Dinar Kelantan – langkah awal melawan sistem kapitalis

Heboh mengenai Dinar Kelantan yang dilancarkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan. Ada yang sangat sokong. Ada pula yang berdiam diri. Tidak ketinggalan pula suara-suara yang cuba memperlekeh. Terdapat juga suara-suara yang mahu dikaji mengikut peruntukan undang-undang dan Bank Negara Malaysia.
Semua orang tahu nilai emas. Dari orang purbakala, hingga orang-orang modenkala, semua pasti memandang tinggi nilai emas. Harga emas yang stabil menjadikan kuasa-kuasa hebat ekonomi suatu ketika dahulu menggunakan emas sebagai matawang dan bahan tukaran barang.

Alkisahnya, selepas pelancaran Dinar Kelantan, timbul suara-suara memperlekeh dan tidak bersetuju dan mahu membawa kepada klarifikasi undang-undang. Katanya, kerajaan negeri tiada hak untuk mengeluarkan matawang sendiri. Namun dijawab balas, Dinar Kelantan bukanlah matawang jika diikut nas-nas qat’ie perlembagaan Malaysia. Dari segi syariah, ya, ia adalah matawang.

Kenapa ada pihak tidak suka dengan pelancaran Dinar Kelantan ini? Adakah ada pihak yang cemburu dengan perkembangan ini? Walhal idea ini pernah juga dicetus oleh Tun Dr Mahathir mengenai manfaat penggunaan dinar emas. Bukankah selalunya idea-idea negarawan ini dipandang tinggi oleh kerajaan pusat? Apakah jika idea yang hebat dr Dr Mahathir, jika dilaksanakan oleh kerajaan negeri Kelantan (atau negeri-negeri Pakatan Rakyat), ia mesti dicemuh dan disindir, serta perlu digagalkan?

Ekonomi dunia dikuasai oleh sistem kapitalis. Sistem kapitalis pula berada diambang kemerosotan. Negara-negara kapitalis sudah cacing kepanasan. Apakah kita negara umat Islam masih mahu bergantung dengan sistem yang sudah mahu runtuh?

Bercakap mengenai dinar emas sebagai matawang dalam negara kita, bukanlah perlu dipandang sebagai gimik politik parti tertentu. Kita perlu memandangnya sebagai suatu gerakan melawan sistem ekonomi kapitalis yang sudah sebati dalam sistem ekonomi umat manusia. Kita sedang melawan sistem gergasi kapitalis. Bukan melawan ekonomi Umno. Bukan melawan ekonomi Kerajaan Pusat. Kita bukan melawan Bank Negara. Diharapkan Umno yang menjadi tunjang kerajaan Malaysia waktu ini akan membuang segala sentimen politik sempit yang akan merugikan negara.

Cuba lihat kenyataan Dr Awang Adek ini:

“Sebaliknya beliau mengingatkan mereka yang membeli wang emas itu terdedah kepada risiko kerugian besar kerana harga emas sentiasa turun naik mengikut harga pasaran tempatan dan antarabangsa.”

“Menurut laporan Bernama, Awang Adek menasihatkan rakyat Kelantan yang mempunyai lebihan wang menyimpannya di bank-bank yang nilainya lebih terjamin dan tidak pernah diturunkan malah akan mendapat banyak faedah.

Faedah atau riba?

Lihat pula idea Tun Dr Mahathir yang dipaparkan dalam blognya Che Det:

DINAR EMAS- PANDANGAN TUN DR MAHATHIR MOHAMMAD

1. Ramai juga yang bertanya berkenaan Dinar Emas termasuk juga BBC yang mengadakan wawancara dengan saya baru-baru ini.

2. Apa yang sudah jadi kenyataan yang tidak lagi dapat dinafi oleh negara-negara di dunia ialah sistem kewangan yang ada sekarang sudah gagal untuk diguna dalam ekonomi dan dagangan baik dalam negeri atau antarabangsa.

3. Keputusan Bretton-Woods selepas Perang Dunia Kedua ialah semua matawang negara di dunia ditentukan nilainya mengikut nilai tukaran dengan matawang Amerika Syarikat.

4. Tetapi di tentukan juga yang nilai Dolar Amerika ialah sebanyak 35 Dollar untuk satu ouns emas. Ini bermakna secara tidak langsung semua matawang dinilai mengikut sekian banyak emas.

5. Di masa itu semua matawang adalah kukuh. Tetapi Britain, pada tahun 1966 telah turunkan nilai Pound British. Malaysia telah rugi banyak kerana simpanan (reserve) kita adalah dalam matawang Pound. Pada satu masa Pound yang bernilai Ringgit Malaysia 8.30 telah turun kepada Ringgit Malaysia 3.60.

6. Kemudian Presiden Richard Nixon membuat keputusan bahawa Dollar Amerika tidak lagi terikat dengan emas. Amerika telah tolak apa yang dipanggil sebagai “Gold Standard”. Amerika juga memutuskan bahawa pasaran akan tentukan nilai Dolar Amerika.

7. Tetapi negara-negara lain masih percaya akan kekuatan ekonomi Amerika dan meneruskan ikatan nilai matawang mereka dengan Dollar.

8. Satu lagi keputusan dunia antarabangsa ialah nilai dagangan antarabangsa ditentukan dengan nilai Dollar Amerika dan bayaran juga dibuat dengan Dollar Amerika. Ini menyebabkan permintaan bagi Dollar Amerika menjadi kuat dan sekali gus menjamin nilai Dollar Amerika tidak jatuh walaupun tidak lagi diukur dengan sekian banyak emas.

9. Pada satu masa dahulu bank besar dibenarkan mencetak dan mengeluarkan “Bank Notes” sebagai wang yang sah dipergunakan. Kemudian pemerintah mengambil alih pengeluaran matawang.

10. Bank mengeluarkan pinjaman daripada modal dan deposit oleh pelanggan. Kadang-kadang jumlah pinjaman melebihi wang yang ada dalam bank. Tetapi ini dihadkan. Walaupun demikian pinjaman yang dikeluarkan kerap kali jauh lebih banyak dari had yang ditentukan.

11. Apabila pendeposit mengeluarkan simpanan mereka beramai-ramai maka bank tidak mampu untuk membayar balik kepada pendeposit kerana semua wang telah diberi pinjam bahkan lebih daripada itu. Dalam keadaan ini bank mesti di selamatkan (bail-out) oleh Kerajaan.

12. Melihat bahawa bank boleh mengeluarkan pinjaman hampir tanpa had (unlimited) maka penyangak pun merancang untuk guna duit bank yang tidak terhad ini untuk meraih keuntungan atas angin. Maka berlakulah dagangan matawang, pinjaman kepada peminjam yang keupayaan membayar tidak terjamin, penjualan pinjaman yang dikeluarkan oleh bank kepada syarikat insurans dan syarikat gadaian (mortgage company) dan lain-lain. Jumlah semua transaksi ini amat besar, bernilai berbilion dolar. Apabila ramai peminjam tidak dapat bayar hutang atau servis hutang, maka mereka yang membeli pinjaman bank dapati mereka akan rugi berbilion dolar.

13. Dan banyak lagilah penyalahgunaan sistem bank Barat yang dilakukan. Demikian Amerika dengan kekayaannya yang besar sekalipun tidak dapat menampung berbilion dolar kerugian oleh bank, syarikat, insuran, syarikat mortgage, hedge funds, merchant dan investment bank dan lain-lain.

14. Sesungguhnya sistem bank dan matawang Barat sudah gagal. Dunia harus kaji untuk menggantinya dengan sistem lain termasuk perbankan Islam dan dagangan dengan matawang khusus seperti Dinar Emas.

15. Tidak seperti duit kertas emas tetap mempunyai nilai dimana-mana dalam dunia. Dinar Emas dicadang hanya untuk menyelesaikan bayaran dagangan antarabangsa.

16. Apakah ada cukup emas dalam dunia untuk dijadikan wang antrabangsa? Sudah tentu tidak.

17. Tetapi kita tidak perlu bayar dengan dinar emas sepenuhnya. Memadai jika kita bayar cuma lebihan antara import-eksport antara dua buah negara.

18. Jika sebuah negara mengeksport 100 juta Dinar kepada sebuah negara lain dan negara itu pula mengeksport kepada negara pertama barangan atau khidmat yang bernilai 110 juta Dinar, maka bayaran yang harus dibuat oleh Bank Negara negara yang pertama hanyalah 10 juta Dinar emas. Jika tidak ada Dinar Emas yang mencukupi maka bayaran boleh dibuat kemudian dengan eksport bernilai 10 juta Dinar.

19. Kita bukan sahaja boleh ada dagangan antara dua buah negara tetapi antara beberapa buah negara. Sebenarnya bank-bank mengguna cara ini untuk menyelesaikan bayaran cheque kepada beberapa bank yang telah terima dan mengeluarkan bayaran berasas kepada cheque lain-lain bank.

20. Sudah tentu akan ada banyak masalah pada permulaan. Tetapi pakar-pakar boleh cari jalan untuk selesaikan atau atasi kelemahan sistem Dinar Emas ini.

21. Bank Negara Malaysia pernah runding dengan sebuah negara lain dan penggunaan Dinar Emas memang boleh dilaksanakan. Tetapi entah kenapa Bank Negara Malaysia tidak dapat menjayakan sistem ini.

Nampaknya Tun pun hairan dengan Bank Negara kita…

WaLLAHU a’lam

Advertisements

Mengenal gerak kerja saraf dan gerak kerja betul-betul

Sekilas ikan dalam air, sudah tahu jantan betinanya. Sekilo ikan atas dacing sudang tahu berapa harganya.

Ini bukan kerja PKR. Ini adalah gerak kerja saraf parti lawan kepada PKR. PKR tidak sebebal itu untuk membikin banner yang ‘mencari nahas’ sebegitu.


Sama seperti banner di bawah ini. Ini juga adalah gerak kerja saraf yang dilancar oleh pihak lawan kepada Dato Awang Adek.

Tapi yang di bawah ini, bukan kerja saraf. Ini betul-betul, bukan cobaan…
Apabila pilihanraya sudah dekat, gerak-gerak saraf dari parti-parti politik akan menjelma. Marilah kita sama-sama belajar mengenal antara kerja saraf dan kerja betul-betul. Bagaimana mau belajar? Sendiri mau cari…

Apa benda hak-hak Melayu tu, tulong habaq sat??

Parti Melayu sering melaung-laungkan hak-hak orang Melayu telah semakin hilang, di’belasah’ bangsa asing, kaum pendatang. Namun rakyat tidak semuanya membaca perlembagaan. Maka adalah elok jika Parti Melayu atau pertubuhan Melayu menyebarkan informasi mengenai Artikel 153 Perlembagaan kita kepada rakyat, supaya mereka tahu akan ‘hak-hak orang Melayu’.
Selama ini laungan saja pertahan hak-hak Melayu, tapi yang mana hak Melayu, yang mana pula hak bukan Melayu? Cadangannya eloklah iklan dalam billboard seluruh negara, seperti iklan 1Malaysia, contohnya begini :….
(klik gambar untuk besarkan)

Ada berani?

Semangat perkauman akan melahirkan gerila

Umat Islam kuat kerana bersatu atas dasar ukhuwwah Islamiyyah. Sejak zaman RasuluLLAH, hinggalah zaman kejatuhan khalifah Islam Turki Othmaniyyah, kekuatan Umat Islam disegani kawan dan digeruni lawan. Segalanya kerana keteguhan aqidah dan kekuatan ukhuwwah persaudaraan Islam.
Pada akhir zaman pemerintahan Khilafah Islam Turki Othmaniyyah, kekuatan umat Islam mulai goyah, dek kerana musuh-musuh Islam sudah mendapat formula untuk meruntuhkan kekuatan Islam.

1) merosakkah akidah umat Islam ( menjauhkan umat Islam daripada al-Quran dan as-sunnah)

2) memecah-belahkan kekuatan ukhuwwah persauddaraan Islam (dengan cara memecahkan daulah Islamiyyah kepada negara-negara kecil, negeri-negeri kecil, meniupkan semangat kenegerian dan kebangsaan, mendoktrin ideologi politik yang pelbagai dll)

Bangsa Arab hampir musnah kerana sikap perkauman yang keterlaluan. Mereka berperang sesama sendiri kerana mempertahankan ‘maruah’ seama qabilah. Kedatangan RasuluLLAH menyelamatkan mereka dengan menyatukan mereka di bawah panji-panji Islam. Mereka dipersaudarakan dengan ikatan aqidah yang satu. Mereka menjadi kuat dan Islam tersebar ke seluruh dunia.

Era kejatuhan khalifah, api perkauman ditiup oleh musuh, – bahawasanya kekuasaan Islam adalah untuk orang Arab, bukan orang Turki – menyebabkan munculnya gerila-gerila Arab yang menghuru-harakan pemerintahan Sultan Abdul Hamid, sebelum dijatuhkan oleh musuh. Mereka diajar tentang ketuanan Arab, hanya Arab paling layak mentadbir dunia Islam, bukan orang Turki.

Akibat perang dunia pertama, banyak tanah-tanah kerajaan Islam Turki Othmaniyyah di pecah-perintah kepada negara-negara kecil. Semangat kenegaraan, kenegerian dan kebangsaan ditiup. Umat Islam didoktrin dengan sikap menjaga negeri sendiri, tidak boleh mencampuri urusan negara lain sekalipun sesama Islam. Dengan itu kekuatan umat Islam mula berpecah.

Khalifah pada ketika itu menyedari gerakan musuh memecah-belahkan umat Islam. Lantas dengan pantas, khalifah mengemukanlan pelan bagi menyatukan semula ukhuwwah umat Islam yang dicarik-carikkan musuh. Salah satunya adalah pelan pembinaan landasan-landasan keretapi yang menhubungkan negara-negara umat Islam dibentang dan dilaksanakan, dengan tujuan umat Islam akan dapat kembali bersatu.

Namun api perkauman lebih kuat menyala dalam kalangan bangsa Arab. Atas slogan ‘Arab untuk Arab’, gerila-gerila Arab yang rasis inilah yang menggagalkan pembinaan projek mega landasan keretapi seluruh dunia yang dilancarkan oleh Khalifah. Landasan-landasan yang baru siap dibina turut dicungkil dan dirosakkan. Mereka mahukan Arab untuk Arab. Dari situlah akhirnya musuh mudah menggulingkan Sultan Abdul Hamid, khalifah terakhir empayar Islam, yang tegas mempertahankan tanah umat Islam daripada disabotaj Zionis.


Semangat perkauman tidak pada Arab sahaja. Semangat perkauman Melayu juga adalah agenda musuh Islam. Umat Islam di Malaysia, majoritinya adalah Melayu. Kekuatan umat Islam di Malaysia mesti dipecahkan. Melayu mesti ditiup semangat perkauman supaya kekuatan Islam tidak bertambah dengan pernyertaan kaum-kaum lain ke dalam agama Islam. Dakwah Islam hanya untuk orang Melayu. Ayat al-Quran hanya untuk Melayu. Kaum lain tidak dibenarkan membaca ayat al-Quran. Demikianlah ajaran perkauman, walhal Islam adalah untuk semua.

Semangat perkauman Melayu akhirnya akan menjatuhkan negara kepada kuasa asing jika tidak dihentikan. Lihatlah contoh empayar besar Turki. Semangat kebangsaan Arab melahirkan gerila-gerila rasis, menggagalkan cita-cita khalifah menyatupadukan umat islam atas dasar aqidah dan ukhuwwah Islamiyyah. Gerila-gerila ini bukan tentera sebenar. Mereka menyerang hendap dan pukul curi sahaja. Maka semangat perkauman melayu juga demikian. hari ini telah muncul ‘gerila-gerila politik’ seperti Perkasa. Gerila Melayu Perkasa ini menyerang dengan semangat perkauman Melayu. Mungkinkah akan muncul lagi gerila-gerila politik berasaskan perkauman ini suatu masa kelak yang akan terus mencetus rasa tidak selesa masyarakat pelbagai kaum, sedangkan kita semua mengimpikan kesatuan umat Islam di bawah satu ikatan aqidah dan ukhuwwah islamiyah, di bawah satu panji-panji Islam, sebuah negara baldatun thoyyibatun, wa Rabbun Ghafur ~

Umno nak rampas Kedah!

Haa… jaga-jaga orang Kedah semua. Parti Melayu Umno mau rampas Kedah.
Tuanku Sultan Abdul Halim tak murka ke?
Bagaimana Parti Islam mahu membantu Tuanku Sultan mempertahankan Kerajaan Negeri Kedah daripada dirampas Parti Melayu Umno itu?





Umno hanya nyamuk yang mengganggu arus gerakan Islam!




Mereka ini hanya memandang Pas hanya sekadar parti politik, yakni setaraf dengan Umno, MCA, MIC, DAP, PKR dan lain-lain. Mereka tidak nampak Pas sebagai sebuah Gerakan Islam yang berusaha menyelamatkan aqidah, akhlak, fikrah dan siyasah mereka yang dirosakkan musuh-musuh Islam untuk melawan arus kebangkitan Islam di seluruh dunia. Oleh sebab mereka masih sukar untuk beriman bahawa Islam adalah agama yang bergerak secara politik dan dinamik, maka mana-mana pertubuhan gerakan Islam yang mengambil langkah berpolitik, mereka akan menganggap itu hanya parti politik yang boleh disepak-terajang sama seperti parti-parti lain.
Pas adalah Parti Islam, yang mendukung tanggungjawab sebagai satu-satunya gerakan Islam di Malaysia yang merupakan rangkaian kepada gerakan Islam sedunia, yang lahir selepas kejatuhan sistem pemerintahan Khalifah Islam Uthmaniyyah yang berpusat di Turki. Gerakan Islam atau Harakah Islamiyyah ini menjadi tempat umat Islam seluruh dunia bergantung selpas jatuhnya penaung mereka – yakni sistem pemerintahan Islam Turki Uthmaniyyah. Gerakan Islam sedunia ini berperanan menyelamat, membela dan menyatukan umat Islam dari sudut aqidah, fikrah, akhlak, ukhuwwah dan sebagainya, bagi merealisasikan tertegak semula sistem pemerintahan Islam yang dirobek-robek oleh musuh-musuh Islam.

Maka, dengan itu tanggungjawab Pas adalah besar. Setakat Parti Melayu Umno, hanyalah nyamuk-nyamuk yang mengganggu arus gerakan Islam yang sedang bangkit dalam negara kita. Lawan Pas sebenarnya bukanlah Umno, tetapi musuh-musuh Islam seperti Freemason dan Zionisme serta ideologi-ideologi kuffar yang lain yang merosakkan umat. Umno hanyalah diperalat oleh musuh Islam samada mereka di dalam Umno itu sedar atau pun tidak. Musuh tidak menyerang dengan berdepan. Mereka menyerang menggunakan alat mereka yang terdiri daripada bangsa tempatan bagi menentang kebangkitan Islam di sesebuah negara.
Lihat bagaimana Khalifah Islam Turki jatuh kerana Mustafa Kamal Attarturk, seorang Turki.

Sistem pemerintahan Islam di Libya runtuh, kerana musuh berjaya memperalat bangsa Arab di Libya. Di Afghanistan, Hamid Karzai dan Pakatan Utara diperalat musuh untuk menjatuhkan pemerintahan Taliban. Arab Syiah diperaralat musuh untuk menjatuhkan pemerintahan Saddam. Tanpa memperalat bangsa tempatan, musuh sukar untuk menjatuhkan sesebuah negara atau sesebuah gerakan. Begitu juga di Malaysia, Umno dianuti oleh sebilangan besar bangsa Melayu diperalat oleh musuh untuk menentang gerakan Islam di Malaysia yang setakat ini didominasi oleh bangsa Melayu. Percayalah jika orang-orang Cina yang mendominasi Pas, musuh utama Pas bukan lagi Umno. Umno akan menyusut dengan sendiri, Perkasa akan berkubur. Yang akan muncul adalah parti-parti rasis Cina yang akan menentang gerakan Islam dalam negara kita.
Bukan hanya Pas sahaja yang terpaksa berdepan dengan karenah nyamuk-nyamuk ini, malah gerakan-gerakan Islam seluruh dunia terpaksa berdepan dengan nyamuk-nyamuk yang berkuasa di negara masing-masing. Di Palestin, Hamas terpaksa berdepan Fatah – dari bangsa sendiri, walaupun musuh sebenarnya adalah Zionis. Di Mesir, Ikhwanul Muslimin terpaksa berdepan dengan halangan kerajaan Mesir sendiri. Gerakan-gerakan Islam seluruh dunia boleh dikatakan sedang berjuang, sedang berdepan dengan sepak terajang kaum sendiri yang tidak memahami hakikat sebenar perjuangan Gerakan Islam.
ALLAH dan Rasul menjanjikan Islam akan menang pada akhirnya. Islam akan berada ditempatnya yang tinggi. Islam akan membebaskan segala kecelaruan manusia. Islam akan membawa keamana dan keadilan kepada manusia seluruh dunia akhirnya. Suatu ketika dahulu, orang hampir-hampir berputus asa selpas era kejatuhan khalifah. Umat Islam memang benar-benar menjadi buih, seolah-olah tidak dapat lagi menjadi kuat. Segalanya terpaksa bergantung kepada ehsan musuh. Tetapi hari ini cahaya kemenangan Islam mula terbit dengan wujudnya gerakan-gerakan Islam, walaupun permulaanya ini diperlahankan oleh agen-agen musuh dari kalangan bangsa sendiri. Namun tidak mengapa, ia menjadi rencah kepada kita untuk terus berjuang dan ALLAH menjanjikan ganjaran yang besar – syahid ataupun kemenangan.
Jika beginilah pandangan dan fikrah kita, maka kita tidak akan mudah berputus asa dalam berjuang mengenepikan Umno yang bertaraf nyamuk sahaja. Besar sangatkah Umno untuk kita meninggalkan perjuangan kita? Besar sangatkah Umno untuk kita bergabung dengan mereka? Ketahuilah, Umno bukan Melayu, Melayu bukan Umno, tetapi Umno hanyalah parti politik semata-mata.

Perpaduan Parti Melayu dan Parti Islam

Sejak kebelakangan ini, timbul suara-suara untuk melihat perpaduan Parti Melayu dengan Parti Islam. Kenapa hanya Parti Melayu mahu dilihat berpadu dengan Parti Islam? Kenapa tidak timbul suara-suara yang mahukan perpaduan juga antara Parti Cina dengan Parti Islam? Parti India dengan Parti Islam? Parti Iban dengan Parti Islam? Adakah masih terdoktrin dalam minda masyarakat, bahawa Islam hanya untuk Melayu?
Parti Islam sebenarnya tidak terhad dengan keahlian Melayu semata-mata. Semua kaum dalam negara kita sangat boleh menyertai Parti Islam itu, dengan syarat beragama Islam. Maka batas perkauman tidak wujud sebenarnya dalam Parti Islam. Cuma setakat ini majoriti umat Islam dalam negara adalah berbangsa Melayu, maka ahli Parti Islam kebanyakannya Melayu. Namun Parti Islam telah membuka langkah kehadapan dengan penubuhan Dewan Himpunan Penyokongnya, yang membolehkan golongan bukan Islam mendekati perjuangan Parti Islam.
Bercakap mengenai perpaduan Parti Islam dengan Parti Melayu, ada pro dan kontranya, kerana Parti Islam dalam negara kita mempunyai ahli majoriti Melayu. Tidak perlu dibincangkan lagi bahawa jika Parti Islam dan Parti Melayu bersatu, masyarakat Melayu Islam akan mendapat manfaat yang besar. Semua orang tahu manfaatnya. Tetapi perpaduan ini sukar dicapai kerana kedua-duanya berbeza fikrah. Satunya berfikrah Islam, yang Satu lagi berfikrah Melayu.
Penyatuan dan perpaduan sesuatu kaum, organisasi atau individu, adalah hasil dari penyatuan fikrahnya. Maka perpaduan Parti Islam dengan Parti Melayu hanya dapat dicapai jika fikrah mereka disatukan. Jika diteliti dengan jiwa dan bersih serta berserta ilmu, mustahil bagi orang yang berfikrah Islam akan tunduk kepada gaya fikir Melayu. Melayulah yang kena akur dengan Islam. Malah Islam itu sendiri diturunkan bagi menyatupadukan seluruh manusia dengan fikrah yang satu, mengEsakan ALLAH. Taqwa adalah asas penyatuan seluruh manusia yang pelbagai ragam, pelbagai kefahaman, pelbagai budaya. Dari aspek ini, perpaduan Parti Islam dan Parti Melayu nampaknya begitu sukar, kerana pemain-pemain politik Melayu tetap berkeras tidak mahu tunduk kepada fikrah Islam.
Setelah ‘gagal’ untuk bersatu dengan Parti Melayu atas dasar Taqwa, mengapa Parti Islam berpusing dan bekerjasama pula dengan Parti Demokratik yang didominasi oleh kaum Cina bukan Islam, yang sudah tentu lebih tidak mengerti apa itu Taqwa berbanding Parti Melayu? Ya mereka memang tidak mengerti apa itu Taqwa, kerana mereka majoritinya bukan Islam. Fikrah mereka lebih sukar untuk tunduk kepada fikrah Islam. Namun fikrah kedua-dua parti yang berbeza ideologi ini cuba disatukan dengan fikrah ‘keadilan’.
Sama seperti Parti Islam, keahlian Parti Demokratik ini terbuka kepada semua bangsa dalam negara. Akan tetapi, ia didominasi kaum Cina, sama seperti Parti islam, didominasi kaum Melayu. Mereka cuba bersatu atas prinsip ‘keadilan’. Parti Islam menerima perpaduan ini atas dasar memperjuangkan ‘keadilan’. Bukankah keadilan itu menghampiri taqwa?
Apabila cubaan bersatu dengan Parti Melayu atas dasar Taqwa dan Adil gagal, apakah salah berpakat dengan parti lain yang tidak atas dasar taqwa, tetapi atas dasar Adil?
Firman ALLAH: “… Maka berlaku adillah, ia paling hampir kepada Taqwa”
Politik dalam Islam bukan hanya untuk menang pilihanraya, tetapi juga sebagai strategi untuk menyebarkan Islam kepada umat manusia. Jika Parti Melayu berkeras untuk tidak mahu tunduk kepada prinsip Taqwa dan Adil, maka tidak salah jika Parti Islam mengajar parti lain untuk tunduk kepada Islam, atau paling tidak, patuh kepada prinsip Adil. Ingatlah, dakwah melalui jalan perdamaian lebih berkesan daripada melalui pertelagahan. Itulah yang Parti islam cuba lakukan. Jika Melayu mengabaikan Islam, tidak mustahil, ALLAH akan memberikan Islam kepada Cina, India, Iban dan sebagainya. Ketika itu, Melayu akan jadi bangsa yang rendah martabatnya.