Ramadhan tiba penghujungnya, kita bagaimana?

Orang-orang beriman menangisi pemergian Ramadhan. 10 malam terakhir Ramadhan dipenuhi dengan ibadah, memohon keaampunan, merintih dan merayu kepada ALLAH. Eidul fitri akan disambut dengan sederhana dan penuh keimanan.
Manakala orang-orang fasiq tidak berasa apa-apa dengan pemergian Ramadhan. Biasa-biasa aja. Habis puasa, maka raya. Kadang-kadang terasa lega kerana hampir bebas dari berlapar dan solat terawih. Sama sahaja keadaan mereka dalam bulan Ramadhan atau luar Ramadhan.
Orang-orang munafiq pula gembira dengan berlalunya Ramadhan. Sebulan Ramadhan bagaikan penjara. Hari Raya adalah hari untuk bersuka-ria serta melepaskan rindu dendam dengan pesta-pesta yang lupa akan Tuhannya.
Di mana kita?
Adakah target kita dalam bulan Ramadhan tercapai? Ya ALLAH… ampuni dosa dan kelalaian aku sepanjang Ramadhan.
Orang-orang yang berpuasa bersungguh-sungguh dengan penuh keimanan serta mendirikan solat pada malamnya, sesungguhnya mereka mendapat rahmat dan keampunan ALLAH.
Mudah-mudahan segala amalan kita diterima ALLAH.
Selamt Hari Raya Eidul Fitri 1431.
Mohon ampun dan maaf daripada sekalian pembaca.
WaLLAHU a’lam.
Advertisements

Sembang raya di hujung Ramadhan

AlhamduliLLAH… ALLAH masih bagi lagi kesempatan untuk hidup lagi dalam hari yang ke-26 Ramadhan ni. Hujung-hujung Ramadhan macam ni, orang-orang kita sibuk dengan persiapan raya. Yang ada di kampus, asyik teringat kampung, teringat rumah, teringat mak ayah, datuk nenek… (Hari-hari lain nampaknya kurang ingat kut… :D). Macam-macam status YM dapat di baca. Semuanya menghala ke RAYA…
Lupakah kita kepada Ramadhan? Saki baki Ramadhan yang tinggal, tenggelam dek ghairah sambut raya? Mudah-mudahan tidak. Mudah-mudahan niat kita balik awal ke kampung halaman dengan niat untuk berpuasa bersama-sama dengan keluarga, solat tarawih bersama-sama, dan berqiamullayl bersama-sama dengan keluarga di akhir-akhir Ramadhan ini. Jika demikian yang kita lakukan, alangkah bermaknanya hari EidulFitri kita bersama keluarga tahun ini.
Bukanlah namanya raya, kita terjebak dalam aktiviti terpekik terlolong menyanyikan lagu-lagu yang entah apa-apa. Kononnya sambut raya. Padahal menghina hari mulia itu. Hari Eidul Fitri adalah hari ibadah, hari anugerah ALLAH kepada hamba-Nya yang mukmin, yang bertaqwa, yang berjaya dalam Ramadhannya.
Sapa-sapa yang dah nak balik tu, baliklah dengan elok. Yang naik bas, jangan membiarkan bas meninggalkan anda. Kalau anda tertinggal bas, tak mengapa…mungkin anda akan sampai dulu. Yang memandu kereta, hati-hati di jalan raya. Yang naik flight, nasihatkan pilot suruh bawak elok-elok. Yang tak balik, jangan bersedih. Hari raya adalah hari bergembira kerana kejayaan sebulan berpuasa.
Kepada semua pembaca, pengkritik, pengcopy, pen-tidak-suka blog ini dan sebagainya, minta ampun mintak maaf banyak-banyak. Sekiranya ada luahan dan coretan yang memungkinkan anda tidak bersetuju, atau tidak berpuas hati, itu hanyalah secebis perbezaan pendapat antara kita. Salah dan silap sama-sama maafkan.
SELAMAT MENYAMBUT EIDUL FITRI 1430.

Malas solat witir? Mai renung sat…

Menjadi trend, selesai saja lapan rakaat solat tarawih, berduyun-duyun orang bangun meninggalkan jemaah. Mereka tidak mahu meneruskan solat tarawih ke dua puluh rakaat, ataupun memandang remeh solat witir. Mungkin pada fikirannya, witir hanyalah solat penutup. Budaya ini kurang sihat sebenarnya. Solat witir bukan penutup seperti tudung botol yang menutup mulut botol. Dan golongan yang bangun meninggalkan jamaah itu boleh dibahagikan kepada beberapa kategori:
1) Mahu meneruskan solat tarawih di rumah kerana di masjid/surau hanya dilaksanakan lapan rakaat sahaja.
2) Mahu menunaikan solat witir diakhir malam, atau waktu sahur. Mungkin mahu mengerjakan qiamullail dahulu.
3) Sudah letih dan malas untuk meneruskan solat. Lapan pun dah cukup. Witir buat bulan lain pun boleh.
4) Ikut-ikut orang. Sejak awal lagi sudah malas bertarawih. Orang berduyun-duyun bangun keluar dari saf memberi peluang kepadanya untuk beredar.
5) —-
6) —-
Golongan (1) dan (2) tiada masalah. Golongan (3) dan (4) dan seterusnya, adalah bermasalah. Mungkin mereka tidak faham dan tidak menghayati besarnya ganjaran ibadah dalam bulan Ramadhan. Melaksanakan ibadah hanya kerana ikut-ikutan, atau malu kalau tak buat, isi masa lapang, dan sebagainya adalah sia-sia. Beribadahlah kerana ALLAH.
Ingatlah, bahawasanya solat tarawih hanya dibulan Ramadhan sahaja. Tiada disunatkan dibulan-bulan lain. Mengerjakannya adalah menyahut tawaran hebat dari ALLAH. Meninggalkannya seumpama tidak tertarik dengan tawaran ALLAH yang sangat hebat itu.
Dan fahamilah, bahawasanya solat witir itu adalah solat sunat yang paling afdhal, lebih besar fadhilatnya berbanding solat tarawih. Lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan. Fadhilatnya lebih besar dari mana-mana solat sunat, kerana fadhilatnya menghampiri fadhilat solat wajib.
Solat witir dilakukan dalam kiraan ganjil bilangan rakaat, sekurang-kurangnya satu rakaat. Biasanya dilakukan tiga rakaat dengan dua takbiratul ihram dan dua salam. Lebih baik lagi, dilakukan lima rakaat. Lebih lagi baik dilakukan tujuh rakaat. Lagi lagi lagi baik dilakukan sembilan rakaat. Terbaik dilakukan sebelas rakaat solat sunat witir.
Bagi solat witir tiga rakaat, mazhab Maliki melakukan tiga rakaat satu takbiratul ihram dan satu salam ( tiga rakaat terus sama seperti halnya solat maghrib). Bagi mazhab Syafiie, solat sunat witir dilakukan dua kali takbiratul ihram dan dua salam (yakni dilakukan dua rakaat dahulu, kemudian satu rakaat). Mazhab Syafiie juga membolehkan solat witir dilakukan tiga rakaat sekaligus, seperti Mazhab Maliki. Namun bagi mazhab Syafiie, solat witir dua rakaat diikuti satu rakaat adalah lebih afdhal daripada melakukan tiga rakaat sekaligus, kerana dengan melakukan dua rakaat witir dan diikuti satu rakaat witir itu mempunyai lebih takbiratul ihram dan lebih bilangan salam. Takbiratul ihram dan salam kedua-duanya rukun solat.
Jadi bagi sesiapa yang cuba lari dari solat sunat witir, fikirlah kembali. Aku menyeru diriku dan kalian semua, agar tidak ketinggalan dalam menggandakan ibadah yang ikhlas dalam bulan barokah ini. Selamat meneruskan amal ibadah.
WaLLAHU a’lam.

"Ramadhan, bulan melawat Kelantan…"

Sekadar sebuah catatan…
“tahun depan, kalau ada peluang, kita ambik cuti seminggu” ujar ayah ketika berbual bersama aku dan emak sambil melihat video yang dirakam menggunakan hanset.
“Ramadhan tahun depan kalau berpeluang, kita bercuti seminggu di Kota Bharu” tambah ayah.
Aku menekan butang-butang hanset ayah melihat video-video seterusnya. Emak pula mendengar sambil membelek-belek akhbar Harakah.
Ayah, ibu dan dua adikku baru sahaja pulang dari bermusafir ke Kota Bharu dua-tiga hari lalu. Sejak ayahku bertukar tempat kerja dari Pengkalan Hulu ke Alor Setar, kerap juga ayah ke negeri pantai timur itu. Kata ayah, staff pejabat lain tidak berminat ke Kota Bharu untuk tugas-tugas tertentu, jadi ayah mengoffer diri untuk ke sana. Kerja sikit saja. Suasana di sana yang ayahku gemar sekali. Ketika aku dan adikku bersekolah di MML dan MMP dulu, ayah kerap juga ke sana. Kali ini suasananya sangat berbeza dari dahulu.
Pengalaman Ihya’ Ramadhan tahun ini dirakam oleh ayah sebagai kenangan. Kalau dahulu, ihya’ Ramadhannya di Dataran MPKB, kini di Stadium pula. Khemahnya lebih ekslusif untuk para tetamu Ramadhan.
“Susah nak jumpa suasana macam ni kat negeri lain, kan ayah?” aku bersuara selepas tidak ada butang lain lagi untuk ditekan pada hanset ayah itu.
“Bukan susah, tapi memang tak ada” ayah jawab spontan.
Aku tersengih. Memang pun. Sudah gaharu cendana pula, sudah garu-garu gatal pula, dah tau buat-buat tanya pula. Huhu…
Dari video yang aku lihat, aku berkesimpulan, apabila pemimpinnya beriman, maka rakyatnya akan turut mengikut jejak langkah pemimpin mereka. Apabila pemimpinnya bertaqwa, seluruh rakyatnya akan diusahakan untuk sama-sama bertaqwa kepada ALLAH. Jika anak, bapalah yang mendidiknya, murid pula, guru yang mengajarnya, dan jika rakyat, pemimpinnyalah yang mentarbiyahnya. Rosaknya akhlak pemimpin, maka rakyatnya akan mengalami keruntuhan akhlak jua.
Para jemaah yang hadir bukan sahaja dapat menunaikan solat tarawih bersama imam jemputan, malah dapat juga mendengar tazkirah yang disampaikan oleh pentazkirah berbeza setiap malam di antara solat-solat tarawih. Para jemaah diberikan sebuah buku catatan khas untuk mencatat isi-isi penting tazkirah bagi yang mahu mencatatnya.
Cubalah, bagi sesiapa yang belum pernah mengalami perbezaan ihya’ Ramadhan di tempat masing-masing, cubalah satu dua malan di Kota Bharu. Uniknya Ramadhan di serambi Mekah itu patut dicontohi oleh negeri-negeri lain, terutamanya negeri aku. Ku tahu sukar, kerana MB Kelantan bersusah payah selama 20 tahun untuk mencapai suasana Islamik begitu.
Suasana Ihya’ Ramadhan di Kota Bharu itu menggamit hati orang-orang soleh, manakala orang-orang munafiq pula cemburu dan gelisah dengan perkembangan sebegitu rupa. Suasananya sesuai dengan gelarannya Serambi Mekah.
Antara screenshot dari video yang dirakam:

para jemaah mendengar ayat-ayat quran yang
dialunkan oleh syeikh imam selepas selesai solat tarawih

WaLLAHU a’lam…
p/s: patut menteri Jamil Khir, Jakim, ikim, lkim, polis, atm, sprm, spr …. pikir laa buat aktiviti macam ni di peringkat kebangsaan. Kalau program perayaan kaum2 bulih buat sbg acara sambutan peringkat nasional, masakan Ihya Ramadhan ni tak boleh? Kan Malaysia ni “negara Islam”… Kan 1Malaysia ni macam ‘Piagam Madinah’

Doa dalam bulan Ramadhan

Isu Kartika : Pak-pak menteri kena mengaji dulu bab hukum syariah sebelum komen apa-apa.
Chua Soi Lek dipecat: masuk Parti Gerakan laaa… berebut dengan Tsu Koon pulak…
Dun Terengganu: Bubar saja DUN…pakat dengan Perak… huhu
====================================
Banyakkan berdoa dalam bulan Ramadhan ini.
Amalkan doa ini setiap kali lepas solat, lepas tadarus, dan sebagainya. Tak kira panjang mana pun doa kita, jangan dilupa doa ini:

(Sorang-sorang)

اللهم إني أسئلك رضاك والجنة

وأعوذبك من سخطك والنار

اللهم إنك عفو كريم

تحب العفو فاعف عني
وعن والدي وعن جميع المؤمنين والمؤمنات,
والمسلمين والمسلمات برحمتك يآ أرحم الراحمين
ALLAHumma inni as-aluka ridhoka wal-jannah
wa-a’uzubika min sakhathika wannar
ALLAHUmma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘anni
wa ‘an walidayya wa ‘an jami’il mukminina walmukminat
walmuslimina walmuslimat, birohmatika ya~ arhamar-rohimin


(berjemaah)

اللهم إنا نسئلك رضاك والجنة

ونعوذبك من سخطك والنار

اللهم إنك عفو كريم

تحب العفو فاعف عنا
وعن والدينا وعن جميع المؤمنين والمؤمنات,
والمسلمين والمسلمات برحمتك يآ أرحم الراحمين

ALLAHumma inna nas-aluka ridhoka wal-jannah
wa-na’uzubika min sakhathika wannar
ALLAHUmma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘anna
wa ‘an walidina wa ‘an jami’il mukminina walmukminat
walmuslimina walmuslimat, birohmatika ya~ arhamar-rohimin
“Ya ALLAH, aku/kami memohon dari-Mu keredhaan-Mu dan Syurga
dan aku/kami berlindung dengan-Mu dari kemurkaan-Mu dan api neraka,
Ya ALLAH, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan Maha Mulia,
Engkau suka memberi ampun, maka ampunilah aku/kami,
dan ibubapaku, dan orang-orang mukmin lelaki dan perempuan, orang-orang Islam lelaki dan perempuan, dengan kasih-sayang-Mu hai Yang Teramat Penyayang daripada sekalian orang-orang yang penyayang…”
WaLLAHu a’lam…

Ramadhan : belajarlah berlapang dada…

Ramadhan bulan barakah, bulan digandakan ganjaran setiap amalan, dibelengu segala iblis dan syaitan, bulan yang awalnya rahmah (kasih sayang), pertengahannya maghfirah (kemampunan) dan akhirnya pembebasan dari api neraka.
Ramadhan sudah beberapa hari berlalu. Barangsiapa yang sudah bersungguh-sungguh merebut tawaran ALLAH pada hari-hari yang sudah berlalu, maka beruntunglah dia. Dan barangsiapa yang lalai dan leka, sesungguhnya hari-hari yang berlalu itu sudah tidak akan kembali kepadanya. Jika saat ini tersedar kita daripada kelalaian itu, maka Ramadhan masih di fasa awalnya – rahmah. Masih kita punyai peluang untuk merebut segala tawaran-Nya. Muhasabahlah diri di awal Ramadhan sebelum terlambat, sebelum Ramadhan terus berlalu meninggalkan kita.
Dalam sibuk mengerjakan ibadah, wajar kita meletakkan sasaran yang jelas untuk diri kita. Apa sasaran ibadah kita dalam bulan Ramadhan ini? Tidak lain tidak bukan adalah untuk menggapai status hamba yang bertaqwa, selari dengan firman ALLAH;
“Hai orang-orang beriman, difardhukan ke atas kamu akan berpuasa sebagaimana telah difardhukan ke atas umat-umat sebelum kamu, mudah-mudahan kamu beroleh taqwa
[al-Baqarah:183]
Sasaran ibadah kita adalah taqwa. Baik apa jua ibadah yang kita lakukan dalam bulan Ramadhan ini, biarlah sasarannya taqwa. Solat kita, fokuskan untuk menjadi hamba yang bertaqwa. Puasa kita, biarah menepati piawaian puasa orang-orang yang bertaqwa. Sedekah kita, zakat kita, bacaan al-quran kita, dan seumpamanya, biarlah menjurus ke arah taqwa. Bukan sekadar ikut-ikut orang, bukan mahu menunjuk-nunjuk, bukan saja-saja isi masa lapang.
Aktiviti amal Islami, amal jamaei dan amal ijtimaei juga adalah ibadah. Aktiviti dakwah, tarbiyyah, pengkaderan dan sebagainya yang disusun oleh jemaah, adalah ibadah. Maka sekalian usaha menjayakannya menjadi ibadah jua. Hatta bermesyuarat, berdiskusi, menyusun atur program, merancang startegi, untuk melaksanakannya bukanlah kerja sia-sia di sisi ALLAH.
Malang sekali bagi golongan yang berfikiran sempit, khususnya dalam kalangan ahli jemaah yang menganggap bermesyuarat itu membuang masa, merancang sesuatu usaha tarbiyyah adalah sia-sia. Dalam bulan barakah inilah sepatutnya kita mohon ALLAH mudahkan usaha dakwah kita, rahmati gerakerja kita, gandai ganjaran ke atas kita, dan rahmati setiap keputusan mesyuarat kita agar tindakan perlaksanaannya dipandu cahaya-Nya.
Perjuangan menggapai status taqwa dalam bulan Ramadhan bukan sahaja ditumpukan kepada solat tarawih, tadarus al-quran, sedekah dan seumpamanya, bahkah status taqwa itu perlu meliputi juga usaha mengikis sifat mazmumah dalam diri. Tentu kita tahu sifat keji dan buruk dalam diri kita. Jika tidak nampak, jadikan sahabat karib kita sebagai cermin untuk kita menilik kekejian diri kita yang kita tidak nampak. Malang sekali jika kita menganggap kita sudah bebas dari sifat-sifat buruk, sedangkan orang lain dapat melihatnya.
Sikap berlapang dada adalah sifat terpuji yang harus kita bina terutama dalam akhlak berjamaah dan bersaudara sesama kita. Ukurlah darjah kelapangan dada kita. Jika rendah bacaan meternya, baiki lagi. Dalam berjamaah, pasti ada ketika kelakuan sahabat seperjuangan kita menyebabkan kita tidak berpuas hati atau marah kepadanya. Tegurlah dia dengan penuh hikmah dan berlapang dada. Jika hati kita terluka, jangan kita melukai saudara kita pula. Bersabarlah. Kesilapan-kesilapan kecil, maafkanlah. Usah ada sikap mudah merajuk atau memprotes tidak tentu hala. Dia tidak sempurna, kita juga tidak sempurna. Berlapang dadalah kepada kelemahan sahabat kita sebagaimana kita mahu dia juga berlapang dada dengan kelemahan kita. Jika kita merasakan hati kita sangat sensitif, mudah terluka dengan tindak tanduk manusia, maka beringatlah, kita juga memiliki lidah yang sangat tajam yang boleh melukai hati orang lain.
Begitu juga kadang-kadang keputusan mesyuarat tidak selari dengan pandangan dan kehendak kita. Berlapang dadalah dan terimalah keputusan mesyuarat itu serta laksanakan dengan penuh komitmen. Boleh jadi ada hikmah disebalik keputusan jemaah yang kita tidak nampak, atau barangkali pendangan kita masih tidak sesuai dilaksanakan pada saat ini yang kita tidak tahu. Sebaik-baiknya kita beristighfar jika cadangan kita diterima, mudah-mudahan ia terhindar daripada kemudharatan jika dilaksanakan. Bersyukur jika idea kita ditolak kerana mungkin idea yang kita anggap bagus itu tersembunyi di dalamnya mudharat yang besar.
Moga-moga Ramadhan ini dapat mempertingkatkan taqwa kita, orang-rang yang mengintima’ diri dalam perjuangan Islam. Mudah-mudahan darjat ketaqwaan kita memberi impak yang baik dalam berjamaah.
WaLLAHu a’lam…

Ramadhan bertandang lagi…

AlhamduliLLAH…

Azan maghrib tadi menandakan bermulalah Ramadhan, bulan penuh barakah. Syukur, kita masih diberi peluang bernafas dalam keberkahan Ramadhan. Mudah-mudahan kita dapat merebut segala peluang yang disediakan ALLAH.
Selamat bersolat Tarawih, dan selamat berpuasa.