Hutang saya lebih RM30,000

Beberapa hari lagi, usia saya akan bertambah. Dalam usia begini, saya sudah menanggung hutang sebanyak kurang lebih RM30,000. Itu baru satu jenis hutang, belum masuk hutang-hutang lain yang mungkin terpaksa saya berhutang. Anda bagaimana?

Ketika bergelar mahasiswa dahulu, saya berkesempatan bertemu pemimpin Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Antara mereka Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, ahli parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria dan timbalan menteri pelajaran, Datuk Puad Zakarshi.

Mereka ini adalah pemimpin yang kerap menyebut perihal mahasiswa dan anak muda sama ada di dalam parlimen, mahupun di pentas politik. Selain berbincang mengenai isu dan agenda mahasiswa serta anak muda, saya akan menanyakan soalan perihal Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Soalan saya, “Kenapa anda tidak memperjuangkan untuk menghapuskan bayaran balik PTPTN apabila memerintah?”

Itu soalan cepu emas. Jika menyebut perihal pinjaman ini, sebut sahaja mahasiswa mana, pastinya akan tertekan dengan perkara yang ‘mengikat’ mereka. Bayaran balik, kadar faedah yang tidak jelas, serta isu riba yang diharamkan Islam.

Undi Pakatan

Saya terfikir, seandainya Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) akan datang ini, meletakkan antara salah satu daripada manifestonya kepada mahasiswa atau anak muda ialah, menghapuskan bayaran balik pinjaman PTPTN, saya kira paling kurang 90 peratus mahasiswa mengundi Pakatan.

Mungkin idea itu terlalu tinggi untuk dicapai. Memandangkan negara mengalami kemerosotan ekonomi dan beban hutang, mana mungkin untuk membayar semula pinjaman ini.
Apabila saya meneliti, PTPTN memerlukan hampir 13 bilion untuk menampung satu-satu sesi kemasukan pelajar ke IPTA mahupun IPTS. Sekurang-kurangnya, menurut statistik Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), hampir 40 ribu mahasiswa berdaftar untuk kemasukan ijazah pertama setiap tahun di seluruh negara.
Realitinya, dengan pertumbuhan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang bagaikan cendawan selepas hujan, yang kebanyakannya berorientasikan perniagaan, PTPTN mendapati peluang ini adalah paling besar untuk melabur.
Dan hakikatnya, pinjaman PTPTN boleh membenarkan sesiapa sahaja pelajar untuk meneruskan pengajian di peringkat tinggi, dengan pendapatan keluarga minimum 4 ribu ke bawah.

Pendidikan percuma

Seingat saya, gagasan pendidikan percuma mula diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat tatkala berkempen dalam pilihan raya umum ke-12 (PRU-12) yang menyaksikan keberjayaan mereka menguasai lima buah negeri. Ini bermakna, slogan pendidikan percuma sangat relevan kepada rakyat.
Soalnya, bagaimana praktikalnya agenda ini? Jika ia dapat direalisasikan, maka idea memansuhkan bayaran semula PTPTN adalah turut termasuk dalam perjuangan ini.
Bermula hari ini, Pakatan Rakyat perlu memikirkan bagaimana mekanisme untuk memperjuangkan pendidikan percuma di peringkat pengajian tinggi. Cuba bayangkan hampir 80 peratus anak muda di IPT kesemuanya berumur 21 tahun dan keatas dan layak mengundi.
Ini bermakna, sesiapa sahaja, Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional, seandainya memperjuangkannya, maka undi anak muda atau mahasiswa sudah berada di dalam genggaman.
Soalnya, Pakatan Rakyat haruslah mendahului dan segera bertindak berbincang bersama anak muda dan mahasiswa dan segera mencari jalan keluar dan penyelesaian.

Penulis adalah setiausaha agung, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) dan boleh dihubungi di aisal_daruliman@yahoo.com

Rapat umum ‘meriah’…

Rapat umum semalam… cuba tengok bilangan org yang hadir. Rasanya tak sampai 10% pun mahasiswa yang hadir untuk menyaksikan rapat umum tersebut.

Kenapa dengan orang yang tidak hadir? Adakah mereka banyak kerja lain? Banyak assignment? Study? Atau leka bermain Game? Malah ada yang kata pemilihan MPP bosan – hanya orang yang nak publisiti saja join.

Tak kisah apa-apa urusan mereka, apa yg kita dapat lihat, mahasiswa USM KKj ni tidak berminat dgn politik kampus. Tidak berminat dengan pemilihan pemimpin mereka. Tidak juga berminat mengenali siapa pemimpin yang mereka akan undi nanti.

Yang hadir hanyalah beberapa orang penyokong calon, provokator, dan orang yang kebetulan sedang makan… kiranya tak sampai 10% mahasiswa yang hadir. Rapat umum adalah program yang penting yang dianjurkan oleh pihak universiti. Jika tidak penting kenapa TNC pernah hadir. Kenapa malam tadi Prof Rahman juga hadir.

Jika program penting ini tidak mendapat sambutan mahasiswa, rasanya menang atau kalah calon-calon yang bertanding, tidak membawa apa-apa makna. Hampir-hampir saja sama levelnya dengan pemilihan secara perbincangan.

Kenapa warganegara dibolehkan mengundi bermula pada umur 21 tahun? Kenapa tidak bermula dari umur baligh, 15 tahun sekurang2nya? Kerana secara amnya, seseorang yang berumur 21 tahun ke atas mampu menimbang, menganalisis, memahami hujah dan suasana sebelum memilih seseorang pemimpin. Tidak memilih berdasarkan sentimen kepuakan, emosi dan sebagainya.

Jadi, sepatutnya mahasiswa yang akan mengundi nanti, perlu mempunyai maklumat yang secukupnya untuk difikir dan dianalisis sebelum membuat pilihan. Memilih MPP tidak sepatutnya dipilih seperti pemilihan ketua kelas di sekolah. Bagaimana mahu dapat maklumat, jika majlis rapat umum lengang sahaja? Siapa yang kata crowded, memang jenis tak cukup zat.

Rapat umum semalam, menunjukkan mentaliti mahasiswa terhadap pilihanraya kampus sangat tidak memberansangkan. Tidak penting bagi mereka. Yang seronoknya, main game. Berchatting. Usah peduli semua itu. “Aku bukan jenis gila kuasa…”.

Jadi, rasanya mana-mana calon yang menang nanti, adalah elok sekiranya anda bukan sahaja menyempurnakan kebajikan mahasiswa, bukan sahaja membawa suara mahasiswa, malah boleh berusaha menggilap semula mentaliti mahasiswa terhadap program-program anjuran universiti. Universiti Apex, bukan sekadar nama yang kita mahu, tetapi transformasi mahasiswanya ke arah lebih intelektual dan profesional juga perlu.

Pilihanraya Kampus USM Kampus Kejuruteraan

Hari ini calon-calon sudah mula berkempen. Tetapi suasana pilihanraya kampus ini pada pendapat aku, tidak meriah. Kenapa? Kalau ada orang rasa meriah, mungkin mereka syok sendiri. 
Perang poster tidak banyak kelihatan. Meriahkah? Adakah calon-calon kurang dibantu? Kasihan.
Kenapa tidak meriah?
Sepatutnya ada tujuh kerusi dipertandingkan.
Tetapi hanya satu kerusi, konstituensi umum sahaja dipertandingkan.
Di mana kerusi konstituensi-konstituensi pusat pengajian?
Rasa sekali lagi konstituensi pusat pengajian tiada pertandingan seperti tahun-tahun sebelumnya. Menang tanpa bertanding, ataupun dilantik khas. Itu saja andaian yang boleh aku buat.
Jadi PRK ini dapat dilihat satu lawan satu, antara Abul dan Aini, yang kedua-duanya mengaku mewakili mahasiswa, bukan pro mana-mana kumpulan.
Aini atau Abul? Abul atau Aini? Yang mana satu pilihan anda? Tunggu rapat umum malam nanti.
Tahniah kepada Abul dan Aini, kerana menghidupkan demokrasi dalam kampus, walaupun agak dingin suasananya. Menang atau kalah, nombor dua. Anda berdua berjaya mengembalikan demokrasi dalam kampus. Selamat berkempen!

Pilihanraya Kampus : Semua perlu profesional.

Dua tiga hari ini aku dengar-dengar tidak lama lagi akan ada pilihanraya kampus di kapus kejuruteraan ini. Dikatakan notis untuk perkara tersebut sudah ditampal di papan-papan kenyataan. Tapi aku amati papan putih di blok aku setiap kali aku hendak ke Pusat Islam, tidak nampak pun sebarang kenyataan mengenai pilihanraya kampus. Takkan sudah dicabut? Fikirku, takkanlah perkara penting begitu, notisnya ditampal bagai melepas batuk ditangga. Macam notis jual “top up” saja. Aku fikir mungkin itu hanya khabar angin.
Suatu malam tiba-tiba pula ada orang hantar link web yang menunjukkan gambar notis tersebut telah ditampal. Oh, mungkin notis itu ditampal di tempat lain. Aku saja yang tak tahu. Menurut notis itu, pilihanraya kampus itu akan berlangsung awal Januari ini. Jadi sekali lagi kita akan merasai suasana pilihanraya kampus.

Apabila sebut sahaja pilihanraya kampus, akan timbullah cerita mengenai kumplan aspirasi, kumplan PMI, kumpulan Cina, kumpulan itu dan ini. Bagi yang mengikuti perkembangan politik kampus, perkara ini sudah biasa, cuba buat-buat tak biasa. Bagi yang tak biasa mengikuti politik kampus, mereka hanya bersikap acuh tidak acuh sahaja mengenai pilihanraya kampus. Malah tidak mengambil tahu pun apa dan siapa aspirasi, siapa PMI siapa itu dan ini. Mereka ini hanya akan mengundi sesiapa sahaja calon yang dirasakan layak menurut kefahaman mereka.

Bercerita mengenai politik kampus, tidak boleh lari pada bercerita mengenai Aspirasi, PMI dan sebagainya seolah-olah ada pakatan tertentu bertanding. Tetapi pilihanraya sebelum-sebelum ini, aku tidak nampak pula kempen-kempen supaya mengundi Aspirasi atau undi PMI. Cuma ada individu yang memakai baju aspirasi universiti, itu aku nampak. Yang musykilnya, kenapa PMI dikatakan bertanding pilihanaya kampus, sedangkan aku juga pernah terlibat dengan PMI. Tiada pula agenda dalam perancangan satu sidang PMI akan menyertai pilihanraya kampus.

Kaji-kaji balik, rupa-rupanya semua ini ‘influence’ dari kampus universiti lain, yang PMI di sana bertanding. Wah, kalau PMI masuk bertanding, kenapa persatuan Silat, kelab rekreasi dan sebagainya tidak mahu masuk bertanding? Di kampus kita mungkin lain. Apa yang aku tahu, PMI tidak bertanding. Tetapi kalau ada individu dari PMI yang bertanding, itu hak dia sebagai mahasiswa. Cuma orang sahaja yang melabelnya sebagai PMI, walaupun dia datang dari kelab lain. Apabila lawan saja aspirasi, maka labelnya adalah PMI. Mungkin begitu.

Kita abaikan seketika semua itu. Kita tumpu kepada isu pilihanraya kampus. Pilihanraya kampus yang bakal tiba ini adalah yang pertama setelah USM diiktiraf sebagai universiti Apex. Transformasi yang berlaku ke arah Apex meliputi segenap sudut termasuk pentadbiran, kakitangan, pensyarah, mahasiswa, pembelajaran, kajian, aktiviti kemasyarakatan, dan sebagainya. Maka seeloknya, pilihanraya kampus juga ada transformasinya tersendiri.

Pilihanraya kampus dalam universiti Apex sewajarnya dilakukan dengan penuh profesional dan telus dengan harapan perwakilan yang terpilih nanti mampu menggalas amanah yang lebih mencabar, bukan lagi seperti perwakilan-perwakilan sebelum ini. Sebelum ini wakil MPP hanya berlegar di peringkat univesiti, atau lebih jauh pun hanya di peringkat nasional. tetapi wakil MPP kali ini perlu menggalas harapan sebuah universiti Apex yang bertaraf antarabangsa. Wakil-wakil MPP nanti adalah duta universiti Apex dari Malaysia untuk berhadapan dengan cabaran di peringkat antarabangsa.

Jadi, pilihanraya kampus kali ini tidak boleh seperti pilihanraya-pilihanraya lepas, yang dilabel dengan pelbagai tohmahan yang tidak manis. Kita mahu keprofesionalan dalam pengendaliannya. Usah diulangi perkara yang sama. Ketepikan sentimen-sentimen lama. Biar pilihanraya kampus kita kali ini menjadi contoh kepada universiti lain. Pilihanraya kampus kita bebas daripada campurtangan pihak tertentu, cemuh-mencemuh, memprovokasi sesama sendiri, hasut-menghasut dan sebagainya. Berpolitiklah secara profesional tanpa ada pihak yang campur tangan. Mahasiswa adalah untuk mahasiswa. MPP adalah penghubung mahasiswa kepada pihak pentadbiran, masyarakat sekitar dan antarabangsa. Maka MPP yang akan terpilih harus menjalin hubungan baik dengan mahasiswa, hubungan baik dengan pentadbiran dan meningkatkan potensi diri untuk menghadapi medan antarabangsa. Jika MPP hanya mempunyai hubungan yang baik dengan salah sati pihak sahaja tanpa mengambil kira hubungan dengan pihak yang satu lagi, dikhuatiri MPP tersebut akan bermasalah. Jika MPP rapat dengan pentadbiran sahaja, akan bermasalah. Begitu juga jika MPP hanya rapat dengan mahasiswa sahaja, akan juga bermasalah. Oleh itu calon-calon yang bertanding untuk kerusi MPP ini harus mempersiapkan diri degan baik supaya MPP dapat dilihat sebagai badan pelajar yang berwibawa.

Posting aku kali ini berharap, jika benar pilihanraya kampus akan berlaku pada masa yang diberitakan, maka kita semua berilah kerjasama. Yang ingin bertanding, semoga berjaya. Yang tidak bertanding, berilah kerjasama sepanjang prosesnya. Bagi yang mengendalikan proses pilihanraya kampus ini, lakukan yang terbaik kerana ia adalah amanah yang akan disoal oleh-Nya. Semoga pilihanraya kampus kita kali ini lancar dan lebih profesional dan bertaraf Apex.