Pemimpin yang hebat akan dikenang sebagai pemimpin hebat

Pemimpin yang benar dan adil akan tetap dikenang sebagai pemimpin yang hebat, amanah, adil dan sebagainya, sekalipun terdapat cubaan memadamkan namanya dari lipatan sejarah. Manakala pemimpin yang jahat, sesat lagi merosakkan umat, akhirnya akan dicemuh dan dibongkar segala keburukannya sekalipun cuba ditonjolkan sebagai pemimpin yang hebat pada awalnya.
Dalam sejarah tamadun dunia amnya, nama-nama tokoh pemimpin yang benar, adil dan amanah tidak banyak disenarai , atau tidak masuk dalam carta pemimpin yang hebat. Tokoh-tokoh seperti Khulafa ar-Rasyidin, Umar Abdul Aziz, Harun ar-Rasyid, Salahuddin al-Ayubi, Muhammad al-Fateh, Umar al-Mukhtar, Sultan Abdul Hamid, dan banyak lagi, tidak banyak dikenali melainkan dalam sejarah ketamdunan Islam sahaja, yang sejarahnya ditulis oleh penulis Islam sahaja.
Dunia lebih membanggakan pemimpin-pemimpin berkiblatkan Barat dan non-Muslim. Hercules, Richard the Lion Heart, Martin Luther King Jr., Ronald Reagen, Adolf Hitler, Mussolini, dan ramai lagi tokoh-tokoh yang digazet sebagai pemimpin hebat di zamannya. Walhal pada hari ini, satu persatu keburukan mereka terbongkar, dan sememangnya boleh ‘membatalkan’ nama mereka dalam senarai pemimpin hebat.
Lihat kepada Mustafa Kamal attarturk yang menjatuhkan Sultan Abdul Hamid dan meranapkan penguasaan Khalifah Islam yang berpusat di Turki. Ketika naiknya Attarturk ini, dia digembar-gembur sebagai pemimpin agung yang akan membawa pembangunan dan kemajuan kepada rakyat Turki. Sistem pemerintahan khalifah kolot, lembab dan tidak membawa kemajuan seperti majunya negara-negara barat. Dia dianggap Bapa Pemodenan Turki yang dijulang ketika itu. Umat Islam yang terpengaruh dengan sekularisme Attarturk tidak sedikit. Attarturk ini dihighlight oleh dunia sebagai pemimpin agung Turki.
Hari ini nama Attarturk semakin buruk pada kacamata umat Islam. Sejarah penggulingan khalifah Islam oleh Attarturk menyebabkan dia semakin dihina, biarpun dia telah lama mati. Keburukan-keburukan diri dan pemerintahannya semakin terbongkar. Sekalipun pendokong dan pemelihara sistem sekular Turki membina imej Attarturk dan sekularismenya, rakyat Turki sendiri pada hari ini semakin mencemuhnya.
Lihat pula pada Sultan Muhammad al-Fateh. Hampir tiada dalam lipatan sejarah dunia. Antara 10-20 tahun lalu, tanyalah sesiapa antara kita tentang sultan hebat ini, hampir tiada siapa mengenalinya. Namanya sengaja tidak dijulang sebagai pemimpin hebat kerana bimbang akan menaikkan semangat anak-anak muda Islam. Hari ini, nama pemimpin hebat itu mewarnai seminar-seminar, forum-forum dan ceramah-ceramah pembinaan jatidiri. Generasi muda Islam semakin mengenali dan menjadikannya sebagai idola, dan sudah tentu meresahkan musuh-musuh Islam.
Umar al-Mukhtar, dilabel oleh penjajah sebagai pemberontak. Namanya diburukkan sebagai pemberontak pada zamannya. Perjuangannya membela umat Islam dan tanah airnya dipadam dan diputarbelit. Dia dihukum gantung sebagai hukuman memberontak dan menentang menentang penjajah Itali. Hari ini, nama Umar al-Mukhtar diangkat sebagai wira umat Islam, pemimpin yang hebat serta tokoh yang dikagumi. Selama berpuluh tahun namanya ‘tercemar’, kini mebjadi bersih dan bersinar. Ruh perjuangannya menjadi pembakar semangat generasi umat Islam hari ini.
Dalam sejarah kemerdekaan negara kita, tokoh-tokoh kemerdekaan seperti dato Bahaman, Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong, Dr Burhanuddin al-Helmi, Pak Sako dan seangkatannya tidak sefamous Tunku Abdul Rahman dan angkatannya. Seolah-olah mereka ini tiada sumbangan. Cubaan mendiamkan sejarah mereka dengan harapan generasi muda hanya akan kenal angkatan Tunku sahaja yang berjuang untuk kemerdekaan. Hari ini, tokoh-tokoh yang namanya cuba didiamkan dari sejarah muncul semula. Pemimpin yang tidak jujur mula terbongkar segala keburukannya sekalipun sejarah ditulis menyanjung mereka.
Wahai para pemimpin, dan juga kita semua. Walau hari ini kita boleh menutup kejahatan kita terhadap orang lain ,sekalipun media kita kuasai untuk menghiasi imej kita, ingatlah suatu hari nanti akan terbongkar juga, samada sebelum, atau selepas kita mati kelak. Begitu juga dengan kebaikan yang kita lakukan, tak perlu kita war-warkan untuk menunjuk-nunjuk. Jika kita ikhlas kerana ALLAH, ALLAH akan iktiraf sekalipun seluruh manusia buta mengenainya.
Dan katakanlah: “Beramallah kamu, maka ALLAH dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat amalanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (ALLAH) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.” (At-Taubah: 105)
WaLLHU a’lam

Isu ayaq kecik saja… sabaq laa


Entry kali ini, ambo nok guno Bahasa Kedah 😀
Isu ayaq naik harga di Kedah dan Penang. Fokus kat Kedah lah dulu. Harga ayaq naik. Bila ditanya kenapa harga naik? Bukankah PR selalu kritik kerajaan BN apabila naikkan harga barang, harga minyak, tarif letrik, kadar tol dan sebagainya? Mai dapat kuasa memerintah, PR pun gatai naikkan harga ayaq pulak? Bila ditanya kenapa naik harga, dijawabnya salah kerajaan dulu. Aisheh… kerajaan dulu pulak salah? MB dah bagi penjelasan. berapa kerat orang dengar pun tak tau. Media arus Umno/BN memang pandai letak perencah nak bagi panas.
Pimpinan tak pantas jawab isu ini. Penerangan kepada rakyat agak perlahan. Blogger-blogger pro-PR pun masih bingung nak pikir ayat macamana nak jelaskan kepada rakyat pasal isu ayaq ni. Bagi data, bagi statistik, dedahkan kepincangan pengurusan dulu memang boleh, tapi bukan semua rakyat iQ segenius MB. Bukan semua rakyat wala’ kepada MB seperti ahli-ahli PAS wala’ kepada Pesuruhjaya PAS. Masing-masing akan tanya ”awat harga ayaq naik”. masing-masing akan kata “kami dah tolak BN, kami takmau apa2 lagi alasan nak penaik harga ayaq”. lebih kurang macam tu lah agaknya. Depa bukan tau apa yang kerajaan negeri terpaksa tanggung. Depa hanya tak mau harga ayaq atau apa-apa harga naik selepas depa pakat ramai-ramai tolak BN. Takpalah… kita tunggu pimpinan negeri jawab dan bagi penjelasan. Depa bukan tak reti kehendak rakyat. Kita rakyat bersabaqlah.
Yang rakyat ni pulak melatah tak tentu kalu. Tak semua. yang pro- Umno/BN memang sah protes punya. Dah kerja depa memperlekeh apa yang PR buat. Itu biasa, sama macam PAS hentam apa yang BN buat. rasional ke tak rasional, itu kerja sesiapa yang jadi pembangkang. 😀
Yang herannya, ada dalam kalngan ahli dan penyokong PAS pon melath jugak. Sampai duk kata “kalau penaik harga ayaq jugak, baik tak payah undi PAS. sama saja dengan BN”… “kalau tak turun harga ayaq, kita pakat pejatuh laaa kerajaan PAS Kedah ni…biaq depa sedaq sikit”… “tu baru 3-4 tahun pegang negeri… dua tiga thun lagi apa pulak yg depa nak penaik”…
Baru naik harga ayaq sikit saja dah melatah, nak jatuhkan kerajaan negeri pulak tu. Nak sokong Umno/BN semula pulak kah? Kita tolak Umno/Bn bukan sebab harga barang naik saja. Kita tolak Umno/Bn sebab banyak karenah birikrasi dalam pentadbiran, banyak amalan rasuah, sistem keewangan yang tak telus, tidak serius tangani gejala sosial dalam masyarakat, tidak efektif dalam mencegah jenayah, menyusahkan kehidupan rakyat dengan kenaikan harga barang, petani merungut harga padi tak naik-naik walaupon harga beras naik, sistem pendidikan semakin caca merba dan macam-macm lagi. Sebab tu kita semua tolak BN. Kita ganti dengan PAS sekejap test market. Kalau OK, kita kekalkan. Kalau teruknya lebih daripda Umno/BN baru kita tumbangkan, naikkan parti lain, bukan Umno/BN, bukan PAS/PR. Kita nak yang lebih baik.
Masa PR mula-mula menang, MB umum cukai tanah turun hingga hampir 70%. Lega… kemudian umum pulak harga padi naik… petani lega walaupun naik tak banyak mana. Kemudian umum tolak urusan bawah meja (rasuah), umum pembinaan kampus baru Insaniah (pendidikan), umum pemindahan projek petroleum di Yan ke tengah laut (selamatkan tanah sawah penduduk), dan macam-macam lagi. Tu baru 3-4 tahun. Tak ka lega rakyat Kedah. Alih-alih umum harga ayaq naik sikit saja, pakat nak lari pi sokong Umno/BN balik? Marah harga ayaq naik sikit, nak tukaq balik kepada sistem pemerintahan yang ada rasuah, kronisme, karenah birokrasi, penindasan, dan macam-macam lagi? Letih lah kita kalau macam ni punya mentaliti.
Kita kenai sapa Ustaz Azizan MB kita tu. Dia pon kalau bulih nak bagi ayaq free kat kita semua. Mungkin takdak rezeki kita lagi masa ni. Baru 4 tahun memerintah, kalau nak banding dgn kerajaan sebelum ni dah lebih 50 tahun memerintah. Kalau nak compare pon, compare laa 50 tahun dgn 50 tahun. Harap kita rakyat kedah dapat bersabaq. Kan sabaq tu sebahagian adripada iman. Sabaq tu indah. ALLAH berama-sama dengan orang-orang yang banyak bersabaq.
Poster SADA: naik 2 sen saja…
WaLLAHU a’lam

Bagaimana terbentuknya Sultan Muhammad al-Fateh yang dikagumi itu?

Tulisan ini cuba melihat bagaimana seorang pemimpin seperti Muhamad Murad yang kemudiannya diberikan gelaran Muhammad Al Fatih, telah berjaya dilahirkan. Adakah di sana satu metod tertentu untuk mencetak pemimpin seperti beliau dan bagaimanakah cara untuk berbuat demikian.

Peribadi dan kepimpinan Muhammad Al Fatih menunjukkan beliau mempunyai ciri berikut;

a. Asuhan dan disiplin Islam yang kuat
b. Mempunyai matlamat hidup yang ingin dijayakan
c. Kehendak yang kuat
d. Sabar dan ketahanan ruhani yang kuat
e. Pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk misinya, atau mendapatkan bantuan pakar dalam bidang masing-masing bagi tujuan melengkapkan skil berkenaan
f. Ibadah dan pergantungan yang kuat dengan Pencipta

Sebelum isu ini dikupas lebih lanjut, kita tinjau dulu bentuk pertahanan Kota Konstantinapole itu sendiri yang sangat menakjubkan;


Kota ini berbentuk tiga segi. Dua bahagian kota menghadap laut iaitu Selat Bosporus dan Laut Marmara. Bahagian daratan dilingkungi oleh sebuah benteng yang sangat kukuh;

a. Bahagian luar kota dilingkungi oleh sebuah parit besar. Dalamnya 10 meter dan lebarnya 60 meter
b. Ada dua tembok iaitu tembok luar dan tembok dalam. Tembok luar sahaja setinggi 25 kaki dan setebal 10 meter
c. Tembok dalam pula setinggi 40 kaki tinggi dan 15 meter tebal
d. Terdapat menara kawalan sepanjang tembok dalam dengan ketinggian 60 meter!
e. Terdapat 400 batalion tentera terlatih mengawal tembok ini sepanjang masa
Dengan kedudukan pertahanan seperti itu, hampir mustahil untuk tembok ini dicerobohi.

Di bahagian laut pula, terdapat rintangan rantai besi yang kuat diletakkan di Selat Bosporus yang digunakan untuk menghalang kapal-kapal melepasinya.

Konstantinapole telah menjadi ibu kota Empayar Byzantine untuk berkurun-kurun dan dikenali sebagai kota yang paling makmur dan terkaya di Eropah. Ia terletak di pertemuan antara Asia dan Eropah dan Laut Mediterranean dan Laut Hitam. Justeru, ia sangat strategik baik dari segi perdagangan mahupun geo politik.


Sejak Rasulullah s.a.w mengungkapkan bahawa nanti Kota penting ini akhirnya akan jatuh di tangan seorang pemerintah yang terbaik, memimpin tentera yang terbaik sepanjang zaman, telah banyak percubaan dibuat untuk menawan kota ini, namun tidak berjaya. Sahabat seperti Abu Ayub al Ansari juga telah berusaha dan mereka telah mengepung kota ini selama tujuh tahun, tetapi masih gagal.

Hanya 800 tahun selepas sabda Nabi yang Mulia itu, sabda yang menakjubkan ini menjadi kenyataan. Sultan Muhammad bin Murad yang kemudian lebih masyhur dengan gelaran Sultan Muhammad al Fatih telah memulakan pengepungan ke atas Konstantinapole pada hari Khamis, 5 April 1453 dan berjaya membuka kota ini pada 29 Mei 1453, hari tulisan ini dipostkan.

Sungguhpun pengepungan ini berlangsung selama hampir dua bulan sahaja, program penaklukan ini telah berjalan lama!

Ia bermula apabila bapa Sultan Muhammad Al Fatih, Sultan Murad memilih guru-guru yang terpilih untuk mendidik anak raja ini, yang waktu itu, seorang anak yang nakal.

Sejak berumur sembilan tahun, Sultan Muhammad telah mengalami pendidikan disiplin yang ketat. Rasa bebas dan nakal sebagai anak raja yang masih kecil mula berakhir apabila bapa baginda memberikan kebebasan kepada guru-guru beliau untuk membentuk dan mendidik Muhammad.

Rotan turut digunakan oleh gurunya untuk mendisiplinkan anak ini. Dalam satu kejadian, Muhammad telah sengaja dirotan dengan teruknya tanpa sebarang kesalahan yang dilakukan oleh beliau.

Tujuan guru beliau berbuat demikian ialah untuk membentuk perasaan belas kasihan dan sikap adil dan saksama dalam jiwa bakal Sultan ini. Supaya nanti baginda dapat mengambil keputusan berpaksikan keadilan dan memahami perasaan orang-orang yang tidak diperlakukan dengan adil!

Sultan Muhammad dibimbing untuk menghafal al-Qur’an. Dilatih untuk sembahyang malam. Dibentuk menjadi wara’ dan zuhud. Diasuh mencintai ilmu dan ulama’. Mempunyai budi pekerti yang baik dan perasaan yang halus. Keunggulan pendidikan keruhanian Sultan Muhammad ternyata apabila baginda akan dilantik menggantikan bapanya secara rasmi sebagai pemerintah Kesultanan Uthmaniah, beliau menangis teresak-esak.

Gurunya lah yang telah mengarahkan beliau menerima tanggungjawab itu atas hujah bahawa seorang berkaliber seperti beliau wajib memikul amanah ummah dan itu jihad dan ibadah yang lebih besar.

Pendidikan Sultan Muhammad di istana baginda hampir komprehensif. Sebagai bakal raja dalam persekitaran Eropah dan pusat perdagangan dan diplomatik, baginda dapat berbahasa lebih dari lima bahasa.

Sudah tentu baginda fasih dalam bahasa Arab.

Baginda juga diajar matapelajaran sejarah, geografi dan astronomi. Pakar ketenteraan juga diundang untuk memberikan pendedahan ketenteraan kepada beliau.

Lama sebelum program pembebasan Konstantinapole dimulakan, Muhammad al-Fateh telah berbincang dengan pakar sejarah dan ketenteraan mengenai sebab-sebab kegagalan ekpedisi penawanan Konstantinapole sebelum ini.

Apa rahsia kekuatan pertahanan kota itu dianalisis. Bagaimanakah caranya untuk mengatasi halangan-halangan itu juga dibincangkan.

Dari perbincangan itu, antara lain mereka mengenal pasti hal berikut;

a. Dinding tembok itu terlalu tebal dan pada waktu itu belum ada teknologi yang boleh meruntuhkannya. Sultan Muhammad telah mengarahkan dicari satu teknologi yang boleh meruntuhkan tembok itu.

Tentera baginda akhirnya berjaya mencipta meriam yang paling canggih dengan bantuan seorang pakar senjata bangsa Hungary yang telah diculik dari kurungan dalam penjara Konstantinapole dengan mengorek lubang bawah tanah yang dalam dan panjang!.

Berat setiap meriam ciptaan baru ini ialah 700 pauns! Ia perlu ditarik oleh 100 ekor kuda dan seratus orang tentera. Bila diletupkan, bunyinya boleh didengar sejauh 13 batu! Setiap tembakannya akan menyebabkan tembok yang kuat berlubang seluas enam kaki. Nah! Benteng besar itu sekarang telah menemui ruasnya.

b. Rantai besi yang kuat yang dirintangi menghalang laluan kapal. Ia menghalang bantuan dan pergerakan melalui laut.

Sultan Muhammad telah mencipta satu plan luar biasa mengatasi halangan ini. Ia adalah antara rekod sejarah yang menakjubkan dari segi kreativiti dan kekuatan keinginan seorang pemimpin. Baginda mengarahkan pembinaan kapal di daratan. Dibuat pada sebelah malam supaya tidak disedari oleh musuh.

Mesti disiapkan dalam masa yang singkat. Kapal ini diluncurkan dari daratan sejauh 5km ke lautan dengan meletakkannya tergelunsur di atas batang-batang kayu yang telah diatur dan telah diminyakkan untuk melicinkan perjalanan kapal-kapal itu.

Pada masa yang telah ditetapkan, kapal-kapal ini dilancarkan dari daratan dan muncul di depan Kota Konstantinapole sebelah lautan dengan melepasi rantai besi yang telah terpasang! Ia memeranjatkan tentera musuh. 400 kapal musuh terbakar dan serangan dari lautan berjalan serentak dengan pengepungan sebelah daratan.

c. Lazimnya bila tentera sampai di pantai menghadap Kota ini, mereka terdedah kepada serangan musuh kerana kawasan yang terbuka dan jika sekiranya satu benteng pertahanan mengelakkan serangan hendak dibina, ia memakan masa selama setahun.

Sultan Muhammad telah mengarahkan benteng pertahanan menghadap tembok kota Konstantinapole itu dibina dalam masa tiga bulan dengan menggunakan segala teknik pembinaan semasa yang canggih.

Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Konstantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu.

Ia memang berjaya disiapkan seperti direncanakan.

Dari mana kekuatan keinginan seorang pemimpin ini diperolehi oleh Sultan Muhammad?

Gurunya bukan sekadar menyuntikkan kekuatan ruhani kepada bakal Sultan in, tetapi juga telah menyuntik sikap terbuka terhadap teknik dan teknologi baru yang diperlukan untuk misi mereka. Mereka juga menyuntik sikap berminda strategik dan kreatif.

Sultan Muhammad dapat menganalisis dengan tepat permasaalahan dan mencari jalan penyelesaian terhadap setiap permasalahan itu secara praktikal sebelum melancarkan misinya.

Tetapi yang paling penting, sejak kecil lagi guru-guru baginda telah membentuk minda baginda untuk merasakan dirinya lah yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w sebagai raja terbaik yang memimpin tentera terbaik yang akan dapat membebaskan Konstantinapole.

Sasaran, visi dan misi yang jelas, yang disuntikkan ke dalam minda baginda ternyata berkesan. Dari kecil, Sultan Muhammad mengimpikan bagindalah pembebas itu!

Baginda bergerak selari dengan impian ini. Akhirnya, ia adalah sebuah kenyataan.

Dari sudut kepimpinan, bapa baginda seorang yang berpandangan jauh. Sejak umur 14 tahun, Muhammad telah diminta menguruskan empayar dengan alasan, bapanya ingin menumpukan kepada ibadah.

Namun, dalam dua keadaan kritikal, bapa baginda pulang semula untuk memimpin Kerajaan Uthmaniah. Selepas ancaman kritikal itu diatasi, Muhammad diberikan peluang untuk menguruskan semula empayar yang sedang berkembang itu.

Melalui pendedahan berbentuk bimbingan ini, Muhammad terlatih menjadi pemimpin yang berkualiti.

Ditambah, sepanjang hayat baginda, guru-guru baginda yang menjadi rujukan keruhanian dan kebijaksanaan, sentiasa bersama baginda. Hatta, ketika pengepungan kota itu berlangsung, gurunya mengimamkan solat hajat semua tentera Sultan Muhammad.

Melihat 150,000 tentera Islam berbaris rapi untuk bersolat di luar kota itu, cukup untuk menakutkan musuh yang sedang berkawal dalam kota!

Pada hari pembukaan Kota Kontantinapole yang bersejarah itu, Sultan Muhammad bersujud syukur.

Sepanjang kempen, baginda tidak putus-putus mengarahkan tenteranya bertakbir dan melaungkan slogan-slogan bersemangat, termasuk motivasi berasaskan hadis Nabi bahawa Konstantinapole akan dibebaskan oleh tentera yang terbaik dan merekalah tentera terbaik yang dijanjikan oleh Nabi itu.

Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan di dalam Kota Konstantinapole yang baru sahaja dibebaskan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam solat Jumaat yang pertama itu.

Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya berdiri dan diikuti pertanyaan: “Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!”.

Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu. Inilah rupa sebaik-baik tentera.

Pertanyaan seterusnya, “Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!”.

Sebahagian daripada tenteranya duduk. Kemudian Baginda bertitah, “Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!”.

Kali ini semuanya duduk, kecuali baginda sendiri sahaja yang tetap berdiri! Subhaanallah!

Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajud sejak baligh. Tepatlah janji Rasulullah s.a.w dan kota ini kemudian bertukar nama kepada Istanbul.

Sekarang, marilah kita mengenali secara ringkas guru-guru yang berjasa besar membentuk Sultan Muhammad.

Pertama, Ahmad ‘ibn Ismail Al-Kori:

Guru istimewa ini menunjukkan role model kepada Sultan Muhammad. Seorang yang wara’, tidak menyembah Sultan sama seperti orang lain memberikan tunduk hormat, memanggil nama Sultan dan kerabat mereka dengan nama mereka masing-masing tanpa sebarang panggilan gelaran, Bersalaman dengan mereka tanpa mencium tangan mereka. Sepanjang Ramadhan, Sultan Muhammad menghadhiri kelas mentafsir ayat-ayat Al Qur’an yang diadakan di istana baginda selepas solat zuhur, dengan guru-guru yang bersilih ganti.

Ahmad ibn Ismail lah yang mengajarkan Al Qur’an, hukum-hukum agama dan kepatuhan padanya. Ia juga membentuk rasa takwa dalam jiwa Sultan Muhammad dengan berbagai cara, termasuk nasihat-nasihat yang berkaitan dengan tugas pemerintah.

Kedua ialah Sheikh Muhammad bin Hamzah al-Rrouhy, lebih dikenali sebagai Ba’q Shamsuddin. Beliau meninggalkan kesan yang sangat mendalam terhadap keperibadian Sultan Muhammad.

Beliau telah menginspirasikan Sultan Muhammad meningkatn aktiviti dakwah dan keislaman di bawah Empayar Othmaniah sebagai satu cara memperkuatkan empayar tersebut.

Beliaulah yang paling giat meyakinkan Sultan Muhammad bahawa beliau adalah raja terpilih seperti yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w dalam sabdanya itu.

Selain mengajarkan teras-teras ilmu Islam, Shamsuddin juga bertanggungjawab mengajar sains, matematik, sejarah, strategi perang, astronomi dan lain-lain.

Beliaulah yang telah merotan Muhammad di masa kecil tanpa sebab. Beliaulah yang mententeramkan Sultan Muhammad yang menangis kerana enggan menjadi raja. Beliaulah yang telah ditanya oleh Sultan Muhammad samada beliau boleh bersara selepas lama memerintah kerana ingin menumpukan kepada ibadah tetapi dijawab, ibadah sebagai Sultan yang adil adalah lebih berharga lagi.

Shamsuddin meletakkan insipirasi dalam dada Sultan, memberikan baginda tujuan dan misi pemerentahan yang jelas dan bersama baginda sehingga cita-cita itu tercapai.

Kerana itu lah, beliau dikenali sebagai Penakluk Ruhani Konstantinapole. Guru yang merancang lahirnya seorang pemimpin dan terukirnya sebuah sejarah. Insan pada sisi lain Sultan Muhammad al-Fatih.

Nukilan asal : Dato Husam Musa, harakahdaily.

Lihatlah betapa besarnya impak sistem pendidikan pada zaman itu sehingga melahirkan seorang Sultan yang begitu hebat, bahkan rakyat dan tentera-tenteranya juga terbaik. Tanamlah dalam jiwa kita, anak cucu kita supaya mahu menjadi seperti Sultan Muhammad bin Murad itu.

Secara adatnya, mustahil untuk kita dan masyarakat kita menjadi sehebat masyarakat di zaman sultan hebat itu. Paling tidak, kita berusaha mengislahkan masyarakat bermula dari diri dan keluarga kita. Contohilah bagaimana Sultan Murad membentuk anaknya Sultan Muhammad dengan memilih sistem pendidikan yang begitu membentuk peribadi ulung. Keikhlasan para guru dalam mendidik dan menerapkan minda positif juga merupakan sumbangan besar.

Sekurang-kurangnya kita bercita-cita mahukan anak-cucu kita kelak dapat hidup di zaman yang sebaik zaman itu, yang syaratnya kita mestilah berjuang ke arah itu.

WaLLHU a’lam.

Sembang: Cerita 1001 malam

Lama beraya. Blog pon dah berapa nak dicakna. Nak ulas apa pon blur dah. Otot-otot jari sedikit keras untuk menaip banyak-banyak. Sereblum dan serebrum masih terbuai-buai dengan suasana raya. Akhirnya medula oblongata mengeluarkan idea untuk ditaip.
Cerita suatu ketika dalam bulan Ramadhan…
Suatu malam di waktu malam-malam akhir Ramadhan, Ahmad dan keluarganya menziarahi datuknya di kampung. Perjalanan kira-kira satu jam itu agak meletihkan kerana jalannya tidak sehebat lebuhraya utara selatan. Jalan yang bengkang-bengkok, beralun-alun memang menguji kecergasan jasmani tubuh badan. Sekali-sekala terasa macam naik kuda, walhal hanya menunggang kancil.
Ahmad dan keluarganya sempat berbuka puasa bersama datuk dan saudara-mara yang hadir. Seperti tahun-tahun lalu, mereka akan berbuka puasa beramai-ramai di rumah datuknya.
Setelah selesai berbuka puasa dan solat maghrib, Ahmad dan keluarganya pulang semula ke rumah. Setibanya di rumah, Ahmad keletihan. Begitu juga adik-beradiknya yang lain. Waktu Isyak sudah lama masuk. Ahmad mengambil keputusan untuk berehat dahulu. Dia berbaring di atas katil di biliknya. Adik-adiknya yang lain bersolat dahulu sebelum berehat atau tidur.
Dalam keadaan letih begitu Ahmad bagaikan antara sedar dan tidak sedar yang dia telah beberapa kali dikejutkan oleh adik-adiknya untuk solat Isyak.
Ahmad terlena. Ahmad tidur nyenyak sekali.
Tiba-tiba Ahmad terjaga.
‘Ah, suasana sudah gelap gelita. Semua orang sudah tidur agaknya’. Ahmad bermonolog sendirian. Lalu dicapainya jam tangan dan melihat waktu.
’emm… baru pukul dua… kejap lagilah…’ Ahmad menyambung tidurnya.
Beberapa ketika kemudian Ahmad tersedar dalam keadaan separuh sedar. Matanya masih pejam. Kedengaran satu suara terngiang-ngiang di telinga Ahmad sedang membacakan ayat al-quran.
“Ma salakakum fi saqar?”**
Ahmad dalam keadaan separuh sedar. Suara itu terus mengulang-ulang ayat itu, sehingga Ahmad tersedar dan turut menyebut ayat itu.
‘Ma salakakum fi saqar?’ Ahmad menyebutnya.
‘Ma salakakum fi saqar?’ Ahmad mengulanginya.
Ahmad terjaga.
‘Ma salakakum fi saqar?.. Qalu lam naku minal-mushollin’ Ahmad menyambung ayat itu kerana dia pernah mendengarnya sebelum ini.
Dia terus bangun dan mencapai jam tangannya. Sudah pukul 3 pagi. Dia belum solat Isyak. Serta merta bulu romanya meremang mengenangkan ayat itu yang bermaksud ‘Apa yang membawa kamu ke neraka saqar?.. Mereka berkata, kami tergolong dalam kalangan orang-orang yang tidak bersolat’
Lantas Ahmad segera berwuduk dan menunaikan solat fardhu Isyak. Kemudian disusuli dengan solat sunat tarawih bersendirian.
“Ya ALLAH… jauhilah aku dari api neraka” Ahmad berdoa setelah selesai bersolat. Dia bersyukur kerana ALLAH mengejutkannya dari tidur untuk menunaikan solat. Ahmad tidak dapat tidur sehinggalah ibunya bangun menyediakan makanan sahur untuk keluarganya mereka.
Sekian sahaja cerita ini. Moga-moga ada pengajaran yang dapat dikongsi bersama.
WaLLAHU a’lam.
** surah al-muddatsir ayat 42

Ramadhan tiba penghujungnya, kita bagaimana?

Orang-orang beriman menangisi pemergian Ramadhan. 10 malam terakhir Ramadhan dipenuhi dengan ibadah, memohon keaampunan, merintih dan merayu kepada ALLAH. Eidul fitri akan disambut dengan sederhana dan penuh keimanan.
Manakala orang-orang fasiq tidak berasa apa-apa dengan pemergian Ramadhan. Biasa-biasa aja. Habis puasa, maka raya. Kadang-kadang terasa lega kerana hampir bebas dari berlapar dan solat terawih. Sama sahaja keadaan mereka dalam bulan Ramadhan atau luar Ramadhan.
Orang-orang munafiq pula gembira dengan berlalunya Ramadhan. Sebulan Ramadhan bagaikan penjara. Hari Raya adalah hari untuk bersuka-ria serta melepaskan rindu dendam dengan pesta-pesta yang lupa akan Tuhannya.
Di mana kita?
Adakah target kita dalam bulan Ramadhan tercapai? Ya ALLAH… ampuni dosa dan kelalaian aku sepanjang Ramadhan.
Orang-orang yang berpuasa bersungguh-sungguh dengan penuh keimanan serta mendirikan solat pada malamnya, sesungguhnya mereka mendapat rahmat dan keampunan ALLAH.
Mudah-mudahan segala amalan kita diterima ALLAH.
Selamt Hari Raya Eidul Fitri 1431.
Mohon ampun dan maaf daripada sekalian pembaca.
WaLLAHU a’lam.

Hutang saya lebih RM30,000

Beberapa hari lagi, usia saya akan bertambah. Dalam usia begini, saya sudah menanggung hutang sebanyak kurang lebih RM30,000. Itu baru satu jenis hutang, belum masuk hutang-hutang lain yang mungkin terpaksa saya berhutang. Anda bagaimana?

Ketika bergelar mahasiswa dahulu, saya berkesempatan bertemu pemimpin Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Antara mereka Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, ahli parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria dan timbalan menteri pelajaran, Datuk Puad Zakarshi.

Mereka ini adalah pemimpin yang kerap menyebut perihal mahasiswa dan anak muda sama ada di dalam parlimen, mahupun di pentas politik. Selain berbincang mengenai isu dan agenda mahasiswa serta anak muda, saya akan menanyakan soalan perihal Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Soalan saya, “Kenapa anda tidak memperjuangkan untuk menghapuskan bayaran balik PTPTN apabila memerintah?”

Itu soalan cepu emas. Jika menyebut perihal pinjaman ini, sebut sahaja mahasiswa mana, pastinya akan tertekan dengan perkara yang ‘mengikat’ mereka. Bayaran balik, kadar faedah yang tidak jelas, serta isu riba yang diharamkan Islam.

Undi Pakatan

Saya terfikir, seandainya Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) akan datang ini, meletakkan antara salah satu daripada manifestonya kepada mahasiswa atau anak muda ialah, menghapuskan bayaran balik pinjaman PTPTN, saya kira paling kurang 90 peratus mahasiswa mengundi Pakatan.

Mungkin idea itu terlalu tinggi untuk dicapai. Memandangkan negara mengalami kemerosotan ekonomi dan beban hutang, mana mungkin untuk membayar semula pinjaman ini.
Apabila saya meneliti, PTPTN memerlukan hampir 13 bilion untuk menampung satu-satu sesi kemasukan pelajar ke IPTA mahupun IPTS. Sekurang-kurangnya, menurut statistik Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), hampir 40 ribu mahasiswa berdaftar untuk kemasukan ijazah pertama setiap tahun di seluruh negara.
Realitinya, dengan pertumbuhan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang bagaikan cendawan selepas hujan, yang kebanyakannya berorientasikan perniagaan, PTPTN mendapati peluang ini adalah paling besar untuk melabur.
Dan hakikatnya, pinjaman PTPTN boleh membenarkan sesiapa sahaja pelajar untuk meneruskan pengajian di peringkat tinggi, dengan pendapatan keluarga minimum 4 ribu ke bawah.

Pendidikan percuma

Seingat saya, gagasan pendidikan percuma mula diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat tatkala berkempen dalam pilihan raya umum ke-12 (PRU-12) yang menyaksikan keberjayaan mereka menguasai lima buah negeri. Ini bermakna, slogan pendidikan percuma sangat relevan kepada rakyat.
Soalnya, bagaimana praktikalnya agenda ini? Jika ia dapat direalisasikan, maka idea memansuhkan bayaran semula PTPTN adalah turut termasuk dalam perjuangan ini.
Bermula hari ini, Pakatan Rakyat perlu memikirkan bagaimana mekanisme untuk memperjuangkan pendidikan percuma di peringkat pengajian tinggi. Cuba bayangkan hampir 80 peratus anak muda di IPT kesemuanya berumur 21 tahun dan keatas dan layak mengundi.
Ini bermakna, sesiapa sahaja, Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional, seandainya memperjuangkannya, maka undi anak muda atau mahasiswa sudah berada di dalam genggaman.
Soalnya, Pakatan Rakyat haruslah mendahului dan segera bertindak berbincang bersama anak muda dan mahasiswa dan segera mencari jalan keluar dan penyelesaian.

Penulis adalah setiausaha agung, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) dan boleh dihubungi di aisal_daruliman@yahoo.com

Sehari semalam Ramdhan di Kota Bharu

27 Ogos 2010 (17 Ramahdan 1431):
Sehari semalam ber-Ramadhan di Kota Bharu. Suasananya memang sukar diperoleh di mana-mana bandar lain dalam negara kita. Solat subuhnya sahaja sudah meriah, hampir-hampir sahaja seperti solat Jumaat. Pentazkirah subuh begitu bersemangat menyampaikan tazkirah subuhnya.
Jam 8 pagi -10 pagi, kuliyah Jumaat oleh Ustaz Ismail Noh dan TG Nik Aziz. Sambutan seperti biasa, sangat memberansangkan. Jauh sekali untuk negeri kelahiran aku sendiri untuk bersuasana begini. 20 tahun lebih TG Nik Aziz membina suasana begitu, maka agak sukar untuk Ustaz Azizan mengubah suasana Alor Setar menyaingi suasana biah solehah Kota Bharu dalam sekelip mata.

(gambar: Google)
Malamnya pula solat Tarawih, di Qaryah Ramadhan. Khemah khas, ekslusif dan berhawa dingin tersedia di tengah-tengah bandar Kota Bharu sebagai tanda kerajaan negeri sangat meraikan Ramadhan dan mengajak rakyatnya turut sama-sama mengimarahkan Ramadhan, sesuai dengan jolokan Kota Bharu sebagai bandaraya Islam.

Ramadhan 1430 (gambar: Google)

Ramadhan 1430 (gambar: Google)

Ramadhan 1431: Forum Nuzul Quran selepas solat Tarawih
Dalam bulan Ramadhan begini, eloklah kepada sesiapa yang mahu bercuti, bercutilah di Kota Bharu. Rasailah suasana yang berbeza, yang tiada di bandaraya-bandaraya lain dalam Malaysia. Mudah-mudahan suasana ini akan berkembang ke seluruh negara.
WaLLAHu a’lam…
Opss… yang ni bukan di Kota Bharu. Abaikan… 😀
Selamat menempuh 10 akhir Ramadhan