Orang-orang beriman itu saling menasihati, bukan berkelahi…

Dalam surah al’Asr, ALLAH berfirman:
“Demi masa! Sesungguhnya semua manusia dalam kerugian. Melainkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan berpesan-pesan dengan kebenaran, dan berpesan-pesan dengan kebenaran.”
Asas makna al-’Asr ini ialah “memerah sesuatu sehingga menitis.” Inilah yang dinyatakan oleh Ibn Faris dalam Mu’jam Maqayis al-Lughah.
Atas dasar itulah, Allah menggunakan perkataan mu’siraat sepertimana tertulis dalam surah an-Naba’ ayat 14 yang bermaksud:
“Dan Kami menurunkan dari awan (mu’siraat) , air hujan yang mencurah-curah.”
Awan ialah mu’siraat yang dikaitkan dengan perkataan al-’asr di mana awan akan ‘diperah‘ bagi menghasilkan hujan yang turun dan dapat kita nikmati dalam kehidupan seharian. Atas roh inilah juga kita memahami al-asr atau masa umur yang Allah kurniakan pada kita. Apa yang perlu kita buat? Kita perlu ‘memerah‘nya sekuat tenaga agar terhasil iman dan amal. Orang yang tidak memerah umurnya akan sentiasa berada dalam kerugian.
“Demi masa!” ALLAH tidak bersumpah melainkan dengan nama makhluk ciptaan-Nya yang Dia berkehendak memperlihatkan kehebatan-Nya mencipta makhluk tersebut. Masa adalah salah satu makhluk ALLAH yang sangat ajaib dan hebat. Hanya orang-orang yang mahu mngambil iktibar sahaja akan mengagumi kehebatan makhluk ciptaan ALLAH yang bernama “masa”.
Ketahui oleh kamu semua, demi masa, semua manusia itu telah rugi, sedang rugi dan akan terus mengalami kerugian. Apabila sesuatu ayat atau surah itu ALLAH mulakan dengan perkataan sumpah, bermakna ayat atau surah itu sangat mengajak kita memberi perhatian bahawa ada sesuatu yang sangat penting untuk kita ketahui. Apa dia? Sesungguhnya semua manusia kerugian. Siapa manusia itu? Semua manusia termasuk kita kah?
Ya, semua manusia adalah dalam kerugian biar apa pun posisi dalam kehidupannya. Melainkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh, serta berpesan-pesan, nasihat-menasihati dengan kebenaran dan kesabaran. Selain orang orang ini, semuanya kerugian.
Hanya dengan beriman, beramal soleh, saling menasihati dengan kebenaran dan kesabaran, manusia akan terkeluar dari mengalami kerugian.
Bagaimana keadaan orang-orang beriman dan beramal soleh itu?
Orang orang beriman itu adalah orang-orang yang beriman dengan ALLAH dan hari akhirat, patuh pada Rasulnya, tidak meninggalkan solat fardhu, menginfaq sebahagian harta mereka, tidak berbohong dalam percakapan, tidak memungkiri janjinya, tidak khianat pada amanah yang diberikan kepadanya, tidak mencerca sahabatnya, tidak menderhaka kedua ibu bapanya, menghormati jiran tetangganya, menghormati orang-orang yang lebih tua darinya, menyayangi orang yang lebih muda darinya, taat pada pemimpin yang bertaqwa, bersederhana dalam tindakannya, lembut percakapannya, tidak berlebih-lebihan dalam pertikaian sesama mukmin, menjauhi dosa-dosa besar, meminimumkan dosa-dosa kecil, tegur menegur sesama saudara mukminin, tolong menolong sesama manusia, yakin akan ketentuan ALLAH, dan seumpamanya.
Untuk terus keluar dari kerugian, orang-orang beriman dan beramal soleh mestilah tidak meninggalkan seruan “berpesan-pesan dengan kebenaran, dan berpesan-pesan dengan kesabaran”.
Apabila berlaku perselisihan antara dua orang bersaudara, nasihatilah mereka supaya berdamai. Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara dan berlemah lembut terhadap saudaranya.
Sabda RasuluLLAH S.A.W:
“Tanda munafiq itu ada tiga. Apabila berbicara ia berdusta. Apabila berjanji ia mungkiri. Apabila diberi amanah, ia khianat”
dalam hadis lain RasuluLLAH S.A.W bersabda:
“Tanda munafiq itu ada empat. Apabila berbicara ia berdusta. Apabila berjanji ia mungkiri. Apabila diberi amanah, ia khianat. Apabila bertengkar ia berlebih-lebihan (melampau)”

RasuluLLAH mengharamkan perkelahian orang-orang mukmin melebihi tiga hari tiga malam sesama saudaranya.


Hadis Abu Ayub Al-Ansari r.a:

“Sesungguhnya RasuluLLAH S.A.W bersabda: Tidak halal bagi seseorang muslim berkelahi dengan saudaranya lebih dari tiga malam, apabila keduanya bertemu saling memalingkan mukanya. Sementara itu, yang terbaik di antara keduanya adalah mereka yang mula mengucapkan salam”
Orang-orang beriman kepada ALLAH dan hari akhirat adalah sangat memuliakan jirannya.
Hadis dari Abu Hurairah r.a bahawa RasuluLLAH S.A.W bersabda :
Barangsiapa beriman kepada ALLAH dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia berkata akan kebaikan ataupun diam, Dan barangsiapa beriman kepada ALLAH dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia memuliakan jirannya, Dan barangsiapa beriman kepada ALLAH dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetamunya “
Riwayat Bukhari dan Muslim.
Sekian untuk kali ini…
Marilah kita semua menghindari diri dari terlibat dengan gejala yang menjadikan kita rugi di sisi ALLAH.
WaLLAHU a’lam.

Bila jundi pakat-pakat nak jadi pemikir….

Berserabut mungkin jadinya, kalau aktivis pakat-pakat nak jadi pemikir. Jundi pakat-pakat mahu berlagak tunjuk hebat berfikir. Maka berserabutlah jadinya halatuju sebuah organisasi. Pemikir yang ada jadi pening. Konflik terjelma. Kerja-kerja aktivis dan jundi terabai dan tergendala. Sebab itulah diperkenalkan konsep wala’. Bukan untuk disalah-guna pimpinan, bukan pula untuk disalah-tafsir pendokong. Masing-masing perlu faham.
Apabila berlaku pertembungan antara yang faham dengan yang tidak faham, berlakulah konflik. Yang tidak faham akan terus membantai. Yang faham pula tidak rela ego ‘faham’ mereka direntap… maka terjadilah konflik dek kerana masing-masing tidak meletakkan Islam sebagai keutamaan, sekalipun kononnya berjuang untuk Islam. Bila nak selesai? Mari kita baca anologi yang dibuat Naib Presiden Parti Islam ini – Aneroid09

Ada satu cerita rakyat zaman dahulu kala, dalam nada simbolik membawa kisah bagaimana perkakas dalam sebuah rumah saling melihat bebanan yang ditanggung olehnya, dan merasakan bahawa yang lain tidak seteruknya. Kisah bermula bilamana atap merasa dialah yang paling berat menanggung bebanan berbanding yang lain, dia terpaksa menahan hujan, panas, dia terpaksa berjemur ditengah-tengah panas, peritnya tak terkira, demikian juga bila hujan turun, dialah yang terpaksa berhadapan dengan hujan rebut ini. Perasaan kecewa dan sedih bertambah bilamana atap tengok tiang yang dirasakan lebih rehat dari dia, tak kena panas dan tak kena hujan, lalu ia merungut:
“Sedapnya jadi tiang, tak kena jemur di terik panas mentari, dan tak payah susah payah menahan hujan ribut, alangkah seronoknya kalau boleh jadi tiang”.
Mendengarkan kata-kata atap, lalu tiang menjawab:
“Kamu tak tahu betapa setiap saat aku terpaksa memikul bebanan beratnya atap, kayu alang dan kayu lain yang berat di atas bahu aku. Engkau atap, lebih senang, tak payah pikul bebanan berat macam aku,” rungut tiang.
Kata tiang terkadang aku cemburu tengok dinding, dia tak kena panas, dan tak kena pikul bebanan berat macam kita. Sedang mereka berbual, rupanya dinding mendengar, lalu menyampuk:
“Jangan kamu fikir yang panas dan berat saja. Aku lagi susah, nak kena jaga keliling rumah ni, aku kena lindung semua isi rumah, akulah benteng menutupi aib dalam rumah, akulah penyimpan rahsia mereka, tapi aku jugak kena ketuk bilamana nak tampal, nak sangkut apa-apa. Sebenarnya aku rasa yang senang, bukan aku, tapi tangga.”
Mendengar kata-kata dinding itu, tiba-tiba tangga pun mengeluh:
“Kamu jangan tengok hujan panas, bebanan saja. Tapi aku rasa aku nilah yang paling berat antara semua perkakas rumah ni. Aku terpaksa kena hujan panas, aku terpaksa pikul babanan orang pijak aku bila nak naik, bila nak turun, dan lebih malang lagi mereka pijak aku dengan kekotoran yang mereka bawa. Tapi bagi aku kalau ini yang telah ditakdirkan aku redha, biarlah aku berkhidmat semampu aku, sebelum semua kita rebah menyembah bumi semuanya.”
Pengajaran dari kisah tersebut ialah jangan kita hanya nampak susah kita, tapi tak pernah fikir susah orang lain, dan yang lebih penting jangan kita nak jadi benda lain. Kita harus jadi kita, kerana itulah amanah yang diberi kepada kita. Payahnya bilamana atap nak jadi tiang, tiang pulak nak jadi dinding dan dinding pulak nak jadi tangga.


p/s: dah tiang takleh jadi dinding, dinding takleh jadi atap… jangan pulak pakat-pakat jadi tunggul… 😀

Taat, Wala’ dan Disiplin dalam gerakan Islam


Taat

Ketaatan lahir daripada sikap percaya-mempercayai di antara pemimpin dan pengikut, apabila pemimpin mempunyai keikhlasan dan menyatakan perngorbanan yang sebenar dan memberi perhatian kepada perjuangan dan pengilut-pengikutnya. Ketaatan itu mestilah dalam semua keadaan, di masa senang dan susah, di masa lapang dan susah, di masa lapang dan sempit dalam perkara yang tidak maksiat. Firman ALLAH, maksudnya:

“Hai orang-orang yang beriman, taatlah kamu akan ALLAH, taatlah kamu akan Rasul dan Ulil Amri (pemimpin di kalangan kamu)”. (an-Nisa : 59)

RasuluLLAH telah meneguhkan sifat ketaatan kepada para sahabatnya dengan melakukan bai’ah di antara Baitul ‘Aqabah yang terkenal sebelum melakukan hijrah.

Di dalam Bai’ah itu RasuluLLAH bersabda:

“Berbai’ahlah kepadaku di atas kewajipan taat di masa cergas dan di masa malas, sanggup berbelanja di masa susah dan senang, menjalankan kewajipan menyuruh yang baik dan mencegah dari kemungkaran, bangun menyatakan agama ALLAH tanpa terjejas walaupun dicela, sanggup menolong aku apabila aku tiba kepada kamu dan sanggup mempertahankan aku.”

Ketaatan Yang Dituntut

a) Ketaatan itu membawa kepada menunaikan tugas mengikut arahan kepimpinan dan tidak bertindak sendiri tanpa pengetahuan sehingga menjadi kelam-kabut yang boleh menimbulkan adanya kumpulan dalam jamaah (atau jemaah dalam jemaah) yang mempunyai perancangan yang berbeza dan strategi yang berlainan yang boleh membawa perpecahan dan wujudnya kumpulan atau jamaah dalam jemaah.

b) Ketaatan itu membawa kepada penyelarasan yang baik di kalangan seluruh anggota dan sayap parti atau jamaah dan melaksanakan amal jamaie yang tidak boleh dijelaskan oleh pandangan individu yang berbeza lalu mengikut selera masing-masing sehingga jentera parti bercelaru dan tidak selaras antara satu sama lain.

c) Ketaatan juga dapat mengimbangkan di antara sikap yang berbagai-bagai di dalam jemaah, kerana ada orang yang terlalu ke depan (advance), ada orang yang terlalu lambat dan ada yang sederhana.

Wala’

Kita melihat betapa kumpulan yang tidak Islam mengalami kelemahan dan kepupusan termasuk yang pernah memerintah negara besar, begitu juga dengan pertubuhan yang meletakkan nama Islam tetapi tidak mengambil Islam secara menyeluruh.

Oleh itu maka penekanan yang perlu diberi perhatian ialah peningkatan wala’ dan disiplin dalam jamaah yang dapat memelihara ketaatan dan perjalanan secara istiqamah. Firman ALLAH, maksudnya:

“Sesungguhnya wali kamu ialah ALLAH, rasulNya dan orang-orang yang beriman yang mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan mereka itu sentiasa ruku’”

(al Maidah : 55)

Wala’ dan hubungannya dengan Harakah Islamiah

Dalam aspek ini perlu dibahagikan wala’ itu kepada beberapa aspek yang perlu diberikan penekanan.

a) Wala’ terhadap aqidah perjuangan

Sesungguhnya wali kamu ialah ALLAH dan Rasul-Nya. Wala’ dalam aspek ini berkait erat dengan ketaatan secara mutlak kepada ALLAH dan RasulNya, wajiblah beriman bahawa tiada tuhan yang sebenar melainkan ALLAH dengan segala sifat ketuhanan yang Maha Suci dan juga beriman kepada rasul yang wajib dengan sifat-sifat kerasulannya.

Terkandung di dalam mafhum ketaatan dan wala’ kepada ALLAH dan rasul secara mutlak kepada Al Quran dan Al Hadith yang menjadi rukun dan hukum tertinggi bagi Harakah Islamiah, samada dalam konteks kampus (jemaah Islam kampus), atau di luar kampus (Parti Islam).

b) Wala’ kepada Jamaah

Menurut rukun dan hukum haram berjamaah haram kepada ahli yang telah memberi bai’ah kepada jamaah tiba-tiba memberi wala’ kepada kumpulan lain samada yang jelas menentang Islam atau kumpulan yang bernama Islam. Ini bercanggah dengan akhlak berjamaah dan merosakkan perpaduan jamaah, strategi dan jenteranya.

Adapun wala’ kepada jamaah itu bergantung kepada wala’ jamaah terhadap aqidah perjuangan yang sebenar dan menjadi kewajipan kepada ahli mempertahankannya daripada menyeleweng.

c) Wala’ kepada pemimpin

Kepimpinan di semua peringkat merupakan salah satu daripada tonggak yang penting kepada jentera dan perjalanan jamaah. Oleh yang demikian wala’ kepada pemimpin dalan pengertian kasih dan taat mestilah diberi dengan penuh tanggungjawab. Wala’ ini mesti diberi di semua peringkat pimpinan. Ia juga bergantung kepada perinsip perjuangan parti atau jamaah.

Disiplin
Firman ALLAH, maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu, kuatkanlah kesabaran kamu dan tetap bersedia dan bertaqwalah kepada ALLAH supaya kamu berjaya.”
(ali Imran : 200)
Perkara yang ditakrifkan dengan disiplin ialah sebagaiman berikut:
1. Tatatertib dan kelakuan diri

2. Peraturan yang ditetapkan untuk melatih seseorang supaya berkelakuan baik

3. Kepatuhan kepada peraturan-peraturan yang ditetapkan

4. Hukuman atau denda kerana melanggar peraturan
Harakah Islamiah (geralan Islam) telah menetapkan perkara-perkara ini secara menetapkannya di dalam perlembagaan parti secara tegas. Di antaranya ialah menetapkan perkara yang dinamakan tatatertib:
1. Taat kepada hukum-hukum dan ajaran Islam yang menjadi dasar jamaah
2. Patuh kepada perlembagaan Jemaah serta aturan dan peraturannya
3. Taat kepada arahan dan perintah jamaah
4. Melaksanakan kewajipan-kewajipan yang ditugaskan oleh jamaah sedaya upaya

yang boleh
5. Menjaga dengan cermat segala rahsia jamaah
6. Beramal dengan akhlak Islam
7. Mengawal diri supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang menyalahi atau merugikan jamaah

Rujukan:
1) Arkanul-bai’ah
2) TG Haji Abdul Hadi Awang

Ramadhan : belajarlah berlapang dada…

Ramadhan bulan barakah, bulan digandakan ganjaran setiap amalan, dibelengu segala iblis dan syaitan, bulan yang awalnya rahmah (kasih sayang), pertengahannya maghfirah (kemampunan) dan akhirnya pembebasan dari api neraka.
Ramadhan sudah beberapa hari berlalu. Barangsiapa yang sudah bersungguh-sungguh merebut tawaran ALLAH pada hari-hari yang sudah berlalu, maka beruntunglah dia. Dan barangsiapa yang lalai dan leka, sesungguhnya hari-hari yang berlalu itu sudah tidak akan kembali kepadanya. Jika saat ini tersedar kita daripada kelalaian itu, maka Ramadhan masih di fasa awalnya – rahmah. Masih kita punyai peluang untuk merebut segala tawaran-Nya. Muhasabahlah diri di awal Ramadhan sebelum terlambat, sebelum Ramadhan terus berlalu meninggalkan kita.
Dalam sibuk mengerjakan ibadah, wajar kita meletakkan sasaran yang jelas untuk diri kita. Apa sasaran ibadah kita dalam bulan Ramadhan ini? Tidak lain tidak bukan adalah untuk menggapai status hamba yang bertaqwa, selari dengan firman ALLAH;
“Hai orang-orang beriman, difardhukan ke atas kamu akan berpuasa sebagaimana telah difardhukan ke atas umat-umat sebelum kamu, mudah-mudahan kamu beroleh taqwa
[al-Baqarah:183]
Sasaran ibadah kita adalah taqwa. Baik apa jua ibadah yang kita lakukan dalam bulan Ramadhan ini, biarlah sasarannya taqwa. Solat kita, fokuskan untuk menjadi hamba yang bertaqwa. Puasa kita, biarah menepati piawaian puasa orang-orang yang bertaqwa. Sedekah kita, zakat kita, bacaan al-quran kita, dan seumpamanya, biarlah menjurus ke arah taqwa. Bukan sekadar ikut-ikut orang, bukan mahu menunjuk-nunjuk, bukan saja-saja isi masa lapang.
Aktiviti amal Islami, amal jamaei dan amal ijtimaei juga adalah ibadah. Aktiviti dakwah, tarbiyyah, pengkaderan dan sebagainya yang disusun oleh jemaah, adalah ibadah. Maka sekalian usaha menjayakannya menjadi ibadah jua. Hatta bermesyuarat, berdiskusi, menyusun atur program, merancang startegi, untuk melaksanakannya bukanlah kerja sia-sia di sisi ALLAH.
Malang sekali bagi golongan yang berfikiran sempit, khususnya dalam kalangan ahli jemaah yang menganggap bermesyuarat itu membuang masa, merancang sesuatu usaha tarbiyyah adalah sia-sia. Dalam bulan barakah inilah sepatutnya kita mohon ALLAH mudahkan usaha dakwah kita, rahmati gerakerja kita, gandai ganjaran ke atas kita, dan rahmati setiap keputusan mesyuarat kita agar tindakan perlaksanaannya dipandu cahaya-Nya.
Perjuangan menggapai status taqwa dalam bulan Ramadhan bukan sahaja ditumpukan kepada solat tarawih, tadarus al-quran, sedekah dan seumpamanya, bahkah status taqwa itu perlu meliputi juga usaha mengikis sifat mazmumah dalam diri. Tentu kita tahu sifat keji dan buruk dalam diri kita. Jika tidak nampak, jadikan sahabat karib kita sebagai cermin untuk kita menilik kekejian diri kita yang kita tidak nampak. Malang sekali jika kita menganggap kita sudah bebas dari sifat-sifat buruk, sedangkan orang lain dapat melihatnya.
Sikap berlapang dada adalah sifat terpuji yang harus kita bina terutama dalam akhlak berjamaah dan bersaudara sesama kita. Ukurlah darjah kelapangan dada kita. Jika rendah bacaan meternya, baiki lagi. Dalam berjamaah, pasti ada ketika kelakuan sahabat seperjuangan kita menyebabkan kita tidak berpuas hati atau marah kepadanya. Tegurlah dia dengan penuh hikmah dan berlapang dada. Jika hati kita terluka, jangan kita melukai saudara kita pula. Bersabarlah. Kesilapan-kesilapan kecil, maafkanlah. Usah ada sikap mudah merajuk atau memprotes tidak tentu hala. Dia tidak sempurna, kita juga tidak sempurna. Berlapang dadalah kepada kelemahan sahabat kita sebagaimana kita mahu dia juga berlapang dada dengan kelemahan kita. Jika kita merasakan hati kita sangat sensitif, mudah terluka dengan tindak tanduk manusia, maka beringatlah, kita juga memiliki lidah yang sangat tajam yang boleh melukai hati orang lain.
Begitu juga kadang-kadang keputusan mesyuarat tidak selari dengan pandangan dan kehendak kita. Berlapang dadalah dan terimalah keputusan mesyuarat itu serta laksanakan dengan penuh komitmen. Boleh jadi ada hikmah disebalik keputusan jemaah yang kita tidak nampak, atau barangkali pendangan kita masih tidak sesuai dilaksanakan pada saat ini yang kita tidak tahu. Sebaik-baiknya kita beristighfar jika cadangan kita diterima, mudah-mudahan ia terhindar daripada kemudharatan jika dilaksanakan. Bersyukur jika idea kita ditolak kerana mungkin idea yang kita anggap bagus itu tersembunyi di dalamnya mudharat yang besar.
Moga-moga Ramadhan ini dapat mempertingkatkan taqwa kita, orang-rang yang mengintima’ diri dalam perjuangan Islam. Mudah-mudahan darjat ketaqwaan kita memberi impak yang baik dalam berjamaah.
WaLLAHu a’lam…

Rentetan peristiwa Israk dan Mikraj – setakat mana kita tahu dan hayati?

27 Rejab lagi...

Umat Islam yang sedar, pasti akan teringatkan peristiwa bersejarah yang dilaksanakan oleh Nabi Muhammad RasuluLLAH S.A.W, yang merupakan mukjizat besar selepas al-Quran. Membaca dan memahami peristiwa ini hendaklah berserta dengan iman dan keyakinan yang teguh bahawa peristiwa ini benar-benar berlaku ke atas RasuluLLAH dengan izin ALLAH S.W.T.

Selepas mukjizat al-Quran, Israk dan Mikraj mempunyai roh tersendiri yang mampu memberi kekuatan kepada orang-orang beriman jika mereka menguasai dan menghayatinya. Israk dan Mikraj suatu ketika dahulu memberi kekuatan dan inspirasi kepada RasuluLLAH untuk terus berdakwah dan berjuang menegakkan kalimah ALLAH dikala baginda mengalami dua persitiwa sedih iaitu kewafatan Isteri tercinta dan bapa saudara yang banyak membela baginda daripada ancaman kafir Quraisy. Israk dan Mikraj memberi suatu lonjakan kekentalan jiwa yang membantu nabi menghadapi pelbagai mehnah dan tribulasi dalam perjuangan. Maka kita pula selaku penyambung tugas dakwah dan perjuangan baginda, wajar menghayatinya sebagai pedoman dan penyuntik semangat dalam gerakerja kita.

Sejauh manakah kita fahami dan hayati mukjizat besar ini dalam kehidupan kita? Ataupun setakat manakah pengetahuan kita tentang Israk dan Mikraj? Apakah rentetan-rentetan peristiwa yang terdapat dalam perjalanan suci RasuluLLAH itu sehingga beberapa pusat penyeledikan di Barat mengagumi peristiwa ini?

Mari kita refresh sama-sama….

Rentetan Peristiwa Israk Mikraj

1. Sebelum Israk dan Mikraj

RasuluLLAH S.A.W. mengalami pembedahan dada/perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika’il. Hati Baginda S.A.W. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman. ke dalam dada RasuluLLAH S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan “khatimin nubuwwah”. Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan “Israk” itu.

2. Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa):

Sepanjang perjalanan (israk) itu RasuluLLAH S.A.W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), RasuluLLAH telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana RasuluLLAH akan melakukan hijrah.
ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa a. s. menerima wahyu daripada Allah;
iii. Baitul-Laham (tempat Nabi ‘Isa A. S. dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda RasuluLLAH S. A. W. menghadapi gangguan jin ‘Ifrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

– Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. RasuluLLAH S. A. W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad “FisabiliLLAH” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

– Tempat yang berbau harum. RasuluLLAH S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Masyithah (tukang sisir rambut anak Fir’aun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir’aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir’aun sebagai Tuhan).

– Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu RasuluLLAH: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

– Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

-Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

– Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

– Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

– Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

– Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

– Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

– Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

– Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S. A. W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

– Seorang perempuan bongkok tiga menahan RasuluLLAH untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, RasuluLLAH turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

RasuluLLAH S. A. W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

3. Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah):

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S. A. W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

. Langit Pertama: RasuluLLAH S. A. W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A. S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

i. Langit Kedua: Nabi S. A. W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi ‘Isa A. S. dan Nabi Yahya A. S.

ii. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A. S. iii. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A. S.

iv. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A. S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

v. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A. S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

vi. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma’mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada RasuluLLAH S. A. W., Nabi Ibrahim A. S. bersabda, “Engkau akan berjumpa dengan ALLAH pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha’if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitulah LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH”. Mengikut riwayat lain, Nabi Irahim A. S. bersabda, “Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA lah ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA lah HAULA WA lah QUWWATA ILLA BILLAHIL- ‘ALIYYIL-‘AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga”. Setelah melihat beberpa peristiwa! lain yang ajaib. RasuluLLAH dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

vii. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut “al-Kursi” yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. RasuluLLAH S. A. W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda RasuluLLAH S. A.W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

viii. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. RasuluLLAH S. A. W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

ix. Tangga Kesepuluh: Baginda RasuluLLAH sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan ALLAH S.W.T dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara ALLAH dan Muhammad, Rasul-Nya:

ALLAH S.W.T : Ya Muhammad. RasuluLLAH : Labbaika. ALLAH S.W. T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan. RasuluLLAH : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan ‘Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan. Allah S. W. T : aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah ‘Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

4. Selesai munajat, RasuluLLAH S. A. W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A. S. kemudian Nabi Musa A. S. yang kemudiannya menyuruh RasuluLLAH S. A. W. merayu kepada ALLAH S. W. T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya ALLAH perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

5. Selepas Mikraj

RasuluLLAH S. A. W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu’alam.

(Sumber : Kitab Jam’ul-Fawaa`id)

Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan ALLAH Subhanahu Wataala. ALLAH Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.

Mafhum Firman ALLAH S. W. T. :

“Maha Suci ALLAH yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”

(Surah Al-Israa’: Ayat 1).

WaLLAu a’lam..

Rujukan:
1) Israk Mikraj: Falsafah dan latar belakangnya – Syeikh Najmuddin Al-Ghaithiy
2) Jam’ul Fawa-id
3) Ustaz Azhar Idrus – http://www.ustazazhar.com

Jangan jadi bodoh apabila masuk USM Apex

Berehat seketika dari entry politik.

Dua minggu sudah berlalu siswa-siswi baru mendaftar masuk ke USM selaku siswa-siswi tahun pertama. Belum terlambat kiranya kita ucapkan tahniah dan selamat datang kepada mereka. Mereka adalah ambilan pertama sejak USM dinobatkan sebagai universiti Apex. Mereka inilah siswa-siswi tahun pertama USM Apex.

Selamat datang. Walaupun blog ini pasti tidak dikenali mereka, tetapi ucapan selamat datang dan tahniah ini boleh disampaikan melalui senior-senior yang terbaca entry ini.

Mungkin gelaran USM Apex ini tidak begitu difahami sepenuhnya oleh siswa-siswi baru dan menganggapnya sebagai “biasa” saja. Bagi siswa-siswi lama, gelaran Apex mungkin menjadi kebanggaan kerana pengiktirafan yang begitu tinggi kepada USM, walaupun hakikat Apex itu belum difahami.

Persoalan Apex atau tidak, itu bukan soal yang perlu kita beri fokus kerana ilmu ALLAH luas. Di mana sahaja boleh kita ambil jika kena caranya. Terpilihnya anda melangkah ke USM Apex ini adalah anugerah ALLAH kepada anda semua. Barangsiapa yang bersyukur, maka ALLAH akan tambah lagi anugerah-anugerah yang kita sendiri tidak jangka. Tapi awas, jika anda kufur kepada anugerah yang ALLAH kurniakan ini, kufur dengan erti kata membantah setiap perintah-Nya, berawaslah! Azab ALLAH sangat dahsyat sifatnya.

Sememangnya anda seorang yang pandai dan hebat, lantaran itu anda ditempatkan oleh ALLAH di USM Apex ini. Bukan mudah, hanya orang-orang pandai sahaja diterima masuk universiti, malah khabarnya hendak masuk USM Apex ini ada peperiksaan MunSYi. Anda berjaya diterima masuk, dan telah berjaya mendaftar, serta telah 2 minggu memulakan pengajian. Tahniah.

Namun sepandai-pandai anda, belum tentu anda seorang yang cerdik dan bijak. Belum tentu tahap kepandaian anda dalam bidang akademik, sukan dan pelbagai aktiviti menjadikan anda bijak. Anda tidak diiktiraf cerdik dan bijak sekiranya kepandaian anda membuatkan anda menjadi sombong dan degil terhadap ALLAH, Tuhan yang menempatkan anda di USM Apex ini. Walau sepandai mana pun anda, dengan keputusan peperiksaan SPM 21A, Matrikulasi 4.0, dapat pula masuk USM Apex, tidak cerdiklah anda sekiranya anda memilih penghujung hidup anda di azab oleh ALLAH dalam Neraka.

Tidak cerdik bererti bodoh. Maka orang-orang yang membantah perintah ALLAH, dia adalah orang yang bodoh, sekalipun dia pandai. Sekalipun dia adalah siswa-siswi Usm Apex. Sekalipun dia adalah pensyarah USM Apex. Pandai tetapi bodoh.

Bodoh dalam bahasa Arab bermaksud jahil. Apakah perkataan “jahil” itu lebih mulia daripada perkataan “bodoh”? Jahiliyyah, berasal dari perkataan jahala, yajhalu, jahil selalunya digunakan kepada masyarakat Arab sebelum kedatangan Nabi Muhammad S.A.W. Sebenarnya konsep jahiliyyah ini akan berterusan sehingga hari kiamat. Pengertian jahiliyyan bukan sekadar memberi maksud sesuatu bangsa itu tidak bertamadun, bahkan jahiliyyah itu bersangkutan dengan ideologi pemikiran manusia yang sesat dan lari dari panduan ALLAH.

Lihatlah Araba jahiliyyah. Mereka bukan tidak pandai. Orang-orang Saba’ misalnya, mempunyai teknologi pembinaan Empangan Maarib. Kabilah-kabilah Arab, bijak berniaga dan berdagang. Mereka punya jutawan, sasterawan, pakar astronomi, panglima-panglima perang dan sebagainya. Mereka ini hebat dan pandai, tetapi ALLAH tidak mengiktiraf mereka. Mereka digelar jahil. Mereka diberi gelaran “bodoh” dek kerana ideologi, pemikiran dan fahaman mereka jauh dari panduan-Nya.

Maka apakah anda siswa-siswi Apex tidak terlepas dari dianggap bodoh oleh ALLAH sekiranya anda menjauhi setiap perintah ALLAH dan mendekati setiap larangan-Nya? Menjadi lumrah, bahawasanya orang-orang bodoh akan saling bersama-sama dengan orang-orang bodoh juga. Tidak akan selamanya bodoh bagi orang-orang yang bersama-sama dengan orang-orang cerdik. Marilah bersama-sama orang-orang cerdik, yakni orang-orang yang baik dan sering melaksanakan perintah ALLAH dan meninggalkan larangan-Nya.

Sebagai panduan kepada diriku dan anda semua sahabat-sahabat, antara ciri-ciri orang-orang yang bodoh kerana sengaja memilih neraka di akhirat kelak ialah:

1) Golongan yang tidak menunaikan solat Fardhu 5 waktu
2) Golongan yang kadang-kadang solat, kadang-kadang tidak
3) Golongan yang suka dan tidak malu-malu mendedahkan aurat kepada khalayak
4) Golongan yang suka bercouple tanpa ikatan nikah yang sah
5) Golongan yang suka pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan
6) Golongan yang ada kesedaran Islami tetapi cuba mengelak untuk menjadi baik
7) Golongan yang redha dengan semua jenis pelanggaran perintah ALLAH

Semua ciri di atas adalah gambaran tentang beberapa golongan bodoh yang terdapat di USM Apex. Mereka pandai, tetapi di sisi Islam, mereka ini bodoh. Jahil. Maka jauhilah mereka. Jika anda punya kekuatan, selamatkanlah mereka daripada terus menjadi bodoh. Kasihan mereka.

Sebagai cara menjaga diri anda daripada terjebak dalam ciri-ciri orang bodoh, berikut adalah saranan yang boleh diikuti:

1) Selalulah ke masjid/Pusat Islam untuk solat fardhu secara berjamaah
2) Selalulah bergaul dengan orang-orang yang baik dan cerdik pada pandangan Islam
3) Selalulah ikuti majlis-majlis ilmu yang dianjurkan di Pusat Islam
4) Sertailah usrah-usrah yang dianjurkan bagi mengukuhkan ukhuwwah sesama Islam
5) Hindari sifat malas dalam perkara kebaikan
6) Bangunlah dihujung-hujung malam berqiamullayl dan berdoa supaya kita semua dihindari daripada sifat-sifat kebodohan yang merugikan kita.

Akhir sekali, sekali lagi tahniah kerana berjaya mengaji di USM Apex ini. Tahniah kerana anda seorang yang pandai, dan teruslah berusaha menjadi orang-orang yang cerdik dan bijak seiring dengan kepandaian anda.

WaLLAHu a’lam.

=========================
Kata-kata pemimpin:

“Saya telah mengirim surat kepada Perdana Menteri yang mengandungi soalan, ‘kenapa Umno tolak Islam? “Islam itu bukan PAS yang buat, tetapi kenapa Umno tetap mahu menolak Islam. Sebab itu saya berkempen dan berdakwah hingga ke hari ini untuk Islam,”

-TG Nik Abdul Aziz Nik Mat

Jernihkanlah antara dua saudaramu yang bertelagah…


Lega rasanya apabila menatap gambar ni…
Macam tu lah… Kemelut yang melanda diselesaikan dengan cara penuh akhlak dan adab.

Bagaikan nak pecah akibat penangan bloggers yang pelbagai persepsi, pemikiran, akhlak, adab dan tarbiyah. Yang tidak berakhlak – menghentam semberono. Yang profesional sikit, kritik berpada-padaa tetapi bias. Yang sedikit berakhlak, mengkritik dengan nada nasihat. Yang sedikit berjiwa tarbiyah, cool, tidak melatah.

Biasalah… satu pukulan ditengah-tengah laut, yang kuat berkocak dan berombak adalah di bahagian yang hampir dengan pantai. Bukan mudah untuk meredakan gelombang ini. Sekali gelombang ini teraktif, ia pasti akan menghempas pantai.

AlhamduliLLAH.
Susah payah melawan anasir luar, kemelut dalaman melanda seketika. Itulah proses tarbiyah dalam jemaah. Pemimpin kita diuji, ahli gerakan Islam ini diuji dalam dan luar. Harapannya, semoga ia menjadi petanda kemenangan yang lebih besar akan dikecapi, ataupun jua, tanggungjawab yang lebih berat bakal digalas nanti. Sebab itu ALLAH menguji jemaah gerakan Islam ini dengan pelbagai ujian yang seolah-olah sangat getir.

Pertembungan dua pendapat yang berbeza dalam jamaah, adalah suatu perkara biasa. Malah dilontarkan pula oleh tokoh-tokoh besar dalam jemaah. Perbezaan pendapat sebegini tidak sepatutnya memecah-belahkan jemaah. Punca kekecohan ini mungkin disebabkan terlalu ramai yang mahu menyatakan pendapat, pendirian dan pemikiran masing-masing… lalu dihamburkan dalam blog segala rasa tidak puas hati dengan pendapat-pendapat yang tidak selari dengan pmikirannya. Maka terlihatlah kejelekan akhlak dalam berjamaah sesetengah pihak.

Renungilah, bahawa perbezaan dan pertentangan pendapat itu datang dari dua tokoh ulama yang disegani. Maka kita perlu yakin, kedua-duanya tidak salah. Kita perlu yakin, perbezaan pendapat ini akan dapat diselsaikan setelah kedua-duanya bertemu dan berbincang. Tidak perlulah kita berbuih-buih mulut dan mengetuk kekunci keyboard menulis blog untuk mengkritik dan menghentam seseorang dengan cara biadab dan tidak berakhlak.

Sedarlah kita bahawa apabila dua ulama berijtihad dengan ijtihad yang berbeza, yang betul ijtihadnya akan mendapat dua ganjaran, manakala yang tersasar ijtihadnya, akan mendapat satu ganjaran. Sebagai ahli dan pendokong gerakan Islam, kita serahkan kepada pimpinan yang telah dipilih.

Amat malang bagi golongan yang memperlekeh pertikaian antara Khalifah Ali dan Khalifah Muawiyah yang membawa kepada Perang Siffin. Ada yang cuba melabelkan Muawiyah itu bersalah sehingga mencetuskan peperangan saudara antara orang-orang beriman. Siapa kita untuk mempertikai Muawiyah? Muawiyah adalah sahabat Nabi S.A.W, dan beliau adalah orang yang layak berijtihad. begitu juga Sayidina Ali. Perang yang tercetus adalah hasil ijtihad mereka yang berbeza. Biarlah ALLAH sahaja yang menentukan siapa benar, siapa salah. Yang benar ijtihadnya, akan mendapat dua ganjaran, yang salah ijtihadnya akan mendapat satu ganjaran. Jadi siapa kita untuk mengutuk dan memperlekeh mana-mana satu sahabat Nabi itu?

AlhamduliLLAH, mudah-mudahan perkara ini selesai dan jemaah gerakan Islam ini akan terus memacu ummah ke arah yang lebih cemerlang. Sesungguhnya, orang-orang beriman itu bersaudara. Perbaikilah…. jenihkanlah…. damaikanlah antara saudara kamu. Jika berucap, ucaplah dengan ucapan perdamaian. Jika menulis, tulislah rencana yang menjernihkan keadaan. Janganlah menjadi batu api yang memercikkan permusuhan sesama saudara. Semoga ALLAH memberkati perjuangan kita.

p/s: Maaflah kalau ayat tak sedap dibaca. Lama beruzlah dari blog, ayat pun tunggang-tungging.