Jangan jadi bodoh apabila masuk USM Apex

Berehat seketika dari entry politik.

Dua minggu sudah berlalu siswa-siswi baru mendaftar masuk ke USM selaku siswa-siswi tahun pertama. Belum terlambat kiranya kita ucapkan tahniah dan selamat datang kepada mereka. Mereka adalah ambilan pertama sejak USM dinobatkan sebagai universiti Apex. Mereka inilah siswa-siswi tahun pertama USM Apex.

Selamat datang. Walaupun blog ini pasti tidak dikenali mereka, tetapi ucapan selamat datang dan tahniah ini boleh disampaikan melalui senior-senior yang terbaca entry ini.

Mungkin gelaran USM Apex ini tidak begitu difahami sepenuhnya oleh siswa-siswi baru dan menganggapnya sebagai “biasa” saja. Bagi siswa-siswi lama, gelaran Apex mungkin menjadi kebanggaan kerana pengiktirafan yang begitu tinggi kepada USM, walaupun hakikat Apex itu belum difahami.

Persoalan Apex atau tidak, itu bukan soal yang perlu kita beri fokus kerana ilmu ALLAH luas. Di mana sahaja boleh kita ambil jika kena caranya. Terpilihnya anda melangkah ke USM Apex ini adalah anugerah ALLAH kepada anda semua. Barangsiapa yang bersyukur, maka ALLAH akan tambah lagi anugerah-anugerah yang kita sendiri tidak jangka. Tapi awas, jika anda kufur kepada anugerah yang ALLAH kurniakan ini, kufur dengan erti kata membantah setiap perintah-Nya, berawaslah! Azab ALLAH sangat dahsyat sifatnya.

Sememangnya anda seorang yang pandai dan hebat, lantaran itu anda ditempatkan oleh ALLAH di USM Apex ini. Bukan mudah, hanya orang-orang pandai sahaja diterima masuk universiti, malah khabarnya hendak masuk USM Apex ini ada peperiksaan MunSYi. Anda berjaya diterima masuk, dan telah berjaya mendaftar, serta telah 2 minggu memulakan pengajian. Tahniah.

Namun sepandai-pandai anda, belum tentu anda seorang yang cerdik dan bijak. Belum tentu tahap kepandaian anda dalam bidang akademik, sukan dan pelbagai aktiviti menjadikan anda bijak. Anda tidak diiktiraf cerdik dan bijak sekiranya kepandaian anda membuatkan anda menjadi sombong dan degil terhadap ALLAH, Tuhan yang menempatkan anda di USM Apex ini. Walau sepandai mana pun anda, dengan keputusan peperiksaan SPM 21A, Matrikulasi 4.0, dapat pula masuk USM Apex, tidak cerdiklah anda sekiranya anda memilih penghujung hidup anda di azab oleh ALLAH dalam Neraka.

Tidak cerdik bererti bodoh. Maka orang-orang yang membantah perintah ALLAH, dia adalah orang yang bodoh, sekalipun dia pandai. Sekalipun dia adalah siswa-siswi Usm Apex. Sekalipun dia adalah pensyarah USM Apex. Pandai tetapi bodoh.

Bodoh dalam bahasa Arab bermaksud jahil. Apakah perkataan “jahil” itu lebih mulia daripada perkataan “bodoh”? Jahiliyyah, berasal dari perkataan jahala, yajhalu, jahil selalunya digunakan kepada masyarakat Arab sebelum kedatangan Nabi Muhammad S.A.W. Sebenarnya konsep jahiliyyah ini akan berterusan sehingga hari kiamat. Pengertian jahiliyyan bukan sekadar memberi maksud sesuatu bangsa itu tidak bertamadun, bahkan jahiliyyah itu bersangkutan dengan ideologi pemikiran manusia yang sesat dan lari dari panduan ALLAH.

Lihatlah Araba jahiliyyah. Mereka bukan tidak pandai. Orang-orang Saba’ misalnya, mempunyai teknologi pembinaan Empangan Maarib. Kabilah-kabilah Arab, bijak berniaga dan berdagang. Mereka punya jutawan, sasterawan, pakar astronomi, panglima-panglima perang dan sebagainya. Mereka ini hebat dan pandai, tetapi ALLAH tidak mengiktiraf mereka. Mereka digelar jahil. Mereka diberi gelaran “bodoh” dek kerana ideologi, pemikiran dan fahaman mereka jauh dari panduan-Nya.

Maka apakah anda siswa-siswi Apex tidak terlepas dari dianggap bodoh oleh ALLAH sekiranya anda menjauhi setiap perintah ALLAH dan mendekati setiap larangan-Nya? Menjadi lumrah, bahawasanya orang-orang bodoh akan saling bersama-sama dengan orang-orang bodoh juga. Tidak akan selamanya bodoh bagi orang-orang yang bersama-sama dengan orang-orang cerdik. Marilah bersama-sama orang-orang cerdik, yakni orang-orang yang baik dan sering melaksanakan perintah ALLAH dan meninggalkan larangan-Nya.

Sebagai panduan kepada diriku dan anda semua sahabat-sahabat, antara ciri-ciri orang-orang yang bodoh kerana sengaja memilih neraka di akhirat kelak ialah:

1) Golongan yang tidak menunaikan solat Fardhu 5 waktu
2) Golongan yang kadang-kadang solat, kadang-kadang tidak
3) Golongan yang suka dan tidak malu-malu mendedahkan aurat kepada khalayak
4) Golongan yang suka bercouple tanpa ikatan nikah yang sah
5) Golongan yang suka pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan
6) Golongan yang ada kesedaran Islami tetapi cuba mengelak untuk menjadi baik
7) Golongan yang redha dengan semua jenis pelanggaran perintah ALLAH

Semua ciri di atas adalah gambaran tentang beberapa golongan bodoh yang terdapat di USM Apex. Mereka pandai, tetapi di sisi Islam, mereka ini bodoh. Jahil. Maka jauhilah mereka. Jika anda punya kekuatan, selamatkanlah mereka daripada terus menjadi bodoh. Kasihan mereka.

Sebagai cara menjaga diri anda daripada terjebak dalam ciri-ciri orang bodoh, berikut adalah saranan yang boleh diikuti:

1) Selalulah ke masjid/Pusat Islam untuk solat fardhu secara berjamaah
2) Selalulah bergaul dengan orang-orang yang baik dan cerdik pada pandangan Islam
3) Selalulah ikuti majlis-majlis ilmu yang dianjurkan di Pusat Islam
4) Sertailah usrah-usrah yang dianjurkan bagi mengukuhkan ukhuwwah sesama Islam
5) Hindari sifat malas dalam perkara kebaikan
6) Bangunlah dihujung-hujung malam berqiamullayl dan berdoa supaya kita semua dihindari daripada sifat-sifat kebodohan yang merugikan kita.

Akhir sekali, sekali lagi tahniah kerana berjaya mengaji di USM Apex ini. Tahniah kerana anda seorang yang pandai, dan teruslah berusaha menjadi orang-orang yang cerdik dan bijak seiring dengan kepandaian anda.

WaLLAHu a’lam.

=========================
Kata-kata pemimpin:

“Saya telah mengirim surat kepada Perdana Menteri yang mengandungi soalan, ‘kenapa Umno tolak Islam? “Islam itu bukan PAS yang buat, tetapi kenapa Umno tetap mahu menolak Islam. Sebab itu saya berkempen dan berdakwah hingga ke hari ini untuk Islam,”

-TG Nik Abdul Aziz Nik Mat

Advertisements

Mahasiswa Kedah Tubuh NGO

KUALA LUMPUR : Keprihatinan, kepekaan dan kesungguhan telah ditunjukkan oleh mahasiswa-mahasiswa Kedah terhadap perpaduan rakyat, semangat integrasi, soal-soal kebajikan dan juga sumbangan serta khidmat bakti mereka kepada masyarakat terutamanya di negeri Kedah, telah terbukti dengan tertubuhnya sebuah badan NGO baru, yang dinamakan Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA).

Persatuan Mahasiswa Darul Aman atau ringkasannya PERSADA, ditubuhkan dibawah ikatan amanah dan dijadikan sebagai satu medium terbaik untuk mahasiswa-mahasiswa Kedah, sama ada yang berada di dalam dan juga di luar negara, menggagaskan dan memperluaskan peranan mereka hingga mencapai tahap yang optimum, demi kebaikan seluruh mahasiswa anak-anak Kedah dan masyarakat khususnya untuk rakyat negeri Kedah itu sendiri.


Dengan tertubuhnya PERSADA yang menaungi semua persatuan-persatuan mahasiswa dan pelajar negeri Kedah di setiap IPTA dan IPTS, persatuan mahasiswa dan pelajar di semua Institut Perguruan dan maktab, kolej-kolej, politeknik-politeknik, sama ada di dalam dan juga di luar negara, ia diharapkan mampu menjadi wadah kesatuan buat semua mahasiswa anak jati negeri tersebut.


PERSADA yang telah didaftarkan secara sah dan rasmi sebagai sebuah badan NGO yang bebas, turut menyertai gabungan badan-badan NGO seluruh negeri Kedah yang lebih dikenali sebagai WEHDAH. Daripada sambutan yang agak memberansangkan dan juga respon positif yang telah ditunjukkan oleh mahasiswa-mahasiswa Kedah atas penubuhan PERSADA ini, menyerlahkan kesungguhan dan kesanggupan mahasiswa-mahasiswa Kedah berganding bahu dan bekerjasama bagi mencapai matlamat penubuhannya.


Antara matlamat penubuhan PERSADA ini ialah untuk menganjurkan sebarang aktiviti kebajikan bagi mahasiswa-mahasiswa Kedah yang berada di dalam mahupun di luar negara. PERSADA juga bermatlamat untuk menjayakan dan melaksanakan kerja-kerja ke arah memaksimumkan pengupayaan mahasiswa dan masyarakat melalui peningkatan ilmu, kemahiran, pengalaman dan daya inisiatif untuk membangunkan mereka dengan nilai-nilai murni yang kondusif.


Selain itu juga, penubuhan PERSADA turut bertujuan untuk mengadakan kerjasama dengan badan-badan dan pertubuhan-pertubuhan di peringkat negeri dan juga nasional dalam usaha mencapai matlamatnya. Penubuhan PERSADA secara tuntasnya bertindak sebagai wadah yang dapat mengemblengkan tenaga, idea, gerak kerja dan usaha, seterusnya memacu mahasiswa Kedah di seluruh Malaysia dan di luar negara, untuk memberi dan mencurahkan khidmat bakti kepada masyarakat.


Menurut Presiden Penaja PERSADA, Mohd Faisal bin Mustaffa, dengan termaktubnya PERSADA ini sebagai badan NGO berdaftar, beliau berharap PERSADA dapat menjadi medan terbaik untuk mahasiswa-mahasiswa Kedah dari pelbagai kaum dan agama, sama ada di dalam dan di luar negara, berkumpul dan duduk di bawah naungan yang satu, iaitu PERSADA, demi penyatuan mahasiswa Kedah itu sendiri.


Beliau juga menegaskan bahawa melalui PERSADA jugalah mahasiswa dapat bergerak dengan lebih aktif untuk membantu masyarakat terutamanya di negeri Kedah, di atas nama sebuah badan NGO yang sah.


Hasrat beliau lagi agar PERSADA yang ditubuhkan atas dasar menyedari kepentingan hubungan keintelektualan mahasiswa dengan masyarakat, dalam mendepani arus sebenar dalam dunia masa kini, mendapat sokongan dan kerjasama daripada pelbagai pihak, bagi merealisasikan apa yang telah direncanakan. – Sumber


Web SiswaKedah : http://www.siswakedah.com