Apa reaksi anda apabila Tok Guru kata perokok lebih hina daripada lembu?

Perokok lebih hina daripada lembu: Nik Aziz [ BeritaHarianOnline]

KOTA BHARU: Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata umat Islam yang cuba menonjolkan keislaman mereka melalui pakaian jubah dan ketayap tetapi menghisap rokok adalah lebih hina daripada lembu.

Nik Aziz, yang juga Mursyidul Am Pas, berkata amalan menghisap rokok dikeji kerana diharamkan oleh agama dan doktor kerana ia memudaratkan kesihatan. [baca lagi…]


“hehehe… ape daa ade manusia lagi teruk dari aku”

Kuang~kuang…
tiba-tiba tersentaklah para perokok yang istiqamah dalam merokok apabila Tok Guru berkata demikian.

Maka wujudlah 3 kategori perokok yang kita boleh kelaskan:

1) Perokok yang insaf – yakni perokok yang terus berhenti merokok setelah mendengar teguran pedas Tok Guru.

2) Perokok yang sanggup digelar lembu – yakni perokok yang hidup matinya sudah tidak boleh dipisahkan dari rokok. Biarlah… lembu pun lembu laaa…

3) Perokok yang melawan – yakni perokok yang membantah kata-kata Tok Guru. Golongan ini mempersenda dan memaki-hamun Tok Guru kerana menggelar mereka sebagai lembu, bahkan lebih teruk dari lembu.

Pada zaman RasuluLLAH, ketika mana RasuluLLAH menegur masyarakat Arab ketika itu supaya mereka meninggalkan arak, zina, bunuh, dan sebagainya, masyarakat Arab ketika itu juga terbahagi kepada golongan sahabat yang terus patuh kepada RasuluLLAH. Pengharaman arak membuatkan sahabat peminum tegar arak terus sahaja memecahkan tempayan simpanan arak lagenda, sehingga aliran arak membentuk seolah-olah sebatang sungai. Manakala wujud pula golongan yang berdegil dan menentang dakwah RasuluLLAH. Mereka memaki hamun RasuluLLAH kerana cuba menyekat dan menghalang mereka daripada kebiasaan amalan maksiat mereka.

Biasalah, setiap perkara yang baik, pasti ada pengikut, dan pasti juga akan ada penentang. Perkara buruk pun sama, pasti ada penyokong, dan pasti ada lawannya. Setiap zaman, perwatakan manusia adalah serupa dalam menilai kebenaran dan kebathilan. Ada yang memilih kebenaran, ada yang suka berterusan dalam kebathilan.

Jadi apabila demikian, maka kita mempunyai pilihan untuk bersama-sama kebenaran ataupun kebathilan. Manusia dari dulu, kini dan selamanya ada berdepan dengan dua pilihan ini. Kebenaran atau kebathilan. Kebaikan atau kejahatan. Pilihlah mahu ikut yang mana. ALLAH memberi akal fikiran kepada kita supaya berfikir dengan waras. Nikmat akal sangat tinggi nilainya, yang tidak diberi kepada makhluk selain manusia. Apabila manusia tidak menggunakan akal dengan baik dalam memilih kebenaran atau kebathilan, maka ALLAH sudah pun menyediakan Syurga untuk mereka yang menerima serta akur dengan kebenaran, dan Neraka kepada mereka yang berdegil untuk terus bergelumang dengan kebathilan.

Jadi, kepada perokok kategori pertama, tahniah jika anda serta merta akur dengan kebenaran. Besar pengorbanan anda yang sudah sekian lama merokok, berhenti tiba-tiba semata-mata kerana ALLAH. ALLAH jua yang memberi ganjaran kepada anda.

Bagi perokok kategori kedua dan ketiga, anda perlu fahami bahawa merokok adalah haram dan berdosa. Haram hukumnya telah banyak diperkatakan. Haram kerana memusnahkan diri, haram kerana menyumbang kepada dana Israel yang membunuh umat Islam Palestin dan haram kerana menyerupai kaum kafir. Berdosa merokok adalah dosa berantai. Merokok adalah haram, dan melakukan perkara haram adalah berdosa. Merokok akan merosakkan diri. Meroko juga merosakkan orang lain – bermaksud kita berdosa dengan orang lain kerana membahayakan kesihatan mereka. Ketahuilah dosa kepada manusia tidak akan diampun oleh ALLAH sehingga individu yang terlibat memaafkannya.

Merokok depan khalayak, terutama di hadapan anak remaja, membuatkan mereka terpengaruh dan meniru cara hidup merokok, bermakna anda telah melabur dalam multi level dosa. Dosa berangkai ini lebih sukar untuk dihapuskan, kerana sekiranya anda berhenti merokok sekalipun, rangkaian perokok yang lahir daripada meniru sikap merokok anda akan terus berkembang, dan saham dosanya terus memberi point kepada anda. Berhentilah, dan bertaubatlah daripada merokok. Hapuskan dosa anda dengan menjadi pembasmi amalan merokok dalam masyarakat, mudah-mudahan ALLAH menerima taubat anda.

Kepada pejuang Islam, golongan ustaz, muallim, golongan pembawa obor Islam, golongan yang membawa imej Islam, yang masih merokok, awaslah! Anda menjadi contoh kepada mad’u dan orang ramai. Peluang anda untuk mendapat downline sangat besar. Ingatlah, pada hari Hisab nanti bagaimanakah keadaan anda? Jangan menjadi orang yang menyesal di kemudian hari.

Mari kita baca sedikit mengenai fakta bahaya rokok serta dosa merokok.

Pengenalan

Tembakau yang menjadi bahan utama dalam rokok, telah diperkenalkan secara menyeluruh, termasuk ke dunia Islam, oleh penjajah Barat yang beragama Kristian, dan ianya belum pernah dikenali di zaman Nabi Muhammad s.a.w. Di kalangan masyarakat beratus tahun terdahulu, tembakau dihisap bukan sahaja untuk bersukaria tetapi sebagai satu acara dalam upacara kebudayaan dan keagamaan. Pada umumnya umat Islam tidak merokok melainkan kerana terpenggaruh kepada orang Barat yang menjajah mereka.

Hari ini, merokok adalah suatu kebiasaan yang diterima secara meluas dalam masyarakat kita, sehingga kadangkala ia dipandang sebagai satu norma yang membanggakan. Anggapan palsu ini terhasil apabila golongan yang mudah terpedaya dengan budaya asing, terutamanya yg dipaparkan melalui media massa, ingin pula bergaya demi mencapai status kecanggihan serta keunggulan yang kononnya dikaitkan dengan merokok. Malah tabiat suka meniru dan menyeleweng dari jalan yang benar adalah sesuatu yang kian menguasai anak-anak kaum Muslimin di zaman ini.

Hadith Rasullullah s.a.w. :

1. “Bezakan diri mu dari kaum Musyrikin” ( Al-Bukhari & Muslim)

2. “Bukan dari golongan kita, siapa yang menyerupai orang yang bukan dari kita. Jangan mengikut-ikut kaum Yahudi dan Nashrani” (At-Termidzi)

3. “Barangsiapa yang meyerupai sesuatu kaum, maka dia terkira dari golongan itu” (Abu Daud)

Kandungan Berbahaya Dalam Rokok (Fakta)

Setiap batang rokok yang dinyalakan akan mengeluarkan lebih 4 000 bahan kimia beracun yang membahayakan dan boleh membawa maut. Dengan ini setiap sedutan itu menyerupai satu sedutan maut. Di antara kandungan asap rokok termasuklah bahan radioaktif (polonium-201) dan bahan-bahan yang digunakan di dalam cat (acetone), pencuci lantai (ammonia), ubat gegat (naphthalene), racun serangga (DDT), racun anai-anai (arsenic), gas beracun (hydrogen cyanide) yang digunakan di “kamar gas maut” bagi pesalah yang menjalani hukuman mati, dan banyak lagi. Bagaimanapun, racun paling penting adalah Tar, Nikotin dan Karbon Monoksida.


Tar mengandungi sekurang-kurangnya 43 bahan kimia yang diketahui menjadi penyebab kanser (karsinogen). Bahan seperti benzopyrene iaitu sejenis policyclic aromatic hydrocarbon (PAH) telah lama disahkan sebagai agen yang memulakan proses kejadian kanser.

Nikotin, seperti najis dadah heroin, amfetamin dan kokain, bertindak balas di dalam otak dan mempunyai kesan kepada sistem mesolimbik yang menjadi punca utama penagihan. Sindrom ketagihan terhadap nikotin yang ditunjukkan dengan gejala gian, tolerans dan tarikan, adalah mungkin lebih hebat berbanding najis dadah. Malah daripada kajian saintifiknya nikotin itu juga sejenis najis dadah, sepertimana yang telah diiktiraf oleh dunia perubatan. Seseorang yang kehabisan rokok kadangkala berkelakuan seperti mengalami gangguan akal dan dalam keadaan yang amat tertekan sekali. Oleh itu terlalu sukar untuk sesiapa yang telah terjerat dengan ketagihan merokok, meninggalkan tabiat itu untuk selamanya, kecuali dengan ikhtiar yang serius dan kehendak Allah jua.

Nikotin turut menjadi punca utama risiko serangan penyakit jantung dan strok. Hampir satu perempat mangsa pesakit jantung adalah hasil punca dari tabiat merokok. Di Malaysia, sakit jantung merupakan menyebab utama kematian sementara strok adalah pembunuh yang keempat.

Karbon Monoksida pula adalah gas beracun yang biasanya dikeluarkan oleh ekzos kenderaan. Gas ini menjejaskan bekalkan oksigen ke tisu-tisu hingga ianya menjadi terencat dan akhirnya boleh menyebabkan maut sekiranya paras karbon monoksida di dalam badan melebihi 60%.

Apabila racun rokok itu memasuki tubuh manusia ataupun haiwan, ianya akan membawa kerosakkan pada setiap organ disepanjang laluannya, iaitu bermula dari hidung, mulut, tekak, saluran pernafasan, paru-paru, saluran penghazaman, saluran darah, jantung, organ pembiakan, sehinggalah ke saluran kencing dan pundi kencing, iaitu apabila sebahagian dari racun-racun itu dikeluarkan dari badan.

Kesan Asap Rokok Kepada Si Perokok Dan Orang Disekeliling

Si perokok bukan sahaja perlu bertanggungjawab pada diri sendiri tetapi turut bertanggung jawab pada orang disekeliling akibat daripada bahaya asap rokok. Asap rokok yang dihidu oleh perokok atau mereka yang berada di sekelilingnya, akan memasuki rongga mulut dan hidung melalui kerongkong ke paru-paru. Kandungan asap rokok akan menyebabkan kerosakan tisu di sepanjang perjalanan di ruang ini. Ia boleh menyebabkan pelbagai penyakit di mulut, kerongkong, paru-paru dan barah. Asap akan melalui saluran pernafasan ke dalam paru-paru dan merosakkan saluran bronkus, menyebabkan bronkitis, penyakit di bahagian paru paru. Ia juga akan merosakkan pundi udara dalam paru-paru (alveoli) dan menyebabkan penyakit emfisima.

Asap rokok yang dihidu juga akan melalui saluran penghadaman dan pencernaan, yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit di bahagian esofagus, perut dan pankreas.

Racun dalam asap rokok yang larut air akan memasuki sistem saluran darah dan dibawa ke seluruh badan. Bahan nikotin, bukan saja memberi sifat ketagihan, malah menyebabkan saluran darah arteri menjadi sempit. Ia juga merosakkan dinding arteri dan akan memudaratkan organ berkaitan.

Kesan ini, dalam jangka panjang, akan menyebabkan simptom kebas pada kaki, jari, migrain, sakit kepala, pedih ulu hati, kekejangan otot kaki, serangan penyakit jantung dan sebagainya.

Racun rokok akhirnya disaring dalam buah pinggang dan dihapuskan dari badan melalui air kencing. Dalam proses ini pula, berlaku satu lagi keracunan hasil penguraian kimia asap rokok yang turut merosakkan buah pinggang. Racun dalam air kencing juga menyebabkan kerosakan pundi kencing.

Racun akibat merokok juga mempunyai kesan tindak balas terhadap ubat-ubatan. Secara umum diketahui merokok boleh menjejaskan fungsi beberapa kumpulan enzim di hati dan ada kalanya ia boleh memperhebatkan kesan sampingan sesuatu ubat itu.
Kesan Asap Rokok Terhadap Isteri Perokok Adalah :
– Melahirkan bayi yang kurang berat badan
– Melahirkan bayi yang tidak cukup bulan
– Lebih terdedah kepada kanser
– Mengurangkan kesuburan dan putus haid awal
Kesan Asap Rokok Terhadap Anak Perokok :
– Lebih mudah mendapat lelah
– Mendapat jangkitan paru-paru
– Pertumbuhan paru-paru kanak-kanak terganggu
– Mudah menjadi perokok apabila dewasa kelak

Statistik Kematian Akibat Tabiat Merokok

Di Malaysia, merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kematian setahun; 30 peratus daripadanya disebabkan 10 jenis kanser, iaitu paru-paru, mulut, esofagus, tekak, pankreas, pundi kencing, buah pinggang, serviks, kolon dan perut, 50 peratus kematian berpunca daripada sakit jantung dan strok dengan pecahan 25 peratus masing-masing.

Menurut Dr Sallehudin, lebih 100,000 perokok dimasukkan ke hospital kerajaan di seluruh negara akibat sakit jantung, kanser dan penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD) dan lebih penting, negara mengalami kerugian kira-kira RM20 bilion setahun bagi menanggung kos rawatan dan kehilangan produktiviti.

Faedah Berhenti Merokok
– Hidup lebih lama
– Dapat menghindari racun
– Dapat melindungi diri, keluarga dan orang lain daripada bahaya merokok
– Menjadi teladan yang baik kepada anak-anak
– Dapat meningkatkan kecergasan serta memiliki tubuh yang sihat
– Meningkatkan deria rasa dan bau
– Gigi lebih putih dan nafas lebih segar
– Dapat mengelakkan budaya membazir dengan menggunakan wang untuk membeli rokok kepada tujuan yang lebih baik dan bermanfaat.

Gunakan Kaedah Yang Betul Untuk Berhenti Merokok
– Tetapkan tarikh untuk berhenti merokok
– Yakinkan diri
– Buat nota peringatan
– Katakan pada diri anda, “Aku bukan perokok”
– Tumpukan pada hari ini
– Sentiasa berfikiran positif
– Dapatkan sokongan
– Lawan keinginan untuk merokok
– Gunakan Terapi atau rawatan yang sesuai
– Amalkan Petua 10 M untuk berhenti merokok

Rawatan Untuk Berhenti Merokok

Vibration Liquid Chlorophyll (Minuman Klorofil Alfalfa)
Membantu menyingkirkan segala racun dan toksik di dalam tubuh akibat kandungan rokok yang merbahaya. Sangat baik diamalkan seisi keluarga.

“Setiap Sedutan, Membawa Padah”

Sumber
– Pusat Racun Negara, USM Official Website
– Kementerian Kesihatan Malaysia Official Website
– Institut Kefahaman Islam Malaysia Official Website – IKIM Dalam Media – Berita Harian

WaLLAHu a’lam

Hindarilah UMNO, kembalilah kepada Islam!

Sembang pasal politik lagi…

Masih pasal Umno.

Umno baru saja dapat saf kepimpinan baru. Pelbagai reaksi lapisan masyarakat terhadap kepimpinan baru Umno ini. Bagi juak-juak pengampu, biasalah, mereka akan memuja-muji kepimpinan baru ini. Bagi yang meluat dengan Umno, pelbagai reaksi negatif pula diutarakan. Walaubagaimanapun, identiti rasuah dalam Umno tidak dapat dipadamkan. Malah juak-juak pengampu juga tidak dapat menafikan betapa parahnya penyakit Umno ini. Sehinggalah sampai kepada pemimpin pun, dilantik dari kalangan perasuah. Inilah akibatnya, apabila fahaman nasionalisme dianuti oleh mereka.

Fahaman kebangsaan, nasionalisme dan sekularisme yang menjadi ideologi Umno ini akan terus merosakkan Umno. Fahaman-fahaman yang menyimpang dari ajaran Islam ini akan bertindak seperti virus HIV yang membawa penyakit AIDS (yang berupa rasuah, salahguna kuasa, menindas, rasis, dll). Penganut-penganut fahaman sesat ini akan hilang daya tahan terhadap penyakit-penyakit aqidah, akhlak dan sosial. Sifat amanah, bijaksana, teguh pendirian dan seumpamanya akan dimamah oleh fahaman sesat yang didokongi mereka ini.

Apa ada pada Melayu? Apa untungnya membicarakan ketuanan Melayu, kerana ketuanan Melayu akan membuatkan bangsa-bangsa lain tertindas dan iri hati. Orang lain akan menyimpan perasaan dendam dan tidak puas hati. Maka akan wujudkah keharmonian dalam bermasyarakat? Kerana itulah sehingga hari ini, perpaduan kaum yang diwar-warkan hanya gimik semata-mata. Perpaduan Umno,MCA,MIC dalam BN hanya satu perhubungan rapuh yang akan berkecai bila-bila masa.

Kita lihat fahaman Zionisme. Zionisme adalah satu fahaman sekularisme, nasionalisme dan rasis. Golongan Zionisme ini boleh juga diterjemah perjuangan mereka kepada “Ketuanan Yahudi”. Ya, Zionis adalah pertubuhan yang mahu melihat Ketuanan Yahudi terjaga dalam politik dunia. Lihatlah siapa yang menjadi korban kepada Ketuanan Yahudi ini? Fahaman sesat mereka telah membutakan hati mereka terhadap sifat perikemanusiaan. Barah fahaman sesat ini mematikan sifat kasih sayang kepada manusia lain yang bukan Yahudi.

Ketuanan Melayu? Ketuanan Melayu juga sedang dan akan terus menindas. Ada pihak yang akan marah apabila mengatakan Ketuanan Melayu Umno sama dengan Ketuanan Yahudi Zionis. Ya, ketuanan Melayu Umno lebih baik dari Zionisme. Lebih mulia dari zionisme. Tetapi perbezaan Umno dengan Zionis hanyalah sedikit. Disebabkan Zionis itu dari kalangan Yahudi, gerakan penindasan mereka lebih cerdik dan berkesan, manakala Umno pula dari kalangan Melayu yang lemah minda dan kurang cerdas. Sebab itu kezaliman Umno masih tidak mencapai tahap kejahatan Zionis. Tetapi, falsafahnya sama. Menindas, dan menzalimi. Yahudi membenarkan riba jika riba itu melibatkan orang bukan Yahudi, tetapi bagi mereka haram riba sesama Yahudi. Itu langkah penindasan yang bijak. Manakala Umno, semua sapu. Tidak bijak sebab dengan orang Melayu sendiri pun tertindas.

Dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) kali ini, agenda ketuanan Melayu masih tidak sunyi diperkatakan. Sudah berpuluh tahun, ketuanan Melayu menjadi rukun dalam PAU. Apabila menjadi rukun, maka PAU tidak sah jika idak menyebut agenda ketuanan Melayu. Ditambah pula sunat muakkad menjulang keris tanda membela ketuanan Melayu. Entah bagaimana mereka berfikir. Mentaliti dulu, kini selamanya masih tidak berubah walaupun arus dunia sudah jauh meninggalkan mereka.

Dalam era kebangkitan Islam diserata dunia, masih ada dalam kalangan umat Islam sendiri yang menjadi penghalang dan penentang kepada kebangkitan Islam. Kerana tidak faham dan jiwa yang dilemahkan virus sekularisme dan nasionalisme, umat Melayu Umno terbabit dalam percaturan musuh Islam untuk menghalang kebangkitan Islam. Kita umat Islam, ketuanan Islam adalah yang kita mahukan. Ketuanan Islam bebas dari fahaman rasis, bebas nasionalis, bebas sekularis, bebas dari penindasan dan segala kebaikan terhimpun dalam Islam. Semua pihak terbela.

Umat manusia seluruhnya mengakui kesempurnaan Islam dan kemuliaan Islam. Jika kita menolak Islam, jika kita ragu-ragu dengan Islam, jika kita menbenci Islam, bermakna kita membenci kemuliaan. Kita menafi hak diri kita untuk memperoleh kesempurnaan Islam. Tiada orang yang menolak kemuliaan, melainkan orang-orang yang dihina oleh ALLAH. Maka marilah kita sama-sama jauhkan diri daripada mendapat penghinaan dari ALLAH. Tidak akan sekali-kali hina sekiranya kita dimuliakan oleh ALLAH, sekalipun seluruh manusia menghina kita. Dan sekali-kali tidak akan mulia kepada sesiapa yang dihina oleh ALLAH, sekalipun seluruh manusia menjulangnya!

WaLLAHU a’lam

Laknat ALLAH kepada perasuah dan konco-konconya

Akhbar hari ini, pasti cerita sensasinya mengenai kemenangan Khairy, Shahrizat dan Rosnah dalam pemilihan Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan Ketua Puteri UMNO. Rosnah aku tak reti nak ulas. Ntah siapa dia…
Khairy dan Shahrizat agak famous.
Khairy sebelum ini terkenal dengan suara lantangnya me’beruk’kan para demonstran BERSIH tempohari. Khairy juga beberapa hari sebelum merasai kemenangan ini pernah diberi amaran oleh Lembaga Disiplin kerana terbabit rasuah. Memang famous lah memantu Pak Lah ni. Jadi, Pemudah UMNO sudah bertukar ketua. Ketua yang terpalit tahi rasuah, ketua yang petah berhujah, ketua yang agak radikal, ganas dan samseng lagaknya. Maka Dewan Pemuda Parti Islam perlu bersedia dengan strategi baru untuk berdepan dengan Ketua Pemuda UMNO yang baru ini.

Kalau dulu Hishamuddin dikatakan lemah sebagai Ketua Pemuda walaupun berkali-kali menjulang keris, parti Islam meletakkan YB Salahuddin berdepan dengannya. Secara generalnya, YB Salahuddin telah dilihat kuat dan bertenaga dari segi semangat dan intelektualnya untuk berdepan dengan Hishamuddin. Kali ini taktikalnya perlu difikir semula kerana Khairy menjadi kepala Pemuda UMNO. Tidak lama lagi YB Salahuddin akan mengundur diri dari memegang jawatan Ketua Dewan Pemuda. Jadi dalam mukhtamar pemilihan terdekat ini, Parti Islam perlu mempertaruh satu figure yang kuat untuk menghadapi tipu helah dan kelicikan Khairy. Para perwakilan perlu bersedia ke arah mencorakkan politik negara dengan lebih berkesan dan tidak mudah dibuahcaturkan oleh Khairy dan juak-juaknya.
Shahrizat pun menang mengalahkan bekas bosnya Rafidah. Ketua Dewan Muslimat juga perlu mampu membaca strategi baru Wanita UMNO. Shahrizat sebelum ini pernah cuba mengadakan hubungan baik dengan Dewan Muslimat parti Islam, dilihat lebih terbuka pendekatannya berbanding Rafidah. Samada mengekalkan Ketua Dewan Muslimat atau melantik baru, sayap kiri parti Islam ini perlu terus mara ke hadapan dengan strategi yang lebih berkesan.

Abaikan mereka ini sebentar.
Kita renung sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi yang bermaksud :

“ Penerima dan pemberi rasuah akan ditempat dalam api neraka”

Perbuatan ini juga dikutuk dengan kerasnya oleh Allah SWT sebagaimana dinyatakan dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Ahmad yang bermaksud :

ALLAH SWT melaknat orang yang memberi rasuah dan penerima rasuah serta orang yang memberikan jalan terhadap kedua-duanya”.

Berdasarkan dalil-dalil di atas jelas membuktikan Islam melarang perbuatan keji ini. Kutukan itu bukan sahaja terbatas kepada penerima malah pemberi dan sesiapa juga yang bersubahat melicinkan kegiatan rasuah ini. Rujuk sini.

Siapa yang bersubahat? Tengok gambar Khairy dijulang. Orang-orang yang menjulang Khairy itulah antara yang bersubahat. Khairy perasuah. Mungkin ada perwakilan yang mengundi Khairy menerima rasuah. Dan orang-orang yang menjulang Khairy adalah antara yang bersubahat dengan rasuah. Lembaga Disiplin UMNO, SPRM dan suku sakatnya, juga bersubahat. Ezam? Jawab sendiri. Maka semua yang terbabit dengan rasuah adalah dilaknat ALLAH. Sudah jelas, Khairy perasuah (diberi amaran oleh Lembaga Disiplin UMNO – lembaga paling telus atas muka bumi dalam menghukum orang UMNO). Jadi, Pemuda UMNO menjadi sayap yang dilaknat ALLAH. Maka janganlah kita menghampiri pemuda UMNO kerana bimbang laknat ALLAH terpalit ke atas kita tanpa kita sedari.

WaLLAHU a’lam

Harakah – Suara KeAdilan : Mahathirisme kembali?

Akhbar Pas, PKR digantung tiga bulan

PUTRAJAYA 23 Mac – Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menggantung permit penerbitan Harakah dan Suara Keadilan selama tiga bulan berkuat kuasa serta-merta.

Menterinya, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, tindakan itu diambil kerana dua akhbar pembangkang itu didapati menyiarkan artikel-artikel berbaur fitnah, mengelirukan serta boleh mengancam ketenteraman dan memecahbelahkan masyarakat.

Difahamkan, surat penggantungan Harakah dialamatkan kepada Setiausaha Agung Pas, Datuk Kamaruddin Jaffar manakala surat untuk Suara Keadilan ditujukan kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail.

“KDN mendapati Harakah dan Suara Keadilan banyak mengeluarkan artikel-artikel menyentuh perkara-perkara yang memutarbelitkan fakta, menghasut, mengandungi tuduhan liar dan tidak berasas,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia petang ini – UtusanOnline

Wah… macam tu saja kena gantung? Mudahnya!

Suka-suka hati saja gantung, tanpa ada siasatan artikel mana yang berbaur fitnah dan mengelirukan. Artikel mana pula yang memecah-belahkan masyarakat? Keganasan terhadap media lawan Umno/BN bermula kembali dengan aksi yang lebih ganas. Kalau dahulu, pengeluaran Harakah daripada dua kali seminggu, dihadkan kepada dua kali sebulan pada era Dr Mahathir, sebelum dibenarkan pengeluaran dua kali seminggu semula pada zaman Abdullah Badawi.

Tiba-tiba penggantungan mengejut daripada KDN menggantung Harakah dan Suara Keadilan selama tiga bulan dilakukan berkuatkuasa serta merta. Apakah era Mahathirisme akan kembali mewarnai politik negara apabila Najib menjadi PM kelak, malah dalam bentuk yang lebih agresif?
YB Azmin Ali memberitahu dalam ceramah ringkasnya sempena pengumuman calon Parti Islam di Bukit Gantang, bahawa Suara KeAdilan akan tetap dicetak untuk diedarkan sekalipun sudah digantung. Dalam program tersebut, YAB Dato Seri Ir Hj Nizar diumumkan sebagai calon parti Islam sebagai calon PR untuk Parlimen Bukit Gantang.

Kalau era Mahathirisme kembali, kita akan lihat satu persatu kelicikan dan kezaliman lagenda Dr mahathir akan berulang dalam bentuk yang lebih ganas. Kebebasan media akan kembali dipenjara, Operasi Lalang Mega mungkin akan berlaku, ISA akan makan besar lagi. Paling dahsyat, mungkin Tragedi Memali akan berulang. Di mana, kita tunggu dan lihat. Siapa yang akan mengikut jejak langkah As-Syahid Ust Ibrahim Libya, kita akan saksikan. Paling tidak, kita berazam untuk turut syahid bersama-sama dengannya, seperti mana para pengikut As-Syahid gugur bersama beliau.

Tazkirah Rafidah Aziz

Politik wang akan hancurkan UMNO dan negara – Rafidah [Utusan Online]

KUANTAN 22 Mac – “Sekiranya kita undi orang berdasarkan berapa habuan yang kita dapat, akan hancurlah parti, hancurlah negara kerana UMNO itu tulang belakang BN dan BN adalah kerajaan yang mentadbir negara.”

Demikian kata Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz berhubung politik wang dalam UMNO.

Malah katanya, amalan tidak bermoral itu yang berleluasa dalam UMNO akan hanya menjauhkan generasi muda daripada parti itu yang akhirnya akan merugikan UMNO.

“Anak-anak muda akan mengambil sikap berkecuali padahal kita boleh menggunakan kebijaksanaan dan kemahiran mereka. Tetapi kerana tidak mampu untuk membayar dalam pertandingan, mereka tidak mendapat tempat dan yang ruginya adalah kita sendiri.

…..

Beliau turut meminta ahli UMNO menghormati dan mematuhi keputusan Lembaga Disiplin parti yang bertindak mengenakan tindakan berdasarkan tatacara sedia ada.

Menurutnya, gejala politik wang termasuk dalam pergerakan Wanita UMNO akan hanya menghancurkan UMNO yang menjadi tulang belakang parti Barisan Nasional (BN) yang menerajui kerajaan.

“Jadi, lama kelamaan kalau politik wang menjadi budaya di negara ini, maka masa depan pemimpin Melayu akan pudar. Kita akan hanya dapat pemimpin yang kaya raya kerana ada duit dan ditaja oleh orang tertentu kerana hendakkan sesuatu,” ujarnya. Baca lagi…

Rafidah memberi tazkirah kepada ahli… jangan amal rasuah. Nanti kena tangkap dengan Lembaga Disiplin. Bagi UMNO rasuah adalah kesalahan untuk orang biasa, tetapi bagi pemimpin UMNO, amalan rasuah menjadi ‘mulia’ sedikit apabila perkataan rasuah ditukar menjadi ‘politik wang’. Sebab itulah kes rasuah mereka diambil tindakan oleh Lembaga Disiplin, satu Lembaga yang buta dosa pahala. Sedangkan rakyat Malaysia yang lain dikenakan tindakan oleh SPRM. Double standard sebegini sudah pun lama diperkatakan. Tetapi ahli-ahli RM50 UMNO tetap bersama-sama dengan UMNO.

Rasuah itu haram. Duit rasuah itu haram. Jika rasuah itu RM10 juta, RM 10 juta itu haram. Dan jika rasuah itu 10 sen, 10 sen itu juga haram. Menggunakan duit hasil rasuah, menjamu anak isteri dengan wang rasuah, adalah langkah menempah neraka menggunakan pakej keluarga.

Tindakan Lembaga Disiplin menunjukkan Ali Rustam adalah seorang perasuah. Ingatlah Ali Rustam, walaupun engkau terlepas daripada SPRM, engkau tidak akan terlepas daripada tindakan/pembalasan ALLAH kelak. Ketika itu tidak berguna lagi engkau menyesal. Menyesallah sekarang dan bertaubatlah sementara pintu taubat masih luas terbuka. Kasihanilah anak isterimu, kau keluargamu, yang sudah berpuluh tahun engkau jamu mereka makan dengan hasil rasuah mu. Mahukah engkau melihat mereka dibakar dalam api yang menjulang? Sedarlah Ali, engkau bukannya akan hidup selama-lamanya. Di akhirat nanti, bukan Lembaga Disiplin yang akan mengadili engkau. Adakah engkau faham?

Buat Rafidah, you juga perasuah, tapi you belum kena tangkap, dan mungkin takkan tertangkap di dunia ini. Tetapi di akhirat nanti, kami semua rakyat Malaysia akan tengok you akan diheret ke dalam neraka sekiranya you tidak bertaubat. Jangan berlagak seperti you tidak bersalah dalam rasuah yang dimuliakan menjadi politik wang itu. Insaflah. You sudah bertaraf nenek, bermakna you dah tak lama nak baring dalam liang lahad sorang-sorang. Masa tu you dah tak boleh nak merasuah sesiapa lagi untuk membantu you. Dua malaikat yang datang kepada you tidak akan sekali-kali akan berjaya dirasuah oleh you. Ingatlah, umur you yang disubsidi sekarang adalah peluang yang ALLAH beri untuk you bertaubat. You tak sedarkah? Orang macam you ni memang degil laa….

Confirm Ali dan Rafidah tak baca blog ni. So tak sampailah kepada mereka mesej ini. Tapi kita semua boleh ambil iktibar…

WaLLAHU a’lam.

Webmaster Short Course 2009 : Tahniah!

Tahniah PMIUSMKKj kerana berjaya menganjurkan program Webmaster Short Course (WSC 09). Program ini memberi suatu ilmu yang berguna kepada para peserta, iaitu ilmu membuat web menggunakan perisian CMS Joomla!


Kuliyah dan tunjuk ajar disampaikan oleh Ustaz Azwadi bin Sulaiman, pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Bahan) yang kini menyambung pengajiannya ke peringkat Sarjana di Pusat pengajian yang sama, Bahan dan Sumber Mineral.

Letih buat ayat formal… Program ini dihadiri oleh hampir 40 peserta dari pelbagai negeri dan pusat pengajian. Ustaz Azwadi menyampaikan kuliyah dan tunjuk ajarnya bermula dari mendapatkan web hosting, web setting, CMS installation (Joomla!) dan sedikit cara mengendalikan perisian CMS Joomla! tersebut.

Kursus setengah hari itu diadakan di perpustakaan USM KKj yang serba canggih. Kursus ini sangat berguna kepada para peserta yang rata-ratanya adalah pelajar kejuruteraan di USM. Jadi memang bagus lah. Malah kepakaran Ustaz Azwadi dalam bidang ini tidak pupus tanpa diwariskan setelah beliau tamat pengajian master di sini.

Gaya seorang sifu

Peserta ini tekun sekali mendalami ilmu web

Program berjalan lancar walaupun beberapa orang yang tidak diundang turut masuk mengkucar-kacirkan beberapa peserta dengan ajaran-ajaran songsang, kurang selari dengan apa yang ustaz Azwadi ajarkan. Minta maaf…

Salah seorang mangsanya adalah Malik…

Untuk koleksi gambar, sila ke © The Mhakk Studio

USM Apex, ada sesuatu yang kita kena fikir…

Suatu malam, lepas solat Isyak, aku dan sahabatku Azwadi, berbual-bual dengan Ustaz Yusof. Dalam banyak-banyak topik perbualan, aku suka kepada fokus universiti Apex yang diutarakan oleh ustaz. Menurutnya, title universiti Apex ini terlalu tergesa-gesa untuk diperoleh, dan akan mengakibatkan banyak perkara akan terlepas pandang. Sebelum ini aku pernah terfikir, tidakkah perlaksanaan program Apex untuk seluruh USM terlalu drastik dan bagaimana kemampuan semua warga dan fasilitinya. Tentu sekali memerlukan satu mujahadah dan kerja yang amat keras untuk memperolehinya.
Sembang-sembang dengan ustaz malam itu agak selari dengan apa yang aku fikirkan. Aku banyak mendengar input dari ustaz yang juga merupakan staff USM yang terlibat secara langsung dalam program Apex ini. Idea-idea aku diperkuat oleh hujah-hujah yang ustaz kemukakan dalam sembang-sembang kami. Walaupun ia hanya sembang-sembang, tetapi ada inputnya. Program Apex adalah sangat tergesa-gesa, walaupun kita nampak banyak kebaikan yang kita akan peroleh. Kita bukan sahaja akan gah pada nama semata-mata tetapi dalam pelbagai sudut dari kacamata ketamadunan. Akan tetapi, kecemerlangan yang akan kita peroleh yang harapannya sangat gemilang ini, mungkin kita akan kehilangan sesuatu yang lebih besar. Kebimbangan ini dicetuskan oleh ustaz Yusof.

Beliau memberi contoh kemajuan tamadun Islam di Cordova, yang pernah menjadi ibu segala pusat keilmuan dunia, akhirnya sekarang hilang dari peta dunia. Zaman kegemilangan Cordova itu telah melahirkan pelbagai tokoh Islam yang kita ketahui, seperti Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, dan sebagainya. Kegemilangan ilmu dan keilmuan sangat tinggi ketika itu. Tetapi bagaimanakah kegemilangan Cordova itu tidak dapat dipertahankan sedangkan zaman itu adalah zaman keemasan kepada ketamadunan ilmu. Apakah keghairahan mengejar ilmu sehingga mereka sampai ke tahap taksub kepada kehebatan ilmu sehingga lupa kepada perkara basic yang sepatutnya diperkukuh? Itu aku tidak mahu komen. Ustaz juga meninggalkan tanda soal di situ untuk kita sama-sama berfikir.

Lihat pula dalam isu universiti Apex ini. Kita seperti terkejar-kejar dengan status Apex, yang seolah-olah mahukan perubahan mendadak dalam kemajuan USM ke arah 100 universiti terbaik dunia. Ya, kita mungkin akan dapat status antara 100 universiti terbaik dunia, tetapi pernahkah kita terfikir kesan sampingan yang boleh membuatkan kita hilang sesuatu yang lebih besar? Walaupun ada orang kata, tak perlulah terlalu memikirkan kesan negatif, sebaliknya bekerjasama dengan sistem yang sedang bergerak ke arah matlamat itu dengan fikiran yang positif, tetapi tidak salah untuk kita letakkan kebimbangan-kebimbangan tertentu sebagai muhasabah.

Apa yang kita mungkin akan hilang? Tamadun Cordova suatu ketika dahulu tidak pernah terfikir mereka akan lenyap dari peta dunia – hanya tinggal sejarah. Mereka mungkin tidak pernah meletakkan kebimbangan-kebimbangan tertentu yang memberi kesan buruk kepada tamadun tersebut kerana beranggapan ketamadunan yang sangat tinggi yang mereka capai ini adalah sukar diruntuhkan. Akhirnya mereka kehilangan permata yang mereka bina. Ketamadunan ilmu mereka diambil oleh pihak Barat yang akhirnya berjaya membangunkan tamadun Barat.

Kita lihat USM Apex, beberapa tanda yang kita perlu lihat sebagai kebimbangan yang boleh menjadikan kita berputih mata kelak walaupun USM sudah bergelar universiti antara 100 terbaik dunia. Lihatlah hari ini, siapakah yang mendominasi kecemerlangan akademik dalam USM? Kita tahu jawapannya. Ada pihak yang berbangga bahawa para pensyarah, penyelidik, dan sebagainya, semuanya ‘orang kita’, tetapi dalam jangka panjang, siapa boleh jangka? Perhatikanlah para penyelidik yang hebat-hebat, siapakah yang menjadi pelajar PhD-nya, pelajar Master-nya dan orang-orang sekelilingnya. Jadi bagaimana masa depan umat Islam dalam USM? Apakah ini petanda awal kita akan berputih mata kelak sedangkan pihak kerajaan dan pentadbiran kita hanya mengejar nama Apex semata-mata? (Maaf jika tidak berkaitan)

Kita bersyukur, USM terpilih sebagai Universiti Apex. Kita punya persediaaan ekonomi untuk ke arah itu. Apabila punya peruntukan ekonomi yang baik, fasiliti yang baik akan dapat direalisasi. Tetapi bagaimana dengan persediaan insani? Adakah semua warga USM ini akan berubah mentalitinya secara mendadak daripada bergerak secara constant speed kepada accelerated speed? Ustaz Yusof memberi anologi seperti pokok asam yang buahnya dikehendaki manis. Maka pokok itu akan dipaksa dengan pelbagai baja dan ramuan, akhirnya pokok asam itu akan berbuah manis. Berjaya dari sudut itu. Tetapi apabila benihnya ditanam semula, hasilnya akan kembali menjadi buah asam yang masam jua sifatnya. Begitu jua USM. Pasti akan ada sesuatu yang tidak kena kelak jika kegemilangan dicapai sebelum masa matangnya.

Aku berkesimpulan bahawa kita tidak menghalang program Apex dan merendah-rendah status Apex kepada USM. Tetapi setiap pandangan ada nilainya tersendiri. Dalam mengejar Apex, perlu wujud satu force yang besar untuk memperkukuh basic, supaya kita terselamat daripada kesan negatif disebalik kejayaan USM Apex nanti. Team untuk menjaga basic perlu sehebat team yang bergerak ke arah Apex. Barulah peristiwa jatuhnya kegemilangan Cordova dapat dielakkan daripada terjadi kepada USM yang kita cintai. Belajar daripada sejarah bukanlah hanya dengan mengetahui bila, di mana dan siapa, tetapi ambillah iktibar , ‘ibrah dan renungi corak pemikiran pelaku-pelaku sejarah ketika itu. Kita sudah digazet sebagai universiti Apex, maka tiada alasan untuk kita mundur kebelakang semula. Perjuangan mesti diteruskan.

Apa perkara basic yang kita perlu perkuatkan? Aku serah kepada kalian untuk terjemahkan apa itu basic..

Mungkin orang lain ada komen berbeza, silakan….