Sembang: ALLAH memberi tazkirah kepadaku

Baru tiga hari menziarahi datuk saudara yang meninggal dunia di rumahnya, tengah hari semalam aku dikhabarkan pula dengan kematian adik sepupuku, akibat lemas dalam lopak air, di kampung yang sama, Kampung Pantai Prai, Sg Petani. Adik sepupuku yang dipanggil mesra sebagai ‘Cik’ baru berusia 8 tahun. Dia adalah anak kembar kepada Maksu, ibu saudaraku. Baru dua hari sebelumnya aku lihat gelagat-gelagatnya ketika menziarahi datuk saudara aku (yang juga datuk saudaranya)yang meninggal dunia.
Kematian dua orang yang dekat pertaliannya dengan aku membuatkan aku rasa seperti diberi peringatan oleh ALLAH. Ketika datuk saudaraku meninggal dunia, tergetus dalam hatiku nahawa mati itu pasti. Tok Tam (panggilan mesranya) pergi dulu mengadap-Nya.
Seperti biasa apabila melihat orang tua meninggal dunia, ada satu kata-kata di suatu sudut di lobus hati bahawa ‘biasalah, dia sudah tua’. Aku cuba memadam kata-kata itu dengan beristighfar. Mati itu tidak kira tua atau muda. Aku yakin dengan perkara itu, tetapi iblis sentiasa berbisik hal-hal untuk mengaburi manusia. Tidak hairan berapa ramai manusia yang melihat orang mati, tetapi masih tidak bersedia untuk mati, seolah-olah mereka tidak akan mati seperti si mati.
Tiga hari sahaja berlalu, berita kematian adik sepupuku benar-benar membidas suara sumbang di sudut hatiku itu. Anak kecil juga bisa mati. Mati itu tidak mengira umur, tua atau muda! ALLAH memberi tazkirah yang cukup tegas kepadaku melalui peristiwa ini.
InnaliLLAHi wa inna ilaiHi roj’ouun…
‘Cik’ sudah pergi. Tinggallah adik kembarnya bersama seorang abang dan seorang kakaknya sedang dia bersemadi di sebelah kubur Tok Tam.
Semoga ALLAH mengampuni dan mencurahi rahmat-Nya kepada Tok Tam.
Semoga adik Cik aman bersemadi di sana dan moga-moga menjadi rahmat kepada ayah dan ibunya. Pak Su dan Mak Su, bersabarlah, insyaALLAH anakmu itu akan menarik tangan kalian ke pintu syurga.
Tok Tam [14 Zulhijjah 1431]
Cik [17 Zulhijjah 1431]
Advertisements

Sembang: Sibuk dan menyibuk

“Kita sentiasa sibuk. Jadi beruntunglah orang yang bijak mengurus kesibukannya,” si abang menasihati adiknya.

“Tak semua orang sibuk. Ada juga orang yang punyai masa lapang,” si adik seperti biasa, suka memanjangkan perbincangan dengan idea yang berlawanan.
“Ya betul. Tapi kita kena sibukkan diri…” si abang menambah.
“bukankah kita disuruh beringat ketika waktu lapang sebelum tiba waktu sibuk? Kenapa perlu sibukkan diri? Kita mesti manfaatkan masa lapang,” si adik memintas idea abangnya.
Si abang tersenyum.
“Ya, nak manfaatkan masa lapang, kita kena sibukkan diri,” si abang menjawab. Si adik diam seketika untuk mendengar penjelasan abangnya.
“Setiap masa, kita akan sibuk. Sama ada kita ini sibuk buat baik, atau sibuk buat benda jahat. Sama-ada kita sibuk berbuat ibadat, ataupun kita sibuk berbuat maksiat”
Si adik terus mendengar.
“Jika kita rasa ada kelapangan, maka sibukkanlah diri kita dengan perkara ibadat, kerana jika tidak, pasti kita akan disibukkan dengan perkara maksiat sama ada kita sedar ataupun tidak,” si abang berceramah panjang lebar.
“bagaimana pula ada orang yang tak buat ibadat, tak buat juga maksiat… duduk saja je… orang ni tak sibuk kan?” si adik cuba mencuit abangnya.
“orang itu sibuk juga” si abang tersenyum.
“kenapa?”
“sibuk duduk saja,” jawab si abang disusuli dengan ketawa kecil mereka berdua.

Hub Hiburan: Memang brilliant!

Negara kita akan menjadi hub pusat hiburan malam. Itulah plan transformasi ekonomi yang dicetuskan oleh seorang PM yang sangat cerdik lagi berpandangan jauh. Dalam banyak-banyak cara untuk memperkasakan ekonomi negara, hub pusat hiburan juga dipilihnya. Apakah cetusan ideanya ini benar-benar boleh mengubah ekonomi negara menjadi lebih baik, atau menuju ke arah negara berpendapatan tinggi?
Ya, tindakannya sangat sesuai untuk meningkatkan ekonomi negara. Orang-orang lemah akal seperti pak-pak ustaz tidak nampak potensi besar hub-hub hiburan, kerana meraka tidak pernah ke sana. Lihatlah bagaimana sejak akhir-akhir ini kita dapati banyak program-program hiburan dianjurkan. Akademi Fantasia, Malaysian Idol, Raja Lawak, Mentor dan suku-sakatnya, semuanya sudah dirancang dengan rapi untuk meresapi jiwa anak-anak muda dengan hiburan. Setelah anak-anak muda dan masyarakat sudah sebati dengan hiburan, maka inilah masa sesuai untuk jadikan Malaysia sebagai hub hiburan.
Akan memacu ekonomi? Ya, kerana pelanggan-pelanggannya sudah diasuh dari kalangan anak-anak muda. Ekonomi negara pasti akan meningkat, kerana masyarakat kita lah yang akan mengunjungi hub-hub hiburan. Dengan itu hub-hub hiburan akan menjadi pusat tumpuan ekonomi disamping hiburan yang disediakan. Malah, hiburan adalah senjata yang paling mudah untuk menarik orang ramai. Tidak seperti masjid, tidak semua orang suka ke masjid. Tidakkah PM kita sudah berfikiran jauh? Sudah tentu PM sudah berfikiran melampaui batasan zamannya, dibantu pula oleh isterinya tercinta.
Keyakinan pelabur? Pelabur-pelabur akan yakin dengan kemampuan Malaysia sebagai hub hiburan, kerana di Malaysia sudah ramai generasi AF, Mentor, Malaysian Idol dan sebagainya. Mereka-mereka yang gagal dalam persaingan program-program realiti hiburan tersebut masih berpeluang menjana ekonomi di hub-hub yang akan dimajukan. Dengan itu, para pelabur tidak perlu susah hati akan kekurangan tenaga penghibur. Para pelabur akan berduyun-duyun membanjiri Malaysia.
Semua rakyat setuju? Tidak semua rakyat setuju. Biasalah, setiap usaha baik atau buruk pasti ada penyokong dan penentang. Dalam konteks idea cetusan kerajaan, pastilah pihak parti pembangkang yang akan ke hadapan menentang. Itu biasa. PM tak perlu khuatir, asalkan PM disokong kuat isteri tercinta, itu sudah memadai.
Keberkatan ekonomi cara ini bagaimana? Keberkatan? Usah bimbang akan keberkatan. Kita hidup dalam negara sekular, memang tiada dalam kamus ekonomi kita mengenai keberkatan. Lihat negara-negara maju ekonominya, tidak dibincang pun isu keberkatan.
Aduh…. apa yang aku tulis ni? Kenapa aku mengampu PM? Kenapa aku sokong idea seburuk hub hiburan ini? Tidak! Aku sekali-kali tidak menyokong. Cuma idea gila ini menjadikan sistem sarafku bercelaru untuk seketika. Macamana boleh seorang PM bagi idea plan transformasi ekonomi seburuk ini? Kenapa kemaruk dengan hiburan?
Hiburan yang melampau bukanlah cara untuk membangunkan ekonomi, malah boleh meruntuhkan ekonomi sesebuah negara. Plan asalnya adalah, apabila rakyat kemaruk dengan hiburan, maka rakyat tidak akan berminat dengan ilmu dan pengajian, lebih khusus lagi, rakyat tidak akan minat dengan pendekatan beragama. Rakyat akan mudah menjadi jahil, dan terus jahil. Apabila rakyat jahil, lalai dan malas membaca, maka rakyat mudah ditipu secara terhormat. Rakyat mudah diperbodoh. Apabila rakyat jauh dari ilmu agama, mereka akan mudah menyokong apa jua tindakan kerajaan yang membelakangi agama. Malah ini adalah cara mujarab untuk mengekalkan kekuasaan parti pemerintah. Alasan ekonomi adalah kosmetik memperbodoh rakyat.
Kemajuan ekonomi negara, jika tiada keberkatan, akan meruntuhkan sesebuah negara. Apa guna negara kaya, tetapi akhlak dan moral masyarakat hancur lebur? Gejala sosial semakin membarah, bertambah parah. Hub-hub hiburan seterusnya akan menjadi pusat merekrut pelapis-pelapis baru untuk mendaftar di sekolah Ali Rustam. Akhirnya sekolah Ali Rustam akan bertambah cawangannya, akan majulah negara?
Orang-orang berkepala otak sekular memang begitu. Setiap tindakannya membelakangkan agama ALLAH. Mereka tidak nampak bahawa tindakan durjana itu kelak akan mengundang kemurkaan ALLAH. Apabila ALLAH menghendaki sesuatu yang buruk menimpa sesuatu kaum, sesebuah negara, maka tiada siapa pun dapat menghalang. Ketika itu, apa lagi erti kemajuan?
Ahh… kamu ini usah nasihat-nasihat mereka lagi… bukannya mereka dengar pun. Blog kamu ini bukannya mereka baca pun. PM tak layan blog murahan mcm blog kamu. lagipun mungkin hati mereka sudah ditutup untuk memahami kebenaran… Ada bisikan kepadaku supaya berhenti menulis untuk kali ini. Maka aku pun berhenti menulis. Sekian kali ini, lain kali aku tulis lagi, kerana aku tidak diberi ilmu untuk mengetahui samada hati seseorang itu sudah ditutup rapat oleh ALLAH atau pun tidak…
WaLLAHU a’lam.

Sembang: Cerita 1001 malam

Lama beraya. Blog pon dah berapa nak dicakna. Nak ulas apa pon blur dah. Otot-otot jari sedikit keras untuk menaip banyak-banyak. Sereblum dan serebrum masih terbuai-buai dengan suasana raya. Akhirnya medula oblongata mengeluarkan idea untuk ditaip.
Cerita suatu ketika dalam bulan Ramadhan…
Suatu malam di waktu malam-malam akhir Ramadhan, Ahmad dan keluarganya menziarahi datuknya di kampung. Perjalanan kira-kira satu jam itu agak meletihkan kerana jalannya tidak sehebat lebuhraya utara selatan. Jalan yang bengkang-bengkok, beralun-alun memang menguji kecergasan jasmani tubuh badan. Sekali-sekala terasa macam naik kuda, walhal hanya menunggang kancil.
Ahmad dan keluarganya sempat berbuka puasa bersama datuk dan saudara-mara yang hadir. Seperti tahun-tahun lalu, mereka akan berbuka puasa beramai-ramai di rumah datuknya.
Setelah selesai berbuka puasa dan solat maghrib, Ahmad dan keluarganya pulang semula ke rumah. Setibanya di rumah, Ahmad keletihan. Begitu juga adik-beradiknya yang lain. Waktu Isyak sudah lama masuk. Ahmad mengambil keputusan untuk berehat dahulu. Dia berbaring di atas katil di biliknya. Adik-adiknya yang lain bersolat dahulu sebelum berehat atau tidur.
Dalam keadaan letih begitu Ahmad bagaikan antara sedar dan tidak sedar yang dia telah beberapa kali dikejutkan oleh adik-adiknya untuk solat Isyak.
Ahmad terlena. Ahmad tidur nyenyak sekali.
Tiba-tiba Ahmad terjaga.
‘Ah, suasana sudah gelap gelita. Semua orang sudah tidur agaknya’. Ahmad bermonolog sendirian. Lalu dicapainya jam tangan dan melihat waktu.
’emm… baru pukul dua… kejap lagilah…’ Ahmad menyambung tidurnya.
Beberapa ketika kemudian Ahmad tersedar dalam keadaan separuh sedar. Matanya masih pejam. Kedengaran satu suara terngiang-ngiang di telinga Ahmad sedang membacakan ayat al-quran.
“Ma salakakum fi saqar?”**
Ahmad dalam keadaan separuh sedar. Suara itu terus mengulang-ulang ayat itu, sehingga Ahmad tersedar dan turut menyebut ayat itu.
‘Ma salakakum fi saqar?’ Ahmad menyebutnya.
‘Ma salakakum fi saqar?’ Ahmad mengulanginya.
Ahmad terjaga.
‘Ma salakakum fi saqar?.. Qalu lam naku minal-mushollin’ Ahmad menyambung ayat itu kerana dia pernah mendengarnya sebelum ini.
Dia terus bangun dan mencapai jam tangannya. Sudah pukul 3 pagi. Dia belum solat Isyak. Serta merta bulu romanya meremang mengenangkan ayat itu yang bermaksud ‘Apa yang membawa kamu ke neraka saqar?.. Mereka berkata, kami tergolong dalam kalangan orang-orang yang tidak bersolat’
Lantas Ahmad segera berwuduk dan menunaikan solat fardhu Isyak. Kemudian disusuli dengan solat sunat tarawih bersendirian.
“Ya ALLAH… jauhilah aku dari api neraka” Ahmad berdoa setelah selesai bersolat. Dia bersyukur kerana ALLAH mengejutkannya dari tidur untuk menunaikan solat. Ahmad tidak dapat tidur sehinggalah ibunya bangun menyediakan makanan sahur untuk keluarganya mereka.
Sekian sahaja cerita ini. Moga-moga ada pengajaran yang dapat dikongsi bersama.
WaLLAHU a’lam.
** surah al-muddatsir ayat 42

Kerajaan timbang beri lesen kepada pengedar dadah

KUALA SELUT 6 Mei – Kerajaan Bonggol mempertimbangkan kemungkinan mengeluarkan lesen untuk membenarkan operasi pengedaran dadah secara berkala bagi mengelak berleluasanya aktiviti pengdaran dadah secara haram di negara ini.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Dr. Awe Atok berkata, jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen kepada pihak yang memohon, aktiviti pengedaran dadah secara haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan pihak berkuasa.
“Ada beberapa perkara penting untuk dikaji sama ada perkara ini (mengeluarkan lesen membenarkan pengedaran dadah) baik bagi kerajaan atau jika kerajaan boleh cuba mengawalnya untuk mengetahui berapa banyak (jumlah dadah yang di bawa masuk ke dalam negara).
“Kerajaan sedang mengkaji perkara ini dan akan memutuskannya jika mahu membenarkan pengedaran dadah pelbagai jenis memandangkan permintaan meningkat dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Awe Atok berkata, jika lesen itu dikeluarkan, kerajaan dapat mengawal aktiviti pengedaran dadah, selain hasilnya boleh digunakan terutama untuk pembangunan bidang sukan di negara ini.
Awe Atok mengakui sudah ada pihak yang membuat permohonan untuk mendapatkan lesen itu, tetapi beliau enggan mendedahkan lebih lanjut maklumat itu sehingga kerajaan membuat keputusan mengenainya. – Agensi Bermama

Selamat Jalan Tok Nek… Semoga Ruhmu dicucuri rahmat-Nya…

“Hujung minggu ni kamu balik tak?” tanya Dr Hazizan dalam kereta ketika kami menuju Pusat islam untuk menunaikan solat Asar.
“Agaknya balik kut…”
“Kamu buat apa setiap kali balik?” Dr Hazizan tersenyum.
“Kalau balik, memang ada ja kerja-kerjanya… termasuk ziarah datuk, nenek dan moyang”
“Oooo… atuk dan nenek sakit ke?”
“Biasalah, orang tua-tua. Moyang saya pula umur dah lebih 100 tahun Dr.”
==================================================
Lepas Asar, aku pulang ke hostel. Baru saja log in laptop aku, emak call.
“tok nek dah tak da…”
“innaliLLAH…” jawabku spontan.
“baliklah… ambik adik fizi sama…”
“bila lagi tok nek meninggal?”
“baru tadi…”
“ayah dah tau?”
“ayah tak tau lagi. Hang call bagitau ayah. ayah pi KL pagi tadi…”
=================================================
Aku cepat-cepat berkemas mahu pulang. Aku memberitahu Dr Hazizan, esok aku bercuti. Aku call Abg Najib yang aku tak jadi hadir liqa’ malam ni. Aku beritahu Zulfirdaus, tak dapat hadir usrahnya esok. Aku kena balik.
Sambil drive, terkenang-kenang juga Tok Nek yang aku selalu berbual dengannya. Adik adik aku suka bergurau dengannya. Anak cucu-cicitnya suka dengan celotehnya. Senyuman tak pernah lekang. “Tok Nek comel…” ujar salah seorang adikku ketika melihat Tok Nek tersenyum.
Tok Nek yang aku selalu ziarah, sudah pergi dijemput-Nya. Tok Nek meneruskan perjalanannya mendahului kita.
Dua tiga hari lepas, roomateku, Azwadi kehilangan datuknya, yang meninggal kerana sakit tua.
Tok Nek aku keadaannya tidak sakit. Tetapi kontraknya untuk hidup di dunia sudah pun ditamatkan. 100 tahun lebih, bermakna dia pernah hidup di zaman Khalifah Turki Uthmaniyyah. Hari ini, Tok Nek sudah kembali ke rahmatuLLAH.
Ya ALLAH, ampuni dosa-dosa Tok Nek seluruhnya. Kasihanilah dia.
Al-Fatihah…

Negaraku mahukan ‘insuran’ mereka…??

Amerika Syarikat adalah sebuah negara penjajah, yang telah menghancurkan Afghanistan dan Iraq. Negara itu juga sedang berusaha menceroboh Iran dengan alasan yang hampir sama. Umum mengetahui, Israel adalah sekutu rapat Amerika. Samada Amerika itu anak emas Israel, atau Israel itu anak emas Amerika, kedua-duanya adalah bagaikan isi dengan kuku.
Sesiapa yang bersama mereka akan ‘selamat’. Sesiapa menentang, akan ‘merana’. Api dihiasi supaya nampak seperti air, air dikelirukan agar nampak seperti api. Propaganda mereka telah menguasai dunia. Yang patuh kepada mereka akan mendapat ‘syurga’, yang derhaka akan mendapat ‘neraka’. Itulah janji mereka.
Maka negaraku Malaysia, berusaha mendapatkan insuran dari mereka. Negaraku cuba mendapatkan ‘perlindungan mereka’. Negaraku bekerja keras mahukan ‘syurga’ mereka…


Memanda-memanda Menteri negaraku gembira bila bertemu mereka. Jika tidak dapat berjumpa, terasa bagaikan satu penghinaan, atau rendah martabatnya. Jika dapat berjumpa, alangkah gembiranya. Jika dapat bersalam pula… tentu 3 hari tangan tidak akan dibasuh kerana mengenangkan pernah bersalam dengan ‘pemimpin dunia’. Bekas tangan yang membunuh puluhan ribu nyawa umat, alangkah bangganya dapat bersalam dengannya!