USM Temui Kaedah Beza Daging Ayam dan Babi

Pulau Pinang, 1 April – Penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Azhar Mat Easa bersama-sama rakan penyelidiknya, Tan Thuan Chew dan Dr. Abbas F.M Alkarkhi berjaya menemui kaedah untuk mengenal pasti perbezaan antara daging segar dan daging cincang ayam dengan babi.
Kaedah ini yang menggunakan pendekatan tindak balas Maillard atau reaksi warna perang bukan enzim yang terhasil semasa memasak makanan khususnya melalui pemanasan.
Tindakbalas Maillard telah ditemui pada tahun 1912 oleh seorang ahli sains Perancis yang tidak pernah dimanfaatkan untuk tujuan membezakan daging.
“Kami menggunakan tindak balas ini dengan menggunakan gula ribose (ribose) semasa pemanasan dan menggunakan alat spectrophotometer untuk menentukan warna pigmen terhasil. Masa pemanasan dan analis mengambil kira-kira dua jam untuk melihat perbezaan antara daging ayam dengan daging babi,” kata Prof. Azhar dalam sidang media yang diadakan di sini.
Prof. Azhar juga adalah Timbalan Dekan Pengajian Siswazah dan Penyelidikan di Pusat Pengajian Teknologi Industri USM.
Menurut Prof. Azhar, perbezaan yang ketara dapat dilihat dalam perbandingan kadar penyerapan (absorbance) pada 420nm untuk ekstrak Maillard menggunakan air terhadap sampel ayam dan daging babi yang dipanaskan dengan menggunakan 10% gula ribosa dari berat keseluruhannya pada 95 darjah celcius
Lagi lama pemanasan dilakukan, lebih tinggi kadar penyerapan direkodkan pada skala antara 0.21 hingga 0.25 berbanding dengan daging babi yang mempunyai skala jauh lebih rendah antara 0.12 hingga 0.144.
Menurut Prof. Azhar, kaedah baru ini telah difailkan untuk paten yang merupakan satu-satunya yang ada pada masa ini di dunia yang boleh dimanfaatkan bagi mengatasi keraguan terhadap tahap halal daging terutamanya kepada Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
Kos untuk membeli mesin spectrophotometer ialah sekitar RM25,000 manakala “PC Indicator” (ribose) yang digunakan untuk membuat uji kaji ke atas daging ini hanyalah sekitar RM15.00 untuk setiap botol yang mengandungi sebanyak 4 g.
“Dengan kos operasi yang rendah, kawalan mutu halal untuk mengesahkan jenis daging yang digunakan dapat dilakukan setiap hari,” kata Prof. Azhar.
Sebelum ini terdapat banyak kaedah lain yang digunakan bagi menguji perbezaan daging halal antaranya ialah electrophoresis, liquid chromatography, DNA polymerase chain reaction (PCR) dan lain-lain lagi yang biasanya agak kompleks, tinggi harganya, memerlukan kemahiran tertentu untuk mengendalikannya dan tidak mudah untuk digunakan terutamanya bagi mereka yang mengendalikan IKS.
“Kami menghasilkan kaedah baru ini berdasarkan pemerhatian masalah-masalah yang timbul dalam industri yang berkaitan dengan perbezaan antara daging ayam dengan babi yang pernah berlaku, sama ada apabila daging babi diletakkan tanda halal di negara jiran yang menimbulkan keraguan mahu pun timbulnya masalah mengenalpasti atau membezakan antara daging ayam dengan babi di dalam negara ini terutamanya untuk daging yang diimport dari luar negara,” jelas Prof. Azhar.
Tambahnya lagi, kaedah ini juga berguna untuk membezakan antara serbuk gelatin babi dengan lembu serta boleh digunakan dalam indusrri makanan yang menggunakan daging serta industri daging beku.
Penyelidikan yang bertajuk “Characterization of chicken and pork meat protein using the Maillard reaction: towards the development of a rapid method of species differentiation and confirmation” melalui dana eScience Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebanyak RM180,000 sejak Oktober 2008.
Dipetik dari Web Rasmi USM
p/s: Dah jumpa cara, lepas ni buat research pulak untuk dapatkan cara beza ayam dan babi paling mudah dan murah. Takkan pengguna khasnya umat Islam nak kena beli mesin RM25000.00… baik bela ayam kampung saja. Apapun, tahniah kepada para penyelidik USM… 🙂

Muhasabah Konvokesyen USM ke-40

Hari ini, Jumaat ~ 14 Ogos 2009 ~ hari konvokesyen USM ke-40. Para graduan Sarjana Muda Kejuruteraan berjubah ungu berkalung hijau menghadiri majlis konvikesyen ini, termasuk aku.
AlhamduliLLAH, syukur kepada ALLAH, selawat dan salam ke atas nabi Muhammad RasulaLLAH. Terima kasih emak dan ayah, terima kasih adik-adik, terima kasih sahabat-sahabat seperjuangan, terima kasih para guru dan pensyarah, terima kasih rakan-rakan batch 04/08, 05/09, 06/10… terima kasih semua.
Majlis konvokesyen adalah majlis rasmi universiti bagi meraikan kejayaan para graduan. Dengan berjubah dan bertopi begitu, para graduan melangkah memasuki dewan untuk menerima ijazah mereka.
“Kejayaan…”
Apakah aku sudah berjaya hanya kerana menerima ijazah ini? Tidak. Konvokesyen ini hanyalah simbol tamat pengajian peringkat ijazah sarjana muda sahaja. Tidak lebih dari itu. Sama juga ijazah kedoktoran ( PhD) sekalipun, ia hanya simbol. Tiada kejayaan mutlak di dunia ini, melainkan kejayaan yang diiktiraf oleh Raja segala raja. Raja kepada segala canselor.
Aku berlindung dengan ALLAH dari sifat-sifat mazmumah yang mungkin terbit dengan penerimaan ijazah ini. Sekiranya “kejayaan” aku ini akan menyebabkan aku dinilai buruk oleh ALLAH, rela aku tidak menerima ijazah ini. Semoga ALLAH memelihara aku, ibubapaku, adik beradikku, sahabat-sahabiyah seperjuangan serta rakan-rakanku daripada kerkaan-Nya.
Berbalik kepada “kejayaan” yang kita fahami, menerima ijazah itu itu adalah kejayaan. Sedikit pengiktirafan yang diberikan universiti kepada kita, dengan majlis sambutan yang rasmi dan gemilang, sudah tentu sebagai manusia, timbul paling tidak, sedikit rasa bangga dan bersyukur atas anugerah ALLAH dan usaha kita selama ini serta dorongan emak ayah, adik beradik dan sahabat handai kita selama ini.
Seronok, bangga, syukur, senyum 5 inci …
Wahai aku, wahai sahabat-sahabat yang turut berkonvokesyen, ini baru kejayaan yang sedikit di dunia yang fana dan penuh dengan persepsi yang dibentuk sendiri oleh doktrin duniawi.
Tidakkah kita sekalian mahu juga berkonvokesyen dihari akhirat kelak dengan kejayaan yang kekal abadi, syurga yang ALLAH sediakan? Audiens pada hari itu bukan sahaja manusia sejak nabi Adam a.s hingga kiamat, bahkan jin-jin dan para malaikat yang sangat tidak terhitung bilangannya akan menyaksikan majlis “konvokesyen” pada hari tersebut. Bukankah ALLAH akan muliakan seseorang yang menghadiri majlis ilmu, dengan menyebut namanya di depan khalayak? Bukankah ALLAH akan menyebut nama si fulan bin si fulan dengan bangga kerana amalannya yang soleh di dunia?
Alangkah bangganya kita ketika itu, sekiranya kita benar-benar si fulan itu. Seronok yang amat besar kerana diiktiraf oleh Maliki YaumidDeen. Jika di dunia, kita akan bangga apabila Sultan atau raja menyebut nama kita dan mengiktiraf kita depan khalayak ramai, maka sudah tentu kita akan lebih gembira dan nikmat apabila raja yang paling berkuasa pada hari serba kalut itu mengiktiraf kita.
Raja yang menunjukkan sifat kemurkaan yang jelas nyata kepada pengkhianat agama-Nya semasa di dunia, raja yang sangat memurkai orang-orang yang menentang Rasul-rasul-Nya, raja yang menyediakan ledakan Neraka untuk membaham musuh-musuhnya semasa di dunia… Raja ini tiba-tiba dengan penuh kasih sayangnya menjulang nama kita, mengiktiraf nama an diri kita dan menyediakan ijazah syurga yang kekal selama-lamanya kepada kita. Tidakkah kita akan rasa sangat ingin mendapat kejayaan yang tulen seperti itu?
Ya, sudah tentu kita sangat idamkan. Akan tetapi, syurga bukan semudah yang disangka untuk mendaftarkan diri. Tiket keimanan perlu sentiasa berasa dalam diri. Taqwa adalah kayu ukur darjat kemuliaan kita di sisi ALLAH. Keredhaan ALLAH adalah kejayaan yang sebenar bagi orang-orang beriman.
Kepada yang berkonvo hari ini, jangan anggap inilah kejayaan diri selama berada di kampus. Tidak…anda belum tentu berjaya. Aku pun belum tentu berjaya. Ijazah bukan ukuran, tetapi ukurlah kejayaan kita dengan kacamata iman. Apakah kita dikira berjaya dengan ijazah kita, sedangkan solat 5 waktu kita di kampus dahulu tidak terjaga? Apakah nilai kejayaan kita jika di kampus dahulu kita lalai untuk solat berjemaah? Kita sambil lewa dalam perjuangan amru bil ma’ruf, wanahyu ‘anil munkar, apakah kita berjaya? Aku bertanya diriku, anda tanyalah diri anda sendiri.
Mudah-mudahan, muhasabah diri kita ini merendahkah bibit-bibit riak, takabur dan ujub dalam diri. Perjalanan masih jauh, dan masa perlu kita maksimumkan untuk kembali ke landasan perjuangan yang diredhai ALLAH. Hidup hanya sekali. Mati bila-bila masa sahaja tanpa amaran. Ingatlah, keredhaan ALLAH adalah kejayaan yang sebenar bagi kita, orang-orang beriman.
WaLLAHu a’lam,
~ Selamat Berkonvokesyen ~

USM Tangguh Kuliah di Kampus Kejuruteraan


اللهم عافنا فى بدننا
اللهم عافنا فى سمعنا
اللهم عافنا فى بصرنا

اللهم إنا نعوذبك من جهد البلاء
اللهم إنا نرجوا رحمتك ونخشى عذابك
إن عذابك الجد بالكفار والملحق

Walaupun belum ada kes selesema H1N1 disahkan berlaku, Universiti Sains Malaysia (USM) memutuskan untuk menangguhkan kuliah pengajian Kejuruteraan di Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal Pulau Pinang selama tujuh hari mulai hari ini memandangkan terdapat lebih 20 kes pelajar demam yang dikatakan ada kaitan dengan Influenza Light Illness (ILI).

Hanya aktiviti akademik dan kuliah ditangguhkan yang akan dijadualkan semula nanti. Manakala aktiviti lain akan berjalan seperti biasa kerana langkah ini hanyalah untuk berjaga-jaga semata-mata di samping untuk membolehkan pihak Universiti dan Jabatan Kesihatan Daerah melakukan tindakan-tindakan yang sewajarnya bagi menangani masalah ini.

Hal ini dibuat melalui pemantauan Jabatan Kesihatan Daerah Seberang Prai yang telah menasihatkan agar USM berbuat demikian sebagai langkah berjaga-jaga. Notis, pemberitahuan dan maklumat berkaitan telah dikeluarkan kepada semua pelajar. Walau bagaimanapun hanya pelajar yang sihat sepenuhnya dan disahkan tidak demam akan dibenarkan meninggalkan kampus. USM melakukan apa sahaja yang boleh untuk membantu para pelajar meninggalkan kampus termasuk menyediakan pengangkutan dan menghubungi keluarga pelajar.

Pelajar-pelajar perlu melalui saringan yang dilakukan di kampus oleh Jabatan Kesihatan, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Pusat Sejahtera USM. Mereka yang didapati demam akan diletakkan di dalam kampus dengan menyediakan kemudahan yang perlu bagi memastikan ianya dapat dipantau secara berterusan termasuk makan dan minum mereka.

Pihak media boleh mendapatkan maklumat dari semasa ke semasa dengan menghubungi Encik Mohd Mahizan Mahamud di talian 012-4161636, En. Izam Fairus Kamaruddin di talian 0174770070, Marziana Mohamed Alias di talian 0124622892 dan Rosni Hassan di talian 0134385628 atau Bilik Gerakan BHEPP di talian 04-5995735.

BERKHIDMAT UNTUK NEGARA
“Memastikan Kelestarian Hari Esok”

TIMBALAN PENDAFTAR
Pejabat Perhubungan Awam

Sumber: Universiti Sains Malaysia

Jangan jadi bodoh apabila masuk USM Apex

Berehat seketika dari entry politik.

Dua minggu sudah berlalu siswa-siswi baru mendaftar masuk ke USM selaku siswa-siswi tahun pertama. Belum terlambat kiranya kita ucapkan tahniah dan selamat datang kepada mereka. Mereka adalah ambilan pertama sejak USM dinobatkan sebagai universiti Apex. Mereka inilah siswa-siswi tahun pertama USM Apex.

Selamat datang. Walaupun blog ini pasti tidak dikenali mereka, tetapi ucapan selamat datang dan tahniah ini boleh disampaikan melalui senior-senior yang terbaca entry ini.

Mungkin gelaran USM Apex ini tidak begitu difahami sepenuhnya oleh siswa-siswi baru dan menganggapnya sebagai “biasa” saja. Bagi siswa-siswi lama, gelaran Apex mungkin menjadi kebanggaan kerana pengiktirafan yang begitu tinggi kepada USM, walaupun hakikat Apex itu belum difahami.

Persoalan Apex atau tidak, itu bukan soal yang perlu kita beri fokus kerana ilmu ALLAH luas. Di mana sahaja boleh kita ambil jika kena caranya. Terpilihnya anda melangkah ke USM Apex ini adalah anugerah ALLAH kepada anda semua. Barangsiapa yang bersyukur, maka ALLAH akan tambah lagi anugerah-anugerah yang kita sendiri tidak jangka. Tapi awas, jika anda kufur kepada anugerah yang ALLAH kurniakan ini, kufur dengan erti kata membantah setiap perintah-Nya, berawaslah! Azab ALLAH sangat dahsyat sifatnya.

Sememangnya anda seorang yang pandai dan hebat, lantaran itu anda ditempatkan oleh ALLAH di USM Apex ini. Bukan mudah, hanya orang-orang pandai sahaja diterima masuk universiti, malah khabarnya hendak masuk USM Apex ini ada peperiksaan MunSYi. Anda berjaya diterima masuk, dan telah berjaya mendaftar, serta telah 2 minggu memulakan pengajian. Tahniah.

Namun sepandai-pandai anda, belum tentu anda seorang yang cerdik dan bijak. Belum tentu tahap kepandaian anda dalam bidang akademik, sukan dan pelbagai aktiviti menjadikan anda bijak. Anda tidak diiktiraf cerdik dan bijak sekiranya kepandaian anda membuatkan anda menjadi sombong dan degil terhadap ALLAH, Tuhan yang menempatkan anda di USM Apex ini. Walau sepandai mana pun anda, dengan keputusan peperiksaan SPM 21A, Matrikulasi 4.0, dapat pula masuk USM Apex, tidak cerdiklah anda sekiranya anda memilih penghujung hidup anda di azab oleh ALLAH dalam Neraka.

Tidak cerdik bererti bodoh. Maka orang-orang yang membantah perintah ALLAH, dia adalah orang yang bodoh, sekalipun dia pandai. Sekalipun dia adalah siswa-siswi Usm Apex. Sekalipun dia adalah pensyarah USM Apex. Pandai tetapi bodoh.

Bodoh dalam bahasa Arab bermaksud jahil. Apakah perkataan “jahil” itu lebih mulia daripada perkataan “bodoh”? Jahiliyyah, berasal dari perkataan jahala, yajhalu, jahil selalunya digunakan kepada masyarakat Arab sebelum kedatangan Nabi Muhammad S.A.W. Sebenarnya konsep jahiliyyah ini akan berterusan sehingga hari kiamat. Pengertian jahiliyyan bukan sekadar memberi maksud sesuatu bangsa itu tidak bertamadun, bahkan jahiliyyah itu bersangkutan dengan ideologi pemikiran manusia yang sesat dan lari dari panduan ALLAH.

Lihatlah Araba jahiliyyah. Mereka bukan tidak pandai. Orang-orang Saba’ misalnya, mempunyai teknologi pembinaan Empangan Maarib. Kabilah-kabilah Arab, bijak berniaga dan berdagang. Mereka punya jutawan, sasterawan, pakar astronomi, panglima-panglima perang dan sebagainya. Mereka ini hebat dan pandai, tetapi ALLAH tidak mengiktiraf mereka. Mereka digelar jahil. Mereka diberi gelaran “bodoh” dek kerana ideologi, pemikiran dan fahaman mereka jauh dari panduan-Nya.

Maka apakah anda siswa-siswi Apex tidak terlepas dari dianggap bodoh oleh ALLAH sekiranya anda menjauhi setiap perintah ALLAH dan mendekati setiap larangan-Nya? Menjadi lumrah, bahawasanya orang-orang bodoh akan saling bersama-sama dengan orang-orang bodoh juga. Tidak akan selamanya bodoh bagi orang-orang yang bersama-sama dengan orang-orang cerdik. Marilah bersama-sama orang-orang cerdik, yakni orang-orang yang baik dan sering melaksanakan perintah ALLAH dan meninggalkan larangan-Nya.

Sebagai panduan kepada diriku dan anda semua sahabat-sahabat, antara ciri-ciri orang-orang yang bodoh kerana sengaja memilih neraka di akhirat kelak ialah:

1) Golongan yang tidak menunaikan solat Fardhu 5 waktu
2) Golongan yang kadang-kadang solat, kadang-kadang tidak
3) Golongan yang suka dan tidak malu-malu mendedahkan aurat kepada khalayak
4) Golongan yang suka bercouple tanpa ikatan nikah yang sah
5) Golongan yang suka pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan
6) Golongan yang ada kesedaran Islami tetapi cuba mengelak untuk menjadi baik
7) Golongan yang redha dengan semua jenis pelanggaran perintah ALLAH

Semua ciri di atas adalah gambaran tentang beberapa golongan bodoh yang terdapat di USM Apex. Mereka pandai, tetapi di sisi Islam, mereka ini bodoh. Jahil. Maka jauhilah mereka. Jika anda punya kekuatan, selamatkanlah mereka daripada terus menjadi bodoh. Kasihan mereka.

Sebagai cara menjaga diri anda daripada terjebak dalam ciri-ciri orang bodoh, berikut adalah saranan yang boleh diikuti:

1) Selalulah ke masjid/Pusat Islam untuk solat fardhu secara berjamaah
2) Selalulah bergaul dengan orang-orang yang baik dan cerdik pada pandangan Islam
3) Selalulah ikuti majlis-majlis ilmu yang dianjurkan di Pusat Islam
4) Sertailah usrah-usrah yang dianjurkan bagi mengukuhkan ukhuwwah sesama Islam
5) Hindari sifat malas dalam perkara kebaikan
6) Bangunlah dihujung-hujung malam berqiamullayl dan berdoa supaya kita semua dihindari daripada sifat-sifat kebodohan yang merugikan kita.

Akhir sekali, sekali lagi tahniah kerana berjaya mengaji di USM Apex ini. Tahniah kerana anda seorang yang pandai, dan teruslah berusaha menjadi orang-orang yang cerdik dan bijak seiring dengan kepandaian anda.

WaLLAHu a’lam.

=========================
Kata-kata pemimpin:

“Saya telah mengirim surat kepada Perdana Menteri yang mengandungi soalan, ‘kenapa Umno tolak Islam? “Islam itu bukan PAS yang buat, tetapi kenapa Umno tetap mahu menolak Islam. Sebab itu saya berkempen dan berdakwah hingga ke hari ini untuk Islam,”

-TG Nik Abdul Aziz Nik Mat

Webmaster Short Course 2009 : Tahniah!

Tahniah PMIUSMKKj kerana berjaya menganjurkan program Webmaster Short Course (WSC 09). Program ini memberi suatu ilmu yang berguna kepada para peserta, iaitu ilmu membuat web menggunakan perisian CMS Joomla!


Kuliyah dan tunjuk ajar disampaikan oleh Ustaz Azwadi bin Sulaiman, pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Bahan) yang kini menyambung pengajiannya ke peringkat Sarjana di Pusat pengajian yang sama, Bahan dan Sumber Mineral.

Letih buat ayat formal… Program ini dihadiri oleh hampir 40 peserta dari pelbagai negeri dan pusat pengajian. Ustaz Azwadi menyampaikan kuliyah dan tunjuk ajarnya bermula dari mendapatkan web hosting, web setting, CMS installation (Joomla!) dan sedikit cara mengendalikan perisian CMS Joomla! tersebut.

Kursus setengah hari itu diadakan di perpustakaan USM KKj yang serba canggih. Kursus ini sangat berguna kepada para peserta yang rata-ratanya adalah pelajar kejuruteraan di USM. Jadi memang bagus lah. Malah kepakaran Ustaz Azwadi dalam bidang ini tidak pupus tanpa diwariskan setelah beliau tamat pengajian master di sini.

Gaya seorang sifu

Peserta ini tekun sekali mendalami ilmu web

Program berjalan lancar walaupun beberapa orang yang tidak diundang turut masuk mengkucar-kacirkan beberapa peserta dengan ajaran-ajaran songsang, kurang selari dengan apa yang ustaz Azwadi ajarkan. Minta maaf…

Salah seorang mangsanya adalah Malik…

Untuk koleksi gambar, sila ke © The Mhakk Studio

USM Apex, ada sesuatu yang kita kena fikir…

Suatu malam, lepas solat Isyak, aku dan sahabatku Azwadi, berbual-bual dengan Ustaz Yusof. Dalam banyak-banyak topik perbualan, aku suka kepada fokus universiti Apex yang diutarakan oleh ustaz. Menurutnya, title universiti Apex ini terlalu tergesa-gesa untuk diperoleh, dan akan mengakibatkan banyak perkara akan terlepas pandang. Sebelum ini aku pernah terfikir, tidakkah perlaksanaan program Apex untuk seluruh USM terlalu drastik dan bagaimana kemampuan semua warga dan fasilitinya. Tentu sekali memerlukan satu mujahadah dan kerja yang amat keras untuk memperolehinya.
Sembang-sembang dengan ustaz malam itu agak selari dengan apa yang aku fikirkan. Aku banyak mendengar input dari ustaz yang juga merupakan staff USM yang terlibat secara langsung dalam program Apex ini. Idea-idea aku diperkuat oleh hujah-hujah yang ustaz kemukakan dalam sembang-sembang kami. Walaupun ia hanya sembang-sembang, tetapi ada inputnya. Program Apex adalah sangat tergesa-gesa, walaupun kita nampak banyak kebaikan yang kita akan peroleh. Kita bukan sahaja akan gah pada nama semata-mata tetapi dalam pelbagai sudut dari kacamata ketamadunan. Akan tetapi, kecemerlangan yang akan kita peroleh yang harapannya sangat gemilang ini, mungkin kita akan kehilangan sesuatu yang lebih besar. Kebimbangan ini dicetuskan oleh ustaz Yusof.

Beliau memberi contoh kemajuan tamadun Islam di Cordova, yang pernah menjadi ibu segala pusat keilmuan dunia, akhirnya sekarang hilang dari peta dunia. Zaman kegemilangan Cordova itu telah melahirkan pelbagai tokoh Islam yang kita ketahui, seperti Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, dan sebagainya. Kegemilangan ilmu dan keilmuan sangat tinggi ketika itu. Tetapi bagaimanakah kegemilangan Cordova itu tidak dapat dipertahankan sedangkan zaman itu adalah zaman keemasan kepada ketamadunan ilmu. Apakah keghairahan mengejar ilmu sehingga mereka sampai ke tahap taksub kepada kehebatan ilmu sehingga lupa kepada perkara basic yang sepatutnya diperkukuh? Itu aku tidak mahu komen. Ustaz juga meninggalkan tanda soal di situ untuk kita sama-sama berfikir.

Lihat pula dalam isu universiti Apex ini. Kita seperti terkejar-kejar dengan status Apex, yang seolah-olah mahukan perubahan mendadak dalam kemajuan USM ke arah 100 universiti terbaik dunia. Ya, kita mungkin akan dapat status antara 100 universiti terbaik dunia, tetapi pernahkah kita terfikir kesan sampingan yang boleh membuatkan kita hilang sesuatu yang lebih besar? Walaupun ada orang kata, tak perlulah terlalu memikirkan kesan negatif, sebaliknya bekerjasama dengan sistem yang sedang bergerak ke arah matlamat itu dengan fikiran yang positif, tetapi tidak salah untuk kita letakkan kebimbangan-kebimbangan tertentu sebagai muhasabah.

Apa yang kita mungkin akan hilang? Tamadun Cordova suatu ketika dahulu tidak pernah terfikir mereka akan lenyap dari peta dunia – hanya tinggal sejarah. Mereka mungkin tidak pernah meletakkan kebimbangan-kebimbangan tertentu yang memberi kesan buruk kepada tamadun tersebut kerana beranggapan ketamadunan yang sangat tinggi yang mereka capai ini adalah sukar diruntuhkan. Akhirnya mereka kehilangan permata yang mereka bina. Ketamadunan ilmu mereka diambil oleh pihak Barat yang akhirnya berjaya membangunkan tamadun Barat.

Kita lihat USM Apex, beberapa tanda yang kita perlu lihat sebagai kebimbangan yang boleh menjadikan kita berputih mata kelak walaupun USM sudah bergelar universiti antara 100 terbaik dunia. Lihatlah hari ini, siapakah yang mendominasi kecemerlangan akademik dalam USM? Kita tahu jawapannya. Ada pihak yang berbangga bahawa para pensyarah, penyelidik, dan sebagainya, semuanya ‘orang kita’, tetapi dalam jangka panjang, siapa boleh jangka? Perhatikanlah para penyelidik yang hebat-hebat, siapakah yang menjadi pelajar PhD-nya, pelajar Master-nya dan orang-orang sekelilingnya. Jadi bagaimana masa depan umat Islam dalam USM? Apakah ini petanda awal kita akan berputih mata kelak sedangkan pihak kerajaan dan pentadbiran kita hanya mengejar nama Apex semata-mata? (Maaf jika tidak berkaitan)

Kita bersyukur, USM terpilih sebagai Universiti Apex. Kita punya persediaaan ekonomi untuk ke arah itu. Apabila punya peruntukan ekonomi yang baik, fasiliti yang baik akan dapat direalisasi. Tetapi bagaimana dengan persediaan insani? Adakah semua warga USM ini akan berubah mentalitinya secara mendadak daripada bergerak secara constant speed kepada accelerated speed? Ustaz Yusof memberi anologi seperti pokok asam yang buahnya dikehendaki manis. Maka pokok itu akan dipaksa dengan pelbagai baja dan ramuan, akhirnya pokok asam itu akan berbuah manis. Berjaya dari sudut itu. Tetapi apabila benihnya ditanam semula, hasilnya akan kembali menjadi buah asam yang masam jua sifatnya. Begitu jua USM. Pasti akan ada sesuatu yang tidak kena kelak jika kegemilangan dicapai sebelum masa matangnya.

Aku berkesimpulan bahawa kita tidak menghalang program Apex dan merendah-rendah status Apex kepada USM. Tetapi setiap pandangan ada nilainya tersendiri. Dalam mengejar Apex, perlu wujud satu force yang besar untuk memperkukuh basic, supaya kita terselamat daripada kesan negatif disebalik kejayaan USM Apex nanti. Team untuk menjaga basic perlu sehebat team yang bergerak ke arah Apex. Barulah peristiwa jatuhnya kegemilangan Cordova dapat dielakkan daripada terjadi kepada USM yang kita cintai. Belajar daripada sejarah bukanlah hanya dengan mengetahui bila, di mana dan siapa, tetapi ambillah iktibar , ‘ibrah dan renungi corak pemikiran pelaku-pelaku sejarah ketika itu. Kita sudah digazet sebagai universiti Apex, maka tiada alasan untuk kita mundur kebelakang semula. Perjuangan mesti diteruskan.

Apa perkara basic yang kita perlu perkuatkan? Aku serah kepada kalian untuk terjemahkan apa itu basic..

Mungkin orang lain ada komen berbeza, silakan….

USM bantu penduduk Gaza

PULAU PINANG, 2 Feb – Universiti Sains Malaysia (USM) bercadang mengambil kanak-kanak mangsa peperangan di Gaza, Palestin untuk diberikan bantuan perubatan dan tempat tinggal sementara yang lebih selamat di negara ini.

Misi membawa kanak-kanak malang tersebut ke negara ini khususnya ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian tercetus disebabkan kesukaran untuk menghantar bantuan penyelamat dari Malaysia ekoran pergolakan di negara tersebut masih belum reda dan diisytihar selamat.

Naib Canselor USM, Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak berkata, langkah iu dirasakan amat sesuai bagi membantu mangsa peperangan di Gaza yang dihimpit masalah kekurangan bantuan perubatan khususnya dari segi peralatan, ubat-ubatan dan sebagainya. Baca lagi….

AlhamduliLLAH, misi ini sangat bagus. Bangga jadi warga USM. Sesuai dengan taraf Apex, USM melangkah ke hadapan dengan misi global.

`Jika perbincangan berjalan lancar, USM dijangka menempatkan sekurang-kurangnya 10 kanak-kanak Palestin berusia bawah 10 tahun di HUSM pertengahan Mac depan,’’ tambah beliau.

Kanak-kanak adalah antara bangsa terbanyak dalam keganasan Yahudi Zionis. Mati, cedera dan menderita. Sungguh kasihan. Harap lebih ramai lagi kanak-kanak Palestin di bawa ke Malaysia, terutama yang kehilangan tempat bergantung.
Mungkin ada pula yang kurang bersetuju dengan misi ini. Membawa kanak-kanak ini ke Malaysia, akan melunturkan tarbiyyah jihad kepada mereka. Kehidupan yang selesa dan agak jauh dari ruh jihad mungkin akan melemahkan jiwa anak-anak Palestin ini untuk menyambung perjuangan ibu-bapa mereka yang syahid.
Kita berharap bantuan ke atas kanak-kanak Palestin ini bukan hanya sebagai tanggungjawab kemanusiaan, tetapi adalah atas dasar aqidah, ukhuwwah dan perjuangan. Syabas USM!
Link berkaitan: