Sudah talak tiga, mahu rujuk semula….

Mahu muzakarah… orang kata muqabalah…

Tak apalah muqabalah pun muqabalah lah…jangan berbalah sudah….

Lepas tu timbul pula tawaran jawatan MB di Perak – kepada PAS. Adoii… bukan ke sekarang pun PAS dah jadi MB ke kat Perak tu?

Sesunguhnya, sangat pelik dan menggelikan hati kepada orang gila talak. Mahu bekerjasama? Mahu bersatu demi Melayu dan Islam? Ahhh… apa semua ini. Kenapa baru sekarang setelah tiada kuasa? Kenapa semasa kamu berkuasa dulu, tidak sebut pasal mahu bersatu? Orang-orang PAS, pemimpin-peminpin PAS dan pakatan rakyat, sering menjadi objek kezaliman.

Semburan gas, semburan air gatal, lokap, dan sebagainya menjadi permainan kamu semasa berkuasa menindas. Maka akibat zalim dan durjana, maka rakyat menceraikannya. Suami baru rakyat, tak mungkin akan bersatu dengan bekas suaminya yang pernah menzalimi si isteri. Tak mungkin. Tak mainlah cina buta.

Al kisahnya, dengan tidak tahu menebal muka, dia menawarkan jawatan MB kepada PAS jika membentuk kerajaan bersama Umno/BN.

Untuk pengetahuan, sekarang ini, Umno/BN juga adalah anggota kerajaan di Perak dan semua negeri Pakatan Rakyat. Cuma posisinya adalah pembangkang. Maksudnya? Kita kerajaan demokrasi bukan? Apabila sebut saja demokrasi, maka perlu ada pihak pemerintah, dan pihak pembangkang. Jika tiada pembangkang, maka tidak dinamakan kerajaan demokrasi. Itu diktator. Jadi, tak perlulah pihak yang diceraikan itu terhegeh-hegeh mahu kembali berkuasa jika nak menyatukan orang Melayu dan umat Islam. Cukuplah sebagai posisi pembangkang sahaja. Kamu sudah letih kerana dah lama memerintah sebelum ini. Berehat sebentar dan bermuhasabah membaiki diri. Mungkin kekalahan kamu inilah Tazkirah yang baik kepada kamu, sekiranya kamu benar-benar mahu insaf.

Advertisements

KE ARAH MENEPATI PIAWAIAN JEMAAH ISLAM CONTOH

(petikan dari buku Sheikh Mustafa Mashyur)
Seperti kata-kata Saidina Ali (ra), “Janganlah kamu kenali sesuatu kebenaran itu kerana orangnya, sebaliknya kenalilah kebenaran tersebut dahulu, nanti kamu akan kenali orangnya”.
Hatta, dengan jemaah juga, seseorang itu harus mengetahui terlebih dahulu ciri-ciri jemaah tersebut sebelum menggabungkan diri kedalamnya.

Artikel ini adalah berdasarkan huraian Sheikh Mustafa Mashyur dalam bukunya, ‘Contoh Tauladan Sepanjang Jalan Dakwah’ dan ‘Dakwah Fardiah’. Perkara-perkara yang dihuraikan hendaklah diambil sebagai panduan atau rujukan bagi sesiapa sahaja yang ingin membuat pilihan dan menggabungkan diri dalam sesebuah jemaah untuk menunaikan tanggungjawab dakwah yang diwajibkan keatasnya.

Pilihan seseorang itu memerlukan perincian yang halus, hikmah, penjelasan yang terang dan meyakinkan dan tidak terburu-buru. Dalam medan dakwah masakini, terdapat banyak jemaah-jemaah yang mempunyai ciri-ciri tersendiri, dan huraian ini juga tidak bertujuan untuk menimbulkan perbezaan dan persengketaan antara jemaah yang sedia ada, tetapi sebaliknya mengharapkan ianya dijadikan sebagai titiktolak bagi sesebuah jemaah tersebut untuk kembali kepada hakikat kesatuan ummah sejagat berdasarkan ciri-ciri haraki Islam yang dihuraikan.

Dua puluh (20) perkara asasi yang perlu ada pada sebuah Jemaah Islam Contoh ialah :

1) Tujuan menegakkan jemaah ini ialah kerana Allah dan memiliki segala ciri-ciri Rabbani, serta mencari keredhaanNya (mardhatillah). Jemaah ini jauh dari matlamat keduniaan seperti mencari kemasyhuran, kedudukan atau suka menonjol diri. Jemaah ini hendaklah juga jauh dari dorongan-dorongan Jahiliyyah seperti taa’sub kelompok (assabiyah), batas-batas geografi atau kenegaraan (nationalisma), dan seumpamanya.

Perkara seperti ini akan merosakkan amalannya dan membawa jemaah ini kearah kegagalan.

2) Jemaah Islam ini hendaklah menggunakan AlQuran dan Sunnah sebagai sumber rujukan, dan menjaga dirinya supaya ia tidak tunduk dibawah kehendak orang tertentu, kerajaan ataupun apa sahaja, sekiranya ia memberi kesan buruk kepada kepada gerakan dakwahnya atau mempengaruhi mesej dakwahnya.

3) Jemaah itu dibangunkan atas tujuan yang menyeluruh dan bersepadu yakni untuk menegakkan agama Allah dibumi ini dengan mendirikan Daulah Islamiah Alamiyyah (Negara Islam Sedunia). Manhajnya (methodologi) adalah berdasarkan apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah (saw) untuk mencapai tujuan ini, dan juga apa yang disyariatkan oleh Islam (ijmak atau qias). Jemaah tidak sepatutnya mengongkong dirinya dalam ‘perkara-perkara juzuk’ dalam Islam seperti ekonomi, politik, ibadah dan sebagainya.

4) Kefahaman jemaah ini terhadap Islam hendaklah menyeluruh (kesyumulan Islam) dan pendekatan dakwah yang digunakan juga adalah bersifat menyeluruh (syamil). Kefahaman Islam, cara dan mesej dakwah yang dibawa mesti bertepatan dengan Quran dan Sunnah Rasulullah (saw), dan bersih dari sebarang kesamaran, penyelewengan dan perbezaan pendapat yang boleh memecah-belahkan orang-orang Islam.

5) Jemaah ini mestilah bersifat universal (alamiyyah) dan tidak tertakluk pada batas-batas negeri dan suku bangsa, kerana dakwah Islam adalah ditujukan kepada sekelian alam. Jemaah ini juga menekankan bahawa orang-orang Islam semuanya adalah umat yang satu (wahdatul ummah) dan sentiasa bergerak kearah kesatuan ummah. Dengan sifat alamiyyahnya, jemaah ini berjuang untuk menegakkan Negara Islam Alamiyyah dengan menggunakan Kaedah Sulbah, bukan Negara Islam Geografi sahaja. (sila rujuk karangan Ustaz Said Hawa, ‘Durus Fil Amal AlIslami’)

6) Jemaah ini mestilah mengikut kaedah perjuangan yang digunakan oleh Rasulullah saw ketika baginda mendirikan Negara Islam. Kaedah yang digunakan oleh Rasulullah (saw) adalah berperingkat (marhalah), beransur-ansur (tadarruj), kejelasan risalah dakwah, kemampuan ahli, melaksanakan hikmah dan kewaspadaan dalam setiap langkah, serta mengambil kira faktor persekitaran (waqi’).

Baginda mementingkan perkara-perkara seperti kemantapan aqidah, iman dan ibadah, mengutamakan kekuatan persaudaraan dan penyatuan umat Islam, mengambil kira prinsip jihad dan ketenteraan, tarbiyyah, dan lain-lain lagi.

Jemaah ini mesti menekankan Kaedah Sulbah yakni, membina individu Islam, keluarga Islam, masyarakat Islam, negara Islam dan baharulah Dunia Islam. Perlu ditegaskan bahawa penggunaan kekuatan senjata sebelum aqidah, tarbiyyah dan penyatuan umat Islam akan membawa kepada perpecahan umat Islam dan kemudharatan yang besar. Sesungguhnya, pembinaan yang membesar secara tabii (Kaedah Sulbah) itu bermula dari dasar (individu) dan bukan dari puncak (negara).

7) Jemaah ini hendaklah menjaga amalannya dari mencari propaganda dan menunjuk-nunjuk, kerana ini boleh menghilangkan sifat keikhlasan dan ganjaran pahala. Setiap anggota jemaah itu hendaklah mengutamakan dirinya untuk terus berdakwah dan bekerja untuk Islam dan menghindarkan dirinya dari sebarang sifat tercela (mazmumah), perdebatan, prasangka, menabur fitnah dan ‘tajassus’ dan apa sahaja yang boleh menimbulkan perselisihan dan kurang daya produktif dalam berdakwah.

Firman Allah swt, “Hai orang-orang yang beriman, janganlah sesuatu kaum itu merendah-rendahkan kaum lain kerana mungkin kaum lain itu adalah lebih baik… jauhilah prasangka… janganlah kamu mencari-cari kesalahan atau mengunjing orang lain; sukakah kamu memakan daging saudaramu yang telah mati? Hai manusia, Allah telah mencipta kamu lelaki dan perempuan, bangsa-bangsa, suku-suku supaya kamu saling berbaik. Sesungguhnya, orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa diantara kamu”
(Surah Hujurat:11-13)

8) Jemaah ini bekerja mengikut perancangan yang sempurna dan realistik. Segala tindakan yang diambil bukan lah secara spontan ataupun hanya reaksi yang tidak dikaji terlebih dahulu kerana ini boleh mengakibatkan risiko atau natijah yang buruk. Membangunkan individu, keluarga, dan masyarakat dalam semua lapisan umat Islam dilakukan atas dasar taqwa sebagai persediaan sebelum mendirikan Negara Islam.

9) Jemaah ini mengambil berat tentang semua aspek pendidikan dan pekerjaan yang dikehendaki, yakni aspek rohani, jasmani, mental, dan ilmu. Dari segi politik, jemaah ini hendaklah melahirkan suara Islam dengan jalan kesedaran politik, dan tidak semestinya dengan cara berparti dan jauh sekali dari mengamalkan putar-belit ataupun kemelut parti sekular. Dari segi komunikasi, jemaah ini mementingkan peranan sebaran am, akhbar, penulisan serta apa jua cara yang dapat menyebarkan kan dakwah serta menolak kekeliruan yang boleh timbul dari fitnah musuh atau sesiapa sahaja.

10) Jemaah contoh ini jangan sekali-kali meninggi diri serta sentiasa membuat perbandingan dengan jemaah-jemaah Islam yang lain dan tidak menganggap jemaahnya sahaja yang sempurna dan benar, sementara jemaah lain adalah sesat. Jangan memperkecil-kecilkan usaha jemaah-jemaah lain atau melihat jemaah lain sebagai saingan atau lawan, tetapi sebaliknya carilah ruang-ruang untuk bekerja sama.

Hendaklah dia sentiasa berusaha kearah penyatuan (wahdatul ummah) dengan jemaah-jemaah lain dan sentiasa bersabar, berlapang dada dan menerima segala kritikan dengan baik. Dengan izin Allah swt, kita semua mengharapkan akan tiba masanya, hilanglah semua nama-nama, gelaran dan perbezaan teknikal antara semua jemaah yang ada sekarang dan akan digantikan dengan satu Jemaah Muslimun.

11) Jemaah ini hendaklah bercampur-gaul dengan semua orang dari segenap lapisan tidak kira bangsa, warna kulit, bahasa ataupun pangkat, demi mematuhi konsep alamiyyah yang disarankan. Mereka adalah ladang dakwah dan tapak semaian yang perlu disediakan terlebih dahulu sebelum mendirikan Negara Islam.

12) Jemaah ini mempunyai peraturan yang kemas serta organisasi (tanzim) yang tersusun, yang menentukan tujuan kerja dan cara-cara berdakwah. Anggota jemaah adalah terdiri daripada mereka yang telah dididik (tarbiyyah) sepenuhnya, membentuk barisan-barisan yang terpilih dan berkeperibadian Islam, dan tidak dicampuri anasir-anasir yang tidak sihat, demi menjamin penerusan serta mesej dakwah yang dibawanya.

13) Konsep syura hendaklah diamalkan dalam setiap peringkat dan menggalakkan ahlinya supaya terus berbincang dan mengeluarkan pendapat serta kritikan yang membina kepada orang-orang yang memegang tanggungjawab tertentu atau pimpinan. (muhasabah) Konsep ketaatan dan kepatuhan dalam perkara yang bukan maksiat sentiasa ditekankan

14) Jemaah ini sentiasa bersifat sederhana dan tidak melampau, samada dalam aspek pemikiran seperti isu kafir-mangkafir dan isu perbezaan jemaah-jemaah Islam; atau dalam aspek gerakan seperti menggunakan kekerasan dalam tindakan, mengeluarkan kecaman-kecaman, dan fitnah dengan sewenang-wenangnya, yang mana boleh membuatkan orang Islam lari ataupun benci kepada Islam. Segala tindakan yang diambil hendaklah berteraskan kasih sayang (mahabbah), waqii (persekitaran) semasa, tawazun (keseimbangan), hazar (waspada) dan tasawwur (prospek) amal yang jelas. Dari segi aqidah dan ibadah, jemaah ini tidak bertolak-ansur sedikitpun..

15) Sentiasa memeriksa tanggungjawab serta mengikuti isu-isu semasa yang dihadapi oleh umat Islam seluruh dunia dan sama-sama memberi sumbangan sekadar mampu. Sentiasa menyeru orang-orang Islam agar sama- sama memberi sumbangan bagi tujuan menghidupkan semangat perpaduan serta sama-sama merasa tanggungjawab terhadap apa yang berlaku pada umat Islam keseluruhannya.

16) Jemaah ini sentiasa berwaspada dengan tipu-helah musuh Islam, sentiasa bersabar, tetap bekerja, berkorban dan banyak bermunajat kepada Allah apabila menanggung penderitaan dan kecaman semasa berdakwah.

17) Jemaah ini sentiasa menekankan kepentingan dakwah dan penegakan Negara Islam Alamiyyah kepada anggotanya. Kegiatan dakwah yang dilakukan adalah sebagai saham yang berharga kepada generasi akan datang. Ganjaran daripada Allah akan datang kepada mereka yang beriman dan bersabar, didunia ini dan juga diakhirat sebagaimana firman Allah swt dalam surah AlHadiid: 28,

“Hai orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan berimanlah kepada RasulNya, nescaya Allah akan memberi rahmatNya kepada kamu dua (2) bahagian, dan menjadikan untukmu cahaya yang dengan cahaya itu kamu dapat berjalan, dan Allah akan mengampunimu”.

18) Jemaah ini sentiasa memikirkan langkah-langkah masa depan serta bergerak (muharriq) untuk menyediakan kemahiran dalam berbagai bidang seperti pendidikan, ekonomi, perundangan, dakwah, kesihatan, ketenteraan, sosial dan lain-lain lagi.

19) Jemaah ini hendaklah mengambil kesempatan dalam setiap penerokaan baru samada dalam bidang pemikiran, pengalaman-pengalaman dakwah, ataupun kajian sains selagi ia tidak menyalahi prinsip Islam.

20) Jemaah ini sentiasa menketakutan yang dialami. Mereka ini akan terus beribadat kepada Allah dengan tidak mempersekutukanNya dengan apa sekalipun. Dan ingatlah, sesiapa yang kufur atau engkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka”.

Demikianlah penjelasan yang terperinci mengenai marhalah ini. Apa yang baik itu sesungguhnya bersumberkan dari Allah swt, dan segalakekurangan itu adalah merupakan kelemahan diri saya sendiri – Ust Nasrudin at-Tantawi

Pilih Pakatan Rakyat ganti kerajaan Umno/BN

Permintaan Umno supaya “Yang di-Pertuan Agong campurtangan bagi menangani penghakisan hak-hak keistimewaan bumiputera” (Utusan Malaysia, 8 Julai 2008) ibarat mengesahkan satu perkara sahaja iaitu Umno yang telah mengangkat kedua-dua belah tangan.

Dia sendiri telah secara muktamad mengesahkan kegagalan parti itu sebagai pembela orang Melayu. Sudah selama 50 tahun dia membela(?).

Nasib orang Melayu menjunam dalam hampir semua pentas; agama, bangsa, tanah dan air.

Bertolak dari kegagalan agama yang boleh disukat melalui pemisahan pemerintahan dengan Islam, menukar Islam sejati dengan Islam Hadhari, gejala ratusan ribu umat Islam yang murtad, sejuta penagih dadah, bangsa Melayu yang kekacauan identiti dan jati diri dari segi bahasa, adat, budaya dan budi; tanah rezab Melayu yang semakin susut serta terjual dan tergadainya tanah, air dan pasir dalam bentuk pukal akibat rundingan dan perjanjian yang tidak cermat dengan negara jiran.

Jika orang Umno asyik minta Yang Di-Pertuan Agong campur tangan untuk memperbetulkan setiap kali kesalahan yang dibuat mereka, sedarkah Umno bahawa Yang di-Pertuan Agong inipun adalah Raja bagi seluruh warganegara.

Apa kata jika mereka pun mengangkat memorandum balas membantah dasar-dasar diskriminasi Umno terhadap segala ketidakadilan Umno.

Ini semua bertolak dari perletakan paksi perjuangan yang salah. Jika Umno dari awal tidak meletakkan paksi bangsa dalam perjuangannya, bahkan meletakkan Islam sebagai asas, saya percaya keadaan tidak jadi setenat ini.

Apabila Umno membesar-besarkan bangsa, mengibar keris telanjang, mengacah dan mengucup keris berterusan, orang bukan Melayupun boleh gerun.

Apabila naluri manusia terasa terancam, mereka pada logiknya juga akan menggunakan sentimen bangsa sebagai perisai pertahanan yang sama. Mereka akan mengumpul dan menggunakan persamaan dan perkongsian sentimen sebagai benteng pertahanan.

Ini segala-galanya berpunca dari Umno. Sebab itu, polemik mengenai perpaduan nasional tidak pernah selesai.

Jika Islam yakin bahawa kaedah pengagungan bangsa adalah formula yang tepat, sudah lama Nabi SAW menggunakan keunggulan suku bangsa Quraisy sebagai tunjang perpaduan kaum. Semua orang diwajibkan menerima Quraisy segagai bangsa “superior”.

Soalnya, kenapa Nabi Junjungan kita tidak memilih berbuat begitu?

Bahkan sebaliknya, Baginda menempelak asobiyah bangsa dengan sepotong sabda bermaksud, “tiada kelebihan bangsa Arab atas bangsa �Ajam kecuali dengan taqwa.”

Kini sesudah 50 tahun, tanpa diatur dan ditunjuk-tunjuk oleh pemimpin Umno sekalipun, orang Melayu sudah lama tahu punca silapnya orang Melayu.

Mereka sangat tahu bahawa kegagalan ini disebabkan pengkhianatan pemimpin Umno dahulu dan sekarang yang tergamak memperkuda dan memperhambakan Melayu sesama Melayu.

Berselindung di sebalik istilah bumiputera, mereka (Umno) ratah daging dan darah sesama Melayu. Jika adapun usaha, mereka cuma berminat mengada-adakan projek yang boleh memperkayakan segelintir pemimpin Umno dan kroni.

Lihat sahaja isu di sekitar penjualan pasir satu waktu dulu, penguasaan saham di ECM Libra, Scomi, pembelian bas-bas RapidKL, isu kapal selam, siapa berada dibelakang Bernas dan terkini pula berbangkit soal tuduhan penglibatan pemimpin Umno dalam kontrak pembinaan Terminal Penerbangan Tambang Murah di Sepang atau disebut LCCT.

Saya cuma sedut beberapa contoh untuk sekadar menggambarkan perihal curiganya rakyat terhadap kerja Umno yang kononnya membela orang Melayu.

Bila terdesak rapat ke dinding, mulalah panggil Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu. Satu masa nanti, jangan terkejut jika Kebawah Duli Raja-Raja Melayu kitapun boleh tiba ke tahap meragui keupayaan Pemimpin Negara yang ada sekarang. Di peringkat itu, saya tidak tahulah apa yang akan terjadi.

Sekarang, benih yang salah, yang ditanam 50 tahun lalu sudah berbuah. Ia beracun dan cukup pahit bila dimakan.

Ia telah menimbulkan loya dan sedang menyebabkan muntah-muntah di kalangan Melayu dan bukan Melayu. Hakikat jatuhnya hampir separuh kerajaan-kerajaan negeri dari tangan Umno/BN dalam pilihan raya 8 Mac lalu adalah testimoni.

Ini berbeza dengan PAS. Kita tidak bermuka-muka. Kita mahukan Islam sejak dari tahun 1951 hingga kini dan Insya Allah, hingga sampai ke hari kiamat.

Jika Umno bermula dari Islam sejak awal penubuhannya, tentu keadaan tidak menjadi begini.

Dengan menolak Islam dan mengambil faham kebangsaan, Umno secara terbuka sanggup mendepani mana-mana gerakan siasah yang mahukan Islam.

Bermacam-macam tindakan zalim telah dibuat walaupun di luar lingkungan keizinan demokrasi.

Dalam banyak hal, dia (umno) memperalatkan kuasa majoriti yang diperuntukkan dalam amalan demokrasi untuk menyekat dan menyusahkan pergerakan dan kemajuan agamanya sendiri.

Saya masih ingat lagi bagaimana ramai ulama�, ustaz dan aktivis Islam ditangkap dan disiksa.
Ada Adun PAS yang mati dikapak di tengah-tengah pekan Kota Bharu pada tahun 1960an.

Ada Adun dari Pasir Mas yang disumbat ke dalam penjara hingga menjadi hilang ingatan.

Ada jambatan dibakar di Rantau Panjang untuk menyekat pengundi-pengundi PAS dari keluar mengundi.

Ada penjawat awam yang menyokong gerakan Islam yang ditukar, ditahan kenaikan gaji dan disekat kenaikan pangkat.

Ada yang dicerai dan hidup menjanda kerana rumahtangga mereka porak peranda akibat suami yang disumbat ke penjara melalui ISA. Semuanya ini terlalu banyak berlaku di Kelantan.

Di Kedah pula, 14 orang ustaz dan orang awam dikepung dan ditembak hidup-hidup pada tahun 1986. Memali tiba-tiba menjadi kolam darah yang mengambus jasad syuhada, pejuang dan para wali.

Tanpa segan silu, Umno jugalah yang menafikan banyak peruntukan pusat dari mengalir ke Kelantan dan Terengganu. Siapa berani mengatakan bahawa sekatan penerimaan royalti minyak kepada Kerajaan Negeri Terengganu diantara tahun 1999 � 2004, misalnya, tidak berunsur politik?

Kini, Umno memutuskan Kerajaan Terengganu diberikan semula royalti kerana diperintah oleh Umno/BN.

Tidak zalimkah lagi? Lihatlah betapa siksanya pejuang-pejuang, penyokong-penyokong dan pencinta Islam untuk hidup di bawah dasar-dasar kemelayuan Umno yang melampau.

Pendek kata, terlalu panjang senarai kezaliman yang dilakukan oleh Umno kerana mengambil kebangsaan dan meninggalkan Islam.

Kini setelah 50 tahun, segala kudis, nanah, panau dan kurap penyakit asobiyah telah keluar ke permukaan.

Ada kes pembunuh Altantuya yang disebut-sebut melibatkan pemimpin tertinggi Umno. Setelah DSAI tidak terbukti melakukan liwat walaupun dituduh melakukan liwat 10 tahun yang lalu, kini dituduhnya beliau sekali lagi melakukan liwat. Lagi!

Belum reda dengan kemarahan rakyat mengenai kenaikan harga petrol, rakyat dihidangkan pula dengan berita terlepasnya Pulau Batu Putih daripada tangan Malaysia.

Entah. Saya tidak nampak cahaya lagi di hujung terowong masa depan untuk Malaysia baik dunia atau akhirat selagi berada di bawah Umno/BN. Majoriti rakyat pun saya kira sudah berkesimpulan begitu.

Ini boleh dikesan melalui pelbagai tulisan-tulisan kekecewaan baik di akhbar perdana, warta-warta mingguan, media-media nyamuk dan suara-suara berita dari akhbar-akhbar alternatif. Jika orang muda yang selalu buka laman web dan blog, fenomena ini semakin jelas.

Apa yang ada di hadapan rakyat sekarang cuma satu sahaja iaitu memilih Pakatan Rakyat sebagai kerajaan alternatif.

TUAN GURU DATO’ NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Menteri Besar Kelantan
6 Rejab 1429/ 9 Julai 2008. – mr_

PROTES diprotes?

Malang sekali apabila rakyat datang dari jauh untuk memprotes kenaikan harga minyak – yang dirasakan lebih gamat, lebih besar daripada gelombang BERSIH tempohari, akhirnya kecewa dengan cara protes yang ditunjukkan.
Tidak sepatutnya berlaku, protes bertukar menjadi pesta, protes menjadi expo! Kecewa dengan keadaan itu, ramai peserta memprotes perhimpunan tersebut sehingga kehadiran hanya antara 2% hingga 5% daripada sasaran – 1 juta.
Banyak sebab yang menyebabkan keGAGALan protes ini yang patut dibuat post mortem. Akibatnya juga adalah mustahak untuk diteliti. Imej Pakatan Rakyat pasti tercalar dengan apa yang berlaku. Imej ini adalah imej 5 kerajaan pakatan rakyat. Rakyat akan menilai prestasi dan kualiti Pakatan Rakyat antara sebelum dan selepas menang besar dalam PRU12 lalu.
Imej BERSIH akan mewakili imej Pakatan rakyat selaku pembangkang sebelum PRU12, manakala imej PROTES pula menjadi imej Pakatan Rakyat yang sudah menjadi kerajaan kepada 5 buah negeri. Maka kelihatanlah seperti kualiti memobilisasi suara rakyat merosot setelah menjadi kerajaan. Kemungkinan ini akan melunurkan kepercayaan rakyat untuk mengamanahkan seluruh negara kepada Pakatan Rakyat.
Tambahan pula, dalam protes harga minyak tersebut dilaung-laungkan nama-nama pemimpin besar yang akan hadir, namun sebaliknya hanya wakil yang dihantar berucap. Bukan salah pemimpin itu, tetapi adalah kelemahan penganjur yang sangat ketara. Tak perlu diulas. Menjual nama-nama pemimpin begitu semata-mata untuk meraih kehadiran yang besar adalah sangat tidak beretika dan akan memudarkan semangat rakyat dalam anjuran demonstrasi dan protes seterusnya.