Sembang pagi hari…

Pagi yang sejuk. Hujan turun membasahi bumi sejak 5 pagi lagi. AlhamduliLLAH, Dia masih memberi nikmat kehidupan kepada kami, penghuni Baitul Hikmah (nama bagi rumah sewa kami) ini.
Selesai solat subuh berjamaah, semua buat kerja sendiri. Ada yang membaca al-quran, ada pula yang membaca blog. Ada yang menonton Youtube, dan paling common, ada yang bermain mata… (tidoq balik).
Udara segar anugerah ALLAH kita sedut, dan kemudian kita hembus, tanpa kita sedari dan kita kawal (mungkin ada yang cuba mengawalnya untuk seketika selepas membaca ayat ini). Dia masih memberi peluang kepada kita, tatkala Ramadhan sudah lebih 10 hari berlalu.
Renung sejenak, dikala kita rasa kita “OK laa” dapat solat berjamaah, dapat membaca al-quran, zikir sikit-sikit… masih ada kawan-kawan kita yang masih belum terbuka matanya di pagi hari, hingga terlaksana “subuh gajah”. Paling teruk, ada yang terus tinggal solat.
Kasihan kawan-kawan kita ini. Kasihan juga diri kita kerana tidak mampu mengajak kepada kebaikan, dan mencegah kemungkaran. MasyaALLAH. Kelemahan diri begitu jelas. Kelemahan atau keingkaran? NastaghfiruLLAH…
Kawan-kawan yang tersesat membaca entry ini, ingatlah. Solat adalah tiang agama. Solat adalah pembeza antara Muslim dan kafir. Orang Islam mendirikan solat, orang kafir iada bersolat. Bangunlah, dirikan solat. Solat adalah formula agung dari ALLAH untuk membuatkan manusia berjaya, serta mencegah perkara-perkara keji dan mungkar.
Anda tinggal solat sebelum ini, hari ini atau seterusnya, dosa besar terkumpul menggunung tinggi. Andaikata anda insaf suatu hari nanti, mudah-mudahan anda insaf, masyaALLAH, betapa banyaknya solat fardhu yang anda telah tinggalkan – anda mesti qadha. Anda pada waktu itu akan mencela diri anda pada waktu lalu yang anda meninggalkan solat. Lebih malang jika anda tidak insaf, maka kemurkaan ALLAH akan menimpa anda – dan Api neraka adalah balasannya, na’uzubiLLAH.
Itu baru bab solat. Macam-macam lagi perkara dosa dan mungkar yang dilakukan umat manusia, yang kita perlu muhasabah dan bertindak. Jika bukan kita yang bertindak, siapa lagi? Barangsiapa yang tidak mengendahkan urusan umat Islam, maka dia bukanlah dari kalangan mereka.

TG Nik Aziz perlu bertanggungjawab, sebab dia MB…

Dr Mahathir buat-buat tak reti pulak…..


Dr Mahathir bekas PM ku…
Tun tak reti nak nilai ke antara kemajuan dan kemunduran? TG Nik Aziz fokus kepada pembangunan dan kemajuan rohani rakyat. Spiritual penting. Apabila aspek rohani maju, insyaALLAH, pembangunan fizikal juga akan ikut maju. Contoh sudah banyak. Orang cerdik macam Tun tak patut buat-buat tak reti.
Mungkin Tun tebal fahaman sekular, so tidak hairan kemajuan yang Tun nampak hanyalah aspek fizikal sahaja. Lumrah orang sekular memang begitu, tak kira betapa cerdik dan pintar cara mereka berfikir, setakat itu sahaja mereka mampu untuk menilai kemajuan.
Kalau dirujuk aspek fizikal sekalipun, Kelantan tidaklah semundur yang Tun pandang. Tun tentu memandang Kelantan dengan pengamatan prejudis berbanding negeri-negeri lain yang diperintah BN. Tidak hairan kalau umur Tun panjang 20 tahun lagi, Tun akan kritik YAB Ust Azizan MB Kedah pula. YAB Khalid MB Selangor pula. Kedah tak maju, Selangor mundur.
Kenapa Tun tidak pandang negeri Perlis? Majukah Perlis, negeri yang di perintah Umno/BN dari dulu sampai sekarang? APa yang ada di Perlis? Minta maaf orang Perlis. tak Perlu bersikap terlalu kenegerian. Lihat negeri jiran Perlis. Negeri Kedah. Bukan nak promosi Ust Azizan. Rujuk kerajaan BN Kedah sebelum ni pun tak apa. Dalam Kedah, ada sebuah daerah paling besar, mungkin lebih besar dari negeri Perlis. Daerah Kubang Pasu namanya. Ditadbir molek saja oleh seorang pegawai daerah. Berbanding Perlis yang ditadbir oleh lebih kurang 10 exco kerajaan negeri, Kubang Pasu nampak lebih maju dari segi fizikalnya.
Seorang pegawai daerah mentadbir Kubang Pasu yang besarnya lebih kurang saiz Perlis, bole mentadbir dengan baik. Apa hal pula Perlis yang banyak exco, negeri tak maju-maju? Pandaikah pemimpin Umno/BN mentadbir? Tun yang cerdik dan berwawasan takkan tak nampak negeri jiran Tun itu? Semasa Tun masih PM dahulu, apa yang Tun buat untuk kemajuan Perlis? Itu baru Perlis. Cuba toleh Sabah dan Sarawak juga, hatta di KL ibu negara juga masih padat dengan orang miskin dan setingan. Majukah kita jika banyak bangunan tinggi-tinggi, tapi banyak pula orang merempat. Tun hanya mahu kritik Kelantan sebab Tun prejudis dan sekular, maka kecerdikan Tun tidak membantu Tun menilai kebenaran.
Tun pergilah ke Kelantan. Lawat sendiri Kelantan sebelum Tun di panggil mengadap Ilahi. Mudah-mudahan Tun dapat lihat sendiri perbezaannya. Pergi lawat rumah TG Nik Aziz sekali kalau ada kesempatan.
WaLLAHU a’lam..

Apabila duit banyak dan gila kedudukan…

Dalam negara kita khususnya, ada banyak spesies macam ni. Apabila duit banyak, gila pada kedudukan, nafsu mendesak, iman kulit bawang… maka peduli apa dengan etika… peduli apa dengan dosa-pahala… peduli apa dengan syurga neraka.
Duit banyak, macam-macam boleh beli.



Hah.. rakyat Malaysia yang kaya, PhD pun beli… apa nak dihairankan dengan etika? Pemimpin boleh membeli-belah wakil-wakil rakyat untuk lompat parti, apa peduli etika? Mahu rampas kerajaan pilihan rakyat secara “mee segera”. Pemimpin kencing berdiri, rakyat kencing berlari.
p/s: PhD tu sekilo berapa ringgit?

Medula Oblongata Brehem Ali

Apabila bercakap hanya pakai medula oblongata…


YB Brehem tido ko sapa dop napok gapo-gapo perubahan di Kelate? Menurut ilmu nujum Pak Belalang, kalu YB Brehem dop napok, itu tandanya anak luar nikah… Napok dop YB? Napok dop perubehe di Kelate?! Heiiiiy gere ambo kalu ore lagu nih….

Rumah Terbuka Eidul Fitri 1430 MB Kedah

You datang dari mana?”
“Kuala Nerang” jawab seorang lelaki berbangsa Cina.
“Jauh pun you sanggup mari ka?”
“MB sekarang ni baik. Tengok orang-orang yang datang pun baik-baik…takrak serupa dulu maa”
“Ya ka?”
“Ya la… kalau MB dulu-dulu punya rumah terbuka, orang yang datang tu semua cari makan ooo…”
“Kita pun datang sini mau makan”
“Kita mau makan… tapi yang dulu punya cari makan…”


Eh, macam kenai…?



Sami-sami pun datang makan…

Perutusan Eidul Fitri 1430


Perutusan Hari Raya Eidul Fitri 1430
Oleh: Penulis Blog Ini
بسم الله الرحمن الرحيم
الله أكبر , الله أكبر , الله أكبر

الله أكبر كبيرا , والحمد لله كثيرا وسبحان الله بكرة وأصيلا
Segala puji bagi ALLAH, Tuhan yang mentadbir sekalian ‘alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad RasulaLLAH ShollaLLAHU ‘alaihi wasallam.
Hai sekalian pembaca blog ini,
Aku menyeru diriku dan kalian semua agar bertaqwa kepada ALLAH dengan sebenar-benar taqwa. Hanya orang-orang bertaqwa sahajalah yang sebenar-benarnya berjaya di sisi ALLAH. Pada hari ini, kita bertakbir dan bertahmid kepada ALLAH, Tuhan Rabbul Jalil, selepas kejayaan menyempurnakan sebulan berpuasa dalam bulan Ramadhan. Mudah-mudahan dengan lengkapnya Ramadhan lalu, kita berjaya mencapai tahap taqwa yang tinggi, lebih tinggi daripada Ramadhan tahun-tahun lalu.
الله أكبر , الله أكبر , الله أكبر
Ramadhan telah berlalu meninggalkan kita. Ramadhan 1430 tidak akan kembali menemui kita sampai bila-bila. Beruntunglah orang-orang yang memenuhinya dengan amal soleh dan ikhlas kerana ALLAH. Rugilah bagi sesiapa yang mensia-siakan Ramadhan lalu dengan amalan-amalan yang buruk dan dimurkai ALLAH. Hari ini, Eidul Fitri, adalah hari anugerah ALLAH kepada hamba-hamba-Nya yang soleh, yang begitu tekun mendambakan ketaqwaan kepada ALLAH. Orang-orang berimanlah yang selayaknya menyambut hari penuh barakah ini, manakala pelaku-pelaku maksiat dan kederhakaan kepada ALLAH dalam bulan Ramadhan, sepatutnya berasa malu untuk bersama-sama menyambut Eidul Fitri.
Sidang pembaca sekalian,
Namun apa yang kita dapat lihat hari ini, golongan yang munafiqlah yang kelihatan sungguh seronok menyambut hari mulia ini, dengan sambutan yang mewah, rancak serta penuh kegembiraan. Walhal sebenarnya mereka tidak langsung dipelawa oleh ALLAH untuk meraikannya. Sebulan berpuasa adalah ibadah. Demikian pula Eidul Fitri juga adalah hari ibadah. Sambutan yang melampau dan penuh aktiviti yang melalaikan sebenarnya mencemarkan Eidul Fitri, menghina hari mulia yang ALLAH hadiahkan kepada hamba-hamba-Nya yang beriman dan bertaqwa.
الله أكبر , الله أكبر , الله أكبر
Suasana pada hari ini memperlihatkan kepada kita, betapa runtuhnya akhlak masyarakat, terutamanya muda-mudi dalam negara kita. Paling menyedihkan, muda-mudai itu adalah anak-anak muda Islam. Akhlak mereka bagaikan mereka tidak beragama Islam. Lihat sahaja bagaimana mudah sekali mereka dilalaikan dengan hiburan-hiburan yang melampau. Tambahan pula pada hari raya ini, semakin galaklah mereka berhibur tanpa batasan dan terjebak dalam gejala mungkar. Imam mereka adalah artis-artis. Dorongan mereka adalah syaitan-syaitan dari kalangan jin dan manusia. Mereka jauh daripada cahaya ALLAH.
Jesteru itu, siapakah yang boleh menyelamatkan mereka daripada terus hanyut ditelan arus mungkar? Hanya ALLAH sahaja yang memberi hidayah petunjuk-Nya. Namun, apakah pula sumbangan kita untuk menjernihkan semula kekotoran yang membusuk dalam sasyarakat kita? Cukupkah peranan mendidik anak muda ini diserahkan kepada ibu bapa semata-mata? Apakah pula guru-guru sahaja yang perlu dipertanggung-jawabkan? Mampukah masyarakat sekeliling bersama-sama membaiki keadaan ini? Tidak lain tidak bukan, semuanya perlu terlibat. Pembaikan dari peringkat keluarga, hinggalah ke peringkat nasional perlu dititik beratkan.
الله أكبر , الله أكبر , الله أكبر
Pihak kerajaan sepatutnya memainkan peranan yang besar dalam mendidik akhlak muda-mudi. Kuasa kerajaan adalah lebih meluas dan mampu melakukannya. Kerajaan mempunyai infrastruktur dan isntrumen-instrumen yang besar dan pelbagai untuk memacu rakyat ke arah berakhlak mulia. Akan tetapi, kerajaan kita pada hari ini bagaikan tidak berbuat apa-apa. Usaha kerajaan untuk kebaikan umat Islam hanyalah sebagai topeng dan kosmetik sahaja. Tidak bersungguh-sungguh melaksanakannya. Lihatlah, berapa banyakkan program mendidik jiwa muda-mudai berbanding program-program yang mengkhayalkan? Ketahuilah, program-program khayal yang tidak dihalang oleh kerajaan adalah virus dan pandemik yang akan memusnahkan masa depan umat Islam.
Sidang pembaca yang dihormati,
Sebagai rakyat jelata, kita akan dipertanggungjawabkan oleh ALLAH kelak tentang kuasa yang diberikan kepada kita untuk memilih pemimpin untuk mentadbir kerajaan. Apakah kita menyangka kita akan terlepas daripada kemurkaan ALLAH, sekiranya kita memilih pmimpin yang meluluskan program-program maksiat dan melalaikan? Apakah kita tidak akan ditanya kenapa kita memenangkan pemimpin yang hanya tahu menerima rasuah, menyalahguna kuasa dan pecah amanah? Ketahuilah, jika hari ini kita tidakberubah, kita akan menyesal suatu hari nanti. Jika kita berdegil, ALLAH akan tunjukkan akibat kejahilan kita memilih pemimpin. Kita mungkin akan menyaksikan sendiri betapa runtuhnya negara kita, rosaknya anak-anak kita sendiri, cucu-cicit kita dan sebagainya.
Sebelum terlambat, ambillah peluang pada hari raya Edul fitri ini untuk bermuhasabah dan melakukan perubahan. Hari ini jiwa kita insyaALLAH kembali kepada fitrah setelah sebulan kita mengasuhnya. Maka ambillah peluang ini. Jangan biarkan syaitan-syaitan yang terlepas dari belengu itu kembali menguasai kita.
Sekian sahaja perutusan Eidul Fitri pada kali ini. Segala yang baik, ambillah pengajaran darinya. Kelemahan-kelemahan pula jadikanlah iktibar. Tegurlah sekiranya ada kesilapan. Mohon ampun dan maaf , zahir dan batin. SALAM EIDUL FITRI.
WaLLAHU a’lam.

Sembang raya di hujung Ramadhan

AlhamduliLLAH… ALLAH masih bagi lagi kesempatan untuk hidup lagi dalam hari yang ke-26 Ramadhan ni. Hujung-hujung Ramadhan macam ni, orang-orang kita sibuk dengan persiapan raya. Yang ada di kampus, asyik teringat kampung, teringat rumah, teringat mak ayah, datuk nenek… (Hari-hari lain nampaknya kurang ingat kut… :D). Macam-macam status YM dapat di baca. Semuanya menghala ke RAYA…
Lupakah kita kepada Ramadhan? Saki baki Ramadhan yang tinggal, tenggelam dek ghairah sambut raya? Mudah-mudahan tidak. Mudah-mudahan niat kita balik awal ke kampung halaman dengan niat untuk berpuasa bersama-sama dengan keluarga, solat tarawih bersama-sama, dan berqiamullayl bersama-sama dengan keluarga di akhir-akhir Ramadhan ini. Jika demikian yang kita lakukan, alangkah bermaknanya hari EidulFitri kita bersama keluarga tahun ini.
Bukanlah namanya raya, kita terjebak dalam aktiviti terpekik terlolong menyanyikan lagu-lagu yang entah apa-apa. Kononnya sambut raya. Padahal menghina hari mulia itu. Hari Eidul Fitri adalah hari ibadah, hari anugerah ALLAH kepada hamba-Nya yang mukmin, yang bertaqwa, yang berjaya dalam Ramadhannya.
Sapa-sapa yang dah nak balik tu, baliklah dengan elok. Yang naik bas, jangan membiarkan bas meninggalkan anda. Kalau anda tertinggal bas, tak mengapa…mungkin anda akan sampai dulu. Yang memandu kereta, hati-hati di jalan raya. Yang naik flight, nasihatkan pilot suruh bawak elok-elok. Yang tak balik, jangan bersedih. Hari raya adalah hari bergembira kerana kejayaan sebulan berpuasa.
Kepada semua pembaca, pengkritik, pengcopy, pen-tidak-suka blog ini dan sebagainya, minta ampun mintak maaf banyak-banyak. Sekiranya ada luahan dan coretan yang memungkinkan anda tidak bersetuju, atau tidak berpuas hati, itu hanyalah secebis perbezaan pendapat antara kita. Salah dan silap sama-sama maafkan.
SELAMAT MENYAMBUT EIDUL FITRI 1430.

Adakah pemimpin UMNO juga berfikiran begini?

UMNO takut untuk laksanakan undang-undang Islam. Beginikah alasannya?

Apakah aktivis-aktivis ini merasakan orang yang berzina itu lebih tinggi martabatnya?
ALLAH gazetkan bahawa zina adalah keji, dan seburuk-buruk jalan. Firman ALLAH:
“Dan janganlah kamu mendekati zina, kerana sesungguhnya zina itu adalah perbuatan yang keji dan seburuk-buruk jalan (yang ditempuh oleh seseorang)”
(Surah Al Israa : 32)
ALLAH gazetkan juga hukuman kepada pesalah zina. Firman ALLAH :
“Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina, maka deralah (pukullah) tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali dera, dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah, dan hari akhirat, dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.”
(Surah An Nuur : 2)
RasuluLLAH pernah bersabda tentang nasib pesalah zina di akhirat kelak. Berdasarkan hadis Nabi SAW, dari Abu Hurairah:
“Ada tiga golongan (manusia) yang ALLAH tidak akan berbicara kepada mereka pada hari kiamat dan tidak mensucikan mereka dan tidak melihat kepada mereka, dan bagi mereka siksa yang sangat pedih, iaitu ; Orang tua yang berzina, raja yang pendusta (pembohong) dan orang miskin yang sombong”
[Hadis sahih riwayat Muslim]
Seseorang yang melakukan zina Muhsan (telah berkahwin), sama ada lelaki atau perempuan wajib dikenakan ke atas mereka hukuman had (rejam) iaitu dibaling dengan batu yang sederhana besarnya hingga mati. Sebagaimana yang dinyatakan di dalam kitab I’anah Al- Thalibin juzuk 2 muka surat 146 yang bermaksud :
”Lelaki atau perempuan yang melakukan zina muhsan wajib dikenakan keatas mereka had (rejam), iaitu dibaling dengan batu yang sederhana besarnya sehingga mati”.
Seseorang yang melakukan zina bukan muhsan sama ada lelaki atau perempuan wajib dikenakan ke atas mereka hukuman sebat 100 kali sebat dan buang negeri selama setahun sebagaimana terdapat di dalam kitab Kifayatul Ahyar juzuk 2 muka surat 178 yang bermaksud :
”Lelaki atau perempuan yang melakukan zina bukan muhsin wajib dikenakan ke atas mereka sebat 100 kali sebat dan buang negeri selama setahun”.

WaLLAHU a’lam

Taat, Wala’ dan Disiplin dalam gerakan Islam


Taat

Ketaatan lahir daripada sikap percaya-mempercayai di antara pemimpin dan pengikut, apabila pemimpin mempunyai keikhlasan dan menyatakan perngorbanan yang sebenar dan memberi perhatian kepada perjuangan dan pengilut-pengikutnya. Ketaatan itu mestilah dalam semua keadaan, di masa senang dan susah, di masa lapang dan susah, di masa lapang dan sempit dalam perkara yang tidak maksiat. Firman ALLAH, maksudnya:

“Hai orang-orang yang beriman, taatlah kamu akan ALLAH, taatlah kamu akan Rasul dan Ulil Amri (pemimpin di kalangan kamu)”. (an-Nisa : 59)

RasuluLLAH telah meneguhkan sifat ketaatan kepada para sahabatnya dengan melakukan bai’ah di antara Baitul ‘Aqabah yang terkenal sebelum melakukan hijrah.

Di dalam Bai’ah itu RasuluLLAH bersabda:

“Berbai’ahlah kepadaku di atas kewajipan taat di masa cergas dan di masa malas, sanggup berbelanja di masa susah dan senang, menjalankan kewajipan menyuruh yang baik dan mencegah dari kemungkaran, bangun menyatakan agama ALLAH tanpa terjejas walaupun dicela, sanggup menolong aku apabila aku tiba kepada kamu dan sanggup mempertahankan aku.”

Ketaatan Yang Dituntut

a) Ketaatan itu membawa kepada menunaikan tugas mengikut arahan kepimpinan dan tidak bertindak sendiri tanpa pengetahuan sehingga menjadi kelam-kabut yang boleh menimbulkan adanya kumpulan dalam jamaah (atau jemaah dalam jemaah) yang mempunyai perancangan yang berbeza dan strategi yang berlainan yang boleh membawa perpecahan dan wujudnya kumpulan atau jamaah dalam jemaah.

b) Ketaatan itu membawa kepada penyelarasan yang baik di kalangan seluruh anggota dan sayap parti atau jamaah dan melaksanakan amal jamaie yang tidak boleh dijelaskan oleh pandangan individu yang berbeza lalu mengikut selera masing-masing sehingga jentera parti bercelaru dan tidak selaras antara satu sama lain.

c) Ketaatan juga dapat mengimbangkan di antara sikap yang berbagai-bagai di dalam jemaah, kerana ada orang yang terlalu ke depan (advance), ada orang yang terlalu lambat dan ada yang sederhana.

Wala’

Kita melihat betapa kumpulan yang tidak Islam mengalami kelemahan dan kepupusan termasuk yang pernah memerintah negara besar, begitu juga dengan pertubuhan yang meletakkan nama Islam tetapi tidak mengambil Islam secara menyeluruh.

Oleh itu maka penekanan yang perlu diberi perhatian ialah peningkatan wala’ dan disiplin dalam jamaah yang dapat memelihara ketaatan dan perjalanan secara istiqamah. Firman ALLAH, maksudnya:

“Sesungguhnya wali kamu ialah ALLAH, rasulNya dan orang-orang yang beriman yang mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan mereka itu sentiasa ruku’”

(al Maidah : 55)

Wala’ dan hubungannya dengan Harakah Islamiah

Dalam aspek ini perlu dibahagikan wala’ itu kepada beberapa aspek yang perlu diberikan penekanan.

a) Wala’ terhadap aqidah perjuangan

Sesungguhnya wali kamu ialah ALLAH dan Rasul-Nya. Wala’ dalam aspek ini berkait erat dengan ketaatan secara mutlak kepada ALLAH dan RasulNya, wajiblah beriman bahawa tiada tuhan yang sebenar melainkan ALLAH dengan segala sifat ketuhanan yang Maha Suci dan juga beriman kepada rasul yang wajib dengan sifat-sifat kerasulannya.

Terkandung di dalam mafhum ketaatan dan wala’ kepada ALLAH dan rasul secara mutlak kepada Al Quran dan Al Hadith yang menjadi rukun dan hukum tertinggi bagi Harakah Islamiah, samada dalam konteks kampus (jemaah Islam kampus), atau di luar kampus (Parti Islam).

b) Wala’ kepada Jamaah

Menurut rukun dan hukum haram berjamaah haram kepada ahli yang telah memberi bai’ah kepada jamaah tiba-tiba memberi wala’ kepada kumpulan lain samada yang jelas menentang Islam atau kumpulan yang bernama Islam. Ini bercanggah dengan akhlak berjamaah dan merosakkan perpaduan jamaah, strategi dan jenteranya.

Adapun wala’ kepada jamaah itu bergantung kepada wala’ jamaah terhadap aqidah perjuangan yang sebenar dan menjadi kewajipan kepada ahli mempertahankannya daripada menyeleweng.

c) Wala’ kepada pemimpin

Kepimpinan di semua peringkat merupakan salah satu daripada tonggak yang penting kepada jentera dan perjalanan jamaah. Oleh yang demikian wala’ kepada pemimpin dalan pengertian kasih dan taat mestilah diberi dengan penuh tanggungjawab. Wala’ ini mesti diberi di semua peringkat pimpinan. Ia juga bergantung kepada perinsip perjuangan parti atau jamaah.

Disiplin
Firman ALLAH, maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu, kuatkanlah kesabaran kamu dan tetap bersedia dan bertaqwalah kepada ALLAH supaya kamu berjaya.”
(ali Imran : 200)
Perkara yang ditakrifkan dengan disiplin ialah sebagaiman berikut:
1. Tatatertib dan kelakuan diri

2. Peraturan yang ditetapkan untuk melatih seseorang supaya berkelakuan baik

3. Kepatuhan kepada peraturan-peraturan yang ditetapkan

4. Hukuman atau denda kerana melanggar peraturan
Harakah Islamiah (geralan Islam) telah menetapkan perkara-perkara ini secara menetapkannya di dalam perlembagaan parti secara tegas. Di antaranya ialah menetapkan perkara yang dinamakan tatatertib:
1. Taat kepada hukum-hukum dan ajaran Islam yang menjadi dasar jamaah
2. Patuh kepada perlembagaan Jemaah serta aturan dan peraturannya
3. Taat kepada arahan dan perintah jamaah
4. Melaksanakan kewajipan-kewajipan yang ditugaskan oleh jamaah sedaya upaya

yang boleh
5. Menjaga dengan cermat segala rahsia jamaah
6. Beramal dengan akhlak Islam
7. Mengawal diri supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang menyalahi atau merugikan jamaah

Rujukan:
1) Arkanul-bai’ah
2) TG Haji Abdul Hadi Awang

Ancaman siber lebih bahaya dari komunis – Raisyatim

Awas…! Pemimpin UMNO sudah kehabisan idea untuk hadapi pendedahan-pendedahan fakta di ruang siber… Jika berlaku, tak ada maknalah streamyx, celcom broadband dll….