Burung itu sakitkah…?

Seekor burung terbang keriangan. Burung itu meluncur laju di ruang udara. Burung itu bebas ke sini dan sana mengikut kemahuannya. Burung itu bebas melakukan aktiviti rutinnya…. kerana burung itu sihat segala anggotanya.
Malang sekali apabila penyakit-penyakit mula menular. Selsema kiri dan kanan memburunya. Anggota-anggota badannya sakit-sakit. Organ-organnya tidak keruan. Tubuhnya menjadi lemah dan tidak bermaya. Terseliuh pula kepak kanannya. Ia tidak lagi mampu terbang bebas. Ia tidak mampu melakukan aktiviti rutinnya sekalipun ligat dalam kepalanya merancang untuk itu dan ini.
Burung itu lemah dek kerana organ-organ dalamannya tidak keruan. Masing-masing tidak sehaluan. Masing-masing mahu buat kerja sendiri tanpa mahu synchronize dengan rakan-rakan organ lain. Ukhuwwah organ-organ lemah sekali. Sekali pandang, susunan organ nampak cantik. Bila diteropong, baru nampak kecelaruan. Padanlah tubuh si burung itu lemah tidak bermaya. Tidak ke mana ia.
Sudahlah lemah tubuh badannya, sayap kanannya pula terseliuh. Sudahlah terseliuh, tulang-tulang pada sayap kanannya juga tidak sehaluan. Masing-masing tidak mahu bekerjasama. Ada tulang yang mahu sayap kanan itu berfungsi dengan baik, pada masa yang sama ada pula tulang yang enggan dan mudah menunjuk rasa. Alahai tulang-tulang…
Manakala sayap kiri pula nampak gaya macam sihat. Tidak terseliuh. Huh… apalah tulang-tulang sayap kanan buat. Tengoklah sayap kiri. Bila-bila masa saja mahu membawa burung itu kembali terbang girang. Sayap kiri nampak didepakan. Tapi sayap kanan masih terkial-kial. Masih ada masalah dalaman. Masakan si burung dapat terbang dengan hanya sebelah kepaknya? Hebat macamana pun sebelah kepak, burung tak dapat terbang, kerana sunnah burung terbang, menggunakan dua kepak. Tidak dapat juga burung itu terbang jika sebelah kepaknya laju mengibas, sedangkan sebelah lagi perlahan. Dan tidak pula dapat terbang burung itu jika kedua-dua kepaknya mengibas tidak serentak rimanya. Burung itu termenung sendirian.
Si burung merenung dirinya. Merenung anggota tubuhnya. Bermuhasabah organ-organnya. Memandang sayap kiri dan kanannya. Apalah nasib dirinya. Kenapa semua ini terjadi. Ketangkasannya menangkap ikan, menyambar serangga, membelah awan… kini tinggal angan-angan yang tidak kesampaian.
Ah, mungkin si burung itu terfikir, ia berada dalam zon selesa. Makannya jenuh, dunianya ceria. Ia lupa untuk melatih dirinya menjadi lasak. Ia lupa pada latihan untuk dirinya, sehingga organ-organnya berkonflik, tiada wehdatul fikr. Ia enggan dilatih secara keras dan tegas kerana mudah merajuk. Sayap terseliuh itu lambat dirawat sehingga tulang-tulang masing-masing memprotes. Oh burung, sekalipun burung berdiam diri, orang masih dapat melihat yang burung itu sedang sakit…
Akhirnya hingga kini, burung itu masih bertenggek di dahan pokok manggis. Termenung mengenangkan dirinya yang tidak cerdas. Ia terus memikirkan masalah-masalah dalaman organ-organnya, sedangkan burung-burung lain terus riang membentuk kumpulan yang lebih besar membelah awan.
WaLLAHU a’lam…
Advertisements