan Blog Ali Rustam supaya rakyat boleh bersuara.”
Diolah dari : greenboc dan sebol

Sepandai-pandai babi melompat!

Oleh: jingoza

(Gambar Malaysiakini: Karim Mansor menunjukkan
isyarat ‘bagus’ di sebelah kandang babi di Jerman)
Kebelakangan ini kisah makhluk yang haram dimakan orang Islam jadi topik hangat,yang pada mula cuba diekploitasikan Umno/BN untuk memburuk-burukkan kerajaan PR Selangor tiba-tiba terbongkar segala kebejatan dan penipuan fakta bila ahli seangkatan Barisan Nasional mendedahkan kisah sebenar.
Di sebalik kelicikkan Khir Toyo memutarbelitkan fakta dengan berbagai helah memalukan diri sendiri bila kisah sebenar terdedah, tidak ada pula tuduhan pada pembangkang seperti dulu yang selalu saja Khir lemparkan sebagai fitnah ! Kini ‘rakan seperjuangan’ dalam Barisan Nasional mengisahkan kisah benar,tidak ada lagi dalil atau apasaja hujah yang boleh mengubah fakta tersebut,munafiknya orang seperti bekas SETPOL Khir bernama Karim Mansor dengan ‘syarikat joint-venture’nya juga ketua kampung Ladang Tumbuk iaitu Mohd Tarmudi Tushiran yang sama-sama mengekor rombongan ke Jerman untuk mengkaji teknologi yang digunakan menternak babi disana ,tapi ketua kampung yang Umno ini jugalah yang mengetuai para demonstrasi di depan Bangunan SUK Selangor yang kini menentang ,konon kerajaan PR punya angkara, dimanakah akhlak dan pekerti manusia seperti ini?
Kini banyak kisah kebobrokkan para pemimpin Umno/BN terserlah yang mana semakin mereka mahu sembunyikan semakin terbongkar segala onar & nanah ! Satu persatu kisah khianat mereka terdedah hanya menunjukkan pada rakyat marhaen semua bahawa inikah pemimpin-pemimpin yang ingin membela Melayu dan Islam , janji-janji serta lafaz mereka konon mempertahankan Melayu & Islam,hak-hak dan apasaja semuanya pembohongan belaka,seolah-olah Melayu ini mudah lupa ibarat kata mamak Madey anak Kutty ,mungkin Melayu Umno mudah lupa tapi Melayu kini bukan yang senang mereka perbodohkan ,jelas ‘ketidaklupaan’ Melayu dan rakyat lain telah mengakibatkan hanyutnya 5 buah negeri dibawa arus deras singgah pada Pakatan Rakyat yang dulunya dibawah kerajaan Umno/BN !
Ibarat kata orang tua-tua sepandai pandai (ditukar supaya sesuai) babi melompat akhirnya ketanah juga jatuhnya ! Tunggulah banyak lagi kisah-kisah benar dan khianat dari pemimpin-pemimpin Umno/BN akan terbongkar yang mana kita perlu bersyukur dan redha pada Allah SWT atas qada dan qadar Nya.

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar

Dipetik dari jasindaily.blogspot

Perkasakan institusi masjid

Perdana Menteri mahu masjid menjadi institusi yang diminati oleh semua golongan umat Islam, baik tua mahupun muda. Katanya, masjid perlu mengadakan pelbagai aktiviti yang mampu menarik minat umat Islam untuk meingimarahkannya.
Saranan PM itu sangat baik dan sangat perlu diambil perhatian, kerana pendidikan masyarakat sesuatu qariah itu dapat dilakukan di masjid. Pentarbiayahan sangat penting masa ini kerana pelbagai penyakit kronik masyarakat dapat disaksikan oleg kita semua. Remaja dengan gejala sosialnya, orang dewasa dengan skandalnya, korporat dengan rasuahnya, pemimpin dengan salah-guna kuasanya dan sebaginya adalah berpunca daripada hati mereka yang tidak berminat ke masjid.
Pelbagai langkah untuk menarik minat masyarakat kepada masjid boleh dilaksanakan jika institusi masjid diperkasa. Fungsi imam-imam yang dilantik juga mesti diperkasa juga. Bukan imam yang sekadar mengimami solat, membaca khutbah , kematian dan urusan nikah-kawin semata-mata. Fungsi imam mesti lebih luas daripada itu, dan perlantikan imam mestilah berdasarkan kredibiliti, keilmuan dan tawadhuk serta bertenaga.
Seboleh-bolehnya, para imam diberi elaun yang lebih besar sebagai pendapatan tetapnya untuk mengurus dan mentadbir urusan anak qariah dengan tumuan yang sepenuhnyatanpa perlu memikirkan pekerjaan lain. Imam-imam yang diberi elaun ini wajib merangka program-program yang boleh membantu pengimarahan masjid. Kuasa imam sewajarnya tidak diganggu-gugat oleh JKKK. Malangnya, kelibat JKKK sering menghantui imam-imam. Bahkan JKKK bukan sahaja menganggu kebebasan imam, malah pegawai daerah pun terpaksa akur dengan ‘kuasa’ JKKK.(?)
Dan setiap program-program masjid tidak wajar disekat. Penceramah-penceramah jemputan tidak harus disenarai hitam jika isi ceramahnya tidak memuaskan perut usus kerajaan. Malah isi kandungan khutbah juga tidak perlu ditapis dengan penapisan politik. Kesedaran kepada masyarakat tentang isu-isu umat Islam mestilah dicetuskan supaya mereka tidak terus lalai.
Jika kerajaan terus dengan bersikap mencantas imam-imam dan jawantan kuasa masjid mengikut nafsu politik mereka, sia-sialah masjid-masjid yang indah terbina. Sia-sialah saranan PM. Rugilah umat Islam.

Masjid perlu jadi institusi yang diminati – PM

KUALA LUMPUR 15 April — Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata masjid perlu menjadi institusi yang penting dan dapat menarik minat umat Islam mengunjunginya dengan mengadakan pelbagai aktiviti.
Perdana Menteri berkata penekanan harus diberi bahawa masjid bukan hanya tempat untuk mengerjakan ibadah, sebaliknya digunakan oleh umat Islam bagi menganjurkan pelbagai kegiatan lain yang ada hubung kait dengan agama dan pada masa yang sama menjaga kesucian masjid sebagai tempat ibadah.
“Saya juga mahu masjid menjadi tempat yang memberi ketenteraman kepada yang mengunjunginya oleh itu banyak yang perlu diusahakan agar fungsi masjid menjadi lebih baik. Masjid juga tidak harus menjadi tarikan hanya kepada orang tua sahaja…kita tidak mahu masjid menjadi tempat yang dijauhi oleh golongan muda,” katanya.
Abdullah berkata aspek penyelenggaraan perlu diberi perhatian berat oleh pihak pengurusan masjid bagi memastikan persekitarannya sentiasa terpelihara.
“Tidak semestinya masjid baru sahaja nak bersih…saya lihat Masjidil Haram yang sudah lama didirikan, tetapi keadaannya sentiasa bersih dan memberi ketenangan,” katanya ketika merasmikan Multaqa Imam-Imam Masjid seluruh negara, anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Masjid Persekutuan di sini hari ini.

Tauke babi kena faham kenapa babi haram dimakan.

Isu ternakan babi di Selangor hampir selesai (agaknya orang sudah mula faham dengan pendirian kerajaan Selangor). Pihak yang cuba memperalatkan isu ini berasa seolah-olah isu ini akan makan diri mereka sendiri. Kita tunggulah, lepas isu babi ini, mereka akan timbulkan pula isu lain yang mereka rasa boleh menghentam kerajaan baru Selangor. Dulu DEB, sekarang babi seterunya kita tunggu.
Sebelum isu babi ini sejuk, mari kita lihat kenapa babi yang menjadi sensitif kepada Melayu/Islam. Kena Islam mengharamkan umatnya memakan babi dan kenapa umat Islam diharamkan daripada memakan babi serta suku sakatnya.
Alasan utama umat Islam tidak boleh makan BABI adalah kerana itu larangan memakan babi adalah daripada ALLAH. Apabila sesuatu itu dilarang oleh ALLAH, umat Islam WAJIB meninggalkannya. Dan ALLAH tidak mengharamkan sesuatu melainkan ada sebab-sebabnya . Berikut adalah sedikit sebanyak fakta mengenai babi.
Semua bangsa di seluruh dunia dari dahulu hinggalah sekarang menganggap babi/ khinzir sebagai BINATANG YANG PALING HINA lagi menjijikkan. Buktinya, apabila seorang lelaki di Eropah berasa amat marah atau benci kepada seseorang, DIA AKAN MEMAKI “Babi!”. Seorang ibu di negara China dengan niat menghina atau memburuk-burukkan seseorang, dia akan memaki ‘Babi!”. Begitu juga seorang anak kecil di India yang menaruh dendam dan sehabis benci dengan orang lain akan memaki ‘Babi!”. Mengapa tidak dikatakan saja kuda, unta, tikus, arnab dan lain-lain?
Maksudnya di sini, telah ada satu kepercayaan turun-temurun di seluruh dunia yang babi adalah binatang paling hina lagi menjijikkan. Islam adalah satu-satunya agama yang benar dan mulia di sisi Allah. Dengan sebab itu jugalah ORANG-ORANG YANG MULIA TIDAK akan MEMAKAN binatang atau DAGING YANG paling HINA lagi menjijikkan.
Babi juga merupakan BINATANG YANG PALING KOTOR dan menjadi AGEN KEPADA BANYAK JENIS KUMAN DAN PENYAKIT. Babilah pembawa CACING PITA yang BOLEH MENGAKIBATKAN MAUT itu. Dr. Yoshihiro Kawaoka menjadi pemimpin sekumpulan 12 orang saintis dari Universiti Wisconsin telah menjalankan penyelidikan terhadap babi. Dan hasilnya, terdapat satu sistem di KERONGKONG BABI yang membolehkan PELBAGAI VIRUS BERKUMPUL di dalamnya, dan ia amat berbahaya kepada manusia. Mereka mengisytiharkan babi sebagai “mixing vessel” atau pun “BAHTERA TAKUNGAN KUMAN-KUMAN” sebagaimana yang dinyatakan dalam ‘Journal of Virology 1997’.
Babi TIDAK ADA LEHER untuk disembelih sebagaimana haiwan lain. Apabila sesuatu binatang itu tidak disembelih, darah dan kuman di dalam badannya tidak dapat dikeluarkan. Bagi Islam, darah adalah najis. Mungkin ini jugalah yang menyebabkan berkumpulnya virus di leher babi sebagaimana pendapat para saintis.
Babi dipercayai berkait rapat dengan Iblis. Ini merupakan kepercayaan kuno yang tidak mustahil ada kebenarannya. Kita ambillah kisahnya sebagai menambah pengetahuan saja. Sewaktu seluruh dunia di tenggelami banjir, Iblis turut berada dalam bahtera Nabi Nuh tersebut. Oleh kerana terlalu lama di atas bahtera, segala kotoran haiwan, manusia dan sampah sarap bersepah di sana-sini. Nabi Nuh minta pertolongan Tuhan untuk membersihkannya lalu Tuhan menyuruh dia mengusap kepala gajah dan terciptalah tikus yang memakan semua kotoran tersebut. Iblis turut berbuat demikian lalu terciptalah pula babi. Maka babi TERCIPTA HASIL KERJA TANGAN IBLIS.
Jika kita membaca BIBLE The New Testament- kitab suci orang Kristian, kita akan dapati peristiwa di mana Jesus (Nabi Isa) telah mengusir roh-roh jahat dari dalam tubuh manusia lalu dimasukkan ke dalam tubuh babi-babi. Ini secara simboliknya bertujuan menunjukkan pengharaman babi.
Daniel S. Shapiro, M.D., Pengarah Clinical Microbiology Laboratories, Boston Medical Center, Massachusetts yang juga seorang Penolong Profesor Perubatan di Pathology and Laboratory Medicine, Boston University School of Medicine, Massachusetts, merumuskan bahawa terdapat PELBAGAI JENIS PENYAKIT yang boleh di jangkiti daripada babi seperti:

• Anthrax
• Ascaris suum
• Botulism • Brucella suis
• Cryptosporidiosis
• Entamoeba polecki
• Erysipelothrix shusiopathiae
• Flavobacterium group IIb-like bacteria
• Influenza
• Leptospirosis
• Pasteurella aerogenes
• Pasteurella multocida
• Pigbel
• Rabies
• Salmonella cholerae-suis
• Salmonellosis
• Sarcosporidiosis
• Scabies
• Streptococcus dysgalactiae (group L)
• Streptococcus milleri
• Streptococcus suis type 2 (group R)
• Swine vesicular disease
• Taenia solium
• Trichinella spiralis
• Yersinia enterocolitica
• Yersinia pseudotuberculosis

Kajian oleh Alix Fano (M.A.), Murry J. Cohen (M.D.), Marjorie Cramer (M.D.,F.A.C.S.), Ray Greek (M.D.), dan Stephen R. Kaufman (M.D.) mendapati antara PENYAKIT-PENYAKIT ini ada yang BOLEH MEMBAWA MAUT, contohnya leptospirosis. Ia boleh menyebabkan kerosakan hati dan buah pinggang.
TOKOH-TOKOH PERUBATAN CHINA juga tidak kurang mengatakan bahayanya babi. Yan Show Tan adalah satu jurnal kesihatan Cina yang terkenal suatu masa dahulu mengatakan: “Semua daging adalah berkahsiat MELAINKAN DAGING BABI.”
Sun See Mao ialah seorang TABIB TERKENAL DINASTI TANG menulis dalam bukunya Sheh Shen Lu (Catatan-catatan Kesihatan) mengatakan: “Daging babi MERANGSANG PENYAKIT-PENYAKIT LAMA, menyebabkan KEMANDULAN, PENYAKIT TULANG dan ASMA.” Lee Shih Ch’en pula seorang TABIB TERKENAL DINASTI MING yang mengarang lebih kurang 50 jilid buku-buku perubatan. Pendapatnya tentang daging babi adalah: “Ia boleh MENDATANGKAN KESAN BAHAYA.”

Kesimpulannya, tabib-tabib termasyhur dari negara China juga mempunyi pendapat yang sama dengan Islam.

Antara 20 KE 40 JUTA MANUSIA seluruh dunia MAUT akibat jangkitan virus INFLUENZA pada awal kurun ke-20. Kajian menunjukkan virus baru ini BERPUNCA DARIPADA BABI-BABI DI AMERIKA. Ia telah menjangkiti askar-askar Amerika dalam Perang Dunia 1 dan kemudiannya dibawa bersama mereka ke negara-negara lain. Antara VIRUS BARU berpunca daripada babi yang ditemui sejak tahun 1997 ialah kuman Porcine Torovirus, Porcine Rotavirus (Variant 4F), PRRS (Porcine Reproductive and Respiratory Syndrome Virus), H3N2 Swine Flu Virus dan virus menangle. Alangkah berbahayanya babi kepada umat manusia.

Spanish flu 1918, Asian flu 1957, Hong Kong flu 1968 dan Russian flu 1997 yang mengrobankan banyak jiwa adalah berpunca daripada babi.
Yang hebatnya, VIRUS DARIPADA BABI agak CANGGIH. Ia SENTIASA BERUBAH BENTUK dan menyerang dalam bentuk yang baru. Sistem pertahanan badan manusia tidak dapat melawan serangan virus-virus yang cerdik ini. Ada juga virus daripada keluarga HIV pada babi. Virus ini dibawa oleh DNAnya dan tidak boleh dipisahkan. Profesor Robin Weiss, pakar virologi Institut Kajian Kanser London mengatakan, ” Babi mempunyai banyak kuman virus. Salah satu masalah yang perlu kita hadapi ialah babi memiliki kuman retrovirus yang boleh menjangkiti manusia. Ia tidak dapat dibuang daripada babi kerana ia dibawa oleh benih DNAnya. Retrovirus ini adalah dari keluarga yang sama dengan kuman HIV.”
Satu cara selain daripada membina pusat penternakan Babi ini adalah memberikan pemahaman kepada tauke-tauke dan penternak babi mengenai bahaya Babi kepada kesihatan manusia. Sediakan kursus-kursus intensif kepada tauke-tauke babi serta pelapis-pelapis mereka supaya mereka sangat peka kepada persekitaran, sensitiviti dan kesihatan manusia sekeliling mereka, bukan hanya mahu keuntungan semata-mata. Kesedaran-kesedaran secara intensif dan perlahan-lahan mengenai bahaya babi kepada manusia akan insyaALLAH mengurangkan minat para pemakan babi untuk terus memakan babi. Seterusnya akan berkuranglah permintaan babi.
Dan kerajaan wajib mengharamkan penggunaan babi dalam bahan makanan, perisa makanan dan sebagainya. Biar pemakan babi hanya makan daging babi sahaja, tidak mengubah kepada produk-produk yang boleh mengelirukan umat Islam.
Ringkasan kenapa kami umat Islam diharamkan memakan babi:
Sebab utama adalah ia adalah dilarang oleh Tuhan kami. Kami wajib mematuhi perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Kami yakin setiap ketetapan yang Allah tetapkan pasti ada kebaikan untuk kami.
‘Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging hewan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang dipukul, yang jatuh, yang ditanduk, dan yang diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya, dan (diharamkan bagimu) yang disembelih untuk berhala. Dan (diharamkan juga) mengundi nasib dengan anak panah, (mengundi nasib dengan anak panah itu ) adalah kefasikan. [QS:5:3]

Kami juga tidak memakan babi kerana sebab-sebab kemuliaan, agama dan kesihatan.

Novel pendek: Kasih Ibu

“Nurse, boleh saya tengok bayi saya?” ibu muda yang baru bersalin itu bersuara antara dengar dan tidak kepada seorang jururawat.
Sambil tersenyum jururawat membawakan bayi yang masih merah itu. Si ibu menyambut dengan senyum meleret. Dibuka selimut yang menutup wajah comel itu, diciumnya berkali-kali sebaik bayi tersebut berada dipangkuan.
Jururawat kemudian mengalihkan pandangannya ke luar tingkap. Tidak sanggup dia bertentang mata dengan si ibu yang terperanjat melihat bayinya dilahirkan tanpa kedua-dua cuping telinga.
Namun gamamnya cuma seketika. Dakapan dan ciuman silih berganti sehingga bayi yang sedang lena itu merengek. Doktor bagaimanapun mengesahkan pendengaran bayi itu nor! mal, sesuatu yang cukup mengembirakan si ibu.

Masa terus berlalu…

Pulang dari sekolah suatu tengahari, anak yang tiada cuping telinga itu yang kini telah memasuki alam persekolahan menangis memberitahu bagaimana dia diejek rakan-rakan. “Mereka kata saya cacat,” katanya kepada si ibu.
Si ibu menahan sebak. Dipujuknya si anak dengan pelbagai kata semangat. Si anak menerimanya dan dia muncul pelajar cemerlang dengan menyandang pelbagai jawatan di sekolah. Bagaimanapun tanpa cuping telinga, si anak tetap merasa rendah diri walaupun si ibu terus memujuk dan memujuk. Ayah kanak-kanak itu bertemu doktor. “Saya yakin dapat melakukannya jika ada penderma,” kata pakar bedah. Bermulalah suatu pencarian bagi mencari penderma yang sanggup berkorban.

Setahun berlalu…

“Anakku, kita akan menemui doktor hujung minggu ini. Ibu dan ayah telah mendapatkan seorang penderma, tapi dia mahu dirinya dirahsiakan, ” kata si ayah. Pembedahan berjalan lancar dan akhirnya si anak muncul sebagai manusia baru, kacak serta bijak. Pelajarannya tambah cemerlang dan rasa rendah diri yang kerap dialaminya hilang.
Rakan-rakan memuji kecantikan parasnya. Si anak cukup seronok, bagaimanapun dia tidak mengabaikan pelajaran. Pada usianya lewat 20-an, si anak menjawat jawatan tinggi dalam bidang diplomatik.
“Sebelum saya berangkat keluar negara, saya ingin tahu siapakah penderma telinga ini, saya ingin membalas jasanya,” kata si anak berkali-kali. “Tak mungkin,” balas si ayah. “Perjanjian antara ayah dengan penderma itu masih berjalan. Tunggulah, masanya akan tiba.” “Bila?” tanya si anak.
“Akan tiba masanya anakku,” balas si ayah sambil ibunya mengangguk-angguk. Keadaan terus kekal menjadi rahsia bertahun-tahun lamanya.
Hari yang ditunggu tiba akhirnya. Ketika si anak berdiri di sisi keranda ibunya, perlahan-lahan si ayah menyelak rambut ibunya yang kaku.
Gelap seketika pandangan si anak apabila melihat kedua-dua cuping telinga ibunya tiada.
“Ibumu tidak pernah memotong pendek rambutnya,” si ayah berbisik ke telinga anaknya. “Tetapi tiada siapa pernah mengatakan ibumu cacat, dia tetap cantik, pada ayah dia satu-satunya wanita paling cantik yang pernah ayah temui. Tak percaya… tanyalah pada sesiapa pun kenalannya.”
Dipetik dari TKOdaily.net

Musuh gagal nafi keadilan Islam

Oleh: Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang-orang yang menegakkan keadilan bagi Allah, bersaksi dengan keadilan, dan janganlah kerana kemarahan kamu terhadap sesuatu kaum menyebabkan kamu tidak berlaku adil. Hendaklah kamu berlaku adil kerana keadilan itu lebih hampir kepada taqwa. Bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Maidah ayat 8).
Marilah kita yakin dan percaya bahawa Islam satu-satunya agama yang benar, membawa ajaran yang baik dan keadilan serta memberi kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Marilah kita mengambil contoh keadilan yang ditegakkan oleh Rasulullah s.a.w. apabila beliau mendirikan negara Islam di Madinah Al-Munawwarah, sebuah negara Islam pertama.
Walaupun Madinah pada masa itu didiami oleh masyarakat majmuk yang terdiri daripada berbagai kaum dan menganut berbagai agama, Rasulullah s.a.w. berjaya membuktikan bahawa hukum Allah Taala merupakan satu hukum yang adil dan diterima bukan sahaja oleh orang Islam tetapi juga oleh orang-orang yang bukan Islam dan hukum Allah Taala menjadi undang-undang di dalam negara.
Berita kebaikan dan keadilan Islam telah didengar dan diketahui oleh masyarakat dunia yang menyebabkan seluruh pe mimpin negara bukan Islam samada kecil atau pun besar merasakan kedudukan mereka tergugat bukan kerana bala tentera Islam yang besar tetapi kerana berita keadilan dan kebaikan Islam telah masuk ke dalam hati seluruh rakyat mereka. Keadilan Islam telah membawa kepada keIslaman seluruh penduduk Madinah dan sebahagian besar kabilah Arab yang berada di sekeliling negara Islam Madinah.
Maka peristiwa ini membatalkan alasan-alasan yang mengatakan bahawa masyarakat majmuk tidak dapat menerima-pakai hukum Islam dan ajaran Islam tidak berupaya berhadapan dengan perkembangan masyarakat dan tidak sesuai lagi sekarang ini. Sebenarnya Islam telah membuktikan di alam nyata, kemampuan hukumnya untuk berlaku adil dan undang-undang yang lain daripada Islam adalah hawa nafsu semata-mata.
Sejarah keadilan Islam bukan berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w. sahaja bahkan menjadi sejarah dunia selepas kewafatan baginda s.a.w. Keadilan Islam tidak berjaya dinafikan oleh musuh Islam sendiri yang sentiasa memburuk-burukkan Islam. Mereka gagal membuktikan bahawa Islam tidak sesuai diamalkan sekarang ini.
Masalahnya sekarang ialah hujah-hujah yang digunakan oleh musuh-musuh Islam untuk memburuk-burukkan Islam telah masuk ke dalam pemikiran orang-orang yang mengaku menjadi orang Islam sehingga mereka ini menjadi ragu-ragu untuk melaksanakan syariat Islam di dalam tanahair umat Islam apabila mereka memegang tampuk pemerintahan.
Mereka masih malu untuk melaksanakan hukum Allah Taala walau pun dunia sekeliling mereka mengalami berbagai penyakit seperti penyakit sosial, ekonomi, akhlak, politik dan lain-lain.
Di antara contoh keadilan yang berlaku di zaman pemerintahan Saidina Ali karamallahu wajhah, beliau telah menahan seorang Yahudi yang membawa baju besi miliknya. Saidina Ali yang menjadi ketua negara pada masa itu tidak terus merampas baju besinya tetapi membawa Yahudi tersebut ke mahkamah Islam yang diadili oleh kadi Syuraih al-Kandi, seorang hakim yang alim, zuhud dan bersifat dengan seorang hakim Islam.
Syuraih telah membuktikan keadilan Islam yang bukan takut kepada Ali tetapi takut kepada Allah Taala. Sekiranya Syuraih takut kepada Ali tentulah beliau memenangkan Ali di dalam perbicaraan tersebut tetapi Syuraih menegakkan keadilan dengan mendengar hujah daripada kedua-dua pihak. Hakim Syuraih telah meminta Saidina Ali melakukan apa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam sabdanya:
Saksi diperlukan kepada orang yang menuduh dan sumpah bagi orang yang menafikan tuduhan“.
Lalu Syuraih berkata kepada Saidina Ali: Di manakah saksi anda wahai Amirul Mukminin?
Walau pun baju besi itu haknya, Saidina Ali tidak dapat membawa saksi. Oleh itu hukum Syuraih membuat keputusan menyerahkan baju itu kepada Yahudi tersebut. Apabila Yahudi itu keluar dari mahkamah membawa baju tersebut dan Saidina Ali juga berjalan keluar, selepas beberapa langkah Yahudi tersebut berpaling kepada Saidina Ali dan berkata:
Wahai Amirul Mukminin! Ambil baju ini, sesungguhnya baju ini kepunyaan Amirul Mukminin. Saya mengambil baju ini ketika ianya terjatuh daripada Amirul Mukminin.” Kemudian Yahudi itu berkata “Itulah hukum yang adil dan itulah hukum para nabi, oleh itu saya mengaku, tidak ada Tuhan kecuali Allah dan aku mengaku bahawa Muhammad itu pesuruh Allah.
Itu hanya satu contoh dan banyak lagi contoh di dalam sejarah pelaksanaan hukum Allah Taala. Mengapa di akhir-akhir ini umat Islam gagal menunjukkan contoh yang baik? Orang Islam akhir-akhir ini lebih menunjukkan perkara buruk sehingga tidak boleh menjadi teladan kepada orang bukan Islam.
Kini orang kafir pula menuduh orang Islam tidak berlaku adil. Kita jangan mudah melenting dan marah tanpa mengemukakan hujah yang benar dan kadang-kadang orang Islam melenting di dalam mempertahankan orang yang zalim. Itulah Asobiyyah yang dilarang oleh Rasulullah s.a.w. di dalam sabdanya:
Bukan dari kalangan kamu orang yang mengajak kepada Asobiyyah, berperang di atas dasar Asobiyyah dan mati di atas dasar Asobiyyah“.
Lalu para sahabat bertanya” Ya Rasulullah? Apakah itu Asobiyyah wahai Rasulullah? jawab Rasulullah s.a.w. “Asobiyyah itu ialah kamu menolong kaum kamu di atas dasar kezaliman“.
Marilah kita menyahut seruan Allah Taala supaya kita menegakkan keadilan walau pun ke atas diri kita sendiri dan ke atas orang lain supaya kita mengajak orang lain kepada Islam dan menjadi hajat ketika berhadapan dengan Allah Taala di hari akhirat.
Ertinya: Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian mereka tidak ragu lagi dan berjihad dengan harta benda mereka dan diri mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar.