Umno hanya nyamuk yang mengganggu arus gerakan Islam!




Mereka ini hanya memandang Pas hanya sekadar parti politik, yakni setaraf dengan Umno, MCA, MIC, DAP, PKR dan lain-lain. Mereka tidak nampak Pas sebagai sebuah Gerakan Islam yang berusaha menyelamatkan aqidah, akhlak, fikrah dan siyasah mereka yang dirosakkan musuh-musuh Islam untuk melawan arus kebangkitan Islam di seluruh dunia. Oleh sebab mereka masih sukar untuk beriman bahawa Islam adalah agama yang bergerak secara politik dan dinamik, maka mana-mana pertubuhan gerakan Islam yang mengambil langkah berpolitik, mereka akan menganggap itu hanya parti politik yang boleh disepak-terajang sama seperti parti-parti lain.
Pas adalah Parti Islam, yang mendukung tanggungjawab sebagai satu-satunya gerakan Islam di Malaysia yang merupakan rangkaian kepada gerakan Islam sedunia, yang lahir selepas kejatuhan sistem pemerintahan Khalifah Islam Uthmaniyyah yang berpusat di Turki. Gerakan Islam atau Harakah Islamiyyah ini menjadi tempat umat Islam seluruh dunia bergantung selpas jatuhnya penaung mereka – yakni sistem pemerintahan Islam Turki Uthmaniyyah. Gerakan Islam sedunia ini berperanan menyelamat, membela dan menyatukan umat Islam dari sudut aqidah, fikrah, akhlak, ukhuwwah dan sebagainya, bagi merealisasikan tertegak semula sistem pemerintahan Islam yang dirobek-robek oleh musuh-musuh Islam.

Maka, dengan itu tanggungjawab Pas adalah besar. Setakat Parti Melayu Umno, hanyalah nyamuk-nyamuk yang mengganggu arus gerakan Islam yang sedang bangkit dalam negara kita. Lawan Pas sebenarnya bukanlah Umno, tetapi musuh-musuh Islam seperti Freemason dan Zionisme serta ideologi-ideologi kuffar yang lain yang merosakkan umat. Umno hanyalah diperalat oleh musuh Islam samada mereka di dalam Umno itu sedar atau pun tidak. Musuh tidak menyerang dengan berdepan. Mereka menyerang menggunakan alat mereka yang terdiri daripada bangsa tempatan bagi menentang kebangkitan Islam di sesebuah negara.
Lihat bagaimana Khalifah Islam Turki jatuh kerana Mustafa Kamal Attarturk, seorang Turki.

Sistem pemerintahan Islam di Libya runtuh, kerana musuh berjaya memperalat bangsa Arab di Libya. Di Afghanistan, Hamid Karzai dan Pakatan Utara diperalat musuh untuk menjatuhkan pemerintahan Taliban. Arab Syiah diperaralat musuh untuk menjatuhkan pemerintahan Saddam. Tanpa memperalat bangsa tempatan, musuh sukar untuk menjatuhkan sesebuah negara atau sesebuah gerakan. Begitu juga di Malaysia, Umno dianuti oleh sebilangan besar bangsa Melayu diperalat oleh musuh untuk menentang gerakan Islam di Malaysia yang setakat ini didominasi oleh bangsa Melayu. Percayalah jika orang-orang Cina yang mendominasi Pas, musuh utama Pas bukan lagi Umno. Umno akan menyusut dengan sendiri, Perkasa akan berkubur. Yang akan muncul adalah parti-parti rasis Cina yang akan menentang gerakan Islam dalam negara kita.
Bukan hanya Pas sahaja yang terpaksa berdepan dengan karenah nyamuk-nyamuk ini, malah gerakan-gerakan Islam seluruh dunia terpaksa berdepan dengan nyamuk-nyamuk yang berkuasa di negara masing-masing. Di Palestin, Hamas terpaksa berdepan Fatah – dari bangsa sendiri, walaupun musuh sebenarnya adalah Zionis. Di Mesir, Ikhwanul Muslimin terpaksa berdepan dengan halangan kerajaan Mesir sendiri. Gerakan-gerakan Islam seluruh dunia boleh dikatakan sedang berjuang, sedang berdepan dengan sepak terajang kaum sendiri yang tidak memahami hakikat sebenar perjuangan Gerakan Islam.
ALLAH dan Rasul menjanjikan Islam akan menang pada akhirnya. Islam akan berada ditempatnya yang tinggi. Islam akan membebaskan segala kecelaruan manusia. Islam akan membawa keamana dan keadilan kepada manusia seluruh dunia akhirnya. Suatu ketika dahulu, orang hampir-hampir berputus asa selpas era kejatuhan khalifah. Umat Islam memang benar-benar menjadi buih, seolah-olah tidak dapat lagi menjadi kuat. Segalanya terpaksa bergantung kepada ehsan musuh. Tetapi hari ini cahaya kemenangan Islam mula terbit dengan wujudnya gerakan-gerakan Islam, walaupun permulaanya ini diperlahankan oleh agen-agen musuh dari kalangan bangsa sendiri. Namun tidak mengapa, ia menjadi rencah kepada kita untuk terus berjuang dan ALLAH menjanjikan ganjaran yang besar – syahid ataupun kemenangan.
Jika beginilah pandangan dan fikrah kita, maka kita tidak akan mudah berputus asa dalam berjuang mengenepikan Umno yang bertaraf nyamuk sahaja. Besar sangatkah Umno untuk kita meninggalkan perjuangan kita? Besar sangatkah Umno untuk kita bergabung dengan mereka? Ketahuilah, Umno bukan Melayu, Melayu bukan Umno, tetapi Umno hanyalah parti politik semata-mata.

Advertisements

hai orang-orang yang prejudis…

Mukhtamar ke-56 dah selesai.
Perjuangan al-marhum Ustaz Hassan Syukri juga sudah selesai… (Al-Fatihah).
Yang tinggal adalah melaksanakan setiap usul yang diluluskan.
Ada orang Umno tanya, apa sudah jadi dengan Pas, menggadaikan prinsip dan dasar parti sehingga sanggup bersekongkol dengan orang kafir, dan membenarkan orang bukan Islam menjadi calon.
Apa sudah jadi dengan Pas?
Pas telah membuat transformasi dalam fiqh siyasah, dan tahaluf siyasi yang bakal menjadi suatu paradigma baru politik dalam negara kita khasnya.
Orang-orang Umno fahamkah apa itu fiqh siyasah dan tahaluf siyasi? Kalau tak faham, buang masa sahaja cerita panjang-panjang. Lebih baik kalah berhujah dengan ahli-ahli ilmu daripada bertegang leher dengan orang-orang Umno dalam jahil dalam bab ilmu.
Kalau mahu faham, orang-orang Umno kena ikuti muktamar-muktamar Pas sebelum-sebelum ini. Ikuti ucapan dasar, halatuju, dan perbahasannya dengan minda yang terbuka sebelum mengkritik. Cuba selami dan fahami agenda-agenda muktamar, bukan dengan minda prejudis. Anda akan faham insyaALLAH, apa yang Pas perjuangkan. Cara begitu lebih baik jika anda mahu benar-benar faham ‘apa sudah jadi dengan Pas’. Bukan dengan cara menghadam ulasan singkat dan dangkal pemimpin-pemimpin Umno.
Begitu juga orang-orang Parti Islam, kami memahami apa agenda perjuangan Umno, kerana antara kami juga ada yang mengikuti Perhimpunan Agong Umno dalam kaca TV, secara langsung, dan diulang siar dalam berita-berita arus perdana. Kami dapat tahu apa yang Umno perjuangkan, lalu kami menolak Umno.
Anda orang-orang Umno tidak menolak perjuangan Pas melainkan hanya kerana emosi, semangat perkauman yang menebal, tidak mendapat maklumat secara terus melainkan ulasan atas ulasan semata-mata dan anda prejudis terhadap perjuangan Islam.
Kagum rasanya apabila melihat semula rentetan penubuhan Dewan Himpunan Penyokong Pas, ratusan, mungkin ribuan orang-orang bukan Islam mendengar kalimah-kalimah ALLAH yang dibacakan oleh pemimpin-pemimpin Pas dalam ucapan-ucapan mereka. Orang-orang bukan Islam mendengar dan mengetahui akan kebenaran Islam, yang selama ini mereka tidak pernah mendengarnya. Bukankah itu adalah satu langkah permulaan yang baik dalam keadaan masyarakat majmuk di negara kita?
Orang-orang prejudis tidak melihatnya sebagai peluang dakwah kepada bukan Islam. Pas sebagai Parti Islam, mahu menyatupadukan ummah pelbagai bangsa dan keturunan di bawah satu payung, yakni Islam. Berbeza dengan orang-orang yang prejudis terhadap Islam, mereka mungkin hanya berfikir secara terhad dalam bab kesatuan ummah ini, lalu timbullah konsep 1Malaysia.
Hidayah adalah milik ALLAH. Kita hanya diseru berusaha menyampaikan ayat-ayat ALLAH kepada seluruh manusia tanpa mengira kaum dan bangsa. Soal beriman atau tidak, bukan kerja kita. Mereka yang bukan Islam bebas memilih agama dan kepercayaan mereka tanpa dipaksa menganut Islam. Kita hanya menyampaikan hakikat kebenaran Islam. Tiada paksaan untuk mereka memeluk Islam. Lalu penubuhan DHPP adalah satu usaha murni ke arah merealisasikan tuntutan dakwah. Bagi orang-orang prejudis terhadap Islam, tidak hairanlah mereka akan mengatakan bahawa ‘Apa sudah jadi dengan Pas’ atau dalam ungkapan lain ‘Pas sudah lari dari prinsip perjuangan’.

Mangsa sudah sebati dengan tanah, keadilan masih kabur…

Kejadian tembak mati remaja 15 tahun adik Aminulrasyid sudah berlalu banyak hari. Keadilan masih dicari. Saksi keluar masuk memberi keterangan. Polis masih belum ‘terang’ akan keadilan yang sepatutnya ditegakkan.
Bilamana sahaja sesuatu kes melibatkan kredibiliti badan kerajaan contohnya PDRM dan SPRM, hasilnya akan kelihatan sama. Lihat kes bunuh Altantuya. Anggota polis yang terlibat dalam kes bunuh itu. Perbicaraan berlaku, saksi keluar masuk. Hasilnya?
Lihat pula Kes SPRM dengan Beng Hock yang mati akibat ‘terjatuh bangunan’. Siasatannya? Saksi Keluar masuk. Sama juga dengan kes yang masih baru, adik Amirulrasyid. Saksi terus keluar masuk memberi keterangan. Namun pihak polis masih blur. Altantuya sudah reput. Beng Hock mungkin sudah tinggal belulang. Adik Amirulrasyid semakin sebati dengan tanah. Namun hasil siasatan masih kabur. Keadilan masih tidak dapat ditegakkan. Keluarga mangsa-mangsa tersebut masih tidak mendapat keadilan.
KPN pula cuba tunjuk rajuknya, tak mahu hantar orang-orangnya menjaga keselamatan rakyat jika terus pertikai polis.
Anda tidak nampak perkara ini sebagai suatu ketidakadilan jika anda bersikap prejudis terhadap para pejuang keadilan yang membela Amirulrasyid. Anda akan terus berkokok selari dengan pihak pemerintah dan polis bahawa polis tidak bersalah. Amirulrasyid yang bersalah. Mak bapak Amirulrasyid yang bersalah. Kerana kes ini tidak berlaku ke atas anak anda. Yang mati ditembak itu bukan anak anda. Jadi anda tidak akan kasihan kepada ibu bapanya yang sudahlah bersedih kehilangan anak, terpaksa pula terus luka hati dipersalahkan oleh orang-orang seperti anda.
Ketelusan dalam sistem undang-undang kita akan semakin parah jika tidak dicegah dengan kuasa rakyat. Harapkan pemerintah yang berkuasa, mereka punya periuk nasi untuk dijaga. Usahlah anda mengharap sangat mereka. Mereka hanya pandai meraikan anda ketika mahukan undi anda. Hakikatnya anda sendiri perlu bekerja keras mengharapkan ketelusan.
Belum kena pada anda, anda tidak akan mahu sedar.
Siapakah anda?

Kalau Bebas, kenapa perlu sokong Umno/BN?

YB Zahrain, YB Zul Nordin dah jadi wakil rakyat bebas.
Sama dengan YB-YB lompat dari PKR menjadi bebas.
Bebas… Tapi menyokong Umno/BN.
Siap nak kempen untuk Umno/BN di Hulu Selangor.
Di mana prinsip perjuangan mereka sebelum ini?
Bukankah sewaktu mereka menggerakkan PKR dulu, kepincangan dan kebobrokan Umno/BN di
londeh habis-habisan? Tidak ada perkara baik pada Umno/BN. Rakyat tumpang gembira ketika mereka menang dalam pilihanraya, yang menggambarkan berjayanya mereka menumbangkan gergasi yang membusuk sampai ke usus itu. Mereka dijualng sebagai wira rakyat, di bawah panji-panji PKR-Pakatan Rakyat.
Hari ini mereka melompat. Ada yang dipecat. Isytihar jadi bebas. Alasannya, tidak sebulu dengan PKR. Alasannya sudah tidak tahan dengan karenah politik pempimpin PKR. Alasannya PKR tidak banyak membantu rakyat. Tambah perisa lagi, alasannya hilang kepercayaan kepada Dato Seri Anwar.
Terbaru, Dr Halili, bendahari PKR Hulu Selangor, turut melompat keluar PKR, dan masuk Umno.
Ya… mereka bebas menyatakan pendirian mereka. ‘Hak asasi manusia’ untuk lompat sana-sini. Kita tahu, PKR adalah parti yang masih muda. Baru kurang lebih 11 tahun. Kalau manusia, baru darjah lima. Balighnya pun belum. Jadi tak dapat dinafikan ada sedikit kepincangan sana sini. Semua itu perlu diperbaiki dari masa ke masa. PKR adalah parti yang menerima ahlinya secara pukal, tanpa tapisan, baik dari kalangan pimpinan ataupun ahli bawahan. Tak kira yang ada kepentingan ataupun yang ikhlas berjuang. Semuanya masuk dalam bakul PKR.
PKR cekal menempuh dugaan demi dugaan dalam politik. Susah payah diharungi oleh parti mentah dalam berdepan dengan parti tua yang membusuk ke usus. Ujian kesusahan dapat diharungi. PKR menang besar dalam PRU-12. Namun benarlah kata orang, ujian kesenangan lebih mencabar. Ujian selepas kemenangan adalah tapisan yang menampakkan belang-belang manusia.
Ya… setiap alasan mereka sama. Tidak setuju dengan pimpinan PKR. Hilang kepercayaan terhadap dato Seri Anwar. PKR tidak buat kerja untuk rakyat-asyik berpolitik sahaja! Jika itu alasannya, ok, silalah keluar. jadilah YB-YB bebas. Bebas bekerja untuk rakyat. bebas dan tak perlu tunduk kepada arahan-arahan parti PKR. Buatlah kerja untuk kesejahteraan rakyat, sekiranya prinsip perjuangan anda masih utuh dan tidak goyah. mungkin PKR sahaja yang membantut prinsip mereka. Fine… anda boleh keluar.
Tapi, yang menjadi masalah dan menghairankan, mereka tidak bebas sepenuhnya. Sanggup pula menghina maruah dan harga diri dengan tunduk pula kepada Umno/BN. Mudah-mudah saja memberi sokongan kepada BN. Mahu pula berkempen untuk Umno/BN! bebaskah mereka? Bukankah Umno/BN dulu jijik bagi mereka? Kali ini sanggup menjilat dan menghirup semula ludah dan kahak mereka?Jika Umno/BN busuk ke usus, PKR pula caca merba, jadi tak payahlah sokong mana-mana. Jadilah YB bebas yang sebenar-benar bebas dan kita mahu tengok setakat mana keBebasan itu memberi manfaat kepada rakyat.
Kita lihat setiap kalu ada YB lompat, mesti isytihar jadi Bebas. Dan menyokong Umno/BN… bukan menyokong sahaja, mahu berkempen pula untuk kemenangan Umno/BN.
Nyatalah perjuangan mereka sebelum ini bukanlah perjuangan ikhlas mahu membela rakyat. Tetapi hanyalah untuk kepentingan peribadi. Tidak dipilih menjadi calon, digugur daripada senarai Exco, hilang kepercayaan dan macam-macam lagi, tidak lain tidak bukan hanyalah alasan yang diskripkan oleh pihak tertentu.
Apa-apa pun, yakinlah bahawa inilah pembersihan selepas mengaut secara pukal. Membeli sebakul limau nampak banyak. Murah pula. Tapi balik rumah, yang buruk dan busuk kita buang juga.
Sampai bila PKR ini akan menjalani proses pembersihan? Masih ada lagikah biawak-biawak hidup di dalamnya? Masih adakah berudu yang mula berevolusi dan mahu melompat?
WaLLAHu a’lam…
p/s: Apakah ‘Bebas’ bermakna bebas menyokong parti mana yang disukai? Jika begitu tentu parti yang bagi duit sangat disukai… 🙂

Dasar pendidikan sekular melahirkan pejuang-pejuang jahil…

Dalam peristiwa perjanjian Hudaibiyah, Nabi SAW menyuruh Saidina Ali menulis BismiLLAHi Ar-Rahmani Ar-Rahim, maka kata Suhail bin Amru yang merupakan wakil Quraisy berkata, “Berhenti! ALLAH aku tahu, tetapi aku tidak kenal “Ar-Rahman Ar-Rahim”. “Tulislah BismiKaLLAHumma”. Maka baginda RasuluLLAH menyuruh Saidina Ali menulis BismiLaLLAHUmma.

Isu nama ALLAH hari ini semakin dipanaskan dengan demonstrasi-demonstrasi dan ada sampai bakar-bakar gereja. Pemimpin pula ada yang bermain tarik tali, tidak secara serius menangani gejala yang berbahaya ini. Apa bahaya nya? Ya, bahaya kerana ini isu agama. Mahukah isu ini menjadi meruncing kepada perbalahan agama, dan terus membakar menjadi seperti peristiwa menyayat hadi di Ambon suatu masa dahulu?
Umat Islam diajar supaya bersikap wasathiyyah. Bersederhana dalam tindakan. Kita juga diajar menggunakan akal fikiran yang waras berpandukan al-Quran dan Sunnah. Bukan menggunakan nafsu dan emosi. Nafsu dan emosi mudah dimanipulasi dan akan mengakibatkan kekeruhan dalam masyarakat 1Malaysia. Kita diajar supaya tidak menjadi ekstrim sehingga membakar rumah-rumah ibadat penganut agama lain. Hatta dalam perang sekalipun, sesiapa yang berada dalam rumah ibadat, tidak boleh diganggu.
Penggunaan nama “ALLAH” oleh Kristian tidak pun menjadi isu di negara-negara lain. Hanya orang Melayu sahaja yang melompat. Kenapa Melayu tergedik-gedik melompat jika orang bukan Islam menggunakan kalimah ALLAH? Orang Melayu bimbang aqidah umat Islam Melayu tergugat, menjadi keliru jika tuhan orang Kristian juga dipanggil ALLAH? Bimbang penggunaan nama ALLAH disalahgunakan?
Orang Islam tidak akan keliru jika mereka mempunyai aqidah yang matap, ilmu tauhid yang kukuh dalam jiwa mereka, hatta apa jua isu yang mengelirukan, tidak akan menyebabkan mereka keliru, kerana mereka berilmu. Mereka telah sebati dengan ilmu tauhid, ilmu aqidah yang benar. Jika Orang Melayu bimbang ia mengelirukan umat Melayu Islam, bermakna umat Melayu Islam tidak berilmu, aqidah longgar, mudah keliru, tidak kukuh pendirian. Jika demikian perihal jahilnya umat Melayu, selama 52 tahun mencapai kemerdekaan, apakah yang pemimpin Melayu lakukan untuk mengukuhkan aqidah umat Islam Melayu? Di manakah dalam sistem pendidikan negara yang membantu anak-anak Melayu Islam mengenali ALLAH, agar mereka tidak keliru siapa “ALLAH” pada masa depan?
Kebimbangan bahawa penggunaan nama ‘ALLAH’ oleh bukan Islam akan mengelirukan umat Islam keturunan Melayu, adalah salah pemimpin umat Melayu keturunan Islam itu sendiri. malah, menjadi jelek kepada umat dunia, umat Islam Melayu terlompat-lompat berdemostrasi mempertahankan nama “ALLAH”, sedangkan di negara-negara umat Isam yang lain tiada masalah, bahkan umat Islam Melayu tidak pula sensitif dengan isu murtad, isu penyalahgunaan kuasa pemimpin, isu moral anak-anak muda Islam, dan pelbagai lagi isu umat.
Dari segi penelitian kita, isu nama “ALLAH” adalah satu percubaan saraf politik yang cuba menjadi serampang dua-tiga mata. Kalau isu perkauman bagaikan semakin tumpul untuk dijadikan senjata memporak-peranda, mereka cuba menggunakan isu agama. Para mufti pula tidak memainkan peranan sepatutnya ke arah menjaga keharmonian masyarakat. Isu ini mungkin cuba dibesar-besarkan oleh pihak tertentu, bagi menutup isu-isu lain seperti isu kenaikan harga gula, isu kerajaan Perancis mahu siasat komisen pembelian kapal selam (?), isu kehilangan enjin jet, isu-isu penyelewengan, dan macam-macam lagi.
Lihatlah, orang-orang Kristian bawahan, Kristian kampung, Kristian kecil-kecilan, tidak tahu menahu pun bahawa agama mereka telah pun dibenarkan menggunakan kalimah ALLAH sebagai tuhan mereka oleh mahkamah Malaysia jika tidak dibesarkan. Isu ini sebenarnya boleh diselesaikan dengan cara muzakarah antara ilmuan Islam dan pemuka-pemuka Kristian.
Nama “ALLAH”, telah pun dijelaskan oleh media-media dan kenyataan-kenyataan pemimpin-pemimpin Islam, bahawa tidak menjadi kesalahan umat bukan Islam, terutama umat agama Samawi seperti Kristian, kerana memang sejak dahulu kala lagi, mereka sudah menggunakan kalimah ‘ALLAH’ sebagai tuhan mereka. Cuma aqidah mereka terhadap ALLAH itu berbeza. Bagi mereka ALLAH ada dua, tiga atau banyak. Tetapi kita umat Islam meyakini ALLAH itu Maha Esa. Lalu bagaimanakah umat Islam akan keliru jika aqidah tauhid mereka ditanam kukuh?
Sesetengah orang bimbang, jika orang Kristian menggunakan nama ALLAH, akan menyebabkan umat Islam keliru, dan hal ini menjadikan aqidah umat Islam tergugat. Bukankah pada masa yang sama, umat Kristian juga akan terdedah kepada isi kandung al-Quran, sekiranya mereka ingin melihat apakah beza ALLAH mereka dengan ALLAH yang kita imani? Tidakkah hal ini membuka ruang terpancarnya nur Islam di dalam hati mereka?
Akan tetapi, orang akan bertanya, tak kiralah siapa yang bersalah, hakikatnya aqidah umat Islam yang longgar pada hari ini, sesuaikah kita berlapang dada membiarkan penggunaan kalimah ‘ALLAH’ yang pasti memberi kekeliruan? Realiti hari ini, aqidah umat sudah rapuh dan mudah keliru, patutkah kita membiarkan umat Kristian menggunakan kalimah ALLAH?
Kejahilan umat Islam Melayu terhadap agama sendiri, melahirkan umat yang emosi tak bertempat. Timbul pejuang-pejuang jahil membakar gereja, mencerca agama lain, memaki hamun penganut agama lain… tidak menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang mengamalkan toleransi dan kebijaksanaan dalam berdepan isu. Sampai bila generasi umat islam jahil ini akan terus menjadi jahil? Dasar pendidikan jahiliyyah dan sekular tidak menjadikan umat Islam cerdik dan bijak.
Jahil, tapi menyangka diri telah menjadi pejuang agama
(gambar Hiasan: Gereja yang dibakar)
ALLAH adalah Rabb dan Ilah. Tuhan yang mentadbir, mendidik dan yang menjadi pusat pengibadatan hamba-hamba-Nya. Orang bukan Islam memiliki tahuhid Rubbubiyyah. Kita diajar mentauhidkan ALLAH dengan Rubbubiyyah, Ulihiyyah, dan Asma was-Sifat. Biarlah mereka menggunakan nama ALLAH sebagai tuhan mereka, kerana sememangnya ALLAH adalah Tuhan sekalian alam. Jika mereka berniat buruk dan mempunyai agenda jahat disebalik penggunaan nama ALLAH, biarlah ALLAH menggagalkan perancangan tersembunyi mereka itu. Kita menghukum dengan isu zahir, yang kita nampak. Sedangkan niat mereka, hanya ALLAH sahaja yang tahu, maka kita serah kepada ALLAH.
Tak perlulah menjadi pejuang-pejuang jahil. Solat berjemaahnya jarang-jarang, rasuah jadi habuan, perempuan keliling pinggang, halal haram tidak diendahkan, tiba-tiba melompat dalam isu ini. Isu ini isu agama, biarlah ulama yang mendepani, bukan samseng jalanan berlagak pejuang yang ke hadapan. Keadaan ini bukannya akan menjernih keadaan, bahkan akan memburukkan lagi suasana, serta orang akan memandang serong terhadap umat Islam melayu itu sendiri.
Ingatlah, ALLAH memiliki nama-nama yang baik. Nama ALLAH ar-Rahman memberi maksud sifat pemurah ALLAH dicurahkan kepada semua makhluk-Nya, hatta juga kepada orang-orang bukan Islam. Apakah kita pula menghalang umat bukan Islam menggunakan nama ALLAH yang tidak menyekat sifat Pemurah-Nya kepada orang bukan Islam? Jika takut umat Islam keliru, maka gerakkanlah satu sistem pendidikan aqidah yang bersepadu, yang melahirkan umat Islam yang berilmu, beriman dan bertaqwa.
Sekadar coretan…
WaLLAhu a’lam.
p/s: Jika ada kesilapan, mohon dibetulkan.

Ruginya bayar gaji hakim mahkamah tinggi…

Sistem perundangan Malaysia, mungkin dunia amnya, adalah tidak mampu memberi keadilan sepenuhnya kepada rakyat. Sistem perundangan yang dicedok daripada perundangan Barat adalah menzalimi rakyat secara halus.
Gambar Hiasan
Mengapa perlu ada Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Syariah, mahkamah itu dan ini, sedangkan mahkamah itu boleh membatal atau menangguh keputusan mahkamah ini, keputusan mahkamah rendah boleh dibatal oleh mahkamah tinggi, keputusan mahkamah tinggi boleh pula ‘diganggu’ oleh mahkamah rayuan dan sebagainya?
Sudah namanya Mahkamah Tinggi, keputusannya masih boleh dipertikai atau disabotaj? Apakah keputusan mahkamah tinggi itu tidak muktamad? Semua orang sudah maklumi, tetapi sengaja kita ungkit kembali, bahawa inilah ketidak-adilan yang berlaku selagi sistem perundangan berteraskan Islam yang syumul tidak diamalkan.
Sistem perundangan bersifat menindas begini hanyalah menguntungkan golongan kaya, berpangkat besar, berdarah raja dan berduit emas. Sedangkan golongan miskin, papa kedana, kais pagi makan malam, kelas bawahan dan seumpamanya tidak terbela di bawah sistem rekaan manusia ini. Mengapa demikian dikatakan menindas?
Bayangkan seorang pesalah yang kaya raya, berstatus anak bangsawan pula, diputuskan bersalah oleh mahkamah tinggi. Dengan kekayaan yang dimiliki, dia boleh membawa kesnya ke mahkamah rayuan untuk dirayu dan dibicara semula. Syarikat guaman, peguam, semua boleh dibayar cash, apa perlu risau. Untung-untung, peguamnya bagus, kesnya selesai, dia dibebaskan.
Sedang pesalah yang miskin, selesai saja keputusan dibaca, dia bersalah, maka dia adalah bersalah dan terpaksa menerima hukuman. Hendak ke mahkamah rayuan, tiada fulus. Mrengkoklah dia dalam penjara jika itu hukumannya. Berdarah punggungnya disebat jika sebat adalah hukuman kesalahannya. Dia memang bersalah. Patut dihukum. Tetapi pesalah yang kaya jga bersalah, tetapi kebarangkalian untuk terlepas hukuman ada.
Jadi, di mana keadilan? Kenapa tidak hanya satu sahaja institusi kehakiman yang memberikan keputusan muktamad? Apa guna membayar gaji hakim-hakim mahkamah tinggi, sedangkan keputusan penghakiman mereka boleh ditangguh, dibatal oleh hakim mahkamah lain (rayuan)? Tidakkah ini pembaziran wang rakyat? Belum lagi masuk bab salah guna kuasa kehakiman, campurtangan politik dan sebagainya.
Hakikatnya, itulah sistem perundangan yang kerajaan Malaysia beriman kepadanya. Jika anda rasa, itulah keadilan, sokonglah. Jika ia adalah kezaliman, maka tanggungjawab kita bersama untuk menyelamatkan keadaan. Bagaimana? Sendiri mau pikir laa…
p/s: Kota Seputeh nak jadi macam Perak ke?

EGM:Bloggers menambah ajinomoto

Dunia blog semakin rancak. Pada sesetengah orang, mungkin difikirnya orang yang berblog adalah orang yang tiada kerja lain hendak dibuat. Bagi politik tanah air, blog adalah satu bentuk media baru yang hangat diperkatakan, sejak tsunami politik melanda Mac 2008.
Bagi Pakatan Rakyat sendiri amnya, dan Parti Islam khasnya, blog menjadi salah satu senjata yang berkesan untuk menyerang lawannya Umno/BN. Blog-blog baru pro-PR tumbuh mebantu mempercepat sebaran-sebaran maklumat. Tidak lama seelpas itu, Umno/BN yang menyalahkan blog sebagai penyebab tsunami politik, turut mengaktifkan blog-blog pro-Umno/BN untuk menyerang PR pula.
Sudah lebih setahun berlalu, hari ini dunia blog PR terutama Parti Islam seolah-olah menjadi senjata makan tuan. Dari satu isu ke satu isu, nampaknya blog-blog menampakkan seolah-olah Parti Islam ini berpecah kepada dua atau tiga. Wujudnya istilah pro-UG, pro-erdogan, pro-EGM, anti-EGM, anti-Terengganu dan macam-macam lagi menunjukkan dunia blog sudah tidak menjadi senjata yang berkesan (?), malah boleh memburukkan persepsi ahli dan masyarakat terhadap Parti Islam.
Munculnya kumpulan-kumpulan blogger yang entah dari mana tarbiyahnya mengaku pro itu pro ini, anti itu anti ini, menghentam pemimpin itu dan ini, menjulang tokoh itu ini, menambah burukkan lagi persepsi terhadap Parti Islam. Nampak macam ada kekeruhan. Celah-celah tu, Zahid Hamidi pula kata doa pecah belahkan Umno/BN kembali terkena Parti Islam. Jangan kata tak ada orang yang percaya dengan Zahid Hamidi.
Kuasa blog dulunya baham Umno/BN, kini menyerang Parti Islam, oleh blogger-blogger sendiri, yang kononnya pro-itu dan anti ini dalam Parti Islam. Selamba saja idea-idea yang tidak ditapis oleh akhlak murni dan ketaqwaan dihamburkan dalam blog kononnya “ini blog aku yang punya”. ‘Aku’punya suka mau tulis apa-apa. Banyak cantik. Tapi itulah hakikat blog. Blogger-blogger Umno/BN kita sudah tahu bagaimana akhlak mereka. Caci maki, mainan biasa. Tetapi dalam Parti Islam, akhlak seperti bloggers Umno/BN dilihat wujud. Tak mahu cerita panjang, anda sendiri faham.
Habis bagaimana menghadapi gelombang fesyen terkini ini? Bagaimana menghadapi hujan-hujan berita blog yang sukar ditepis? Sebetulnya, pemimpin hari ini nasibnya begitu, perlu berhadapan dengan hujan sebaran maklumat sebegini pantas. Pemimpin hari ini perlu cergas menghadapi senjata blog yang makan tuan. Adalah lembab bagi seseorang pemimpin apabila sudah dua tiga hari isu berkumandang, apabila ditanya beliau menjawa “ana belum baca blog pemimpin itu”.
Lihatlah, Pak Lah tumbang kerana tidak bersedia dengan dunia blog. Dr Mahathir dianggap hebat kerana beliau berkuasa di zaman kuasa blog belum dikenali. Kalau dia PM zaman ini, tentu takkan sampai 22 tahun memerintah negara. Bagi Parti Islam, hakikat ini perlu diambil perhatian. Dari sudut akhlak dan kewajaran, tidak patut kita menerima bulat-bulat apa yang bloggers hamburkan. Tetapi pimpinan wajar ambil perhatian kerana marhean rata-rata menerima apa-saja maklumat dari blog-blog yang mereka rasa boleh dipercayai.
Bagaimana sesuatu itu boleh dipercayai? Untuk memperoleh kepercayaan pembaca kepada sesuatu maklumat, boleh diasah dan dilatih. Blogger boleh mengasak para pembaca blognya untuk mempercayai tulisannya. Kalau sekali baca mungkin tidak percaya, tetapi mungkin 10 kali baca, corak berfikir pembaca itu akan berjaya diubah sedikit demi sedikit. Asakan berterusan, minda pembaca akan selari dengan orientasi pemikiran blogger tersebut. Tambahan hujah-hujahnya boleh diterima akal sekalipun sesetengahnya lari dari maksud sebenar. Maka hal ini menjadikan blog tersebut ada ‘audiensnya’. Tambahan pula figure yang ‘diserang’ itu mempasifkan diri dan dilihat seolah-olah tunggul sahaja. Tidak membuat penjelasan, dan tidak pula menjawab pertuduhan.
Kalau dulu, pimpinan akan mengemukakan perbezaan pandangan dalam mesyuarat, halaqah, usrah. Tegur menegur, bahas dan debat sesama pimpinan. Hari ini, ahli dan rakyat turut sama dalam perbahasan sesuatu isu. Macam-macam pandangan, idea dan kritikan, dari pelbagai kelas masyarakat berlegar dalam alam tanpa sempadan. Kalau ada sempadan, hanyalah sempadan iman dan taqwa. Sesetengah maklumat mungkin jua berupa hasutan, putarbelit fakta dan sebagainya.
Malang sekali apabila ada bloggers yang menghamburkan apa yang difikirnya tanpa soal selidik dan hanya menurut sentimen. Manipulasi yang membawa fitnah kepada Jamaah Islam sangat perlu dielakkan. Jika anda tidak memahami sesuatu isu sepenuhnya, janganlah memberi komen yang bias kepada sesiapa. Simpan ulasan anda itu sekalipun anda rasa betul dan perlu disebarkan, sehingga perkara itu benar-benar sahih, supaya anda tidak menjadi punca sesuatu fitnah itu tersebar.
Lihatlah hari ini, kenyataan blog Tok Guru yang mencadangkan EGM. Maka bloggers yang kononnya ‘sehaluan’ dengan Tok Guru terus menari ‘berkempen’ memecat presiden dan beberapa pimpinan, kononnya itulah yang disebut dalam tulisan blog Mursyidul Am itu. Kemudian ditokok tambah lagi dengan ‘kesilapan-kesilapan’ figure-figure tersebut yang menghalalkan mereka dipecat. Kenapa begini? Sebabnya audiens blog mereka sudah ‘beriman’ dengan blog mereka. Maka mudah sekali mereka sebarkan apa yang ada dalam benak mereka selama ini. Dibimbangi semakin ramai pengikut setia blognya, yang mengiyakan ideanya, blogger itu akan menjadi takbur dan ujub dengan diri sendiri, kononnya ideanya hebat.
Terfikirkah kita akan benarkah maksud Tok guru sedemikian? Mungkin idea tok guru rasa seperti selari dengan kita, tapi betulkah maksud tok guru begitu? Pernahkah kita bertanya tok guru sebelum kita menghuraikan idea tok guru mengikut benak kita? Kalau benar tafsiran kita, mujurlah. Kalau silap pula, bagaimana? Sedangkan ‘peminat’ blog kita sudah menghadam tafsiran kita. Lebih teruk, ulasan isu itu adalah mengulas ulasan orang lain.
Timing Tok Guru mencadang EGM boleh juga dipandang dari sudut lain, iaitu membenamkan berita-berita gembira Umno/BN pasca Bagan Pinang dan Bajet 2010. Isu Bajet yang penting itu dialih kepada berita EGM oleh media Umno. Keberkesanan alihan isu ini tak mahu ulas. Dari segi lain pula, serangan terhadap Umno/BN kurang ditumpu kerana masalah dalaman begini. Bukankah keadaan ini memberi ruang untuk Umno/BN memulih organisasi? Umno sudah bergimik pulih. MCA sudah ‘berdamai’. Tiba-tiba musuh mereka bergoncang…
Entry ini bukanlah untuk menyokong atau tidak menyokong mana-mana pihak. Cuma mahu berkongsi pandangan mengenai fenomena blog pada hari ini yang boleh juga menjadi senjata makan tuan. Kitab-kitab kuning tidak mengajar tentang blog dan akhlak berblog. Tiada satu pun kitab Fekah Blog. Jadi dunia blog tiada sempadan, melainkan sempadan iman dan taqwa. Mudah-mudahan kita semua tidak terjebak dalam penyebaran fitnah dan tidak pula termakan dengan fitnah.
Sekadar menambah ajinomoto yang ada…
WaLLHU a’lam…
p/s: Orang kata ajinomoto tak boleh banyak sangat. nanti botak kepala…