USM Apex, ada sesuatu yang kita kena fikir…

Suatu malam, lepas solat Isyak, aku dan sahabatku Azwadi, berbual-bual dengan Ustaz Yusof. Dalam banyak-banyak topik perbualan, aku suka kepada fokus universiti Apex yang diutarakan oleh ustaz. Menurutnya, title universiti Apex ini terlalu tergesa-gesa untuk diperoleh, dan akan mengakibatkan banyak perkara akan terlepas pandang. Sebelum ini aku pernah terfikir, tidakkah perlaksanaan program Apex untuk seluruh USM terlalu drastik dan bagaimana kemampuan semua warga dan fasilitinya. Tentu sekali memerlukan satu mujahadah dan kerja yang amat keras untuk memperolehinya.
Sembang-sembang dengan ustaz malam itu agak selari dengan apa yang aku fikirkan. Aku banyak mendengar input dari ustaz yang juga merupakan staff USM yang terlibat secara langsung dalam program Apex ini. Idea-idea aku diperkuat oleh hujah-hujah yang ustaz kemukakan dalam sembang-sembang kami. Walaupun ia hanya sembang-sembang, tetapi ada inputnya. Program Apex adalah sangat tergesa-gesa, walaupun kita nampak banyak kebaikan yang kita akan peroleh. Kita bukan sahaja akan gah pada nama semata-mata tetapi dalam pelbagai sudut dari kacamata ketamadunan. Akan tetapi, kecemerlangan yang akan kita peroleh yang harapannya sangat gemilang ini, mungkin kita akan kehilangan sesuatu yang lebih besar. Kebimbangan ini dicetuskan oleh ustaz Yusof.

Beliau memberi contoh kemajuan tamadun Islam di Cordova, yang pernah menjadi ibu segala pusat keilmuan dunia, akhirnya sekarang hilang dari peta dunia. Zaman kegemilangan Cordova itu telah melahirkan pelbagai tokoh Islam yang kita ketahui, seperti Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, dan sebagainya. Kegemilangan ilmu dan keilmuan sangat tinggi ketika itu. Tetapi bagaimanakah kegemilangan Cordova itu tidak dapat dipertahankan sedangkan zaman itu adalah zaman keemasan kepada ketamadunan ilmu. Apakah keghairahan mengejar ilmu sehingga mereka sampai ke tahap taksub kepada kehebatan ilmu sehingga lupa kepada perkara basic yang sepatutnya diperkukuh? Itu aku tidak mahu komen. Ustaz juga meninggalkan tanda soal di situ untuk kita sama-sama berfikir.

Lihat pula dalam isu universiti Apex ini. Kita seperti terkejar-kejar dengan status Apex, yang seolah-olah mahukan perubahan mendadak dalam kemajuan USM ke arah 100 universiti terbaik dunia. Ya, kita mungkin akan dapat status antara 100 universiti terbaik dunia, tetapi pernahkah kita terfikir kesan sampingan yang boleh membuatkan kita hilang sesuatu yang lebih besar? Walaupun ada orang kata, tak perlulah terlalu memikirkan kesan negatif, sebaliknya bekerjasama dengan sistem yang sedang bergerak ke arah matlamat itu dengan fikiran yang positif, tetapi tidak salah untuk kita letakkan kebimbangan-kebimbangan tertentu sebagai muhasabah.

Apa yang kita mungkin akan hilang? Tamadun Cordova suatu ketika dahulu tidak pernah terfikir mereka akan lenyap dari peta dunia – hanya tinggal sejarah. Mereka mungkin tidak pernah meletakkan kebimbangan-kebimbangan tertentu yang memberi kesan buruk kepada tamadun tersebut kerana beranggapan ketamadunan yang sangat tinggi yang mereka capai ini adalah sukar diruntuhkan. Akhirnya mereka kehilangan permata yang mereka bina. Ketamadunan ilmu mereka diambil oleh pihak Barat yang akhirnya berjaya membangunkan tamadun Barat.

Kita lihat USM Apex, beberapa tanda yang kita perlu lihat sebagai kebimbangan yang boleh menjadikan kita berputih mata kelak walaupun USM sudah bergelar universiti antara 100 terbaik dunia. Lihatlah hari ini, siapakah yang mendominasi kecemerlangan akademik dalam USM? Kita tahu jawapannya. Ada pihak yang berbangga bahawa para pensyarah, penyelidik, dan sebagainya, semuanya ‘orang kita’, tetapi dalam jangka panjang, siapa boleh jangka? Perhatikanlah para penyelidik yang hebat-hebat, siapakah yang menjadi pelajar PhD-nya, pelajar Master-nya dan orang-orang sekelilingnya. Jadi bagaimana masa depan umat Islam dalam USM? Apakah ini petanda awal kita akan berputih mata kelak sedangkan pihak kerajaan dan pentadbiran kita hanya mengejar nama Apex semata-mata? (Maaf jika tidak berkaitan)

Kita bersyukur, USM terpilih sebagai Universiti Apex. Kita punya persediaaan ekonomi untuk ke arah itu. Apabila punya peruntukan ekonomi yang baik, fasiliti yang baik akan dapat direalisasi. Tetapi bagaimana dengan persediaan insani? Adakah semua warga USM ini akan berubah mentalitinya secara mendadak daripada bergerak secara constant speed kepada accelerated speed? Ustaz Yusof memberi anologi seperti pokok asam yang buahnya dikehendaki manis. Maka pokok itu akan dipaksa dengan pelbagai baja dan ramuan, akhirnya pokok asam itu akan berbuah manis. Berjaya dari sudut itu. Tetapi apabila benihnya ditanam semula, hasilnya akan kembali menjadi buah asam yang masam jua sifatnya. Begitu jua USM. Pasti akan ada sesuatu yang tidak kena kelak jika kegemilangan dicapai sebelum masa matangnya.

Aku berkesimpulan bahawa kita tidak menghalang program Apex dan merendah-rendah status Apex kepada USM. Tetapi setiap pandangan ada nilainya tersendiri. Dalam mengejar Apex, perlu wujud satu force yang besar untuk memperkukuh basic, supaya kita terselamat daripada kesan negatif disebalik kejayaan USM Apex nanti. Team untuk menjaga basic perlu sehebat team yang bergerak ke arah Apex. Barulah peristiwa jatuhnya kegemilangan Cordova dapat dielakkan daripada terjadi kepada USM yang kita cintai. Belajar daripada sejarah bukanlah hanya dengan mengetahui bila, di mana dan siapa, tetapi ambillah iktibar , ‘ibrah dan renungi corak pemikiran pelaku-pelaku sejarah ketika itu. Kita sudah digazet sebagai universiti Apex, maka tiada alasan untuk kita mundur kebelakang semula. Perjuangan mesti diteruskan.

Apa perkara basic yang kita perlu perkuatkan? Aku serah kepada kalian untuk terjemahkan apa itu basic..

Mungkin orang lain ada komen berbeza, silakan….

Advertisements

Pengajian Islam di USM akan membebankan mahasiswa?

Kenapa perlu Islamic Study… bla-bla…

Itu reaksi pertama dan spontan daripada seorang pelajar non-Muslim apabila seorang sahabat mencadangkan agar subjek Islamic and Moral Study diperkenalkan sebagai subjek elektif atau kursus wajib universiti, dalam satu program talk petang semalam, mengenai cadangan mahasiswa kepada perlaksanaan program-program Universiti Apex.

Gambar Hiasan

Kita yang berada di USM Kampus Kejuruteraan, bermula dari tahun pertama, sehingga tahun akhir, hatta ijazah tinggi sekalipun, tidak ditawarkan sebarang kursus sedemikian. Dengan kata lain, kursus-kursus kejuruteraan di USM ini terpisah terus daripada roh Islam. Sahabat yang mencadangkan tadi menjelaskan sebab perlunya kursus tersebut kepada mahasiswa dan Universiti Apex.

Pelajar non-Muslim tersebut tidak berpuas hati dengan title Islamic Study, lalu mencadangkan dimansuhkan Islamic, diganti dengan Culture Study. Nampaknya Islamofobia tetap wujud dalam masyarakat hari ini.

Saya tidak bersetuju. Ia akan menambah beban pelajar

Lebih kurang begitu bunyinya suara seorang mahasiswa Muslim yang membantah cadangan memperkenalkan Islamic Study. Kalau pelajar non-Muslim tadi, kita faham, yang dia tidak faham mengenai Islam. Islamofobia bersarang dalam benaknya. Tetapi mengejutkan apabila mahasiswa Islam sendiri menolak cadangan tersebut.

Jika kita letakkan sebagai subjek elektif, ia tidak membebankan

Sahabat yang mencadangkan bersuara. Dialognya lebih kurang begitulah.

“Setelah jadi Universiti Apex, pelajar undergrad akan berkurangan. Apa yg akan terjadi kalau terlalu banyak subjek ditawarkan? Siapa yang nak ambil?” bantahnya lagi.

Ah, itu pemikiran yang prejudis terhadap apa saja yang berkaitan dengan Islam. Sedangkan subjek Bahasa Russia, Bahasa Perancis, ditawarkan, berapa kerat mahasiswa yang daftar? Kenapa tidak timbul isu tiada orang nak ambil kursus itu?

Lagipun subjek-subjek Islamik itu sudah diajar di sekolah-sekolah dulu

Dia terus berhujah untuk menolak cadangan murni sahabat tadi. Sedangkan pelajar non-Muslim tadi hanya berdiam diri sahaja, mungkin berasa lega disebabkan orang Islam sendiri yang sanggup menjadi jurucakapnya – menolak cadangan Islamic Study itu.

Jika begitu, mansuhkanlah subjek BM (LKM400) dan BI (LMT100, LSP 300, LSP404 dll) di USM.

Pantas saja sahabat yang mencadangkan itu menjawab. Dialog seterusnya tidak ku ingat. Tetapi sedikit perdebatan kecil berlaku. Akhirnya perkataan islamic itu digugurkan daripada cadangan asal, bertukar menjadi Culture, Moral and religion study… lebih kurang begitulah.

Bagaimana pandangan kita mengenai perkara di atas?
Baru satu usaha mencadangkan sahaja, sudah ditolak. Islamofobia jelas bersarang dalam diri non-Muslim, dan sikap prejudis pula wujud dalam sesetangan mahasiswa Muslim.

Sepatutnya, kita selaku Mahasiswa Islam akan berbangga jika cadangan itu dilaksanakan. Pengajian Islam di kampus Kejuruteraan, menjadi kursus elektif, atau option pun sudah memadai untuk permulaan. Tidak perlu timbul isu tiada orang yang akan ambil, sudah belajar di sekolah, mahasiswa sudah matang dan boleh fikir sendiri, membebankan dan sebagainya.

Kita lihat sahaja subjek Bahasa Russia. Apa relevannya belajar bahasa Russia, melainkan kepada mereka yang ingin ke Russia? Berapa ramai yang daftar kursus tersebut. Jika sedikit kenapa tidak dimansuhkan, sedangkan subjek Islamic Study yang belum tentu sedikit yang mendaftar, ditolak mentah-mentah cadangan tersebut.

Apa pula relevannya belajar subjek Teknik Berfikir? Pada dasarnya, Teknik Berfikir membantu pelajar belajar berfikir secara sistematik dan profesional. Tetapi hakikatnya subjek tersebut tidak mempamerkan output yang sepatutnya. Maka apa salahnya diperkenalkan Islamic Study. Sesiapa yang tak mahu ambil, tiada siapa yang paksa ambil.

Jika pelajar non-Muslim tersebut tidak suka kepada title Islamic Study, tak usah lah ambil. Kenapa dia tidak mahu mencadangkan agar subjek Bhuddism/Hinduism/Christian Study diperkenalkan? Biar penganut-penganut mereka yang mendaftar. Kenapa sibuk menganggu cadangan mengenai Islam?

Program yang MPP anjur tersebut adalah untuk mahasiswa memberi cadangan. Jadi berilah apa saja cadangan. Seterusnya pihak atasanlah yang akan memutuskannya. Tidak perlu timbul tidak bersetuju dengan cadangan itu dan ini kerana bukan kerja kita. Itu kerja pentadbiran universiti.

Berbalik kepada sikap prejudis terhadap title Islam. Sebagai mahasiswa Islam kita harus fahami betapa perlunya pendidikan Islam setiap masa dan peringkat. Bukan hanya di sekolah sahaja. Kita tidak wajar mengenepikan Pengajian Islam semata-mata kerana kita adalah pelajar kejuruteraan.

Wahai sahabat-sahabat MPP yang ada. Bukalah minda, cadangkanlah sesuatu yang boleh membantu mahasiswa Muslim memahami aqidah Islam, akhlak Islam dan sebagainya. Kita tidak mahu produk Universiti Apex yang rosak akhlak dan tidak takut kepada ALLAH. Jika sahabat-sahabt MPP berjaya membuat suatu perubahan ini terhadap sistem akademik USM terutamanya kampus kita ini, yakinlah kepada ganjaran yang ALLAH akan berikan kepada kalian.

Akan tercatat dalam sejarah, anda adalah sebahagian yang berjuang mewujudkan pengajian Islam dalam kampus ini. Walaupun anda tidak sempat mengikuti subjek tersebut, tetapi anda sudah berjasa kepada generasi Mahasiswa Muslim seterusnya. Walaupun tidak sebesar mana, kita boleh mengharapkan bahawa itulah amal-jariyah kita selagimana terlaksananya kursus tersebut dan bukti kita cintakan Islam. Wallahu A’lam.

Artikel berkaitan :Tidak lengkap USM tanpa Pengajian Islam

Tahniah, USM cipta kamera perubatan pertama negara!

USM Induk | Pro Mahasiswa USM mengucapkan tahniah kepada Universiti di sini dan Dr. Zainal Ahmad Rajion sendiri atas penemuan terbaru mereka dalam bidang perubatan. Ciptaan tersebut dikenali sebagai Kamera MyCranio dan MyCast. Tahukah kita apa itu Kamera MyCranio dan MyCast?

Jika sebelum ini proses mengukur muka pesakit dijalankan secara manual menggunakan pita ukur dan pembaris, kini ia boleh dilakukan menggunakan kamera untuk mendapatkan hasil yang lebih tepat.

Kamera MyCranio dan MyCast itu dicipta oleh pensyarah Fakulti Sains Pergigian Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Zainul Ahmad Rajion bersama-sama seorang lagi pensyarah dari Fakulti Kejuruteraan dan Sains Geoinformatik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Zulkifli Majid.

Ciptaan pertama seumpamanya di Malaysia itu yang melibatkan kepelbagaian bidang kepakaran iaitu kejuruteraan, kedoktoran dan sains komputer itu membolehkan doktor mengambil gambar pesakit sebelum data seperti ukuran muka, tulang atau gigi pesakit dianalisis dan diproses.

Menurut Dr. Zainul, MyCranio dikhaskan untuk mengukur muka pesakit dan kini digunakan untuk memproses tisu muka lembut dan membuat imbasan muka di jabatan radiologi serta pakar bedah plastik untuk merawat kecacatan muka serta tengkorak.

MyCast pula berfungsi untuk mengukur bahagian bukan muka seperti tulang dan digunakan di klinik pergigian untuk mengukur saiz gigi yang akan dibentuk semula.

Kamera ini kini digunakan di Hospital Universiti Kubang Kerian, Kelantan sejak empat bulan lalu bagi membuat pengukuran muka pesakit,” katanya pada sidang media di USM semalam.

Tambah beliau, kamera itu memiliki kelebihan berbanding kaedah manual atau menggunakan laser kerana masa yang diambil untuk mengambil gambar adalah lebih singkat iaitu antara dua atau tiga saat berbanding laser (19 saat) dan manual (20 minit)

Selain itu ukuran yang dihasilkan juga lebih tepat iaitu perbezaan hanya 0.03 milimeter (mm) menggunakan kamera itu berbanding manual (3 hingga 5 mm) dan laser (2 hingga 4 mm).

Tahniah USM – Universiti Apex pertama


PUTRAJAYA 3 Sept. – Universiti Sains Malaysia (USM) dipilih sebagai universiti Apex pertama selepas mengetepikan tiga lagi universiti yang turut disenarai pendek iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, pemilihan itu bermakna USM kini memikul peranan penting untuk menjadi universiti terbaik dunia dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

”USM dipilih sebagai universiti Apex selepas ia diberi penilaian yang lebih tinggi dalam tiga aspek iaitu keadaan semasa, kesediaan untuk berubah dan penyediaan pelan transformasi,” katanya pada sidang akhbar di kementeriannya di sini hari ini.

Universiti Apex ialah pengiktirafan yang diberikan kepada institusi pengajian tinggi tempatan untuk menjadi penanda aras di peringkat dunia dalam bidang pengajian tinggi.

Di bawah program itu, USM disasarkan untuk disenarai dalam ranking 100 universiti terbaik dunia dalam tempoh lima tahun dan ranking 50 terbaik menjelang 2020.

Ditanya mengapa universiti tertua iaitu UM tidak dipilih, Khaled berkata, sejarah bukan faktor yang diberi penilaian dalam pemilihan universiti Apex.

”Ia bukan tentang mana universiti yang lebih awal ditubuhkan, ia adalah mengenai universiti mana yang boleh mencapai transformasi pengajian tinggi ke arah bertaraf dunia,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan USM sebagai universiti Apex akan merangsang universiti-universiti lain untuk meneruskan usaha ke arah kecemerlangan di peringkat dunia.

”Ini tidak bermakna selepas USM dipilih sebagai universiti Apex, universiti lain akan ditinggalkan.

”Kita bukan nak letakkan ranking antara universiti ini, ketiga-tiga universiti penyelidikan yang lain juga mempunyai kekuatan sendiri,” katanya.

Mengenai autonomi urus tadbir dan peruntukan yang akan diberikan kepada USM, Khaled berkata, perkara tersebut akan dibincangkan dengan pihak universiti.

”Soal urus tadbir dan kewangan serta pelan pelaksanaan program Apex akan dibincangkan. Kita akan panggil mereka untuk mewujudkan pelan implementasinya.

”Universiti Apex akan kemukakan cadangan bajet untuk tempoh lima tahun dalam pelan transformasinya. Kita akan pertimbangkan cadangan itu setiap kali bajet negara dibentangkan,” katanya.

Ditanya sama ada lebih banyak universiti akan dipilih untuk menyertai program Apex, Khaled berkata, perkara itu akan ditentukan melalui prestasi USM.

”Jika USM bergerak cepat, mungkin kita akan pertimbangkan untuk mewujudkan lebih banyak universiti Apex,” katanya.
===================================================================
PUTRAJAYA: Universiti Sains Malaysia (USM) dipilih sebagai Universiti Apex pertama, mengetepikan beberapa institusi pengajian tinggi lain termasuk universiti tertua negara, Universiti Malaya (UM). 

Keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Pemilihan Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (Apex) selepas mendapati USM memenuhi syarat dan kriteria yang ditetapkan. 

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika mengumumkannya berkata, USM mengatasi universiti saingan lain berdasarkan tiga kriteria iaitu tahap kesediaan, pelan transformasi dan kesediaan untuk berubah. 

 

“Penilaian yang kita gunakan untuk memilih USM adalah berasaskan sudut kuantitatif dan kualitatif yang masing-masing bersandarkan kepada tahap kesediaan untuk melalui transformasi dan pencapaian akademik,” katanya pada sidang media di kementeriannya, semalam. Hadir sama, kedua-dua Timbalannya, Datuk Idris Haron dan Datuk Dr Hou Kok Chung. 

Selain USM dan UM, lima lagi institusi pengajian tinggi awam yang mengemukakan permohonan untuk menjadi Universiti Apex adalah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). 

Dua institusi pengajian tinggi swasta, Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Tenaga Nasional (Uniten), turut mengemukakan permohonan. Universiti Apex akan diberi autonomi dari segi kewangan, skim perkhidmatan, pengurusan, pengambilan pelajar, kepemimpinan tertinggi dan penetapan yuran pengajian. 
 

Mohamed Khaled berkata, sepanjang tempoh pemilihan sebagai Universiti Apex, USM perlu berada di antara 100 universiti terbaik dunia dan senarai 50 universiti terbaik dunia pada 2020. 

“Kita perlu lihat dan menilai pencapaian USM dengan kertas cadangannya bertema ‘Perubahan Pengajian Tinggi Untuk Kestabilan Hari Esok’. Dalam tempoh berkenaan dan selepas itu barulah keputusan akan dibuat sama ada perlu pemilihan Universiti Apex lain atau tidak,” katanya. 

Ditanya kenapa UM sebagai universiti tertua negara tidak terpilih, Mohamed Khaled berkata, pemilihan bukan berdasarkan usia tetapi keupayaan membawa perubahan dalam sistem pendidikan tinggi sehingga mencapai tahap dunia. 

“Pemilihan USM tidak bermaksud universiti lain dipinggirkan, sebaliknya akan menjadi perangsang kepada universiti yang tidak terpilih untuk terus berusaha mencapai status yang lebih baik dan bertaraf dunia,” katanya. 

Mengenai aspek pembiayaan, Mohamed Khaled berkata, perkara itu akan dimasukkan dalam setiap bajet tahunan yang akan diumumkan kerajaan dalam merangka pelan transformasi selama lima tahun. 

Sementara itu, Timbalan Pendaftar USM, Mohamad Abdullah, dalam kenyataannya berkata pemilihan universiti itu sebagai Universiti Apex akan menjadi pendorong utama untuk memartabatkan pengajian tinggi ke peringkat dunia. 

Beliau berkata, USM mahu melonjakkan usaha mentransformasikan pengajian tinggi bagi mewujudkan dunia yang sejahtera berteraskan pembangunan lestari. 

“USM menjadi pusat kepakaran serantau bagi pendidikan lestari dengan adanya Pusat Latihan Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sejak 2005. Ini adalah pengiktirafan yang besar kepada USM dan ia kejayaan seluruh warga kampus, apalagi dalam sambutan 40 tahun universiti,” katanya.

==================================================
Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini berjaya dipilih untuk menyertai Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan atau Apex dengan mengenepikan tiga lagi universiti termasuk Universiti Malaya (UM). 
   –
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pemilihan USM adalah berdasarkan kepada pelan tranformasi dan kesediaannya untuk berubah seperti yang terkandung dalam kertas cadangnnya, memenuhi kriteria pemilihan yang diperlukan.
   –
“Pemilihan bagi program Apex tidak hanya melihat kepada pencapaian dan kecemerangan lepas tetapi lebih kepada perancangan masa depan serta sama ada universiti itu dapat mencapai status bertaraf dunia dalam tempoh yang diberikan iaitu lima tahun,” katanya semasa mengumumkan pemilihan USM di Putrajaya hari ini, demikian menurut laporan Bernama.
   –
Dalam tempoh itu USM mesti berada di antara 100 universiti terbaik dunia dan berada di dalam senarai 50 universiti terbaik dunia pada 2020, katanya yang juga yakin USM mampu mencapai universiti bertaraf dunia.

“Kita lihat dulu bagaimana kejayaan USM selepas itu barulah keputusan dibuat sama ada akan terdapat satu lagi universiti dipilih untuk program Apex,” katanya.
   –
Ditanya mengapa UM sebagai universiti tertua negara tidak terpilih, Mohamed Khaled berkata: “Pemilihan USM tidak bermaksud universiti lain akan dipinggirkan, sebaliknya diharapkan ia akan menjadi perangsang kepada universiti yang tidak terpilih untuk terus berusaha mencapai status yang lebih baik dan bertaraf dunia.”
   –
Sembilan universiti seluruh negara telah menghantar permohonan dan hanya empat universiti iaitu USM, UM, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) disenarai pendek.
   –
Kertas cadangan USM bertemakan “Transforming Higher Education for a Sustainable Tomorrow”. 
   –
Universiti Apex ialah pengiktirafan yang diberikan kepada IPT tempatan yang menjadi penanda aras di peringkat dunia dalam bidang pengajian tinggi dan dijanjikan autonomi dari segi kewangan, skim perkhidmatan, pengurusan, pengambilan pelajar, kepimpinan tertinggi dan penetapan yuran pengajian.