Tahniah USM – Universiti Apex pertama


PUTRAJAYA 3 Sept. – Universiti Sains Malaysia (USM) dipilih sebagai universiti Apex pertama selepas mengetepikan tiga lagi universiti yang turut disenarai pendek iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, pemilihan itu bermakna USM kini memikul peranan penting untuk menjadi universiti terbaik dunia dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

”USM dipilih sebagai universiti Apex selepas ia diberi penilaian yang lebih tinggi dalam tiga aspek iaitu keadaan semasa, kesediaan untuk berubah dan penyediaan pelan transformasi,” katanya pada sidang akhbar di kementeriannya di sini hari ini.

Universiti Apex ialah pengiktirafan yang diberikan kepada institusi pengajian tinggi tempatan untuk menjadi penanda aras di peringkat dunia dalam bidang pengajian tinggi.

Di bawah program itu, USM disasarkan untuk disenarai dalam ranking 100 universiti terbaik dunia dalam tempoh lima tahun dan ranking 50 terbaik menjelang 2020.

Ditanya mengapa universiti tertua iaitu UM tidak dipilih, Khaled berkata, sejarah bukan faktor yang diberi penilaian dalam pemilihan universiti Apex.

”Ia bukan tentang mana universiti yang lebih awal ditubuhkan, ia adalah mengenai universiti mana yang boleh mencapai transformasi pengajian tinggi ke arah bertaraf dunia,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan USM sebagai universiti Apex akan merangsang universiti-universiti lain untuk meneruskan usaha ke arah kecemerlangan di peringkat dunia.

”Ini tidak bermakna selepas USM dipilih sebagai universiti Apex, universiti lain akan ditinggalkan.

”Kita bukan nak letakkan ranking antara universiti ini, ketiga-tiga universiti penyelidikan yang lain juga mempunyai kekuatan sendiri,” katanya.

Mengenai autonomi urus tadbir dan peruntukan yang akan diberikan kepada USM, Khaled berkata, perkara tersebut akan dibincangkan dengan pihak universiti.

”Soal urus tadbir dan kewangan serta pelan pelaksanaan program Apex akan dibincangkan. Kita akan panggil mereka untuk mewujudkan pelan implementasinya.

”Universiti Apex akan kemukakan cadangan bajet untuk tempoh lima tahun dalam pelan transformasinya. Kita akan pertimbangkan cadangan itu setiap kali bajet negara dibentangkan,” katanya.

Ditanya sama ada lebih banyak universiti akan dipilih untuk menyertai program Apex, Khaled berkata, perkara itu akan ditentukan melalui prestasi USM.

”Jika USM bergerak cepat, mungkin kita akan pertimbangkan untuk mewujudkan lebih banyak universiti Apex,” katanya.
===================================================================
PUTRAJAYA: Universiti Sains Malaysia (USM) dipilih sebagai Universiti Apex pertama, mengetepikan beberapa institusi pengajian tinggi lain termasuk universiti tertua negara, Universiti Malaya (UM). 

Keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Pemilihan Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (Apex) selepas mendapati USM memenuhi syarat dan kriteria yang ditetapkan. 

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika mengumumkannya berkata, USM mengatasi universiti saingan lain berdasarkan tiga kriteria iaitu tahap kesediaan, pelan transformasi dan kesediaan untuk berubah. 

 

“Penilaian yang kita gunakan untuk memilih USM adalah berasaskan sudut kuantitatif dan kualitatif yang masing-masing bersandarkan kepada tahap kesediaan untuk melalui transformasi dan pencapaian akademik,” katanya pada sidang media di kementeriannya, semalam. Hadir sama, kedua-dua Timbalannya, Datuk Idris Haron dan Datuk Dr Hou Kok Chung. 

Selain USM dan UM, lima lagi institusi pengajian tinggi awam yang mengemukakan permohonan untuk menjadi Universiti Apex adalah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). 

Dua institusi pengajian tinggi swasta, Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Tenaga Nasional (Uniten), turut mengemukakan permohonan. Universiti Apex akan diberi autonomi dari segi kewangan, skim perkhidmatan, pengurusan, pengambilan pelajar, kepemimpinan tertinggi dan penetapan yuran pengajian. 
 

Mohamed Khaled berkata, sepanjang tempoh pemilihan sebagai Universiti Apex, USM perlu berada di antara 100 universiti terbaik dunia dan senarai 50 universiti terbaik dunia pada 2020. 

“Kita perlu lihat dan menilai pencapaian USM dengan kertas cadangannya bertema ‘Perubahan Pengajian Tinggi Untuk Kestabilan Hari Esok’. Dalam tempoh berkenaan dan selepas itu barulah keputusan akan dibuat sama ada perlu pemilihan Universiti Apex lain atau tidak,” katanya. 

Ditanya kenapa UM sebagai universiti tertua negara tidak terpilih, Mohamed Khaled berkata, pemilihan bukan berdasarkan usia tetapi keupayaan membawa perubahan dalam sistem pendidikan tinggi sehingga mencapai tahap dunia. 

“Pemilihan USM tidak bermaksud universiti lain dipinggirkan, sebaliknya akan menjadi perangsang kepada universiti yang tidak terpilih untuk terus berusaha mencapai status yang lebih baik dan bertaraf dunia,” katanya. 

Mengenai aspek pembiayaan, Mohamed Khaled berkata, perkara itu akan dimasukkan dalam setiap bajet tahunan yang akan diumumkan kerajaan dalam merangka pelan transformasi selama lima tahun. 

Sementara itu, Timbalan Pendaftar USM, Mohamad Abdullah, dalam kenyataannya berkata pemilihan universiti itu sebagai Universiti Apex akan menjadi pendorong utama untuk memartabatkan pengajian tinggi ke peringkat dunia. 

Beliau berkata, USM mahu melonjakkan usaha mentransformasikan pengajian tinggi bagi mewujudkan dunia yang sejahtera berteraskan pembangunan lestari. 

“USM menjadi pusat kepakaran serantau bagi pendidikan lestari dengan adanya Pusat Latihan Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sejak 2005. Ini adalah pengiktirafan yang besar kepada USM dan ia kejayaan seluruh warga kampus, apalagi dalam sambutan 40 tahun universiti,” katanya.

==================================================
Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini berjaya dipilih untuk menyertai Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan atau Apex dengan mengenepikan tiga lagi universiti termasuk Universiti Malaya (UM). 
   –
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pemilihan USM adalah berdasarkan kepada pelan tranformasi dan kesediaannya untuk berubah seperti yang terkandung dalam kertas cadangnnya, memenuhi kriteria pemilihan yang diperlukan.
   –
“Pemilihan bagi program Apex tidak hanya melihat kepada pencapaian dan kecemerangan lepas tetapi lebih kepada perancangan masa depan serta sama ada universiti itu dapat mencapai status bertaraf dunia dalam tempoh yang diberikan iaitu lima tahun,” katanya semasa mengumumkan pemilihan USM di Putrajaya hari ini, demikian menurut laporan Bernama.
   –
Dalam tempoh itu USM mesti berada di antara 100 universiti terbaik dunia dan berada di dalam senarai 50 universiti terbaik dunia pada 2020, katanya yang juga yakin USM mampu mencapai universiti bertaraf dunia.

“Kita lihat dulu bagaimana kejayaan USM selepas itu barulah keputusan dibuat sama ada akan terdapat satu lagi universiti dipilih untuk program Apex,” katanya.
   –
Ditanya mengapa UM sebagai universiti tertua negara tidak terpilih, Mohamed Khaled berkata: “Pemilihan USM tidak bermaksud universiti lain akan dipinggirkan, sebaliknya diharapkan ia akan menjadi perangsang kepada universiti yang tidak terpilih untuk terus berusaha mencapai status yang lebih baik dan bertaraf dunia.”
   –
Sembilan universiti seluruh negara telah menghantar permohonan dan hanya empat universiti iaitu USM, UM, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) disenarai pendek.
   –
Kertas cadangan USM bertemakan “Transforming Higher Education for a Sustainable Tomorrow”. 
   –
Universiti Apex ialah pengiktirafan yang diberikan kepada IPT tempatan yang menjadi penanda aras di peringkat dunia dalam bidang pengajian tinggi dan dijanjikan autonomi dari segi kewangan, skim perkhidmatan, pengurusan, pengambilan pelajar, kepimpinan tertinggi dan penetapan yuran pengajian. 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: