Matangkah Rakyat Berpolitik?

Pasca PRU12 8 Mac 2008 yang lalu, rata-rata pemerhati politik, dan pemimpin parti-parti politik menyifatkan landskap politik negara sudah berubah. Ada yang mengakui bahawa rakyat negara kita terutama di Semenanjung Malaysia tidak mudah digula-gulakan. Ungkapan ‘rakyat sudah bijak menilai’ sering kedengaran dalam ceramah-ceramah politik, sidang media dan seumpamanya. Rakyat dikatakan telah matang dalam politik setelah 50 tahun dicengkam kuasa Barisan Nasional (BN) sebagai parti pemerintah.
Pakatan Rakyat (PR) adalah satu koalisi yang dibentuk bagi mengimbangi kuasa BN dan berjaya menguasai beberapa negeri semenanjung pasca PRU12 yang lalu. PR dan BN saling berlumba-lumba untuk mendapatkan sokongan rakyat walau ‘apa cara’ sekalipun. Sokongan rakyat yang berterusan akan menjadi kayu ukur sebenar apakah benar tsunami politik 8 Mac 2008 itu benar-benar tsunami yang menyentap BN, atau hanya sekadar rakyat menolak BN kerana marah tetapi tidak benar-benar menyukai PR. Jika demikian, apabila BN ‘pulih’, PR akan mengalami kekalahan yang teruk pada PRU13 nanti.
Biarkan seketika isu siapa bakal menang PRU13. Hakikatnya hari ini, apakah rakyat Malaysia sebenarnya telah celik politik? Atau dengan kata lain telah matang dalam berpolitik? Bagi penulis, sebenarnya rakyat Malaysia belum matang sepenuhnya. Biarlah pemimpin-pemimpin PR mencanang rakyat sudah bijak berpolitik dek kerana rakyat menyebelahi mereka. Biarlah BN berkempen semahunya yang rakyat semakin sedar untuk kembali bersama BN, kerana itu kerja mereka mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti mereka.
Lihatlah budaya politik rakyat negara kita yang tercinta. Bagaimana mereka memilih pemimpin mereka? Bagaimana mereka memilih wakil rakyat mereka? Ada kalangan rakyat yang memilih pemimpin berdasarkan kriteria pemimpin yang berkaliber dan berpendidikan tinggi. Ada pula yang memilih pemimpin yang berjawatan besar dan banyak harta. Ada juga yang memilih berdasarkan sentuhan peribadi dan kebajikan yang dihulurkan. Tidak kurang pula yang memilih pemimpin berdasarkan warak, berakhlak dan amanah. Ramai pula yang masih mudah dibeli sokongan mereka dengan duit dan kebendaan yang ditabur.
Jika semua perkara di atas diambil kira, saya kira rakyat keseluruhannya belum matang dalam politik. Bayangkan apabila rakyat hanya mengundi seseorang calon pemimpin berdasarkan ‘adakah bila menang nanti, dia dapat betulkan atap rumah aku’, ‘bolehkan dia nanti turap jalan depan rumah aku’, ‘kalau dia menang nanti, bolehlah dia bantu kos rawatan penyakit aku’ dan seumpamanya. Apakah ini budaya matang berpolitik?
Bayangkan pula jika ada yang berfikiran ‘semua orang sokong dia, kalau aku tak sokong nanti kena boikot pula’, ‘dia ini orang tempatan, kita kena sokong dia’, ‘dia pernah jadi menteri dulu, dah ada pengalaman… rasuah sikit-sikit takde hal, tolong orang kita juga’, dan sebagainya. Matangkah cara fikir rakyat tentang politik?
Banyak lagi contoh yang kita boleh bentangkan untuk menilai tahap matang berpolitik rakuyat negara kita, sekalipun kita sudah lebih 50 tahun ‘merdeka’. Itu belum kira isu pemimpin lagi, dengan isu moral, rasuah dan politik wang, isu lompat parti, pecah amanah, tidak profesional dalam tindakan, menindas musuh politik, berdendam dan sebagainya.
Kita perlu sedar, kisah-kisah rakyat yang tidak matang dalam politik telah pun diceritakan dalam lembaran sejarah, hatta dalam al-Quran, ALLAH menceritakan bagaimana isu pemilihan pemimpin yang berlaku di zaman Nabi Daud ketika masih muda. Kisah bagaimana rakyat tidak bersetuju Thalut yang miskin dan tidak berharta dipilih menjadi pemimpin. Bagi mereka, pemimpin mestilah banyak harta. Namun ALLAH menetapkan bahawa Thalutlah yang layak menjadi raja untuk memacu kemajuan dan kekuatan berdepan dengan musuh mereka semua, iaitu Jalut dan tenteranya.
Lihatlah mentaliti kuno rakyat zaman Thalut masih dianuti sebilangan besar rakyat negara kita, hatta penyokong PR sendiri. Jika orang berharta banyak itu menjadi pemimpin, maka bolehlah rakyat bergantung harap dari harta pemimpin tersebut. Apakah tugas seseorang pemimpin itu menyuap nasi ke dalam mulut rakyatnya? Jika demikianlah mentaliti kita rakyat Malaysia, bermakna rakyat masih lagi tidak faham erti sebenar pemimpin.
Kita lihat pula kepada isu ‘orang tempatan’ yang kedengaran dalam setiap kali pilihanraya umum atau pilihanraya kecil. Sepatutnya perkara ini tidak menjadi isu. Sesiapa sahaja yang layak menjadi pemimpin, maka dialah sepatutnya dipilih. Apa guna ‘orang tempatan’ kalau kualifikasi sebagai pemimpin tidak dipenuhi. Mungkin isu orang tempatan ada juga sedikit relevannya jika pilihanraya itu dalah kerusi DUN. Tetapi relevan itu sangat sedikit. Jika pemimpin itu bagus, tidak perlu pun dia berada dalam DUN itu untuk menyalurkan khidmatnya kepada rakyat.
Bagi kerusi parlimen pula, kriteria calon yang sepatutnya sebati dalam minda rakyat, adalah pemimpin yang dipilihnya kelak mampu membawa visi dan misi membangunkan negara secara keseluruhannya. Pemimpin peringkat parlimen sepatutnya dari kalangan mereka yang mempu berbahas mempertahankan kebenaran dan mampu berhujah dalam mendepani sesuatu isu. Akibat memilih pemimpin kononnya ‘anak tempatan’, tanpa memikirkan kriteria ini, kita dapat lihat betapa ramai ahli-ahli parlimen yang membisu, dan tidur sahaja dalam dewan parlimen. Mereka hanya menyokong sesuatu usul hanya berdasarkan mereka dari parti mana, tanpa berhujah bagi kepentingan rakyat yang memilihnya. Maaflah, itu bukan pemimpin sepatutnya diperingkat parlimen! Pak cik kampung, JKKK dipilih menjadi ahli parlimen, maka membisulah dia, dan angguklah dengan usul partinya sekalipun usul menaikkan harga minyak yang membebankan orang kampungnya.
Contohilah bagaimana kebijaksanaan penduduk Madinah memilih pemimpin. kabilah Aus dan Khazraj tidak memandang kepada ‘anak tempatan’ dalam memilih pemimpin mereka. Mereka memberi taat setia kepada Nabi Muhammad S.A.W sebagai pemimpin, tidak kepada orang tempatan Abdullah bin Ubai bin Salul, yang sebelum itu diwar-warkan bakal menjadi ketua Madinah. Walhal semangat kenegerian masyarakat ketika itu sangat tinggi. Label-label orang Mekah dan orang Madinah menggambarkan betapa mereka mempunyai semangat kenegerian dan semangat ‘anak tempatan’. Tetapi pada saat Aus dan Kazraj yang sering bertelingkah, mereka memerlukan seorang pemimpin yang boleh menyatukan mereka. Mereka lebih memberi kepercayaan kepada RasuluLLAH walaupun RasuluLLAH adalah ‘orang Mekah’. Lihatlah betapa kukuhnya penyatuan ukhuwwah bukan sahaja antara Aus dan Khazraj yang sebelum itu bertelingkah, malah mereka dapat pula menerima kaum Muhajirin ‘orang-orang Mekah’
Dua tiga contoh yang dibentangkan menggambarkan minda politik rakyat masih ditahap rendah. Bukan semua, tetapi rata-rata begitu. Ingat, PR menang banyak kerusi bukan kerana rakyat faham sepenuhnya isu. BN masih mempunyai talian hayatnya jika mentaliti rakyat masih ditahap ini. Model Ekonomi Baru adalah cubaan manipulasi minda rakyat. Penguasaan media adalah senjata yang masih kuat dihunus oleh parti pemerintah dalam mendepani gelombang perubahan mentaliti politik rakyat. Sampai bila kita akan terus begini?

One Response

  1. setuju dgn tuan penulis blog. itulah hakikat yg terpaksa diterima oleh sesiapa yg nak jd calon. rakyat mmg lama dicengkam oleh ketidakmatangan. sape yg buatkan rakyat jdn x matang? tepuk dada tanyalah diri sendiri.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: