Sembang: bagaimana keadaan anda malam ini?

Malam yang gelap….
Lampu rumah masih terang benderang di awal pagi…
Seorang housemate sedang rakus menyelidik ilmu teknologi IT-nya.
Seorang lagi pula khusyuk berdepan dengan laptopnya.
Seorang lagi sedang excited yang dia akan menjadi seorang ayah..modah-modahan mitsali…
Beberapa orang sedang bersembang sambil menonton tv.
bagaimana dengan nasib anak-anak Palestin di sana? Tenang seperti kita kah?
Oh… kita sekadar ingat pada mereka apabila isu Palestine heboh di media… saudara apakah kita ini…?
bagaimanakah keadaan orang-orang yang miskin tidur malam ini? sejukkah mereka dalam pondok-pondok usang mereka? atau sedang mereka tidur dalam keadaan lapar… Oh ALLAH… bantulah mereka…
bagaimanakah keadaan pemimpin kita? Berfikir kuatkah untuk kelestarian jemaah? Berfikir untuk kecermalangan ummah? Oh… mudah-mudahan ALLAH memberkati dan membantu usaha kalian…
bagaimana dengan keadaan emak dan ayah malam ini? Mudah-mudahan ayah dan emak sihat sejahtera. Ya ALLAH, kasihanilah ibu dan ayahku sebagaimana mereka menyayangiku sejak kecil.
bagaimanakah sahabat-sahabat yang sedang berada dalam study week? minggu depan exam start. Sedang studykah anda sekarang ini? atau sudah tidor? Elok tidur awal, bangun jam 3.00pg, solat 2-4 rakaat minimum, mohon doa, then study apa yang patut. InsyaALLAH, lebih baik dari study sampai lewat tidur… Selamat berusaha dan semoga berjaya.
bagaimanakah adikku di rumah yang akan menduduki SPM? Keputusan trial SPM perlu dibaiki. Jangan rasa selesa. Selamat menduduki SPM, semoga berjaya, lebih berjaya dari abang-abang dan kakak-kakakmu… InsyaALLAH…
bagaimana pula keadaan ahli keluarga kanak-kanak mangsa jambatan runtuh? Lenakah tidur mereka? Ya ALLAH… berilah mereka kesabaran…
bagaimana umat Islam seluruh dunia…? Ya ALLAH… jadikan aku sentiasa ingat kepada mereka… berikan aku upaya mendoakan kesejahteraan mereka…
~ Selamat Malam ~
Advertisements

EGM:Bloggers menambah ajinomoto

Dunia blog semakin rancak. Pada sesetengah orang, mungkin difikirnya orang yang berblog adalah orang yang tiada kerja lain hendak dibuat. Bagi politik tanah air, blog adalah satu bentuk media baru yang hangat diperkatakan, sejak tsunami politik melanda Mac 2008.
Bagi Pakatan Rakyat sendiri amnya, dan Parti Islam khasnya, blog menjadi salah satu senjata yang berkesan untuk menyerang lawannya Umno/BN. Blog-blog baru pro-PR tumbuh mebantu mempercepat sebaran-sebaran maklumat. Tidak lama seelpas itu, Umno/BN yang menyalahkan blog sebagai penyebab tsunami politik, turut mengaktifkan blog-blog pro-Umno/BN untuk menyerang PR pula.
Sudah lebih setahun berlalu, hari ini dunia blog PR terutama Parti Islam seolah-olah menjadi senjata makan tuan. Dari satu isu ke satu isu, nampaknya blog-blog menampakkan seolah-olah Parti Islam ini berpecah kepada dua atau tiga. Wujudnya istilah pro-UG, pro-erdogan, pro-EGM, anti-EGM, anti-Terengganu dan macam-macam lagi menunjukkan dunia blog sudah tidak menjadi senjata yang berkesan (?), malah boleh memburukkan persepsi ahli dan masyarakat terhadap Parti Islam.
Munculnya kumpulan-kumpulan blogger yang entah dari mana tarbiyahnya mengaku pro itu pro ini, anti itu anti ini, menghentam pemimpin itu dan ini, menjulang tokoh itu ini, menambah burukkan lagi persepsi terhadap Parti Islam. Nampak macam ada kekeruhan. Celah-celah tu, Zahid Hamidi pula kata doa pecah belahkan Umno/BN kembali terkena Parti Islam. Jangan kata tak ada orang yang percaya dengan Zahid Hamidi.
Kuasa blog dulunya baham Umno/BN, kini menyerang Parti Islam, oleh blogger-blogger sendiri, yang kononnya pro-itu dan anti ini dalam Parti Islam. Selamba saja idea-idea yang tidak ditapis oleh akhlak murni dan ketaqwaan dihamburkan dalam blog kononnya “ini blog aku yang punya”. ‘Aku’punya suka mau tulis apa-apa. Banyak cantik. Tapi itulah hakikat blog. Blogger-blogger Umno/BN kita sudah tahu bagaimana akhlak mereka. Caci maki, mainan biasa. Tetapi dalam Parti Islam, akhlak seperti bloggers Umno/BN dilihat wujud. Tak mahu cerita panjang, anda sendiri faham.
Habis bagaimana menghadapi gelombang fesyen terkini ini? Bagaimana menghadapi hujan-hujan berita blog yang sukar ditepis? Sebetulnya, pemimpin hari ini nasibnya begitu, perlu berhadapan dengan hujan sebaran maklumat sebegini pantas. Pemimpin hari ini perlu cergas menghadapi senjata blog yang makan tuan. Adalah lembab bagi seseorang pemimpin apabila sudah dua tiga hari isu berkumandang, apabila ditanya beliau menjawa “ana belum baca blog pemimpin itu”.
Lihatlah, Pak Lah tumbang kerana tidak bersedia dengan dunia blog. Dr Mahathir dianggap hebat kerana beliau berkuasa di zaman kuasa blog belum dikenali. Kalau dia PM zaman ini, tentu takkan sampai 22 tahun memerintah negara. Bagi Parti Islam, hakikat ini perlu diambil perhatian. Dari sudut akhlak dan kewajaran, tidak patut kita menerima bulat-bulat apa yang bloggers hamburkan. Tetapi pimpinan wajar ambil perhatian kerana marhean rata-rata menerima apa-saja maklumat dari blog-blog yang mereka rasa boleh dipercayai.
Bagaimana sesuatu itu boleh dipercayai? Untuk memperoleh kepercayaan pembaca kepada sesuatu maklumat, boleh diasah dan dilatih. Blogger boleh mengasak para pembaca blognya untuk mempercayai tulisannya. Kalau sekali baca mungkin tidak percaya, tetapi mungkin 10 kali baca, corak berfikir pembaca itu akan berjaya diubah sedikit demi sedikit. Asakan berterusan, minda pembaca akan selari dengan orientasi pemikiran blogger tersebut. Tambahan hujah-hujahnya boleh diterima akal sekalipun sesetengahnya lari dari maksud sebenar. Maka hal ini menjadikan blog tersebut ada ‘audiensnya’. Tambahan pula figure yang ‘diserang’ itu mempasifkan diri dan dilihat seolah-olah tunggul sahaja. Tidak membuat penjelasan, dan tidak pula menjawab pertuduhan.
Kalau dulu, pimpinan akan mengemukakan perbezaan pandangan dalam mesyuarat, halaqah, usrah. Tegur menegur, bahas dan debat sesama pimpinan. Hari ini, ahli dan rakyat turut sama dalam perbahasan sesuatu isu. Macam-macam pandangan, idea dan kritikan, dari pelbagai kelas masyarakat berlegar dalam alam tanpa sempadan. Kalau ada sempadan, hanyalah sempadan iman dan taqwa. Sesetengah maklumat mungkin jua berupa hasutan, putarbelit fakta dan sebagainya.
Malang sekali apabila ada bloggers yang menghamburkan apa yang difikirnya tanpa soal selidik dan hanya menurut sentimen. Manipulasi yang membawa fitnah kepada Jamaah Islam sangat perlu dielakkan. Jika anda tidak memahami sesuatu isu sepenuhnya, janganlah memberi komen yang bias kepada sesiapa. Simpan ulasan anda itu sekalipun anda rasa betul dan perlu disebarkan, sehingga perkara itu benar-benar sahih, supaya anda tidak menjadi punca sesuatu fitnah itu tersebar.
Lihatlah hari ini, kenyataan blog Tok Guru yang mencadangkan EGM. Maka bloggers yang kononnya ‘sehaluan’ dengan Tok Guru terus menari ‘berkempen’ memecat presiden dan beberapa pimpinan, kononnya itulah yang disebut dalam tulisan blog Mursyidul Am itu. Kemudian ditokok tambah lagi dengan ‘kesilapan-kesilapan’ figure-figure tersebut yang menghalalkan mereka dipecat. Kenapa begini? Sebabnya audiens blog mereka sudah ‘beriman’ dengan blog mereka. Maka mudah sekali mereka sebarkan apa yang ada dalam benak mereka selama ini. Dibimbangi semakin ramai pengikut setia blognya, yang mengiyakan ideanya, blogger itu akan menjadi takbur dan ujub dengan diri sendiri, kononnya ideanya hebat.
Terfikirkah kita akan benarkah maksud Tok guru sedemikian? Mungkin idea tok guru rasa seperti selari dengan kita, tapi betulkah maksud tok guru begitu? Pernahkah kita bertanya tok guru sebelum kita menghuraikan idea tok guru mengikut benak kita? Kalau benar tafsiran kita, mujurlah. Kalau silap pula, bagaimana? Sedangkan ‘peminat’ blog kita sudah menghadam tafsiran kita. Lebih teruk, ulasan isu itu adalah mengulas ulasan orang lain.
Timing Tok Guru mencadang EGM boleh juga dipandang dari sudut lain, iaitu membenamkan berita-berita gembira Umno/BN pasca Bagan Pinang dan Bajet 2010. Isu Bajet yang penting itu dialih kepada berita EGM oleh media Umno. Keberkesanan alihan isu ini tak mahu ulas. Dari segi lain pula, serangan terhadap Umno/BN kurang ditumpu kerana masalah dalaman begini. Bukankah keadaan ini memberi ruang untuk Umno/BN memulih organisasi? Umno sudah bergimik pulih. MCA sudah ‘berdamai’. Tiba-tiba musuh mereka bergoncang…
Entry ini bukanlah untuk menyokong atau tidak menyokong mana-mana pihak. Cuma mahu berkongsi pandangan mengenai fenomena blog pada hari ini yang boleh juga menjadi senjata makan tuan. Kitab-kitab kuning tidak mengajar tentang blog dan akhlak berblog. Tiada satu pun kitab Fekah Blog. Jadi dunia blog tiada sempadan, melainkan sempadan iman dan taqwa. Mudah-mudahan kita semua tidak terjebak dalam penyebaran fitnah dan tidak pula termakan dengan fitnah.
Sekadar menambah ajinomoto yang ada…
WaLLHU a’lam…
p/s: Orang kata ajinomoto tak boleh banyak sangat. nanti botak kepala…

Sekitar pelancaran Bubar DUN Perak oleh Pemuda Pakatan Rakyat

Entah betul ke tak tajuk ni. Tapi lebih kurang macam tu bunyinya.
Katanya mau buat di dewan di Lumut. Tetapi dikpung polis. So, berpindahlah ke markaz Pas Lekir… 24 Oktober 2009 :

Menanti perasmian

Gimik pelancaran

Sidang Media

YAB MB Nizar sedang bersembang

Kami mengejar kereta polis… huhu

Sembang: Mai singgah baca cerita-cerita ni sikit…


Cerita di bawah adalah rekaan. Ada pula yang diadaptasi dari peristiwa sebenar dan ditokok tambah sedikit. Secara amnya, bacalah cerita-cerita di bawah dengan anggapan bahawa semuanya adalah rekaan.
Cerita 1
Suasana sedikit bising selepas selesai kuliyah sesi pertama kembali senyap. Semua mata menumpu ke arah seorang lelaki tua berserban putih, bertongkat dan diiringai beberapa lelaki menuju ke pentas yang disediakan. Tidak kira tua, muda, lelaki, perempuan, Muslim serta non-Muslim yang hadir, semuanya senyap sebagai tanda hormat kepada lelaki tua itu. Hadiri yang berada jauh di belakang cuba berdiri untuk turut melihatnya.
“ayah, mana tok guru? nak tengok tok guru…” seorang anak kecil bersuara memecah kesunyian. Beberapa pasang mata memandang anak kecil itu.
“syy… diam. Tok guru dah sampai tu” si ayah menunjukkan anaknya akan kelibat lelaki tua tersebut. Si ayah sedikit marah kepada anaknya yang membuat bising.
“Tak mengapa saudara. Biarlah anak kecil saudara begitu. Itu petanda baik” ujar seorang lelaki lain yang berada bersebelahan si ayah.
“Petanda baik?” si ayah ingin tahu.
“Ya… bukankah baik anak sekecil ini berminat untuk mengenali seorang ulama hebat seperti tok guru, daripada kebanyakan anak-anak muda yang menjadi taksub kepada artis-artis yang rosak akhlak?” jawab lelaki tersebut.
Si ayah mengangguk setuju, lalu mendukung anaknya sambil menunjuk ke arah Tuan Guru Menteri Besar sedang memulakan kuliyah mingguan pagi Jumaat hari itu.
Cerita 2
“Hang buat apa la ni?” tanya Pak Ngah Dali.
“Sambung master”
“Haa baguih laa. Engineering tu payah, hang sambung master, ok laa. Mengaji la selagi bulih. Nanti senang” sambung Pak Ngah Dali.
Hakimi tersenyum saja melihat Pak Ngah Dali.
“Bukan ka hang dulu sekolah arab ka? macamana bulih masuk engineering?” tanya Pak Ngah Dali. Pada fikirannya, pelajar sekolah arab atau sekolah agama, laluannya akan ke arah menjadi ustaz, tok lebai, paling tinggi tok qadhi.
“dia kat sekolah dulu ada aliran sains. Belajar agama, belajar sains… dekat-dekat 20 subjek belajaq” bapa Hakimi yang turut mengikuti perbualan mereka mencelah.
“boleh ka catch up? sakit kepala budak-budak. Susah nak cemerlang kalau tak tumpu akademik..” Pak Ngah Dali macam tak berapa percaya. Dia tidak pernah terdedah dengan pendidikan aliran agama.
“Laa… Pak Ngah tau tak pelajar cemerlang SPM peringkat nasional sapa dia?” ujar hakimi.
“Nurmadihah”
“dia pelajar sekolah arab Maahad Muhammadi Perempuan. dua tahun sebelum tu Siti fatimah, dari sekolah yang sama, juga terbaik nasional..”
Pak Ngah Dali terdiam.
“Pelajar Tahfiz Pulai Condong dapat 100% cemerlang dalam SPM” tambah bapa hakimi.
“Ish… depa bulih hafaz quran dan ambil SPM sekali gus?” Pak Ngah Dali sekali lagi tak percaya.
Hakimi dan bapanya tersenyum. Malam itu Kedua-dua beranak itu bagaikan bergabung membuka mata Pak Ngah Dali dan isterinya, Mak Ngah Rahah. Pak Ngah Dali seorang doktor, berpendidikan sekular. isterinya pun satu aliran.
“macamana depa mengaji? macam tak percaya. Budak-budak SBP pun tak boleh catch up kalau macam tu punya banyak subjek” ujar pak Ngah Dali. pak Ngah Dali sebelum ini tidak pernah memandang rendah pelajar SBP.
Hakimi melihat Pak Ngah Dali menghirup teh yang sudah mula sejuk.
“Ni lah keberkatan orang belajar agama. guru-guru sekolah agama pun ikhlas mendidik, bukan hanya mengajar…” bapa Hakimi
“Hm… ada betulnya… tapi kenapa hang tak pi sambung ke Mesir ka, Jordan ka… pasai apa pilih engineering?”
“Dulu saya ikut laluan matrik… so hala tujunya ke sinilah. Kalau saya ambil STAM, boleh la saya ke sana”
“No point la belajaq agama, sakit kepala, lepas tu masuk engineering…”
“sbb tu saya tak kata saya berjaya kerana pensil 2B…” ujar Hakimi merujuk kepada kata-kata Amalina dalam iklan syarikat pensil itu. Amalina, pelajar terbaik kebangsaan beberapa tahun lalu diambil menjadi duta pensil steadler 2B.
“maksudnya?”
“orang yang ada asas agama, akan berada di landasan yang betul,Pak Ngah. Kalau jadi engineer, engineer yang bertaqwa, itu kan lebih baik daripada engineer yang rasuah, songlap duit kontrak…orang yang ada asas ilmu agama, akan melahirkan gerak kerja yang baik dan diberkati serta mendapat pertolongan ALLAH”
Pak Ngah Dali mengangguk.
“Tapi kerajaan kita ni macam tak mahu iktiraf pendidikan aliran agama sebagai pendidikan yang lebik baik dari sistem arus perdana yang ada la ni… kejayaan pelajar sekolah agama macam nak disembunyikan…” bapa Hakimi bersuara semula setelah lama menjadi pendengar.
“Mudah ka nak masuk sekolah agama? kelulusan macamana diterima?”
“sekolah masa saya dulu agak mudah. Sekarang ni, takda 5A UPSR, susah nak masuk. Yang ada 5A pun belum tentu, sebab ada temuduga pula..” Hakimi merujuk sekolah lamanya dulu.
“Mak aiihh… ada interview pulak…” Mak Ngah Rahah bersuara.
“Dahsyat rupanya sekolah agama…” ujar Pak Ngah Dali.
“Kalau Pak Ngah nak lebih jelas pi tengok sendiri, pi la Kota Bharu, tengok sekolah saya dulu. Tak pun Maahad Muhammadi Perempuan, Maahad Tahfiz Pulai Condong, mcm2 lagi… Kat tempat kita, cuba tengok sekolah arab depan tu yang serba kekurangan- ada jugak 5-6 orang dapat 7A ke atas, bandingkan dengan sekolah menengah kebangsaan hujung sana, nak cari sorang dapat 4A pun susah dalam SPM…”
Pak Ngah Dali mengangguk lagi.
Cerita 3
Pak Malik pulang dari majlis bacaan Yasin dan solat hajat, sempena peperiksaan SPM anak keduanya. Majlis tersebut menjemput seorang tok guru dan jemaah dari sebuah pondok pengajian.
“aih… Amin, hang tak pi solat hajat sekali ka tadi?” Pak Malik melihat Amin sedang menggunakan komputer untuk menyiapkan kerjanya.
“solat hajat tu untuk budak-budak SPM saja abah…” ujar Amin. Amin adalah pelajar tahun 3 di sebuah IPT tempatan, yang sedang bercuti pertengahan semester.
“Amin, lain kali kalau ada majlis-majlis macam tu, tak payah nanti orang suruh. Kita pergi saja. Bukan senang nak jumpa majlis yang dalamnya ada alim ulama berhimpun dalam satu keramaian macam tu…” Pak Malik berkhutbah panjang.
Amin memandang Pak Malik. Dia tersengih seolah-olah tiada apa-apa perkataan mampu dijawabnya. Tidak syak lagi kata-kata bapanya itu benar. Dia pernah juga belajar tentang kelebihan berdamping dengan ulama.
“Baiklah abah…”
Kisah 4
“Ha ha ha… kelakar betul si Nabil tu” ketawa Mamat dan Sudin menonton TV, rancangan yang dilakonkan Raja Lawak – Nabil Lu Pikirlah Sendiri.
“Mantap la lawak dia… dengar kata dia nak kawin dengan kekasihnya dua tahun lagi..” Darus mencelah.
Pak Talib yang turut berada di gerai Nasi Lemak Kampung iu menggeleng kepalanya melihat anak-anak muda yang begitu taksub dengan artis.
“hmm… Sudin, Mamat, Darus… apa yang lawak sangat si Nabil tu sampai kamu ketawa macam tu?”
“oh..Pak Talib… ni Raja Lawak yang menang hari tu … mari la join sekali, baru tau lawaknya…” Mamat menjawab selamba.
“Tu bukan Raja Lawak… tu Raja tiga suku… kamu pun layan orang tiga suku tu…” ujar Pak Talib dengan nada sedikit menyindir.
“tiga suku?”
“orang tak betul. tu bukan lawak. Dia buat macam orang terencat akal, kamu kata lawak? Kalau macam P.Ramlee boleh la juga kata lawak. Original. Ni dia buat-buat. Pak Talib nampak macam orang tak betul saja…” terang Pak Talib panjang lebar.
“Nak buat camna Pak Talib. Dah susah nak cari orang macam P.Ramlee. P ramlee tu zaman Pak Talib. Nabil ni zaman kami…” Sudin cuba pertahan artis yang dikatakan Raja Lawak itu.
“Kamu ni… fanatik betul dengan artis. Sampai diorang nak kahwin pun ambil tahu, nak beranak pun ambil tahu… ish ish. Kamu kenal siapa Muhammad al-Fateh?” Pak Talib mencabar.
“Muhammad al-Fateh? “
“Sultan Muhammad al-Fateh pun kamu tak kenal… Dia adalah sultan muda yang berjaya membebaskan kota Konstantinople dari tangan kristian. Usianya belum 20 tahun dah boleh jadi sebaik-baik raja… “
“OoOoo”
“Patut orang muda macam kamu semua ni ambil baginda sebagai contoh. Bukan buang masa buat benda sia-sia…negara kita akan ketandusan pemimpin yang berkaliber pada masa depan jika pada usia muda begini, generasi kamu masih leka dengan hiburan yang melalaikan… ” tegas Pak Talib sambil bangun dan membayar harga nasi lemak dan kopi tarik yang dimakannya kepada Pak Tam Isa.
Ketiga-tiga remaja 20-an tahun itu memandang sahaja Pak Talib melangkah keluar gerai tanpa sebarang kata. Aksi ‘tiga suku’ Nabil di kaca TV tidak lagi dihiraukan. Masing-masing melayan fikiran dan merenung kata-kata Pak talib sambil terkebil-kebil mata mereka.
“Siapa Muhammad al-Fateh…?”
Habis.
p/s: Habis cerita-cerita rekaan… Tak da kerja agaknya duk karang cerita-cerita ni… Apa yang anda faham?

Jurulatih pasukan bolasepak Kedah letak jawatan

Surat perletakan jawatan Azraii Khor Abdullah


15 OKTOBER 2009
Assalamualaikum & Salam Sejahtera kepada semua sahabat-sahabat yang dihormati,
Dalam keberkatan Syawal ini, saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri & Maaf Zahir Batin.
Berat untuk saya nyatakan,tetapi setelah sekian lama bersabar…kini sudah tiba masanya untuk saya bertindak mengikut naluri saya.
Untuk pengetahuan semua, izinkan berkongsi sedikit maklumat atau sejarah bagaimana kehadiran saya ke jawatan Ketua Jurulatih Bolasepak Negeri Kedah Darulaman.Saya masih ingat lagi pada petang hari Rabu, tanggal 18hb Ogos 2004,dimana saya dijemput oleh Bapa Pembangunan Bolasepak Negeri Kedah,Allahyarham Dato` Ahmad Basri Mohd Akil untuk berbincang berkenaan kepincangan bolasepak Skuad Hijau Kuning ketika itu dan seterusnya diberi cabaran getir iaitu untuk mengambil alih tugas jurulatih Kedah yang pada masa itu disandang Jurulatih kelahiran Brazil, Miradhinha .Keadaan pasukan ketika itu berada di paras yang cukup mengecewakan.
Dari perbincangan itu ,tidak dapat dinafikan Allahyarham sememangnya seorang yang mempunyai wawasan dan pemikiran dinamik dalam usaha memertabatkan kembali bolasepak Kedah.
Sehubungan dengan itu, hasil dari perbincangan tersebut,Kami meletakkan Matlamat utama pasukan Kedah yang wajib dicapai adalah kembali memacu Skuad Hijau Kuning muncul diantara pasukan elite dalam kancah bolasepak Malaysia.
Saya juga disarankan oleh arwah sebagai Ketua Jurulatih bagi menggantikan Mirandinha. Berbekalkan semangat dalam diri dan sokongan serta dorongan allahyarham,saya menyahut cabaran tersebut.Antara garis panduan untuk saya berkhidmat adalah ;
• Saya wajib komited 100% untuk bolasepak negeri tercinta
• Memertabatkan bolasepak Negeri
• Setia pada Negeri
• Setia pada Sultan
• Setia pada Pasukan.
• Meletakkan sasaran awal,Kalau boleh cuba sedaya upaya untuk mencapai kejayaan terbaik dalam sukan bolasepak menjelang Jubli Emas Pemerintahan KDYMM Tuanku Sultan Kedah Darulaman.
Bagi memenuhi matlamat tersebut,Perancangan Program Pembangunan jangka masa 5 tahun telah dicetuskan oleh arwah Dato`.Bermula saat itu kita terus membina pasukan merujuk kepada acuan mantap yang telah ditetapkan.
Alhamdulillah…berkat kesungguhan dan keyakinan,kita berjaya mencapai matlamat kita dengan cukup cemerlang dalam jangkamasa setahun lebih awal dari perancangan.
Antara detik gemilang yang menghangatkan kembali sambutan peminat seluruh negeri keatas skuad Kenari adalah :
• Menjuarai Liga Perdana pada tahun 2006. Kembali ke Liga Super 2007
• 2007 Menjuarai Liga Super
• 2007 Menjuarai Piala FA
• 2007 menjuarai Piala Malaysia
• 2007 KEDAH menjadi pasukan pertama di Malaysia yang menjuarai Liga Super,Piala FA dan Piala Malaysia.
• Musim 2007 Menang hampir keseluruhan Anugerah Pemain terbaik dalam majoriti kategori dan juga Anugerah Jurulatih Terbaik
• 2007 – hampir separuh pemain dalam skuad dipanggil menyertai skuad Kebangsaan
• 2008 Menjuarai Liga Super
• 2008 Menjuarai Piala FA
• 2008 menjuarai Piala Malaysia
• 2008 sekali lagi terpahat dalam sejarah bolasepak Malaysia,KEDAH menjadi pasukan pertama yang muncul pemenang double treble.Begitu juga penghormatan khas untuk pemain apabila menang lagi dalam pencalonan categeri pemain terbaik dalam banyak posisi dan anugerah Jurulatih Terbaik 2 tahun turut-turut.
• Stadium Darulaman kembali ‘full house’
• Pada masa yang sama kita mewakili Malaysia dalam kancah AFC selama 2 musim berturut-turut
Itulah sejarah yang telah saya lakarkan.

Saya rasa kita telah mencapai matlamat kita dengan cukup cemerlang.
Bagi seluruh peminat dan penyokong skuad Hijau kuning,negeri Kedah yang tiada banyak hiburan….bolasepak ada lah sukan no.1 untuk mereka.Sukan yang menyatukan semua rakyat negeri tercinta.
Saya amat bersyukur,dan cukup teruja apabila ‘matlamat’ yang digariskan sebelum ini telah disempurnakan dan perkara ini telah membuatkan semua rakyat Kedah serta pencinta sukan ini turut merasa bangga dengan pencapaian cukup hebat dalam jangkamasa 2 tahun berturut-turut.
Kebangkitan semangat Hijau Kuning dapat dilihat di seluruh pelusok negeri.Saya begitu bangga dan terharu apabila bendera hujau kuning kembali berkibar megah…..teringat lagu keramat nukilan Arwah Dato`yang kembali dan terus bergema.
Sayang seribu kali sayang, episod gemilang ini tidak mampu bertahan lama gara-gara perubahan pengurusan KFA yg dilihat kurang komited dengan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada mereka.
Setelah kita mengharungi musim 2009 ,Kedah selaku juara bertahan kesemua Piala yang dipertandingkan, hanya menduduki tempat ke 3 dalam carta Liga Super dengan habuan wang tunai RM150,000.00 .
Episod Duka terus berlaku dalam 2009

Kita menghadapi Pertandingan Piala Malaysia 2009 pada bulan September.,Semua Pasukan bertanding dibenarkan mendapat pemain pinjaman sebanyak 3 orang.Sayang sekali cadangan saya tak jadi kenyataan gara-gara sikap KFA yang tak serious dalam mendapatkan pemain Haris Safwan dari T Team Terengganu.Pemain tersebut telah terlebih dahulu menghubungi saya untuk membolehkan beliau menyarung jersi Kedah didalam kempen kali ini.Apa bila didesak…komen pihak KFA dengan acuh tidak acuh menyatakan CUKUPLAH DENGAN APA YANG ADA….
Sebagai seorang Jurulatih Professional saya tahu kelemahan dan kekuatan pasukan…jadi menjelang Piala Malaysia saya rasa pasukan kita perlu menambah kekuatan di barisan serangan.(itu pun sebelum Khyril Muhymeen Zambri menjalani pembedahan lutut ).Masaalah kecederaan pemain posisi serangan seperti Samransak (operation lutut),Fadly Baharum (operation lutut dan ankle) dan pemain pertahanan kental V Thirumurugan(operation ankle) amat merencatkan persiapan pasukan dalam kempen kali ini kerana kita sedia maklum banyak pemain utama kita mengalami kecederaan .
Apapun,dengan apa yang ada seluruh Pemain tetap berjuang dengan penuh semangat dalam setiap perlawanan.Tetapi nasib tak menyebelahi kita….kalah dengan jaringan tipis walaupun pada dasarnya kita menguasai permainan.
I am not a magician,saya cuma seorang manusia biasa.Seperti seorang tukang masak….jika dibekalkan kangkong,maka lauk kangkong lah yang akan saya masak.Mana mungkin kangkong bertukar menjadi spagethi !
Dalam keadaan sedemikian,Terus terang saya akui,KFA cakap tak serupa bikin.Saya bukan mahu mengalah atau lepas tangan,tetapi prinsip perjuangan saya dalam bolasepak tidak mendapat sokongan penuh dari KFA,ini menjejaskan persiapan pasukan saya.Saya tak dapat menjalankan tugas saya dengan tersusun,teliti dan mengikut perancangan awal saya.
Jadi cukuplah setakat itu,dengan berat hati…ada baik nya saya berundur dari jawatan Ketua Jurulatih Bolasepak Negeri Kedah Darulaman untuk memberi pada laluan orang lain.
Apa sekali pun saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih yang tak terhingga pada semua peminat-peminat bolasepak Negeri Kedah yang telah menyokong pasukan negeri tercinta ketika saya melaksanakan tugas selaku Ketua Jurulatih.Saya amat berbangga apabila dapat berkhidmat untuk anda semua dan membuat anda semua rasa teruja dan berbangga sebagai rakyat Negeri Kedah Darulaman.
Sekian
“BIAR JASA JADI KENANGAN”
Saya yang ikhlas,
Mohd Azraai Khor.
p/s: ni la baru gaya profesional. tapi Kedah susah nak cari jurulatih mcm ni…

Asap ekzos tingkat tekanan pada otak

Penyelidikan toksikologi di Universiti Zuyd, Belanda mendapati pendedahan singkat kepada asap ekzos kenderaan sudah cukup untuk meningkatkan tekanan kepada otak manusia.
Hasil penyelidikan itu menunjukkan partikel halus (nanoparticle) di dalam asap ekzos yang disedut akan menyebabkan perubahan pada aktiviti otak.
Kajian dijalankan dengan memantau aktiviti otak dua kumpulan sukarelawan didedahkan sama ada kepada udara bersih atau asap ekzos selama satu jam menggunakan alat elektroencephalograf (EEG).
Sukarelawan yang didedahkan kepada asap ekzos dilihat mula menunjukkan tekanan ke atas bahagian korteks otak selepas 30 minit.
Kepekatan asap ekzos pada ketika itu pula adalah bersamaan dengan jumlah yang paling tinggi dihadapi orang ramai di jalan raya yang sibuk.
Kesan pendedahan berpanjangan kepada asap ekzos tidak dapat dipastikan sepenuhnya tetapi didakwa mungkin mengganggu fungsi otak yang normal termasuk keupayaan memproses maklumat baru.
Selain itu, pendedahan kronik asap ekzos juga mungkin menyebabkan tekanan oksidatif yang telah dikaitkan dengan penyakit otak seperti Parkinson dan Alzheimer.

Kisah anak burung kecil….

Seekor burung dari spesies yang hampir pupus selamat bertelur di sebuah sarang di atas sebuah pohon yang tinggi. Tiga biji telurnya dieram penuh kasih-sayang.
Antara tiga biji telur itu terdapat sebiji telur yang bersaiz kecil, lebih kecil dari dua biji yang lain. Si ibu burung kelihatan lebih menyayangi telur-telur yang besar. Baginya, telur-telur besar itu berpotensi untuk menetaskan anak burung yang besar dan gagah untuk menyambung generasi burung yang hampir pupus itu. Manakala telur yang kecil itu mungkin akan menetaskan anak burung yang kecil dan lemah, seterusnya akan mudah menjadi habuan haiwan pemangsa yang lain.
Tiga minggu kemudian telur-telur itu masih belum mahu nenetas. Biasanya spesies burung itu menetas dalam masa tiga minggu sahaja.
Tuk…tuk… tuk… bunyi ketukan perlahan-lahan kedengaran. Ibu burung mencari-cari bunyi tersebut.
‘ah? telur kecil ini sudah mahu menetas?’ ibu burung sedikit tidak senang hati. Sikap pilih kasihnya terhadap telur-telur besar itu membuatkannya tidak senang duduk kalau-kalau telur kecil itu menetas dulu. Anak burung di dalam telur kecil itu sudah mula proses memecahkan kulit telur!
Si ibu burung tidak tahan sabar lagi. Ia mahu anak-anak dari telur besarnya menetas dahulu. Lalu, didorong oleh sikapnya itu, si ibu burung mematuk telur-telur besar itu perlahan-lahan. Lama kelamaan, telur-telur besar itu pecah. Keluarlah anak burung seperti yang ditunggu-tunggu ibu burung. Anak-anak burung itu kelihatan besar, sebesar telur asalnya. Manakala telur kecil itu masih belum mahu menetas. Bunyi patukan kecil dari dalam telur terus kedengaran.
‘Hm… anak-anak, tengok si kecil itu belum mampu keluar seperti kalian…’ ibu burung berkata bangga sambil menyuap makanan ke dalam mulut anak-anaknya. Anak-anak burung itu membuka mulut untuk disuapkan makanan oleh ibu burung.
Tiga hari kemudian, barulah telur kecil itu menetas. Seekor anak burung kecil berbunyi memecah kesunyian. Ibu mereka keluar mencari makanan. Tidak seperti anak-anak burung besar yang hanya diam sahaja sejak menetas, anak burung kecil ini kerap berbunyi.
Ibu burung pulang.
‘oh… si kecil sudah menetas?’ ibu burung memotong sebahagian kecil makanan untuk anak nurung kecil. Manakala bahagian makanan yang besar disuap kepada anak-anak burung yang besar, sebagai tanda memilih kasih.
‘saiz kecil, makan tak perlu banyak-banyak…’ ibu burung berkhutbah depan anak-anaknya. Disamping itu, ibu burung sering mengajar anak-anaknya cara-cara terbang dengan baik dan tangkas.
Beberapa hari kemudian, anak-anak burung itu sudah tumbuh bulu sepenuhnya. Anak burung kecil itu berusaha bangun untuk bermain-main dengan anak-anak burung besar. Namun anak-anak burung besar itu kelihatan tidak mahu melayannya. Mereka asyik duduk dan tidur sahaja.
Suatu hari, ibu burung pulang dengan tergesa-gesa dan cemas.
“hai anak-anak ku… kita semua kena berpindah dari sini. Manusia cuba menebang pokok balak dalam hutan ini”
“mahu ke mana ibu?” anak burung kecil bertanya.
“kamu diam. kita akan ke hujung hutan dan mohon perlindungan dari burung-burung lain di sana”
Anak-anak burung besar berpandangan sesama sendiri.
“cepat, ikut ibu… yang tak boleh terbang, mengucap je laa” ibu burung perlahan-lahan meninggalkan anak-anaknya dengan harapan anak-anak besar itu terbang mengekornya. Pada tanggapannya anak burung kecil itu masih belum mampu terbang.
Sangkaannya silap. Anak burung kecil itu terbang mengekori ibunya, manakala anak-anak yang besar itu tidak mampu terbang. Salah seekornya cuba terbang, tetapi terjatuh dari pokok tersebut. Ibu burung terkejut melihat keadaan itu.
Ia segera kembali ke sarangnya. Seekor anak besar kesayangannya sudah mati akibat terjatuh dari pokok.Tinggal seekor lagi yang takut untuk terbang setelah melihat saudaranya mati kerana cuba terbang.
“Mustahil… kenapa boleh jadi begini… anakku ini lebih awal menetas… lebih banyak aku beri makan. Bukankah sepatutnya lebih cepat boleh terbang dengan tangkas?” ibu burung bermonolog sendirian.
Anak burung kecil itu menghampiri ibunya.
“ibu… maafkan aku kerana perkataan yang akan aku perkatakan ini…” anak burung kecil bersuara.
ibu burung memandangnya ingin tahu.
“wahai ibu… sesungguhnya saudara-saudaraku menetas dari alam telur ke alam dunia ini tanpa tarbiyah yang kukuh, sedang aku menerima tarbiyah dari Tuhanku, iaitu aku terpaksa bekerja keras untuk menetas, sedang saudara-saudaraku tidak ditarbiyah dengan cara tersebut. Sebaliknya ibulah yang memecahkan telur mereka”
“otot-ototku dilatih ketika aku berusaha memecakan cangkerang telur dalam tempoh yang ditentukan-Nya, sedang ibu tidak sabar untuk melihat saudara-saudaraku menetas. Mereka belum lagi cukup tempoh yang ditetapkan untuk menjadi burung yang tangkas, tetapi ibu tetap mahu mereka menetas…”
ibu burung terduduk mendengar kata-kata anak kecilnya.
“ibu… walaupun kebiasaannya burung seperti kita boleh terbang, tetapi tanpa tarbiyah, ibu sendiri menyaksikan burung pun tidak mampu terbang… tarbiyah bukanlah teori seperti yang ibu ajarkan kami semua cara-cara terbang… kuliyah dasar yang ibu berikan bukanlah tarbiyah. Itu cuma ilmu dan teori, sedang tarbiyah itu adalah satu proses yang panjang…”
“usaha aku untuk memecah cangkerang telur adalah satu latihan atau tamrin kepadaku untuk memperoleh otot yang kuat. padahal, sepatutnya aku tidak perlu bersusah-payah pun memecahkannya kerana ibu pasti boleh membantu. Semakin susah dan keras latihan yang diterima, semakin bertambah kekuatan aku untuk hadapi dunia luar setelah menetas… bukankah ibu dahulu juga begitu? maafkan aku, ibu…” anak burung menghampiri ibunya. Ibu burung membuka kepaknya mendakap anak kecilnya itu.
Ibu burung terkedu tidak mampu berkata apa-apa. Ibu burung mengakui kebenaran kata-kata anaknya yang bersaiz kecil itu.
———–
Habis cerita burung… apa yang anda faham tentang cerita rekaan ini?