Hutang saya lebih RM30,000

Beberapa hari lagi, usia saya akan bertambah. Dalam usia begini, saya sudah menanggung hutang sebanyak kurang lebih RM30,000. Itu baru satu jenis hutang, belum masuk hutang-hutang lain yang mungkin terpaksa saya berhutang. Anda bagaimana?

Ketika bergelar mahasiswa dahulu, saya berkesempatan bertemu pemimpin Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Antara mereka Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, ahli parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria dan timbalan menteri pelajaran, Datuk Puad Zakarshi.

Mereka ini adalah pemimpin yang kerap menyebut perihal mahasiswa dan anak muda sama ada di dalam parlimen, mahupun di pentas politik. Selain berbincang mengenai isu dan agenda mahasiswa serta anak muda, saya akan menanyakan soalan perihal Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Soalan saya, “Kenapa anda tidak memperjuangkan untuk menghapuskan bayaran balik PTPTN apabila memerintah?”

Itu soalan cepu emas. Jika menyebut perihal pinjaman ini, sebut sahaja mahasiswa mana, pastinya akan tertekan dengan perkara yang ‘mengikat’ mereka. Bayaran balik, kadar faedah yang tidak jelas, serta isu riba yang diharamkan Islam.

Undi Pakatan

Saya terfikir, seandainya Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) akan datang ini, meletakkan antara salah satu daripada manifestonya kepada mahasiswa atau anak muda ialah, menghapuskan bayaran balik pinjaman PTPTN, saya kira paling kurang 90 peratus mahasiswa mengundi Pakatan.

Mungkin idea itu terlalu tinggi untuk dicapai. Memandangkan negara mengalami kemerosotan ekonomi dan beban hutang, mana mungkin untuk membayar semula pinjaman ini.
Apabila saya meneliti, PTPTN memerlukan hampir 13 bilion untuk menampung satu-satu sesi kemasukan pelajar ke IPTA mahupun IPTS. Sekurang-kurangnya, menurut statistik Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), hampir 40 ribu mahasiswa berdaftar untuk kemasukan ijazah pertama setiap tahun di seluruh negara.
Realitinya, dengan pertumbuhan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang bagaikan cendawan selepas hujan, yang kebanyakannya berorientasikan perniagaan, PTPTN mendapati peluang ini adalah paling besar untuk melabur.
Dan hakikatnya, pinjaman PTPTN boleh membenarkan sesiapa sahaja pelajar untuk meneruskan pengajian di peringkat tinggi, dengan pendapatan keluarga minimum 4 ribu ke bawah.

Pendidikan percuma

Seingat saya, gagasan pendidikan percuma mula diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat tatkala berkempen dalam pilihan raya umum ke-12 (PRU-12) yang menyaksikan keberjayaan mereka menguasai lima buah negeri. Ini bermakna, slogan pendidikan percuma sangat relevan kepada rakyat.
Soalnya, bagaimana praktikalnya agenda ini? Jika ia dapat direalisasikan, maka idea memansuhkan bayaran semula PTPTN adalah turut termasuk dalam perjuangan ini.
Bermula hari ini, Pakatan Rakyat perlu memikirkan bagaimana mekanisme untuk memperjuangkan pendidikan percuma di peringkat pengajian tinggi. Cuba bayangkan hampir 80 peratus anak muda di IPT kesemuanya berumur 21 tahun dan keatas dan layak mengundi.
Ini bermakna, sesiapa sahaja, Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional, seandainya memperjuangkannya, maka undi anak muda atau mahasiswa sudah berada di dalam genggaman.
Soalnya, Pakatan Rakyat haruslah mendahului dan segera bertindak berbincang bersama anak muda dan mahasiswa dan segera mencari jalan keluar dan penyelesaian.

Penulis adalah setiausaha agung, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) dan boleh dihubungi di aisal_daruliman@yahoo.com

Amanat PM untuk kita…

Najib mahu mahasiswa halusi isu, guna kewarasan intelektual saring maklumat


SHAH ALAM: Datuk Seri Najib Razak mahu mahasiswa berpegang teguh kepada prinsip kejujuran intelektual dalam menilai serta menghalusi isu dan menggunakan kewarasan dalam menyaring maklumat agar tidak menjadi pembudaya fitnah dan omongan jahat.


Perdana Menteri berkata, kerajaan sedar era kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berlalu, namun tidak ada sesiapa yang boleh memonopoli kebenaran atau kebijaksanaan.




Saya ingin melihat kepemimpinan mahasiswa yang dinamik dan subur supaya pemikiran mahasiswa akan terus menjadi input besar kepada kejayaan negara,” katanya ketika menutup Konvensyen Kepemimpinan Mahasiswa Islam di Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini, semalam.


Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Kelab Dewan Amal Islam Hadhari (Damai) institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang dipimpin pengerusi baru, Datuk Saifuddin Abdullah yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.


Hadir sama, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku pengasas Damai; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mohamed Khaled Nordin dan Naib Canselor UiTM, Tan Sri Prof Dr Ibrahim Abu Shah.



Najib berpesan supaya mahasiswa tidak syok sendiri dengan program dianjurkan sebaliknya memastikan ia relevan dengan zaman bagi menunjangi kepemimpinannya iaitu mementingkan keperluan belia sebagai klien.


Katanya, pemimpin mahasiswa bukan saja perlu memenuhi ilmu di dada, tetapi juga melengkapkan diri dengan pelbagai bahasa, tugas dan kemahiran kerana masyarakat kini berada pada zaman penguasaan minda adalah penentuan kecemerlangan sesebuah negara.


Berikutan itu, beliau menyifatkan usaha Damai mengadakan konvensyen itu sebagai bertepatan dalam usaha mengupas pengertian dan kepentingan kepemimpinan untuk mencari pemimpin masa depan yang berwibawa.


“Dalam hal ini, jaminan saya bagi pihak kerajaan, kita akan menyokong sepenuhnya sebarang inisiatif untuk menggilap pemimpin baru, yang dilatih mengikut asas kepemimpinan dan bersandarkan landasan yang betul.


“Kita mahu mahasiswa mengikut landasan yang tepat dan tidak terbabas dari jalan sewajarnya. Tindakan yang tidak menguntungkan hendaklah dielakkan kerana ini mungkin akan mencemarkan gerakan mahasiswa sendiri,” katanya.


Perdana Menteri seterusnya yakin penubuhan Kelab Damai itu adalah satu pendekatan mulia yang mampu menyediakan wadah dalam melahirkan bakal pemimpin masa depan.


Bahkan, katanya, cara membimbing pemimpin adalah selaras dengan kaedah anjuran Rasulullah SAW yang menitikberatkan tarbiah dan disiplin dalam membentuk pengikutnya seperti ketika Baginda membimbing sahabatnya termasuk Usamah, Muaz dan Mus’ab.


Beliau berkata, kaedah itu perlu menjadi teras kepada usaha Kelab Damai kerana perjalanan hidup mahasiswa masih panjang.


Ada beza antara berpendidikan, berpengetahuan dan memiliki kebijaksanaan. Masa dan pengalaman akan mematangkan mahasiswa dalam menempuh realiti kehidupan di luar nanti.


“Sarjana sekarang bercakap mengenai dua istilah iaitu `kegraduatan’ (graduateness) dan bukan graduan.


“Graduan mungkin menitikberatkan label atau `credential’ tetapi `kegraduatan’ itu mementingkan intipati `attribute’ atau sifat graduan itu dan meritnya. Maka kita mahu graduan bukan hanya berkebolehan dan berkemahiran memenuhi pasaran kerja, tetapi sedar dan turut serta dalam usaha memaju bangsa, agama dan negara,” katanya.


Najib berkata, konsep kepemimpinan yang wujud dalam Islam bersifat bersepadu iaitu menekankan keseimbangan antara roh dan jasad.


Malah, katanya, kestabilan di antara perkembangan spiritual dan pembangunan material bagi menjamin kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat menjadi intipati kepada ajaran agama.

Sumber:Berita Harian Online


Terima kasih PM atas nasihat dan amanat itu. Tahniah kerana sudah tiba masanya untuk kita kembali kepada Islam. Dato Seri sudah beberapa kali menyelitkan ‘Islam’ dalam ucapan, harapannya Dato Seri akan benar-benar mendapat hidayah.

Pilihanraya Kampus : Semua perlu profesional.

Dua tiga hari ini aku dengar-dengar tidak lama lagi akan ada pilihanraya kampus di kapus kejuruteraan ini. Dikatakan notis untuk perkara tersebut sudah ditampal di papan-papan kenyataan. Tapi aku amati papan putih di blok aku setiap kali aku hendak ke Pusat Islam, tidak nampak pun sebarang kenyataan mengenai pilihanraya kampus. Takkan sudah dicabut? Fikirku, takkanlah perkara penting begitu, notisnya ditampal bagai melepas batuk ditangga. Macam notis jual “top up” saja. Aku fikir mungkin itu hanya khabar angin.
Suatu malam tiba-tiba pula ada orang hantar link web yang menunjukkan gambar notis tersebut telah ditampal. Oh, mungkin notis itu ditampal di tempat lain. Aku saja yang tak tahu. Menurut notis itu, pilihanraya kampus itu akan berlangsung awal Januari ini. Jadi sekali lagi kita akan merasai suasana pilihanraya kampus.

Apabila sebut sahaja pilihanraya kampus, akan timbullah cerita mengenai kumplan aspirasi, kumplan PMI, kumpulan Cina, kumpulan itu dan ini. Bagi yang mengikuti perkembangan politik kampus, perkara ini sudah biasa, cuba buat-buat tak biasa. Bagi yang tak biasa mengikuti politik kampus, mereka hanya bersikap acuh tidak acuh sahaja mengenai pilihanraya kampus. Malah tidak mengambil tahu pun apa dan siapa aspirasi, siapa PMI siapa itu dan ini. Mereka ini hanya akan mengundi sesiapa sahaja calon yang dirasakan layak menurut kefahaman mereka.

Bercerita mengenai politik kampus, tidak boleh lari pada bercerita mengenai Aspirasi, PMI dan sebagainya seolah-olah ada pakatan tertentu bertanding. Tetapi pilihanraya sebelum-sebelum ini, aku tidak nampak pula kempen-kempen supaya mengundi Aspirasi atau undi PMI. Cuma ada individu yang memakai baju aspirasi universiti, itu aku nampak. Yang musykilnya, kenapa PMI dikatakan bertanding pilihanaya kampus, sedangkan aku juga pernah terlibat dengan PMI. Tiada pula agenda dalam perancangan satu sidang PMI akan menyertai pilihanraya kampus.

Kaji-kaji balik, rupa-rupanya semua ini ‘influence’ dari kampus universiti lain, yang PMI di sana bertanding. Wah, kalau PMI masuk bertanding, kenapa persatuan Silat, kelab rekreasi dan sebagainya tidak mahu masuk bertanding? Di kampus kita mungkin lain. Apa yang aku tahu, PMI tidak bertanding. Tetapi kalau ada individu dari PMI yang bertanding, itu hak dia sebagai mahasiswa. Cuma orang sahaja yang melabelnya sebagai PMI, walaupun dia datang dari kelab lain. Apabila lawan saja aspirasi, maka labelnya adalah PMI. Mungkin begitu.

Kita abaikan seketika semua itu. Kita tumpu kepada isu pilihanraya kampus. Pilihanraya kampus yang bakal tiba ini adalah yang pertama setelah USM diiktiraf sebagai universiti Apex. Transformasi yang berlaku ke arah Apex meliputi segenap sudut termasuk pentadbiran, kakitangan, pensyarah, mahasiswa, pembelajaran, kajian, aktiviti kemasyarakatan, dan sebagainya. Maka seeloknya, pilihanraya kampus juga ada transformasinya tersendiri.

Pilihanraya kampus dalam universiti Apex sewajarnya dilakukan dengan penuh profesional dan telus dengan harapan perwakilan yang terpilih nanti mampu menggalas amanah yang lebih mencabar, bukan lagi seperti perwakilan-perwakilan sebelum ini. Sebelum ini wakil MPP hanya berlegar di peringkat univesiti, atau lebih jauh pun hanya di peringkat nasional. tetapi wakil MPP kali ini perlu menggalas harapan sebuah universiti Apex yang bertaraf antarabangsa. Wakil-wakil MPP nanti adalah duta universiti Apex dari Malaysia untuk berhadapan dengan cabaran di peringkat antarabangsa.

Jadi, pilihanraya kampus kali ini tidak boleh seperti pilihanraya-pilihanraya lepas, yang dilabel dengan pelbagai tohmahan yang tidak manis. Kita mahu keprofesionalan dalam pengendaliannya. Usah diulangi perkara yang sama. Ketepikan sentimen-sentimen lama. Biar pilihanraya kampus kita kali ini menjadi contoh kepada universiti lain. Pilihanraya kampus kita bebas daripada campurtangan pihak tertentu, cemuh-mencemuh, memprovokasi sesama sendiri, hasut-menghasut dan sebagainya. Berpolitiklah secara profesional tanpa ada pihak yang campur tangan. Mahasiswa adalah untuk mahasiswa. MPP adalah penghubung mahasiswa kepada pihak pentadbiran, masyarakat sekitar dan antarabangsa. Maka MPP yang akan terpilih harus menjalin hubungan baik dengan mahasiswa, hubungan baik dengan pentadbiran dan meningkatkan potensi diri untuk menghadapi medan antarabangsa. Jika MPP hanya mempunyai hubungan yang baik dengan salah sati pihak sahaja tanpa mengambil kira hubungan dengan pihak yang satu lagi, dikhuatiri MPP tersebut akan bermasalah. Jika MPP rapat dengan pentadbiran sahaja, akan bermasalah. Begitu juga jika MPP hanya rapat dengan mahasiswa sahaja, akan juga bermasalah. Oleh itu calon-calon yang bertanding untuk kerusi MPP ini harus mempersiapkan diri degan baik supaya MPP dapat dilihat sebagai badan pelajar yang berwibawa.

Posting aku kali ini berharap, jika benar pilihanraya kampus akan berlaku pada masa yang diberitakan, maka kita semua berilah kerjasama. Yang ingin bertanding, semoga berjaya. Yang tidak bertanding, berilah kerjasama sepanjang prosesnya. Bagi yang mengendalikan proses pilihanraya kampus ini, lakukan yang terbaik kerana ia adalah amanah yang akan disoal oleh-Nya. Semoga pilihanraya kampus kita kali ini lancar dan lebih profesional dan bertaraf Apex.

Tahniah, USM cipta kamera perubatan pertama negara!

USM Induk | Pro Mahasiswa USM mengucapkan tahniah kepada Universiti di sini dan Dr. Zainal Ahmad Rajion sendiri atas penemuan terbaru mereka dalam bidang perubatan. Ciptaan tersebut dikenali sebagai Kamera MyCranio dan MyCast. Tahukah kita apa itu Kamera MyCranio dan MyCast?

Jika sebelum ini proses mengukur muka pesakit dijalankan secara manual menggunakan pita ukur dan pembaris, kini ia boleh dilakukan menggunakan kamera untuk mendapatkan hasil yang lebih tepat.

Kamera MyCranio dan MyCast itu dicipta oleh pensyarah Fakulti Sains Pergigian Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Zainul Ahmad Rajion bersama-sama seorang lagi pensyarah dari Fakulti Kejuruteraan dan Sains Geoinformatik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Zulkifli Majid.

Ciptaan pertama seumpamanya di Malaysia itu yang melibatkan kepelbagaian bidang kepakaran iaitu kejuruteraan, kedoktoran dan sains komputer itu membolehkan doktor mengambil gambar pesakit sebelum data seperti ukuran muka, tulang atau gigi pesakit dianalisis dan diproses.

Menurut Dr. Zainul, MyCranio dikhaskan untuk mengukur muka pesakit dan kini digunakan untuk memproses tisu muka lembut dan membuat imbasan muka di jabatan radiologi serta pakar bedah plastik untuk merawat kecacatan muka serta tengkorak.

MyCast pula berfungsi untuk mengukur bahagian bukan muka seperti tulang dan digunakan di klinik pergigian untuk mengukur saiz gigi yang akan dibentuk semula.

Kamera ini kini digunakan di Hospital Universiti Kubang Kerian, Kelantan sejak empat bulan lalu bagi membuat pengukuran muka pesakit,” katanya pada sidang media di USM semalam.

Tambah beliau, kamera itu memiliki kelebihan berbanding kaedah manual atau menggunakan laser kerana masa yang diambil untuk mengambil gambar adalah lebih singkat iaitu antara dua atau tiga saat berbanding laser (19 saat) dan manual (20 minit)

Selain itu ukuran yang dihasilkan juga lebih tepat iaitu perbezaan hanya 0.03 milimeter (mm) menggunakan kamera itu berbanding manual (3 hingga 5 mm) dan laser (2 hingga 4 mm).