Sembang: Ziarah orang tua-tua

Hampir setiap hujung minggu, jika balik saja ke kampung, aktiviti ku adalah menziarahi orang tua-tua, orang sakit, kenduri kendara, dan sekali-sekala beramah mesra dengan adik beradik.
Kelmarin, aktiviti biasa – menziarahi tok nek (moyang) sebelah ayah.
Ziarah, bukan saja-saja membuang masa sepert yang sesetengah orang anggap. Apatah lagi orang-orang tua yang ada hubungan kekeluargaan. Apatah lagi moyang kita. Tanpa mewujudkan moyangku ini, tiadalah nenekku, tiadalah ayahku, dan tidak akan wujud diri aku. Moyangku yang berusia anggaran lebih 100 tahun ini sudah tidak mampu berdiri dan berjalan seperti setahun dua lalu. Akan tetapi dia masih boleh diajak berbual, bergurau senda. Malah kadang-kadang boleh juga dia menceritakan kisah-kisah masa muda. ‘Kelolong’ pun boleh tahan…
Tok Nek sedang mengatakan sesuatu
Pada hari yang sama, kami sempat juga menziarahi Tok Cik Umar, adik nenek sebelah ibu. Nenekku ini umurnya kurang lebih 90 tahun. Doktor homopati pun kagum dengan kecergasan nenek yang aku panggil Tok Teh (Namanya Puteh). Pada usia begitu dia masih cergas, tiada sindrom-sindrom penyakit. Manakala adiknya -Tok Cik Umar juga sihat tubuh badan, cuma mengalami Azhemier, atau penyakit lupa yang serius.
Lupa semuanya. Hatta kakak dan anaknya sendiri pun tidak mampu diingati.
“Umaq… hang ingat dak kat mak?” tanya Tok Teh kepada adiknya.
“cuba tanya depa…” Tok Cik Umaq ‘bijak’ sekali mengelak daripada menjawab.
“Pak Cik, abang Pak Cik nama apa?” ibuku bertanya.
“Wahab… Dolah… Sulaiman..”
“kakak Pak Cik, ingat?”
“ada ka? nama apa?”
“Puteh”
“Puteh…? Tak dak nama Puteh…”
Nenek tersenyum melihat adiknya. Dia hanya ingat sikit-sikit nama kampung asalnya, nama abang-abangnya. Bila berbual saja, dia akan bertanya siapa kita, dari mana. Akan diulangnya perkara yang sama. Jika tiada apa yang hendak dibualkan, terbitlah beberapa perkataan zikir… “Ya Hayyum… Ya Qayyum… Ya Badi’ussama-wa-ti wal-ArDh, Ya zalJalali wal-ikram…”
“Ya Hannan… Ya Mannan… “
AstaghfiruLLAHah a’zheem… itulah zikir yang bermain dimulutnya sebelum mengalami penyakit ini. ALLAH kekalkan zikir itu padanya ketika semua ingatannya hilang. Ketika itu aku termenung seketika. Apakah zikir kita yang selalu kita ucapkan? Atau lidah kita dibasahi dengan lagu-lagu yang melalaikan? Paling teruk, alangkah malangnya jika lidah kita sering berkata-kata nista dan dosa. Jika kita ditakdir mengalami nasib yang sama- hilang ingatan, betapa malangnya kita lidah kita sering terus berkata nista, Na’udzubiLLAH…
Bab solat pula, memang dia sudah tidak dapat membezakan waktu solat. Dia akan bersolat bila-bila masa sahaja. Jika sudah solat, kemudian dia terlupa, dia akan solat lagi. Jika lupa lagi, dia akan berdiri untuk solat lagi. Zohor pun pernah dua-tiga kali satu hari.

Seorang kakak memerhati adiknya dengan penuh kasih sayang…

Walaupun demikian keadaanya, Tok Cik Umar masih mampu melayan tetamunya dengan ramah mesra, walaupun tetamu-tetamu itu ‘tidak dikenalinya’…

Tok Nek, tok teh, Tok Cik Umar… mereka pernah mengalami zaman muda mereka. Mereka tidak pernah terfikir mereka akan berada dalam keadaan sekarang. Dalam keadaan ramai sahabat handai mereka semasa muda dahulu, kini telah tiada. Mereka hanya tumpang gembira bersama anak cucu. Mereka sudah berada di zaman yang bukan lagi zaman mereka.
Ziarah orang-orang tua begini, bukanlah sesuatu yang sia-sia. Kita boleh mengambil pengajaran yang banyak darinya sebagai panduan hidup kita. Kita tidak kekal muda dan gagah perkasa. Jika tidak mati awal, kita akan dikunjungi hari tua kita. Saat itu kita hanya mampu mengimbau kenangan masa muda yang tidak dapat diperoleh kembali, sampai bila-bila.
Baik amalan masa muda kita, itulah amalan kita. Masa tua adalah bonus, sedangkan kualiti amalan adalah semasa muda. Jika sia-sia amalan semasa muda, rugilah, kerana amalan masa tua tidak sama kualitinya.
Ingatlah kita akan nasihat ini:
muda sebelum tua
WaLLAHU a’lam…

One Response

  1. subhanallah. seronok sebenarnya bg saya untuk bermesra dgn org tua2. tp blum pernah saya bergaul dgn org tua2 yg brumur 90-100 thn.p/s:bgmn pula nasib kita masa tua nnt -klu belum mati…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: