Hijau Kuning the legend…

Abaikan sekejap cerita biru dan hijau. Kita jeling sikit dengan berita Hijau Kuning… Final Piala FA. Kedah vs Nogori. Maaflah orang Nogori. Den bias Kedah sikit entry ni. Bukan asobiyyah. Hehehe….
KUALA LUMPUR – Bekas jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah meramalkan skuad “Hijau Kuning” mampu menjulang Piala FA apabila menentang Negeri Sembilan pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, esok.
Beliau, yang kini membimbing skuad bawah 21 tahun kebangsaan atau Harimau Muda A pada liga di Slovakia, berkata, walaupun Kedah dibarisi ramai pemain muda, ia bukan penghalang.
“Pemain muda ini sebenarnya mempunyai pengalaman bermain di peringkat yang lebih tinggi berbanding lawan, seperti Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) serta beberapa perlawanan akhir,” katanya semalam. Baca lagi…
Ok… itu ramalan bekas Jurulatih Kedah, Azraai Khor, yang pernah membimbing pasukan Hijau Kuning hingga digelar Juara Treble berganda. Pasukan Kedah pernah dianggap hanya bergantung kepada kehebatan ayam-ayam tambatan import. Selepas FAM tak benarkan semua pasukan menggunakan khidmat pemain import, prestasi Kedah dilihat merosot seolah-olah membenarkan anggapan-anggapan sebelumnya. Sehinggakan prestasi permulaan pengurusan dan jurulatih baru turut dipertikai sesetengah pihak. Dan, kemaraan ke perlawanan akhir malam esok membuktikan anggapan-anggapan tersebut meleset. Menang atau kalah, pastinya Kedah akan terus diwaspadai oleh pasukan-pasukan lawan sebagai lagenda juara treble berganda (caishh… pandai-pandai label sendiri).
Ok… siap satu bab mengipas pasukan Kenari. Masuk pulak bab ramalan. Ramalan sana, ramalan sini. Seseorang hanya boleh meramal, dan tidak mampu menjamin sesuatu yang belum berlaku itu akan berlaku. Biasalah, kita semua manusia yang lemah. Ramal tiada masalah. Cuma beriman dengan ramalan sahaja yang sebenarnya bermasalah. Bunyi saja ramalan yang menyebelahi pasukan sendiri, mula lah syok dan rasa macam confirm menang. Apatah lagi kalau ramalan itu diutarakan oleh figure yang pernah ‘berjaya’ dalam ramalannya. Awas… ketika itu iblis akan mencucuk jarumnya yang boleh mencarikkan aqidah kita. Statement ini hanya sekadar peringatan. Rasanya peminat dan penyokong pasukan Kedah ke, N9 ke… takda lah sampai beriman dengan ramalan.
Oh ya… sape agaknya akan menang? Tanya orang Kedah, mesti depa nak Kedah memang. Ramalan pon musti hala ka menang. tanya orang nogori, mesti nak jang monang. Ramalan pun nogori laa yang monang jo… atas kertas nampak macam ___________. atas padang kita tunggu tengok jaa.
Settle bab ramalan. Kita intai pula bab cakap besar. Haa… yang ni ramai yang tak mampu control. Bila dah fanatik terlebih, cakap-cakap besar kedengaran. Lebih malang, bukan setakat cakap besar kelebihan sendiri, tetapi turut merendah-rendah pihak lain. Walaupun sekadar nak bagi motivasi kepada pemain, tapi awas. You are being watched! Sombong, angkuh, berlagak…. semua tu memang tak best dipandang. Tak kira pemain, coach, pengurus pasukan, presiden atau penyokong, elaklah dari beramal dengan sifat-sifat mazmumah tu. Sesuai dengan pembawaan kerajaan negeri yang diperintah oleh Ustaz, presiden KFA pun Ustaz, dalam pemain pun ada ‘ustaz’, insyaALLAH, pasukan Kenari tetap akan merendah diri sekalipun berjaya terbang tinggi.
Takat tu laa dulu. Kita tengok saja laa…. nak main tak reti. Ambo takat jadi coach bulih laa… hehehe. Bola-bola jugak. Yang pi stadium tu ingat-ingat ALLAH selalu. Takut stadium runtuh, tak dan buat apa… Solat maghrib dan isya jangan tersengaja lupa pulak. Solat jama’ boleh ke? Tujuan tengok bola…?? haaa… pi tanya ustaz Azhar Idrus…. 😀

Ini Presiden bola Kedah
bawah ni Presiden bola Nogori…

WaLLAHu a’lam…

Jurulatih Pasukan Bola Sepak Kedah, Azraai Khor ancam letak jawatan

PANTAI timur ketika ini sedang dilanda banjir, di utara pula sedang bergelora.

Gelora di utara agak pedih bunyinya berbanding di pantai timur yang menyaksikan Kelantan sekadar kehilangan tiga mata sebelum turun gelanggang.

Di utara, juara treble, Kedah bakal kehilangan jurulatih.

Barisan jurulatih Kedah akan letak jawatan jika pengurusan pasukan terus tidak memainkan peranan dengan berkesan.

Mereka yang terdiri daripada Mohd. Azraai Khor Abdulah, Radhi Mat Din dan Ahmad Sobri Ismail akan melepaskan jawatan masing-masing jika pengurus pasukan tidak dapat menjalankan tugasnya dengan baik.

Azraai berkata, beliau dan dua pembantunya bersedia menerima sesiapa sahaja untuk menjadi pengurus skuad Kenari jika individu itu dapat melaksanakan tugasnya dengan baik.

Namun katanya, tindakan melepaskan jawatan jurulatih akan dilakukan sekiranya pengurus pasukan tidak dapat menjalankan tanggungjawabnya yang dilihat menyukarkan tugas mereka.

“Tindakan ini bukanlah untuk membantah keputusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) semalam (kelmarin) tetapi hanya untuk kebaikan bersama dan kemajuan pasukan ini.

“Kami (barisan jurulatih) menghormati keputusan KFA dan berharap pengurus dapat meluang masa bersama pasukan dan jika perkara itu tidak dilakukan kami akan tinggalkan jawatan ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Semalam, Kosmo! melaporkan Datuk Othman Aziz disahkan sebagai pengurus Kedah oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Namun difahamkan, Othman sebelum ini tidak mengikuti perkembangan pasukan serta tidak lagi mengiringi pasukan dalam mana-mana perlawanan termasuk di tempat sendiri.

Malah, Othman juga didakwa tidak setia terhadap pasukan apabila melepaskan dua pemain tanpa berbincang serta mendapat restu dengan barisan jurulatih pada tahun lalu sedangkan ketika itu skuad Kenari kekurangan pemain untuk mengharungi Liga Malaysia (Liga M).

Menurut Azraai, barisan pemain Hijau Kuning memerlukan seorang pengurus yang dapat meluangkan masa ketika latihan dijalankan selain mengambil tahu masalah mereka.

Ini kerana jelasnya, sejak setahun lalu kebajikan pemain yang menjadi tanggungjawab pengurus telah diabaikan.

Sumber: HijauKuning.Com

Brazil uji bisa Kenari

JUARA tiga piala musim lalu, Kedah kemungkinan besar bertemu skuad bekas pemain Brazil pada 7 November ini di Stadium Darulaman sebagai perlawanan ujian pertama, kata ketua jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah.

Menurutnya, kini Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) hanya menunggu lampu hijau daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi meneruskan perlawanan bersejarah itu yang memberi peluang kepada peminat bola sepak tempatan menyaksikan kehebatan bekas pemain antarabangsa Brazil itu.
“Perlawanan ini bermatlamat mengutip derma bagi membantu mangsa ribut di Myanmar dan skuad Brazil ini dibawa oleh persatuan keagamaan negara itu.

“Saya rasa inilah ujian pertama bagi kita untuk menilai kemantapan pasukan yang dibarisi empat pemain baru,” katanya. Sumber: -Harian Metro-


Hijau Kuning vs Kuning Hijau ….

Kedah ada peluang

KUALA LUMPUR – Jika Kedah kehilangan trio importnya – Marlon Alex James, Bernard Huggins dan Nelson San Martin, nasib Al Muharraq pula lebih teruk kerana turun ke suku akhir pertama bola sepak Piala AFC hari ini tanpa enam tonggak yang masih bersama skuad kebangsaan Bahrain.

Ia sekali gus membuka sedikit peluang untuk juara tiga piala Liga Malaysia itu menyambar sekurang-kurangnya satu mata dari Stadium Kebangsaan, Manama sebagai bekalan semangat apabila menanti lawan di Alor Star dalam suku akhir kedua, 23 September ini.

Ketiadaan mereka disahkan oleh jurulatih Al Muharraq, Salman Sharida kepada laman web Gabungan Bola Sepak Asia (AFC), the-afc.com di Manama, semalam, dengan menambah, khidmat kesemua tonggak itu cuma dapat diperoleh semula pada Khamis ini.

“Persediaan kami terjejas tanpa mereka setelah kami turut kehilangan penjaga gol utama, Ali Hassan kerana kecederaan perut, Hamad Al Dakeel (betis) dan penyerang dari Brazil, Leandson Silva yang baru terbabit dengan kemalangan kereta,” katanya.

Salman juga tidak memperlekehkan kemampuan Kedah walaupun Muharraq mempunyai kelebihan gelanggang sendiri selain dengan reputasi gah selaku naib juara Piala AFC 2006 dan juara Liga Bahrain sebanyak 30 kali.

“Kami mesti mendapatkan kelebihan awal dengan memenangi perlawanan ini tetapi lawan tetap sebuah pasukan yang tersusun dan jika tidak bagus, mereka tidak akan sampai sejauh suku akhir Piala AFC ini,” katanya.

Muharraq bagaimanapun sempat mengadakan persediaan dengan beraksi dalam Liga Juara-juara GCC bulan lalu malah berhasrat menghadiahkan kemenangan untuk penyokong sendiri.

Marlon, penjaring terbanyak Liga M 2007-2008 dan Huggins sudah pun berhijrah ke Vancouver Whitecaps di Liga Bola Sepak Utama (MSL) Amerika Syarikat sementara Nelson pulang ke negara asal, Chile selepas membantu Kedah menjulang Piala Malaysia, Liga Super dan Piala FA.

Malah ketiadaan Marlon, penyerang St. Vincent dan Grenadines dan Nelson yang menyumbangkan lapan gol untuk membantu Kedah muncul naib juara Kumpulan D cukup dirasai oleh jurulatih, Azraai Khor Abdullah dalam persaingan kalah mati ini.

“Tugas dan cabaran kami lebih getir tanpa mereka tetapi kami tetap akan mencuba yang terbaik selepas mencapai sasaran awal dengan melepasi peringkat kumpulan. Sebarang keputusan yang bagus dalam suku akhir dianggap satu bonus bagi kami,” katanya.