Perlukah program usrah di USM-Apex?

Nampaknya posting aku yang bertajuk “Pengajian Islam di USM membebankan?” mendapat banyak komen yang kritis dan membina daripada sahabat dan rakan-rakan kita. Aku tak ingin terus menghurai mengenai pengajian Islam samada patut atau tidak dilaksanakan. Biarlah MPP membuat keputusan samada untuk membawanya sebagai cadangan kepada pihak atasan atau sebaliknya.
Namun ada pula cadangan dari seorang pengunjung yang melabelkan diri sebagai sudugarpu mencadangkan USM mewajibkan program usrah kepada mahasiswa. Ada baiknya juga jika program ini dilaksanakan untuk kebaikan Mahasiswa Muslim USM. Tapi aku terfikir, bagaimana caranya? Mungkinkah boleh dilaksanakan dalam situasi politik semasa, penerimaan pelajar, beban akademik dan sebagainya? Aku tidak mahu menjawab sebenarnya dan menyerahkan kepada kalian untuk mengupas menganalisis cadangan saudara sudugarpu itu.

Tapi, ada dua tiga orang yang minta aku huraikan sedikit samada perlu atau tidak diwajibkan program usrah dalam USM terutama dalam kampus kita ini. Baiklah kalau itu yang anda mahu, akan ku kisahkan sedikit benda ni mengikut persepsi aku. Sudugarpu punya pikiran, aku tak tahu, tepuk dada tanyalah dia.

Baik, biar hamba coretkan sedikit mengenai usrah dalam kampus kita, perlu atau tidak.

Usrah, bermaksud keluarga. Dalam konteks program usrah yang dimaksudkan adalah suatu perkumpulan kecil yang diketuai oleh pengendali yang disebut naqib/naqibah, bertujuan mengeratkan persaudaraan, memberi kefahaman dan bergerak mengikut kefahaman.

Usrah bukan asing dalam kampus kita. Kita dapat lihat kegiatan usrah telah pun saban hari dilakukan oleh rakan-rakan kita dalam PMI, Tabligh dan ada pula yang membentuk usrah dengan inisiatif sendiri. Tetapi ia hanya melibatkan beberapa orang sahaja. Yang lain, mungkin tahu dan mungkin juga tidak tahu hakikat wujudnya usrah dalam kampus kita.

Program Usrah yang dicadangkan oleh saudara sudugarpu itu, menurut apa yang aku faham, semua mahasiswa Muslim USM ini perlu diwajibkan mengikuti usrah kerana mungkin dengan kewujudan program Usrah, usaha memahamkan mahasiswa Muslim mengenai Islam, akhlak dan sebagainya, lebih memberi kesan berbanding memperkenalkan subjek Pengajian Islam sebagai elektif. Khabarnya program usrah di UIAM termasuk dalam unit pengijazahan* (betulkan jika silap) yang mana mahasiswanya wajib mengikuti usrah(?).

Bagiku, agak benarlah sudugarpu dengan idea usrahnya, dan idea Pengajian Islam juga tidak remeh. Tetapi bagaimana penerimaan mahasiswa terhadap program Usrah? Sebenarnya, perlu kita fahami, kegiatan usrah bukan hanya berkisar kepada topik keagamaan semata-mata.

Melalui Usrah, banyak manfaat yang kita boleh dapat.

1) Mengeratkan ukhuwwah dan persaudaraan sesama ahli usrah
2) Memberi kefahaman Islam yang tiada dalam silibus akademik
3) Berkeyakinan dalam melaksanakan tuntutan dan tanggungjawab dalam setiap pekerjaan.
4) Melatih dan melahirkan Jurutera yang mampu berkerja dalam satu pasukan dan melatih keupayaan memimpin.
5) Meningkatkan kebolehan berkomunikasi dan berinteraksi
6) Membentuk kebersamaan dalam setiap aktiviti usrah

Dan banyak lagi yang boleh kita fikirkan.

Usrah Mengeraatkan ukhuwwah (persaudaraan)

Seperti yang kita fahami, aktiviti usrah akan membentuk talian persaudaraan sesama mahasiswa Muslim. Dalam perkembangan universiti Apex yang kita ketahui, jumlah ambilanmahasiswa undergrad akan berkurangan mungkin mencapai 700 orang sahaja setiap sidang. Dalam bilangan begitu kecil, jika nisbah Muslim – non Muslim waktu ini diambil kira, sudah tentu bilangan mahasiswa Muslim akan lebih kecil.

Gambar hiasan

Secara adatnya, sesuatu yang sedikit bilangannya sukar untuk menjadi kuat apatah lagi jika tidak bersatu. Sistem pendidikan yang ada sekarang menghasilkan individu yang individualistik, mementingkan diri atau tidak hirau dengan orang lain. Jadi bagaimanakah status Mahasiswa Muslim pada ketika itu, yang kelak mereka akan merasai suasana inferiority yang bersangatan.

Dengan itu, suatu langkah penyatuan dan membina kekuatan Mahasiswa Muslim dalam kampus adalah membentuk suatu pertalian persaudaraan (ukhuwwah) sesama mereka. Tidak lain tidak bukan salah satu caranya adalah program usrah. Program usrah tidak lengkap jika tidak diterapkan di dalamnya kefahaman Islam. Persaudaraan yang paling kukuh adalah persaudaraan Islam.

Gambar hiasan

Aktiviti usrah boleh mengeratkan ukhuwwah Islamiyah. Persaudaraan atas dasar aqidah yang satu adalah suatu ikatan yang sangat kukuh dan kuat. Lihatlah bagaimana Nabi S.A.W mempersaudarakan para sahabatnya dari kaum Muhajirin dan Ansar, menghasilkan suatu komuniti yang teguh dan mampu berdaya saing dari segi ekonomi, politik dan sosial yang sebelum itu didominasi dan dimonopoli orang-orang Yahudi.

Program Usrah, memberi kefahaman Islam

Tidak lengkap progran usrah, jika tiada penerapan nilai-nilai Islam yang kefahaman tentang Islam. Tidak lengkap menjadi seorang Muslim jika tiada dalam dirinya nilai-nilai Islamik seperti ilmu Islam dan akhlak Islam yang berpaksikan pada aqidah yang kuat. Sebagai seorang Muslim, kekuatan aqidah adalah sangat penting dan wajib bagi kita mendalami ilmu yang mengukuhkan keyakinan kita kepada Islam.

Gambar hiasan

Umat Islam amnya, dan Mahasiswa Muslim USM khasnya, wajib yakin bahawa Islam itu tinggi dan sempurna, tiada yang lebih tinggi darinya. Islam bukan hanya agama ritual semata-mata, tetapi Islam adalah deen (sistem kehidupan) yang sempurna dalam memandu cara hidup kita ke arah kemajuan kita dunia dan akhirat. Sistem sekular yang rosak perlu diganti dengan sistem Islam. Sistem ekonomi kapitalis yang menindas, perlu digantikan dengan sistem ekonomi Islam. Ideologi kapitalis, sosialis dan komunis dalam minda kita mahasiswa Islam wajib ditukar kepada ideologi Islam atau fikrah Islamiyyah.

Jika kita, mahasiswa Muslim sendiri tidak yakin dengan Islam, siapa lagi yang akan meyakini? Buangkanlah sikap prejudis kita terhadap Islam. Kita perlu bentukkan suasana Islamik dalam kalangan kita mahasiswa Muslim. Mendisiplinkan diri salam sistem yang hebat akan menjadikan kita seorang individu yang hebat. Islam adalah sistem yang paling hebat dan sempurna. Tidak perlu lagi kita berteori sedangkan sudah terbukti bagaimana sistem pendidikan berteraskan aqidah yang kukuh melahirkan tokoh-tokoh Islam yang masih dikagumi sehingga hari ini, sedangkan tokoh-tokoh yang diperkenalkan Barat mula dipertikai atau diperkecil satu persatu.

Program Usrah akan membantu Universiti Apex melahirkan mahasiswa yang bertaraf dunia. Sistem Islam adalah sistem bertaraf dunia, global dan antarabangsa. Sepatutnya kita tidak perlu lagi beriman dengan sistem-sistem ciptaan manusia yang lain. Cukup sahaja kita mengekstrak sistem Islam dalam proses pengjian dan pembentukan Mahasiswa. Biarlah USM menjadi rujukan dunia dalam penghasilan tokoh-tokoh antarabangsa.

Silibus program usrah bukan sahaja bertujuan memahamkan asas-asas Islam, malah jika pihak pentadbiran serius, silibus yang lebih ‘Apex’ boleh diperkenalkan.

Berkeyakinan dalam melaksanakan tuntutan dan tanggungjawab dalam setiap pekerjaan

Setiap aktiviti usrah yang dijalankan dengan penuh disiplin akan melahirkan individu yang berkeyakinan tinggi dalam setiap perlaksanaan tanggungjawabnya samda sebagai seorang mahasiswa, dan juga seorang Muslim. Ciri-ciri ini penting terutama kepada bakal-bakal jurutera dari USM KKj.

Kekuatan ukhuwwah, kebersamaan dalam aktiviti dan kesatuan pemikiran yang dibentuk dalam usrah akan membentuk keyakinan mahasiswa dalam menghadapi cabaran yang lebih besar. Kita sedia maklum bahawa setiap tokong yang berjaya, kebanyakannya adalah berpunca dari faktor keluarga. Keluarga yang baik akan mencorakkan individu menjadi baik. Maka program usrah cuba mengadaptasinya.

Melatih dan melahirkan Jurutera yang mampu berkerja dalam satu pasukan dan melatih keupayaan memimpin.

Setakat ini program-program yang bercorak demikian adalah sangat sedikit, mungkin disebabkan kekangan masa dan tenaga untuk dilaksanakan. Tetapi dengan proram usrah, yang masanya tidak tertumpu kepada masa pembelajaran akademik sahaja, kita boleh memanfaatkannya untuk membina jatidiri dan identiti mahasiswa USM sendiri, yang lebih berkualiti.
Mahasiswa akan dilatih menjadi naqib (pengendali) usrah – kepada yang lebih senior atau yang mampu. Untuk menjadi naqib, mahasiswa perlu menguasai pengetahuan yang lebih luas, dan berupaya mengemudi perjalanan aktiviti usrah. Secara tidak langsung, mahasiswa tersebut dilatih memimpin satu pasukan.

Bagi ahli-ahli usrah yang lain pula, mereka akan mempelajari dan menimba pengalaman daripada naqibnya. Malah perkongsian idea, ilmu dan maklmumat akan mencambah lagi pemikiran mahasiswa. Mahasiswa tidak hanya berfikir sesuatu pada skop yang kecil. Mahasiswa dapat belajar cara menganilis maklmumat yang pelbagai yang dicetuskan oleh rakan-rakan seusrah dan dibantu oleh kewibawaan naqib itu sendiri. Hasilnya kita akan dapat lihat kualiti mahasiswa USM akan lebih terserlah dan melepasi cemuhan-cemuhan masyarakat yang melabelkan ‘pemikiran mahasiswa seperti budak sekolah’.

Proram usrah bukan hanya majlis perbincangan agama

Majlis perbincangan bab agama adalah suatu persepsi yang menyebabkan ramai yang tidak berminat dengan program usrah. Bagi mereka yang tidak berminat memahami ilmu agama, program usrah adalah beban kepada hidup mereka. Maka dikatakanlah program usrah itu membuang masa, membebankan akademik mahasiswa dan sebagainya.

Gambar hiasan

Tetapi perlu kita fahami, usrah bukan sahaja berfungsi menyampaikan ilmu islam, tetapi program usrah boleh melibatkan aktiviti di luar (out door activities). Bagi kumpulan usrah yang ramai ahlinya berminat dengan sukan, maka naqib perlu bijak mengendalinya. Usrah juga boleh dibuat berdasarkan sukan yang diminati. Gunalah apa saja metod asalkan objektif semua objektif atau satu objektif tercapai. Contohnya aktiviti sukan, boleh mengeratkan ukhuwwah, itu sudah cukup. Objektif yang lain boleh difikirkan dengan kaedah yang lain pula.

Dalam hal ini keupayaan naqib membaca dan mengenalpasti kecenderungan ahli-ahli usrahnya sangat diperlukan. Secara tidak langsung si naqib akan dilatih cara mengurus sumber manusia dan ilmu ini berguna dalam alam pekerjaan kelak. Priktikal adalah lebih berkesan berbanding teori. Jadi program usrah dapat memberikan latihan secara praktikal kepada mahasiswa.

Aktiviti usrah boleh juga di ‘outdoor’ kan (gambar hiasan)

Program usrah boleh juga dilakukan dengan membawa ahli-ahli usrah melawat ke tempat-tempat rekreasi, tempat-tempat ilmiyah dan sebagainya. Jika kebersamaan dalam aktiviti usrah diperbanyakkan, ukhuwwah Islamiyyah akan lebih terbina. Kefahaman Islam kukuh. Aqidah mantap. Jatidiri teguh. Fikrah jelas. Ummah menjadi kuat. Mahasiwa USM akan menjadi contoh universiti-universiti lain di dunia amnya, dalam negara khususnya.

Universiti Apex, tetapi mahasiswanya tidak ‘Apex’?

Apa tidaknya, sejak masuk ke USM, perilakunya bagaikan budak sekolah. Mereka lalai dan leka dengan dunia hiburan. Lihatlah, universiti mana dalam Malaysia yang tidak sunyi dari mahasiswa yang leka bermain computer game, berchatting, bercouple, leka dengan perbincangan mengenai bola sepak dan sebagainya. Bagaimana mereka ini akan menjadi tokoh yang hebat? Bagaimana pemikiran ini akan menjurus kepada Islamik? Sukar sekali. Tidak salah bermain game, berchatting dan sebagainya. tetapi adalah salah jika menyebabkan mereka lalai dari kehidupan Islam dan kehidupan akademik mereka.

Jika masa yang terbuang dengan aktiviti lalai yang disebutkan itu, diisi dengan program bermanfaat seperti prorag usrah, alangkah baiknya.

Tetapi apa yang aku utarakan ini adalah coretan yang boleh dikongsi bersama untuk difikirkan. Praktiknya tidak semudah teori. Teori tentunya melihat kepada idealistik, manakala praktiknya adalah sesuatu yang berhadapan dengan realiti. Jika direnung sejenak, bagaimanakah penerimaan mahasiswa jika aktiviti usrah ini dijalankan? Mungkin akan mengejutkan mereka. Mungkin akan ada penentangan. Maklumlah, setiap mahasiswa yang diterima masuk USM mempunyai latar belakang yang berbeza-beza. Pihak atasan boleh laksanakannya dengan perancangan yang teliti. Jika usrah diletakkan di bawah kelolaan MPP, dan diwajibkan kepada mahasiswa tahun pertama sebagai langkah permulaan, mungkin lebih mudah.

Terpulang kepada kebijaksanaan pihak atasan untuk menilainya. Jika nama ‘usrah’ ditakuti, tukarlah kepada apa saja nama yang dilihat lebih akademik atau profesional. Jika urusan melaksanakan program usrah ini dilihat sukar dan sangat mencabar, mengapa tidak USM cuba mengharungi cabaran tersebut. Mengapa perlu mengaku kalah sebelum cuba dan bertindak? Apapun, berfikirlah secara rasional, bincang dan rumuskan secara kolektif.

Sebenarnya banyak lagi benda yang boleh disampaikan. Tapi cukuplah setakat ini, memenuhi permintaan mujahid dan arif redza. Aku bukanlah yang terbaik. Idea aku pun bukan yang terbaik. Sama-samalah kita bertukar-tukar pandangan untuk kemjuan Mahasiswa beragama Islam.

WaLLAHu a’lam.

Link berkaitan:
1) Memelihara Ukhuwwah Islamiyyah : Pena-Zulfirdaus
2) Pengajian Islam di USM membebankan?

Advertisements

Usrah dan Kepentingannya dalam Tarbiyyah Islamiyyah (1)

Muqaddimah

Allah s.w.t. berfirman yang maksudnya:

Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan yang menciptakan dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain daripadanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.” (Al-Kahf : 13 – 14)


Golongan muda (syabab) adalah merupakan asset penting dalam memastikan kesinambungan gerakerja Islam.


Sirah Rasulullah s.a.w dan sejarah Islam telah membuktikan bahawa golongan ini memainkan peranan penting dalam memastikan tertegaknya panji Allah s.w.t. di atas muka bumi ini.


Ayat di atas telah meletakkan syarat dan asas untuk memastikan golongan ini berjuang dan bersandarkan kepada panduan inilah kita mengambil sikap untuk menjadi golongan syabab li inqaz al ummah (pemuda yang berperanan untuk mengangkat darjat ummah).


Golongan yang ingin menegakkan panji Allah s.w.t. ini perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. agar pertolongan Allah s.w.t. dan kemenangan daripadaNya menjadi milik pejuang Islam.


Antara syarat-syarat tersebut ialah:


Syarat Pertama


Syarat pertama yang disebut dalam ayat ini adalah iman yang kental dan hanyalah dengan iman yang sebegini kita akan dapat menjalankan tugas dakwah yang begitu banyak tanggungjawabnya ke atas kita tetapi begitu sedikit pula kemampuan yang kita miliki.


Ciri iman yang perlu kita miliki adalah iman yang ditasdiqkan (dibenarkan) bukan sahaja pada hati dan jiwa kita tetapi iman yang dicernakan dalam bentuk amalan sehingga golongan pemuda tadi menjadi contoh dan tauladan ibarat al-Quran dan al-Sunnah yang berjalan di atas muka bumi.


Syarat Kedua


Syarat kedua adalah al-huda (petunjuk dari Allah s.w.t.). Tugas dakwah adalah tugas untuk memindahkan panduan dan arahan al-Quran ke alam waqi’ie (reality) dan ianya berhajat kepada pentafsiran dan penjelasan permasalahan semasa ummah dengan petunjuk dan hidayah yang digagaskan oleh Islam.


Islam tidak boleh diterjemahkan dalam bentuk abstrak mahupun khayalan.


Dengan demikian hanyalah dengan al-Huda dari Allah s.w.t. kita akan dapat menjawab segala persoalan yang dihadapi samada pada peringkat fardi (individu) mahupun jama’i (jamaah) ataupun dauli (antarabangsa).


Syarat Ketiga


Syarat yang ketiga adalah pertautan hati yang antara lain bermaksud untuk memerintahkan kita berjuang dan bergerak sebagai jamaah dan perhimpunan yang hati kita ini ditaut dengan ikatan iman, Islam dn ukhuwwah yang tidak mengenal sebarang perbezaan melainkan taqwa kepada Allah s.w.t.


Ikatan ini adalah ikatan yang simpulannya tidak boleh terungkai dengan permasalahan dan perbezaan furu’ tetapi yang sentiasa diarahkan oleh panduan Al-Quran dan Al-Sunnah.


Syarat Keempat


Syarat keempat yang dinyatakan di dalam ayat di atas adalah konsep haraki (gerakan) apabila Allah s.w.t. menyebut ‘ketika mana mereka berdiri’.


Islam bukanlah merupakan al-din untuk golongan al-mutafajirin (golongan yang hanya melihat) ataupun al-mutaqa’idin )golongan yang berpeluk tubuh) tetapi ianya bersifat haraki yang dinamik lagi produktif untuk sentiasa melahirkan suatu natijah dan tidak bersifat jumud (beku).


Ini tidaklah bermakna kita mengharapkan kepada natijah yang cepat tetapi ianya adalah merupakan satu rangsangan daya juang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah.


Seterusnya ayat ini diakhiri dengan ikrar yang mengikat kuat hati pemuda-pemuda tadi kepada Allah s.w.t. dengan syahadah bahawa sesungguhnya Tuhan kami adalah Allah yang mencipta dan memiliki langit dan bumi, dan kami sesungguhnya berikrar bahawa Dialah sahaja yang wajib disembah dna ditaati perintahnya dan kami dengan syahadah ini membebaskan diri kami dari sebarang kompromi dan ikatan dengan sesuatu yang tidak bersifat rabbani.


Ikrar ini adalah sebagai janji setia kita dengan Allah yang bersifat aqad (ikatan) yang tidak boleh diingkari apatah lagi kalau diputuskan.


Keseluruhan tuntutan di atas adalah merupakan tugas yang dipikul oleh golongan pemuda.


Tanggungjawab berat yng dipikul dalam era al-Shahwah al-Islamiyah (kebangkitan Islam) ini memerlukan kepada golongan syabab tadi melalui satu proses yang dikenali sebagai tajnid yang membawa erti memperkemaskan pemuda tadi ibarat satu kumpulan junud (tentera).


Proses ini adalah proses memupuk kefahaman yang jelas, tanzim (penyusunan) yang rapi dan amal yang mutawasil (berterusan) yang dibuat dalam bentuk tanzim ‘amal jama’i(penyusunan gerak kerja secara berjamaah).