Perutusan Eidul Fitri 1430


Perutusan Hari Raya Eidul Fitri 1430
Oleh: Penulis Blog Ini
بسم الله الرحمن الرحيم
الله أكبر , الله أكبر , الله أكبر

الله أكبر كبيرا , والحمد لله كثيرا وسبحان الله بكرة وأصيلا
Segala puji bagi ALLAH, Tuhan yang mentadbir sekalian ‘alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad RasulaLLAH ShollaLLAHU ‘alaihi wasallam.
Hai sekalian pembaca blog ini,
Aku menyeru diriku dan kalian semua agar bertaqwa kepada ALLAH dengan sebenar-benar taqwa. Hanya orang-orang bertaqwa sahajalah yang sebenar-benarnya berjaya di sisi ALLAH. Pada hari ini, kita bertakbir dan bertahmid kepada ALLAH, Tuhan Rabbul Jalil, selepas kejayaan menyempurnakan sebulan berpuasa dalam bulan Ramadhan. Mudah-mudahan dengan lengkapnya Ramadhan lalu, kita berjaya mencapai tahap taqwa yang tinggi, lebih tinggi daripada Ramadhan tahun-tahun lalu.
الله أكبر , الله أكبر , الله أكبر
Ramadhan telah berlalu meninggalkan kita. Ramadhan 1430 tidak akan kembali menemui kita sampai bila-bila. Beruntunglah orang-orang yang memenuhinya dengan amal soleh dan ikhlas kerana ALLAH. Rugilah bagi sesiapa yang mensia-siakan Ramadhan lalu dengan amalan-amalan yang buruk dan dimurkai ALLAH. Hari ini, Eidul Fitri, adalah hari anugerah ALLAH kepada hamba-hamba-Nya yang soleh, yang begitu tekun mendambakan ketaqwaan kepada ALLAH. Orang-orang berimanlah yang selayaknya menyambut hari penuh barakah ini, manakala pelaku-pelaku maksiat dan kederhakaan kepada ALLAH dalam bulan Ramadhan, sepatutnya berasa malu untuk bersama-sama menyambut Eidul Fitri.
Sidang pembaca sekalian,
Namun apa yang kita dapat lihat hari ini, golongan yang munafiqlah yang kelihatan sungguh seronok menyambut hari mulia ini, dengan sambutan yang mewah, rancak serta penuh kegembiraan. Walhal sebenarnya mereka tidak langsung dipelawa oleh ALLAH untuk meraikannya. Sebulan berpuasa adalah ibadah. Demikian pula Eidul Fitri juga adalah hari ibadah. Sambutan yang melampau dan penuh aktiviti yang melalaikan sebenarnya mencemarkan Eidul Fitri, menghina hari mulia yang ALLAH hadiahkan kepada hamba-hamba-Nya yang beriman dan bertaqwa.
الله أكبر , الله أكبر , الله أكبر
Suasana pada hari ini memperlihatkan kepada kita, betapa runtuhnya akhlak masyarakat, terutamanya muda-mudi dalam negara kita. Paling menyedihkan, muda-mudai itu adalah anak-anak muda Islam. Akhlak mereka bagaikan mereka tidak beragama Islam. Lihat sahaja bagaimana mudah sekali mereka dilalaikan dengan hiburan-hiburan yang melampau. Tambahan pula pada hari raya ini, semakin galaklah mereka berhibur tanpa batasan dan terjebak dalam gejala mungkar. Imam mereka adalah artis-artis. Dorongan mereka adalah syaitan-syaitan dari kalangan jin dan manusia. Mereka jauh daripada cahaya ALLAH.
Jesteru itu, siapakah yang boleh menyelamatkan mereka daripada terus hanyut ditelan arus mungkar? Hanya ALLAH sahaja yang memberi hidayah petunjuk-Nya. Namun, apakah pula sumbangan kita untuk menjernihkan semula kekotoran yang membusuk dalam sasyarakat kita? Cukupkah peranan mendidik anak muda ini diserahkan kepada ibu bapa semata-mata? Apakah pula guru-guru sahaja yang perlu dipertanggung-jawabkan? Mampukah masyarakat sekeliling bersama-sama membaiki keadaan ini? Tidak lain tidak bukan, semuanya perlu terlibat. Pembaikan dari peringkat keluarga, hinggalah ke peringkat nasional perlu dititik beratkan.
الله أكبر , الله أكبر , الله أكبر
Pihak kerajaan sepatutnya memainkan peranan yang besar dalam mendidik akhlak muda-mudi. Kuasa kerajaan adalah lebih meluas dan mampu melakukannya. Kerajaan mempunyai infrastruktur dan isntrumen-instrumen yang besar dan pelbagai untuk memacu rakyat ke arah berakhlak mulia. Akan tetapi, kerajaan kita pada hari ini bagaikan tidak berbuat apa-apa. Usaha kerajaan untuk kebaikan umat Islam hanyalah sebagai topeng dan kosmetik sahaja. Tidak bersungguh-sungguh melaksanakannya. Lihatlah, berapa banyakkan program mendidik jiwa muda-mudai berbanding program-program yang mengkhayalkan? Ketahuilah, program-program khayal yang tidak dihalang oleh kerajaan adalah virus dan pandemik yang akan memusnahkan masa depan umat Islam.
Sidang pembaca yang dihormati,
Sebagai rakyat jelata, kita akan dipertanggungjawabkan oleh ALLAH kelak tentang kuasa yang diberikan kepada kita untuk memilih pemimpin untuk mentadbir kerajaan. Apakah kita menyangka kita akan terlepas daripada kemurkaan ALLAH, sekiranya kita memilih pmimpin yang meluluskan program-program maksiat dan melalaikan? Apakah kita tidak akan ditanya kenapa kita memenangkan pemimpin yang hanya tahu menerima rasuah, menyalahguna kuasa dan pecah amanah? Ketahuilah, jika hari ini kita tidakberubah, kita akan menyesal suatu hari nanti. Jika kita berdegil, ALLAH akan tunjukkan akibat kejahilan kita memilih pemimpin. Kita mungkin akan menyaksikan sendiri betapa runtuhnya negara kita, rosaknya anak-anak kita sendiri, cucu-cicit kita dan sebagainya.
Sebelum terlambat, ambillah peluang pada hari raya Edul fitri ini untuk bermuhasabah dan melakukan perubahan. Hari ini jiwa kita insyaALLAH kembali kepada fitrah setelah sebulan kita mengasuhnya. Maka ambillah peluang ini. Jangan biarkan syaitan-syaitan yang terlepas dari belengu itu kembali menguasai kita.
Sekian sahaja perutusan Eidul Fitri pada kali ini. Segala yang baik, ambillah pengajaran darinya. Kelemahan-kelemahan pula jadikanlah iktibar. Tegurlah sekiranya ada kesilapan. Mohon ampun dan maaf , zahir dan batin. SALAM EIDUL FITRI.
WaLLAHU a’lam.
Advertisements

Sembang raya di hujung Ramadhan

AlhamduliLLAH… ALLAH masih bagi lagi kesempatan untuk hidup lagi dalam hari yang ke-26 Ramadhan ni. Hujung-hujung Ramadhan macam ni, orang-orang kita sibuk dengan persiapan raya. Yang ada di kampus, asyik teringat kampung, teringat rumah, teringat mak ayah, datuk nenek… (Hari-hari lain nampaknya kurang ingat kut… :D). Macam-macam status YM dapat di baca. Semuanya menghala ke RAYA…
Lupakah kita kepada Ramadhan? Saki baki Ramadhan yang tinggal, tenggelam dek ghairah sambut raya? Mudah-mudahan tidak. Mudah-mudahan niat kita balik awal ke kampung halaman dengan niat untuk berpuasa bersama-sama dengan keluarga, solat tarawih bersama-sama, dan berqiamullayl bersama-sama dengan keluarga di akhir-akhir Ramadhan ini. Jika demikian yang kita lakukan, alangkah bermaknanya hari EidulFitri kita bersama keluarga tahun ini.
Bukanlah namanya raya, kita terjebak dalam aktiviti terpekik terlolong menyanyikan lagu-lagu yang entah apa-apa. Kononnya sambut raya. Padahal menghina hari mulia itu. Hari Eidul Fitri adalah hari ibadah, hari anugerah ALLAH kepada hamba-Nya yang mukmin, yang bertaqwa, yang berjaya dalam Ramadhannya.
Sapa-sapa yang dah nak balik tu, baliklah dengan elok. Yang naik bas, jangan membiarkan bas meninggalkan anda. Kalau anda tertinggal bas, tak mengapa…mungkin anda akan sampai dulu. Yang memandu kereta, hati-hati di jalan raya. Yang naik flight, nasihatkan pilot suruh bawak elok-elok. Yang tak balik, jangan bersedih. Hari raya adalah hari bergembira kerana kejayaan sebulan berpuasa.
Kepada semua pembaca, pengkritik, pengcopy, pen-tidak-suka blog ini dan sebagainya, minta ampun mintak maaf banyak-banyak. Sekiranya ada luahan dan coretan yang memungkinkan anda tidak bersetuju, atau tidak berpuas hati, itu hanyalah secebis perbezaan pendapat antara kita. Salah dan silap sama-sama maafkan.
SELAMAT MENYAMBUT EIDUL FITRI 1430.

Cerita sikit kisah hari raya…

Hari ini ketika post ini ditaip, sudah pun hari raya ke-5. Hari ke 5 Syawal, juga 5 Oktober. Cerita Ramadhan 1429 sudah berlalu. Hari ni kita cerita pulak bab Raya. Hari raya pertama sampai ke empat, aku tidak dapat menulis blog disebabkan beberapa faktor. Faktor malas dan susah nak istiqomah adalah faktor yang selalu dialami. Faktor lain yang menghalang, adalah kabel telefon di kampungku dikebas orang. Malam terakhir Ramadhan merupakan malam pengkebasan kabel-kabel telefon besar-besaran. Habis satu kampung terputus perkhidmatan telefon sehingga hari ini.

Jadi tidaklah dapat aku mengakses internet, apatah lagi berblog. Kena cadang kepada kerajaan Kedah supaya kasi perkhidmatan wireless di setiap kampung di Kedah. Biar rakyat Kedah menjadi rakyat bijak dan celik IT menjelang 2010. Hehehe…

Berbalik kepada cerita Raya, aku beraya dikampung saja. Bermula dengan bertakbir selepas solat maghrib berjamah bersama-sama keluarga setelah selesai berbuka puasa, dikala anak-anak jiran sekampungku sedang meletupkan bahan-bahan letupan yang menggetarkan salur-salur pembuluh jantung. Aduhai… aneh sungguh orang-orang kita sambut raya. Mengalahkan orang Cina sambut Tahun Baru Cina dengan bermain mercunnya.

Esok paginya, kami satu keluarga ke masjid awal-awal pagi untuk bertakbir dan menunaikan solat sunat Eidul Fitri. Tajuk khutbah Raya tahun ini adalah “Mengenali Jahiliyyah”. Jahiliyyah adalah sangat sukar ditangani dan memerlukan kesungguhan para daei. Di zaman RasuluLLAH, Jahiliyyah adalah sangat sukar ditangani berbanding kuasa besar Rom dan Parsi. Sebab itu apabila RasuluLLAH berjaya mengalahka Jahiliyyah, maka mudahlah menguasai Rom dan Parsi.

Jahiliyyah ini ada di mana-mana, setiap zaman bentuk jalan ceritanya akan berkitar semula. Arab Jahiliyyah, adalah contoh Jahiliyyah zaman sebelum RasuluLLAH diutus. Mereka mengekalkan amalan-amalan yang ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim seperti haji, tawaf, dan sebagainya. Dari satu segi, ubudiyyah mereka kepada ALLAH masih wujud. Tetapi pada masa yang sama mereka meletakkan berhala-berhala sebagai perantara antara mereka dengan ALLAH. Mempercayai kepada berhala sebagai pemberi rezeki dan pemberi kemajuan. Pada masa yang sama juga, akhlak mereka tumbang dan tidak selenggara. Zina merata-rata. Bunuh, samun, rompak dan seumpamanya bermaharajalela. Sistem ekonomi pula berasaskan riba dan menindas. Perebutan kuasa sehingga peringkat bunuh membunuh.

Setiap zaman, Jahiliyyah berkitar semula. Hari ini kita umat Islam – Melayu, turut mengalami penjahiliyyahan. Lihatlah, Melayu yang beragama Islam – dari satu segi masih wujud ubudiyyah kepada ALLAH – apabila perintah solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya dilakukan. Tetapi kejahiliyyahan Melayu terserlah apabila meletakkan kuasa politik sebagai pemberi rezeki dan pemberi kemajuan pembangunan. Akhlak pemuda-pemuda Melayu semakin hancur tanpa pembelaan. Zina menular sehingga peringkat berlaku sumbang mahram. Bunuh, samun, ropak semuanya sudah didominasi oleh orang-orang Melayu beragama Islam. Sistem ekomoni menggunapakai sistem kapitalis dan riba. Perebutan kuasa politik sehingga tahap fitnah-memfitnah (Fitnah lebih dahsyat daripada membunuh). Jahiliyyah moden yang dianuti masyarakat Melayu adalah sangat dahsyat, dan kebanyakan kita tidak menyedarinya.

Ketidak-sedaran kita sama seperti ketidak-sedaran orang-orang Arab Jahiliyyah suatu ketika dulu. Mereka tidak sedar bahawa mereka berada dalam satu suasana Jahiliyyah dan menganuti Jahiliyyah. Kita hari ini mengenali bahawa Arab sebelum Nabi Muhammad adalah Arab Jahiliyyah, padahal mereka dulu tidak menyedari kejahilan mereka. Maka nasib kita juga akan sedemikian sekiranya kita terus tidak menyedari hakikat kejahiliyyahan yang melanda umat Melayu-Islam hari ini dalam negara kita, sehingga tercatat sejarah pada masa akan datang bahawa kita sebenarnya Melau Jahiliyyah. Generasi akan datang akan melabel kita sebgai Melayu Jahiliyyah, sedangkan kita hari ini belum mahu sedar.

Nabi diutus memerangi Jahiliyyah. Zaman ini, para ulama bermujahadah memerangi jahiliyyah. Nabi ditentang oleh pembesar-pembesar Arab Jahiliyyah. Ulama hari ini juga menerima tentangan hebat daripada pembesar-pembesar Melayu Jahiliyyah. Zaman silih berganti. Ada yang menurut arus dakwah Nabi, maka ada pula yang menjadi penentangnya samada secara sedar atau pun tidak, secara serius ataupun main-main. Maka pilihlah yang mana haluan kita. Mengikut atau menentang.

Panjang pulak ulasah khutbah. Cerita bab raya semula. Lepas solat sunat Raya, kami menziarahi kubur, suatu destinasi yang kita juga bakal singgah sebelum ke alam akhirat. Kami juga menziarah kubur ulama di situ (Tok Guru Pak Man). Kemudian pulang menziarahi jiran-jiran yang uzur dan sakit. Kemudian pulanglah kami ke rumah.

Petang pula, kami menerima kunjungan tetamu yang sangat ramai- saudara mara sebelah ayahanda kami. Dipendekkan cerita (letih dah menaip), keesokan pula kunjungan dari keluarga sebelah adik beradik nenek sebelah bonda. Hari raya ketiga pula kunjungan dari saudara-mara sebelah bonda kami. Semalam- Raya ke-empat, kunjungan dari keluarga nenek sebelah ayahanda pula. 4 hari pack dengan aktiviti melayan tetamu. Hari ini hari raya ke-5, aku kembali ke kampus.

Hari ini hari raya ke 5. Ketika menaiki bas, aku teringat akan sahabatku yang akan bernikah hari ini. Sahibussamahah Tengku. Selamat Bernikah. Minta maaf sebab tidak menghadiri majlis demo Tengku. Jauh sangat. Hanya al-Fatihah sahaja dapat ku kirimkan…

Dalam menyambut hari raya, suatu benda yang kita perlu tanam dalam benak sanubari kita, bahawa Eidul Fitri adalah hari ibadah. Bukan hari berfoya-foya melepaskan geram selepas Ramadhan. Awaslah, bahawa rancangan Raya di kaca TV adalah Jahiliyyah yang mesti kita perangi. Peraaaang!!! Menjelekkan dan memalukan. Syawal dan Eidul Fitri adalah anugerah ALLAH kepada hamba-Nya yang bersungguh-sungguh dalam Ramadhan. Bersungguh-sungguh mendambakan Rahmat, keampunan dan perlepasan dari azab Neraka.

Tiba-tiba mereka yang entah bagaimana Ramadhan mereka, terpekik-terlolong ‘bergembira’ menumpang beraya. Malu-lah kepada ALLAH. Benar, kita tak tahu bagaimana amalan mereka dalam bukan Ramadhan, mungkin lebih baik dan tawadhuk. Tapi biasanya orang-orang yang terpekik-terlolong menyanyi dan menari itu, gagal puasanya. Hanya lapar dan dahaga. Jika sekiranya benar sekalipun mereka peroleh ganjaran besar dalam Ramadhan, tetapi mereka membatalkan ganjarah pahala tersebut dengan amalan maksiat pada hari raya. Sedihnya, na’uzubiLLAH.

Satu lagi , aku teringat satu pesan seorang ustaz tentang Laylatul-Qadr. Sesiapa yang bersungguh-sungguh dalam Ramadhan dan mendapat Laylatul-Qadr yang ganjarannya lebih baik dari seribu bulan, maka berawaslah. Walau besar mana pun ganjaran Laylatul-Qadr, ia akan lenyap dengan mudah sekali apabila kita melakukan amalan syirik, khurafat dan menentang hukum ALLAH. Dengan kata mudah, menentang Islam, lenyap pahala Laylatul-Qadr.

Semoga ALLAH terus memelihara kita.