Situasi menang-menang

Dahulu kala, pulau Singapua diserah percuma kepada Lee Kuan Yew & Co. Melayu ditipu dengan menang-menang situation… Sapa punya kerja? Pemimpin PAS kah?
Lewat sikit, Pulau Batu Putih pulak gagal dipertahankan, walhal jaraknya dengan Singapore sangatlah jauh berbanding jarak Pulau itu dengan Johor… Ini menang-menang situation jugak ka…? Yang ni sapa punya kerja? Pemimpin DAP kah?
Baru-baru ini, kawasan sedut minyak RM320 bilion, Blok L dan Blok M diserah percuma kepada Brunei… sekali lagi Melayu ditipu dengan Menang-menang situation. Blok L dan Blok M tu memang hak Brunei, kita tak ada hak kah? Kalau takda hak, kenapa sebelum ni kita boleh je tumpang sekaki sedut minyak? Ini kerja Anwar Ibrahim kah?
Terbaru, Tanah KTMB pulak bakal disedekah kepada Singapore. Melayu terus kena tipu, menang-menang situation… Kononnya Tanah KTMB itu ditukar dengan kawasan yg lebih bernilai mengikut pasaran semasa. Bebal sangatkah Singapura beriya-iya nak ambil Tanah KTMB Tanjong Pagar kalau kurang bernilai daripada Marina South dan Rochor Ophi? Sapa yang kena kelentong?
Atau apa obat yang anak beranak Kuan Yew bagi makan kepada DS Najib, sampai begitu mudah jual tanah negara kepada Singapore?
Kalaulah Kelantan diperintah oleh BN, agaknya kawasan royalti minyak yang dikongsi dengan Thailand juga akan diserah kepada Thailand atas nama menang-menang situation jugak…(?). Tak dapat la merasa royalti, mahupun wang ehsan laa rakyat Kelantan…
Kalau TGNA yang jual telaga minyak itu kepada Thailand, sehari 25 jam, 7 hari seminggu media akan papar pengkhianatan TGNA menjual aset negara. Itu baru jual, bukan bagi free. Tapi bila Umno/BN yang buat, ini adalah situasi menang-memang. Malaysia manyak untung maa…
Melayu Umno terus kena tipu, dan dibodohkan.
Gadai habis harta dan tanah negara, Melayu Umno terus jugak sokong. Geng Songkok Tinggi Umno membisu bila negara tergadai sedikit demi sedikit. Umno Perkasa yang kuat melalak pun tak berani kata apa. Ini semua kerana situasi menang-menang…
Nak tutup isu ini, media asyik tunjuk anak Samy Vellu bergaduh dengan Muhyiddin. Umno vs MIC. Mudahnya menipu Melayu… Melayu yang berfikrah Umno sahaja…
Mahasiswa kena tipu jugak ke? Tak ada yang bangkit pun? Ya… mahasiswa sudah dilalikan dengan hiburan. Digari dengan sistem peperiksaan yang menekan. Gerakan Mahasiswa dimandulkan. MPP hanya fokus isu dalam kampus sahaja. Isu lalat dalam kampus sahaja. Isu padang bola tak cukup besar saja. Isu negara jarang kita dengar.
Walhal, isu-isu besar seperti penggadaian hartamilik negara ini mahasiswa perlu ke depan, lantang bersuara menyampaikan pandangan dan kritikan membina kepada orang-orang tua yang menjadi pemimpin ketika ini. Isu pembinaan loji nuklear untuk janakuasa elektrik, isu judi bola sepak, isu kenaikan harga barang keperluan, isu APCO, dan sebagainya – mahasiswa perlu suarakan pandangan mereka. Katakan kepada mereka kami bakal pemimpin masa depan tidak setuju cara pengendalian isu-isu oleh pemimpin masa ini, yang akan menyusahkan kami kelak.
Atau mahasiswa juga terkena pil situasi menang-menang?
RM320 bilion tu, boleh cover PTPTN laa…
p/s: dah kona kut lain dah la pulak. artikel ini adalah pandangan peribadi penulis semata-mata.

OPKIM ’09

AlhamduliLLAH, program OPKIM ’09 anjuran GAMIS Pulau Pinang sudah selesai sebentar tadi, di Kolej Komuniti Bandar Baharu, Kedah.

Pergi berlari ke rumah bujang,
untuk merasa gulai kawah,
malas untukku tulis panjang-panjang…
pandai-pandailah tengok gambar di bawah.

(Terpengaruh dengan pantun penutup majlis)

Sdr Najib sedang memperkata sesuatu kepada AJK bertugas

Ucapan wakil NGO GAMIS, Sdr Fariz

Ucapan perasmian OPKIM ’09 oleh En. Haslan, Pengarah Kolej Komuniti Bandar Baharu

Sdr Nizamuddin sedang memberi taklimat kepada para fasilitator
Latihan dalam kumpulan : membina syarikat perniagaan

Pembentangan syarikat perniagaan

Sdr Nizamuddin mewakili fasilitator membuat pembentangan syarikat perniagaan

Ceramah dari Inspektor Abd Hamed bertajuk “Jenayah Menyusahkan”

Ucapan Penutup oleh Encik Kamarul Zaman

Itulah sedikit sebanyak aktiviti satu hari suntuk di Kolej Komuniti Bandar Baharu.

Jangan leka bermain ‘solitaire’

Hari ini aku mahu menulis pasal muslimat. Apa? Muslimat? Keh keh keh… pasti sorang dua tersengih, ada pula yang membuat telahan yang pelbagai dalam kotak minda masing-masing. Kenapa kali ni pasal muslimat?
Sedang aku klik-klik berita-berita akhbar, aku terbaca artikel dari UtusanOnline ini yang bertajuk Perjuangan gender hapuskan diskriminasi.

BENARKAH berlakunya diskriminasi wanita kerana wujudnya undang-undang keluarga Islam yang sedia ada? Perlukah perubahan bagi memastikan wanita tidak lagi menjadi mangsa keadaan atau ditindas kerana halangan budaya dan agama?

Pengarah Projek Pergerakan Global Bagi Kesamaan dan Keadilan Dalam

Keluarga Islam (Musawah), Zainah Anwar mengakui tindakan mengubah undang-undang bukan sesuatu yang mudah dilakukan, malah tentangan pasti datang bagi menggagalkan usaha itu termasuk daripada pihak berkaitan khususnya pemimpin agama.

Zainah menerangkan, undang-undang yang dibuat atas perintah Islam tidak boleh berunsur tidak adil dan mendiskriminasi sebab keadilan dan kesaksamaan adalah terkandung dalam agama. Tambahan lagi, peranan dan status wanita telah ditetapkan oleh angkatan konservatif dalam Islam. baca lagi…

Siapa tidak kenal Zainah Anwar, rakan seangkatan Amina Wadud yang memperjuangkan Islam Liberal yang sesat lagi menyesatkan. Dalam artikel tersebut, jelaslah bahawa dakyah Sisters in Islam terus berjalan dalam menyesatkan umat Islam.

“Biasanya, apabila wanita Islam mahu menuntut keadilan atau inginkan perubahan undang-undang, mereka akan dimaklumkan bahawa ini semua adalah undang-undang Tuhan yang tidak boleh ditukar atau dibincangkan langsung.

Wanita yang mempersoalkan, mencabar atau mahukan perubahan kerana ketidakadilan itu akan dilihat sebagai individu yang menentang syariah atau lemah iman.

“Paling tidak pun, wanita itu akan dikatakan bersikap anti-Islam, kebaratan atau akidahnya jauh menyimpang, malah laporan akan dibuat kepada polis atau pertubuhan agama supaya kita ditangkap dan pertubuhan kita diharamkan kerana dikatakan menghina Islam,” jelasnya.

Sisters in Islam (SIS) terkenal dalam perjuangan menuntut hak persamaan gender kononnya untuk menghapuskan diskriminasi terhadap kaum wanita. Sehinggakan mereka berani mempertikai hukum yang sudah ditetapkan dalam Islam. (Sebenarnya tindakan mereka adalah mendiskriminasi kaum lelaki, haha…)

Sudah banyak hujah dan penerangan yang dikemukan oleh pihak yang cintaka Islam, tetapi SIS masih berdegil dan terus berusaha meneruskan perjuangan sesat mereka. Kita semua tahu bagaimana kesamaan gender yang dikehendaki SIS, sehingga Amina Wadud pernah menjadi imam wanita pertama untuk solat Jumaat yang dimakmumi oleh saf-saf yang bercampur lelaki dan perempuan.

Tindakan Amina Wadud menjadi wanita Islam pertama di dunia menjadi imam sembahyang Jumaat dan membaca khutbah menerima kecaman ulama di seluruh dunia, antaranya Syeikh Yusuf al-Qardhawi.

Inilah as-Syeikhtan Amina Wadud yang
sedang mengimami jemaah sesatnya…

Menurut Syeikh Yusuf al-Qardhawi, fuqaha bersependapat wanita diharamkan menjadi imam sembahyang Jumaat dan membaca khutbah. Pendapat ini berdasarkan pengajaran dan bukan berdasarkan adat sesuatu kaum seperti mana yang didakwa, ketika memberi ulasan lanjut kepada agensi berita Islam Online tentang wanita diharamkan menjadi imam sembahyang kepada makmum lelaki ialah:

Tidak pernah terjadi dalam sejarah Islam seorang wanita menjadi imam solat Jumaat dan membaca khutbah;

• Tidak ada seorang Fuqaha pun bersetuju membenarkan wanita menjadi imam solat Jumaat dan membaca khutbahnya;

• Sembahyang dalam Islam membabitkan perbuatan pelbagai pergerakan zahir dan batin. Ia tidak mengandungi semata-mata upacara keagamaan serta tidak bercampur aduk antara lelaki dan wanita.

• Ibadah sembahyang dalam Islam memerlukan tumpuan penuh minda, perasaan dan penyerahan hati khusyuk kepada Allah SWT;

• Islam menggariskan beberapa peraturan untuk menentukan umatnya beribadah kepada Allah swt secara tertib dan beradab bagi mencapai kekhusyukan dalam menunaikan ibadah kepada Allah.

khusyuknya depa…. loklaq sungguh!

Sehingga tahap itukah kesamaan gender yang diperjuangkan? Islam Liberal yang sesat itu cuba disuburkan dalam negara kita. Jika dibiarkan, mungkin Zainah Anwar ini akan menjadi wanita Malaysia pertama menjadi iman solat Jumaat.

Haa… inilah Zainah Anwar…
amacam? Islamik tak dia ni?
Adakah dia ni lebih hebat dr Dr Yusuf Qardhawi, Imam Ghazali, imam Syafiie?

Mereka juga mempertikai kaedah pembahagian harta pusaka yang dikatakan tidak memihak kepada wanita, menganggap Islam meletakkan wanita menjadi warganegara kelas kedua dan sebagainya. Mereka bertindak seolah-olah mereka ini faham lebih mengenai Islam, sehingga membelakangi al-quran dan hadis serta jumhur ulama.

Banyak lagi benda yang perlu kita fahami mengenai gerakan sesat SIS ini. Wanita muslimah perlu bertindak. Para muslimat gerakan Islam perlu agresif dalam mempertahankan Islam daripada diliberalisasi oleh golongan munafiq SIS yang jelas mahu merosakkan Islam, atas perjuangan mereka kononnya untuk menyelamatkan wanita Islam.

Alasan wujudnya keganasan rumahtangga bukanlah berpunca daripada ketidak-adilan undang-undang Islam, tetapi punca sebenar adalah daripada kurangnya ilmu dan tarbiyah. Masyarakat Islam tidak difahamkan dengan undang-undang Islam sebenar. Sepatutnya SIS berjuang menuntut supaya kerajaan menggandakan program dan langkah-langkah memberi kefahaman yang jitu terhadap Islam kepada rakyat, bagi mengurangkan kes-kes keganasan rumah tangga.

Pendokong-pendokong Islam Liberal seperti SIS ini sebenarnya tidak ikhlas dalam perjuangan membela hak wanita. Motif mereka sebenarnya adalah untuk merosakkan Islam itu secara halus. Percayalah sekiranya dipinda undang-undang sekalipun, keganasan rumah tangga akan terus berlaku kerana masyarakat ketandusan ilmu dan pentarbiyahan. Lihat sahaja undang-undang jenayah lain yang kerap dipinda, hasilnya jenayah tetap meningkat. Kenapa? Kerana undang-undang ciptaan manusia sememangnya hampeh!

Zainah berkata, penganjuran Musawaf tepat pada masanya kerana rangkaian wanita Islam antarabangsa perlu diwujudkan untuk memperjuangkan usaha supaya perubahan undang-undang dapat dilakukan.

Jika wanita mahukan perubahan mendalam berlaku dalam usaha mencapai hak kesaksamaan wanita dan keadilan dalam Islam, wanita mestilah mencipta institusi baru dan menuntut identiti agama mereka untuk diri mereka sendiri.

Gerakan sesat ini semakin meluaskan empayarnya ke seluruh dunia. Bermakna jika tidak dibanteras, ajaran sesat ini akan menjadi budaya seluruh dunia, sepertimana budaya memakai seluar jeans koyak. Orang tahu jeans carik-carik itu tidak senonoh, tetapi apabila menjadi buadaya, orang akan diamkan sahaja kononnya itu adalah hak individu.

Maka para muslimat yang cintakan Islam, tidak harus berdiam diri. Anda perlu ke hadapan membela Islam. Jangan hanya membiarkan kaum lelaki sahaja lantang bersuara mempertahankan kesyumulan Islam. Muslimat sendiri perlu bangun memberitahu bahawa undang-undang Islam tidak mendiskriminasi kami. Kami selesa di bawah undang-undang Islam di bawah naungan al-Quran dan Sunnah.

Ayuh, muslimat dan mujahidat! Ayuh siswi-siswi Islam, bangkitlah. Musuh-musuh Islam bergerak cergas, jangan pula kalian leka bermain solitaire!


p/s: lelaki pun sama laa… jangan gelak kat orang saja, huuhu.

Mahasiswa perlu bina identiti ke arah membentuk icon yang baik

Berita Harian hari ini terpapar tajuk 90 Aduan rasuah politik babit pemimpin Umno.

Pasti majoriti umat manusia tidak terkejut dengan berita ini, kerana sudah sebati gelaja rasuah itu dalam organisasi bernama Umno. Hatta orang Umno, pemimpin Umno dan sesiapa sahaja yang berkaitan dengan Umno sekalipun, pasti tidak terkejut. Kerana rasuah sudah menjadi identiti Umno.

Lain pula kalau begini beritanya

90 Aduan rasuah politik babit pemimpin PAS
Mahkamah mendapati Nik Aziz terbabit rasuah

Pasti ramai terkejut dan tidak percaya. Memang tidak boleh diterima, kerana selama ini PAS membawa imej bersih dari gejala rasuah. Identiti PAS bukan rasuah. PAS membawa identiti Islamik. Manakala TG Nik Aziz bukan sekadar membawa identiti bebas rasuah, Islamik, bahkan beliau menjadi icon individu dan pemimpin yang bersih.

Posting kali ini bukan untuk ulas isu politik yang disebutkan di atas, tetapi untuk membawa kita renung bersama berkenaan dengan identiti masyarakat kita pada hari ini, terutama warga kampus, mahasiswa USM sekalian.

Bagaimana dengan identiti yang kita bawa sekarang? Apakah bentuk imej dan keperibadian kita yang kita tonjolkan sekarang? Samada sedar ataupun tidak, rata-rata masyarakat kita, termasuk mahasiswa juga, tidak membawa identiti sendiri , apatah lagi menjadi icon yang baik.

Identiti yang baik merangkumi imej penampilan diri yang baik, cara pemakaian yang baik, akhlak dan moral yang tinggi, keintelektualan, cara berkomunikasi dan sebagainya. Sudah tentu semua aspek pembinaan identiti yang baik sukar diperoleh daripada mana-mana kursus atau seminar. Jikapun dapat menunjukkan identiti yang baik melalui cara berpakaian, belum tentu akhlak dan moral baik. Begitulah seterusnya, melainkan Islam adalah satu-satu nya pakej yang boleh membentuk identiti yang baik merangkumi semua aspek yang disebutkan.

Islam mengajar erti akhlak dan moral secara terperinci dan berkiblatkan tauhid kepada ALLAH, yang tidak ada pada agama-agama ciptaan manusia, tidak ada pada ideologi-ideologi dan juga fahaman-fahaman yang direka-reka manusia.

Islam juga mengajar umatnya membentuk identiti berpakaian yang baik dan lulus piawaiannya untuk kehidupan yang harmoni di dunia. Piawaian berpakaian dalam Islam adalah pakaian yang menutup aurat dengan sempurna – dengan memberi kebebasan untuk manusia berfesyen mengikut kehendak masing-masing, asalkan piawaian menutup aurat dengan sempurna itu tidak dilanggari.

Islam juga mengajar umatnya kaedah berkomunikasi, cara berinteraksi sesama manusia, sikap terhadap ibubapa dan orang-orang tua, pembudayaan ilmu dan intelektual, mengajar erti kesabaran dan kesungguhan dan banyak lagi aspek-aspek yang jika seseorang itu berjaya keseluruhannya, dia akan menjadi icon yang baik.

Cuba kita renung diri kita, apakah identiti kita adalah identiti Islam? Atau berapa peratuskah kita mengimplementasi imej Islam dalam pembinaan identiti kita? Atau kita tidak pernah cakna apa perlunya bersusah payah menentukan identiti diri? Kita dapat lihat hari ini, masyarakat kita lebih mengagungkan identiti Barat. Lihatlah pakaian kita, akhlak kita, cara pergaulan kita, cara pemerintahan kita, dan sebagainya, semuanya berkiblatkan Barat. Semuanya kita tiru acuan Barat, walaupun kita yakin bahawa Barat membawa identiti yang merosakkan umat manusia.

Bukan sahaja masyarakat kita, termasuk mahasiswa berbangga dengan identiti Barat, malah malu pula untuk menonjolkan identiti Islam, yang kita yakini. Lihatlah jika berjubah dan berserban di pusat-pusat bandar, akan dipandang pelik oleh manusia berbading mamat-mamat yang memakai jeans koyak rabak. Hatta, nama sekalipun, umat kita malu untuk emnonjolkan identiti Islam.

Umat Islam hari ini malu untuk menjunjung identiti Islam tu sendiri. Misalnya kita tengok, orang yang bernama Muhammad, suka dipanggil Matt. Syazwan, Syazzy. Zaidi, Jedi. Syakirin, Shark (mak oii ganas). Aminah, Amy dan Khatijah, Kate. Kalau Melur? Mungkin Melly. Tapi kalau nama Melur tu salah ibu mengandung lah kot. Nama klasik sangat. Hahaha. Apa-apapun, apabila kita sebut nama Melly ,yang kita nampak, gadis KL, baju ketat, jalan gelek 180º, lepak dengan member-member ditepi-tepi longkang pasaraya. Melur? Gadis kampung, sopan-santun, jalan tunduk, gigit jari. Huhu…

Ungkapan yang mengatakan umat Islam hari ini hanya tinggal Islamnya pada nama, seperti sudah tidak benar. Mereka malu pada nama Islam mereka. Nama yang baik sedikit sebanyak akan mempengaruhi akhlak seseorang itu. Renunglah rakan-rakan dalam kelas kita. Bagaimana akhlak mereka dan cuba hubungkaitkan dengan nama sebenar dan juga nama panggilan mereka. Pasti ada sesuatu yang akan membuatkan anda tersengih, sekiranya anda dapat memahami perkara ini.

Teringat dialog begini lebih kurang bunyinya…

tolong passing kertas ni kepada akak jem”

Aku menerima kertas yang dimaksudkan. Tercatat nama Nur Jamaliah di kertas.

ini nama dia ke? mana dia

ya, nama dia. dia sedang berbual di meja AJK

Aku memandang ke arah wanita yang dimaksudkan. Opss.. memang jem…

Nama Nur Jamaliah, cahaya kecantikan. Lekat nama Jem saja. Mengikut loghat Klate nyo, jem tu jeng… teruk, beghat… kalau rasa nama tu panjang sangat, panggil lah Nur ke, Jamaliah ke (Nama penuh lagi bagus). Malu sangat agaknya dengan nama Nur. Kalau dipanggil Nur, takut dicop baik, warak atau mungkin takut tak boleh pakai ketat-ketat. Kalau dipanggi Jamaliah takut diri perasan cantik. Jem pun jem laa. 😀

Dalam kita membentuk identiti diri, kita memerlukan panduan yang sokongan daripada persekitaran. Jika hari ini kondisi persekitaran adalah tidak banyak membantu, maka kita perlu wujudkan persekitaran itu sekalipun persekitaran itu kecil dan tidak menyeluruh. Caranya adalah dengan berjemaah. Berkumpulan. Berorganisasi. Apabila kita bersama dengan rakan-rakan yang juga mahu membina identiti yang baik (baca = identiti Islam) dalam satu jemaah, kita sudah memulakan langkah membentuk suasana yang kondusif untuk pembinaan identiti diri. Anasir-anasir buruk yang masih ada, akan sedikit sebanyak tersejat keluar sekiranya kita benar-benar ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam jemaah.

Lihatlah tokoh-tokoh Islam yang hebat. Mereka tidak hebat dengan bersendirian. Mereka tidak akan dapat menjadi icon kepada umat jika mereka tidak bersama-sama jemaah. Jadi, kita mesti yakin bahawa ALLAH akan bersama-sama dengan orang-orang yang berjamaah. Dalam solat sekalipun, kita disarankan solat berjamaah bagi mendapatkan solat yang berkualiti untuk diterima di sisi ALLAH.

Binalah identiti tersendiri yang berlandaskan Islam. Tidak perlu untuk terus berjubah dan berserban. Mulakan dengan langkah berpakaian yang menutup aurat, smart, bersih dan kemas. Bersikaplah dengan sikap tenang, sabar, pemaaf dan murah hati. Kuasasilah ilmu agama dan ilmu akademik. Tanamkan kesemua identiti ini dalam kumpulan usrah dan jemaah. Kembangkan seterusnya, dan sekiranya identiti anda popular, anda akan ditiru cara berpakaian anda. Anda akan ditiru cara berjalan, cara bercakap, cara berinteraksi dan sebagainya. Ketika itu, anda sudah mula menjadi icon mahasiswa, icon masyarakat dan icon umat. Selarilah pula dengan jolokan mahasiswa icon masyarakat, iaitu setiap perlakuan mahasiswa menjadi contoh ikutan masyarakat. Bukan sebaliknya, mahasiswa mudah terpengaruh dengan gejala buruk dari luar. Kita semua sudah tahu bahawa setiap perkara yang baik, akan menerima ganjaran pahala. Jika amalan baik kita menjadi ikutan, maka bergandalah ganjaran yang ALLAH janjikan.

Bagi membina identiti diri, kita perlulah mempunyai icon untuk kita contohi. Contoh agung adalah RasuluLLAH. Akan tetapi jarak baginda dengan kita terlalu jauh. Kita kecilkan skop. Icon TG Nik Aziz juga baik. Bagi kita selaku mahasiswa kampus kejuruteraan, atau disebut bakal engineer, rasa-rasanya DS Ir Mohd Nizar boleh menjadi icon kita. Beliau adalah engineer, menteri besar, imam solat, pemimpin peringkat kawasan dan sebagainya. Lihat bagaimana beliau mengurus masanya, mengurus diri dan kelaurga dan terkini beliau berdepan dengan ujian krisis undang-undang di Perak. Betapa teguhnya hati beliau dan hebatnya kesabaran beliau, beliau dapat menjalani ujian ini dengan tenang. Dan jemaah yang bersama-sama beliau memberi sokongan padu dalam membentuk beliau sebagai icon kita.

WaLLAHu a’lam…

Rapat umum ‘meriah’…

Rapat umum semalam… cuba tengok bilangan org yang hadir. Rasanya tak sampai 10% pun mahasiswa yang hadir untuk menyaksikan rapat umum tersebut.

Kenapa dengan orang yang tidak hadir? Adakah mereka banyak kerja lain? Banyak assignment? Study? Atau leka bermain Game? Malah ada yang kata pemilihan MPP bosan – hanya orang yang nak publisiti saja join.

Tak kisah apa-apa urusan mereka, apa yg kita dapat lihat, mahasiswa USM KKj ni tidak berminat dgn politik kampus. Tidak berminat dengan pemilihan pemimpin mereka. Tidak juga berminat mengenali siapa pemimpin yang mereka akan undi nanti.

Yang hadir hanyalah beberapa orang penyokong calon, provokator, dan orang yang kebetulan sedang makan… kiranya tak sampai 10% mahasiswa yang hadir. Rapat umum adalah program yang penting yang dianjurkan oleh pihak universiti. Jika tidak penting kenapa TNC pernah hadir. Kenapa malam tadi Prof Rahman juga hadir.

Jika program penting ini tidak mendapat sambutan mahasiswa, rasanya menang atau kalah calon-calon yang bertanding, tidak membawa apa-apa makna. Hampir-hampir saja sama levelnya dengan pemilihan secara perbincangan.

Kenapa warganegara dibolehkan mengundi bermula pada umur 21 tahun? Kenapa tidak bermula dari umur baligh, 15 tahun sekurang2nya? Kerana secara amnya, seseorang yang berumur 21 tahun ke atas mampu menimbang, menganalisis, memahami hujah dan suasana sebelum memilih seseorang pemimpin. Tidak memilih berdasarkan sentimen kepuakan, emosi dan sebagainya.

Jadi, sepatutnya mahasiswa yang akan mengundi nanti, perlu mempunyai maklumat yang secukupnya untuk difikir dan dianalisis sebelum membuat pilihan. Memilih MPP tidak sepatutnya dipilih seperti pemilihan ketua kelas di sekolah. Bagaimana mahu dapat maklumat, jika majlis rapat umum lengang sahaja? Siapa yang kata crowded, memang jenis tak cukup zat.

Rapat umum semalam, menunjukkan mentaliti mahasiswa terhadap pilihanraya kampus sangat tidak memberansangkan. Tidak penting bagi mereka. Yang seronoknya, main game. Berchatting. Usah peduli semua itu. “Aku bukan jenis gila kuasa…”.

Jadi, rasanya mana-mana calon yang menang nanti, adalah elok sekiranya anda bukan sahaja menyempurnakan kebajikan mahasiswa, bukan sahaja membawa suara mahasiswa, malah boleh berusaha menggilap semula mentaliti mahasiswa terhadap program-program anjuran universiti. Universiti Apex, bukan sekadar nama yang kita mahu, tetapi transformasi mahasiswanya ke arah lebih intelektual dan profesional juga perlu.

Pilihanraya Kampus USM Kampus Kejuruteraan

Hari ini calon-calon sudah mula berkempen. Tetapi suasana pilihanraya kampus ini pada pendapat aku, tidak meriah. Kenapa? Kalau ada orang rasa meriah, mungkin mereka syok sendiri. 
Perang poster tidak banyak kelihatan. Meriahkah? Adakah calon-calon kurang dibantu? Kasihan.
Kenapa tidak meriah?
Sepatutnya ada tujuh kerusi dipertandingkan.
Tetapi hanya satu kerusi, konstituensi umum sahaja dipertandingkan.
Di mana kerusi konstituensi-konstituensi pusat pengajian?
Rasa sekali lagi konstituensi pusat pengajian tiada pertandingan seperti tahun-tahun sebelumnya. Menang tanpa bertanding, ataupun dilantik khas. Itu saja andaian yang boleh aku buat.
Jadi PRK ini dapat dilihat satu lawan satu, antara Abul dan Aini, yang kedua-duanya mengaku mewakili mahasiswa, bukan pro mana-mana kumpulan.
Aini atau Abul? Abul atau Aini? Yang mana satu pilihan anda? Tunggu rapat umum malam nanti.
Tahniah kepada Abul dan Aini, kerana menghidupkan demokrasi dalam kampus, walaupun agak dingin suasananya. Menang atau kalah, nombor dua. Anda berdua berjaya mengembalikan demokrasi dalam kampus. Selamat berkempen!

Sekitar demonstrasi mahasiswa – Selamatkan Palestin

Sebahagian gambar Demonstrasi Selamatkan Gaza yang dihadiri oleh mahasiswa-mahasiswa seluruh negara yang cintakan Islam. Demonstrasi bemula di Masjid As-Syakirin KLCC menuju ke kedutaan Mesir selepas solat Jumaat 9 Januari 2009. Anggaran lebih 5000 mahasiswa yang hadir.

Bermula dari Masjid As-Syakirin KLCC

Bergerak selepas solat Jumaat

Bersemangat

“Hancur, Hancur… Hancur Israel!”

Mahasiswa Islam dari IPT seluruh negara berarak ke kedutaan Mesir

Gerakan Mahasiswa menyatakan sokongan kepada Palestin

Berkumpul di hadapan Kedutaan Mesir

Meminta Mesir membuka laluan kemanusiaan di sempadannya!

Menunggu memorandum disampaikan kepada wakil kedutaan Mesir

Ahli Parlimen Titiwangsa, YB Dr Lo’Lo’ turut hadir

Mendengar ucapan para pemimpin mahasiswa

Ketika rakyat Palestin menderita dibunuh, pemuda-pemudi Islam dalam negara kita masih leka berseronok dengan keseronokan dirinya. Namun masih ada segelintir mereka yang sedar, bersimpati dan cakna terhadap apa yang berlaku di Palestin. Perasaan marah kepada rejim pengganas membuak-buak. Namun apalah daya kita untuk membantu. Mungkin demonstrasi beginilah yang mampu kita lakukan untuk memberi sokongan moral saudara kita di Palestin. Jika semudah demonstrasi pun kita tidak teringin atau takut menyertainya, usahlah berangan-angan mahu menawarkan diri berjihad di bumi Palestin!

Politik baling kerusi, Melayu semakin menuju kelas ketiga!

Baca saja berita-berita di akhbar atau tonton berita di televisyen, asyik-asyik cerita UMNO. Kemudian bermacam-macam persoalan timbul dalam fikiran dan ulasan tentang UMNO ini. UMNO sekarang kelihatan cuba mengembalikan kekuatannya, dan dengan Dato Najib sebagai bakal Presidennya dengan menang tanpa bertanding, UMNO rasa bagaikan kembali menjadi kuat (?).

Posting kali ini berkisar tentang politik UMNO. Apakah aku tidak boleh berpolitik? Jawabnya boleh. Mahasiswa sangat dialu-alukan berpolitik. Kawan-kawanku di kampong boleh berpolitik dengan bebas, kenapa aku di university Apex tidak bebas menyatakan pendapat politikku? Bagaimana mungkin mahasiswa tidak boleh berpolitik sedangkan hakikatnya kita dilingkungi oleh anasir-anasir politik yang mempolitikkan kita dan memperalat kita bagi memenuhi kehendak politik mereka samada kita sedar atau tanpa kita sedari. Jadi kita juga perlu memahami politik untuk mengelak diri kita daripada tertipu dengan politik politikus di sekeliling kita.

Baik, kembali semula kepada isu UMNO. UMNO adalah parti nasionalis Melayu. Parti kaum Melayu. Maka tidak salah kita sebut UMNO adalah parti perkauman. Sebagai orang Melayu, tidak salah kita mengkritik UMNO, kerana terdapat golongan yang berfikiran bahawa UMNO itu Melayu dan Melayu itu UMNO.

Oleh kerana terdapat persepsi demikian, maka apa yang berlaku dalam UMNO sedikit sebanyak menggugat imej kita sebagai orang Melayu di mata dunia, sekalipun kita tidak menyokong atau bersetuju dengan UMNO. Lihatlah sekarang di mana berlakunya adengan merebut jawatan yang dikira sudah semakin parah. Politik duit menjadi darah daging UMNO sedikit sebanyak menggambarkan Melayu memang mata duitan dan perasuah (?). Adengan membaling kerusi dalam pemilihan di peringkat bahagian juga tidak sedikit membuatkan kita malu. Melayu gila jawatan! Mungkin itu yang dunia Nampak, kerana setiap hari berita berebut jawatan, malah jawatan itu hanyalah peringkat bahagian saja pun, sudah sampai baling-baling kerusi.

“Siapa lawan aku, aku baling kotak kayu ni atas kepala dia” – gambar hiasan

Dunia melihat bahawa Melayu berpolitik seperti budak-budak agaknya. Gelagat tidak waras yang ditunjukkan oleh pemimpin UMNO atas dan bawah mencemarkan imej Melayu. Kalau Amerika, lihatlah bagaimana profesionalnya Hillary dan Obama melobi. Bagaimana jauh lebih baik kempen Obama dan McCain dalam merebut kerusi Presiden Amerika berbanding UMNO. Melayu sudah sampai ke tahap baling kerusi sekalipun hanya kerusi UMNO bahagian yang direbutnya.

Malu kita sebagai orang Melayu apabila UMNO yang berwarna Melayu menjadi begitu teruk. Ah… Tiada apa yang perlu dimalukan akibat perbuatan UMNO. Kalau kita bersikap perkauman Melayu, memang patut malu. Jika tak mahu malu, usah terlalu keMelayuan. Berjuanglah atas nama Islam. Kita sebagai seorang Muslim. Melayu hanya label murahan saja. Sama saja murahnya dengan label-label Cina, India, Arab, Jawa dan sebagainya. Tak berkesudahan jika hanya berjuang atas nama label. Tiada kemuliaan di sisi Raja Segala Raja melainkan bezanya adalah level ketaqwaan.

Kita pula sebagai mahasiswa, sepatutnya mampu menilai siapa UMNO dan kepimpinannya. Apa matlamat UMNO, dan bagaimana cara UMNO merealisasikan matlamatnya. Jangan kerana sokongan kita generasi muda kepada UMNO, membuatkan kita menjadi susah suatu hari nanti. Mahasiswa wajar berfikiran jauh, sesuai dengan levelnya sebagai pemimpin masa depan. Jangan terpengaruh dengan politikus-politikus UMNO yang sudah tua. Kita perlu mencorak masa depan generasi kita dan generasi seterusnya.

Kalaupun ada antara kita mahasiswa, yang sudah bertekad untuk hidup dan mati dalam UMNO, maka tidak bermakna anda tidak boleh mengkritik UMNO. Tidak bermakna anda harus ikut telunjuk orang-orang tua UMNO yang sudah rosak akhlaknya. Apakah anda juga mahu sama dengan level mereka yang baling-membaling kerusi? Berjuang dalam UMNO adalah perjuangan duit. Berjuang membolot harta dunia yang tidak ke mana-mana. Slogan berjuang untuk Melayu hanya gula-gula meraih sokongan. Hakikatnya tiada apa pun pembelaan kepada Melayu dengan ikhlas. Jika bantu, hanyalah bantuan itu tersembunyi agenda dibelakangnya.

Lihatlah level Melayu hari ini. Sepatutnya setelah 50 tahun merdeka, Melayu sudah maju. Melayu sudah tidak perlu bertongkat lagi. Tetapi sana sini Melayu terpinggir di bumi sendiri. Melayu semakin menghampiri bangsa kelas ketiga dalam Negara sendiri. Pandanglah dan lihatlah penduduk Bandar. Berapa kerat sahaja Melayu yang hidup di Bandar-bandar besar? Sesungguhnya hanya golongan elit Melayu UMNO sahaja yang dibuai kesenangan. Melayu lain hanyalah menjadi batu loncatan golongan elit ini untuk terus berkuasa. Elit Melayu sanggup menjadibodohkan Melayu lain kerana apabila Melayu sudah berjaya menjadi bodoh, mudahlah elit-elit ini memperbodohkan Melayu untuk terus berkuasa.

Banyakkanlah berjalan dan merantau melihat kedudukan orang Melayu di bawah. Jangan fikir dengan kesenangan kita dan keluarga di sekeliling kita, ia sudah menggambarkan keadaan Melayu itu sudah senang lenang. Silap. Melayu sebenarnya sudah menghampiri bangsa kelas ketiga. Cina dan India pula semakin membina kelasnya tersendiri dalam Negara kita. Bukan salah Cina dan India, tetapi salah pemimpin-pemimpin Melayu sendiri yang hanya berpolitik untuk kepentingan diri dan kroni, bukan untuk bangsa sendiri.

Marilah kita mengubah persepsi dunia bahawa Melayu bukanlah UMNO. Kesilapan UMNO bukan kesilapan Melayu. Buruknya UMNO adalah akibat perjuangan mereka sendiri yang salah dan bersifat asobiyah perkauman. Jangan kita terjebak dalam politik kebudak-budakan UMNO. Sebagai golongan muda dan terpelajar, kita tidak akan melayan karenah perkauman yang diperalatkan UMNO untuk terus berkuasa.

Berjuanglah bersama-sama gerakan Islam. Islam akan relevan sampai bila-bila. Melayu tidak akan relevan selama-lamanya. ‘Dulu, kini selamanya’ hanyalah slogan khurafat UMNO. Tiada sesuatu yang kekal melainkan ALLAH.Hidup kita tidak lama. Melayu takkan dapat tolong kita di akhirat. UMNO lebih-lebih lagi tiada nilai di akhirat. Kembalilah kepada Islam dengan sebenar-benarnya.

Pengajian Islam di USM akan membebankan mahasiswa?

Kenapa perlu Islamic Study… bla-bla…

Itu reaksi pertama dan spontan daripada seorang pelajar non-Muslim apabila seorang sahabat mencadangkan agar subjek Islamic and Moral Study diperkenalkan sebagai subjek elektif atau kursus wajib universiti, dalam satu program talk petang semalam, mengenai cadangan mahasiswa kepada perlaksanaan program-program Universiti Apex.

Gambar Hiasan

Kita yang berada di USM Kampus Kejuruteraan, bermula dari tahun pertama, sehingga tahun akhir, hatta ijazah tinggi sekalipun, tidak ditawarkan sebarang kursus sedemikian. Dengan kata lain, kursus-kursus kejuruteraan di USM ini terpisah terus daripada roh Islam. Sahabat yang mencadangkan tadi menjelaskan sebab perlunya kursus tersebut kepada mahasiswa dan Universiti Apex.

Pelajar non-Muslim tersebut tidak berpuas hati dengan title Islamic Study, lalu mencadangkan dimansuhkan Islamic, diganti dengan Culture Study. Nampaknya Islamofobia tetap wujud dalam masyarakat hari ini.

Saya tidak bersetuju. Ia akan menambah beban pelajar

Lebih kurang begitu bunyinya suara seorang mahasiswa Muslim yang membantah cadangan memperkenalkan Islamic Study. Kalau pelajar non-Muslim tadi, kita faham, yang dia tidak faham mengenai Islam. Islamofobia bersarang dalam benaknya. Tetapi mengejutkan apabila mahasiswa Islam sendiri menolak cadangan tersebut.

Jika kita letakkan sebagai subjek elektif, ia tidak membebankan

Sahabat yang mencadangkan bersuara. Dialognya lebih kurang begitulah.

“Setelah jadi Universiti Apex, pelajar undergrad akan berkurangan. Apa yg akan terjadi kalau terlalu banyak subjek ditawarkan? Siapa yang nak ambil?” bantahnya lagi.

Ah, itu pemikiran yang prejudis terhadap apa saja yang berkaitan dengan Islam. Sedangkan subjek Bahasa Russia, Bahasa Perancis, ditawarkan, berapa kerat mahasiswa yang daftar? Kenapa tidak timbul isu tiada orang nak ambil kursus itu?

Lagipun subjek-subjek Islamik itu sudah diajar di sekolah-sekolah dulu

Dia terus berhujah untuk menolak cadangan murni sahabat tadi. Sedangkan pelajar non-Muslim tadi hanya berdiam diri sahaja, mungkin berasa lega disebabkan orang Islam sendiri yang sanggup menjadi jurucakapnya – menolak cadangan Islamic Study itu.

Jika begitu, mansuhkanlah subjek BM (LKM400) dan BI (LMT100, LSP 300, LSP404 dll) di USM.

Pantas saja sahabat yang mencadangkan itu menjawab. Dialog seterusnya tidak ku ingat. Tetapi sedikit perdebatan kecil berlaku. Akhirnya perkataan islamic itu digugurkan daripada cadangan asal, bertukar menjadi Culture, Moral and religion study… lebih kurang begitulah.

Bagaimana pandangan kita mengenai perkara di atas?
Baru satu usaha mencadangkan sahaja, sudah ditolak. Islamofobia jelas bersarang dalam diri non-Muslim, dan sikap prejudis pula wujud dalam sesetangan mahasiswa Muslim.

Sepatutnya, kita selaku Mahasiswa Islam akan berbangga jika cadangan itu dilaksanakan. Pengajian Islam di kampus Kejuruteraan, menjadi kursus elektif, atau option pun sudah memadai untuk permulaan. Tidak perlu timbul isu tiada orang yang akan ambil, sudah belajar di sekolah, mahasiswa sudah matang dan boleh fikir sendiri, membebankan dan sebagainya.

Kita lihat sahaja subjek Bahasa Russia. Apa relevannya belajar bahasa Russia, melainkan kepada mereka yang ingin ke Russia? Berapa ramai yang daftar kursus tersebut. Jika sedikit kenapa tidak dimansuhkan, sedangkan subjek Islamic Study yang belum tentu sedikit yang mendaftar, ditolak mentah-mentah cadangan tersebut.

Apa pula relevannya belajar subjek Teknik Berfikir? Pada dasarnya, Teknik Berfikir membantu pelajar belajar berfikir secara sistematik dan profesional. Tetapi hakikatnya subjek tersebut tidak mempamerkan output yang sepatutnya. Maka apa salahnya diperkenalkan Islamic Study. Sesiapa yang tak mahu ambil, tiada siapa yang paksa ambil.

Jika pelajar non-Muslim tersebut tidak suka kepada title Islamic Study, tak usah lah ambil. Kenapa dia tidak mahu mencadangkan agar subjek Bhuddism/Hinduism/Christian Study diperkenalkan? Biar penganut-penganut mereka yang mendaftar. Kenapa sibuk menganggu cadangan mengenai Islam?

Program yang MPP anjur tersebut adalah untuk mahasiswa memberi cadangan. Jadi berilah apa saja cadangan. Seterusnya pihak atasanlah yang akan memutuskannya. Tidak perlu timbul tidak bersetuju dengan cadangan itu dan ini kerana bukan kerja kita. Itu kerja pentadbiran universiti.

Berbalik kepada sikap prejudis terhadap title Islam. Sebagai mahasiswa Islam kita harus fahami betapa perlunya pendidikan Islam setiap masa dan peringkat. Bukan hanya di sekolah sahaja. Kita tidak wajar mengenepikan Pengajian Islam semata-mata kerana kita adalah pelajar kejuruteraan.

Wahai sahabat-sahabat MPP yang ada. Bukalah minda, cadangkanlah sesuatu yang boleh membantu mahasiswa Muslim memahami aqidah Islam, akhlak Islam dan sebagainya. Kita tidak mahu produk Universiti Apex yang rosak akhlak dan tidak takut kepada ALLAH. Jika sahabat-sahabt MPP berjaya membuat suatu perubahan ini terhadap sistem akademik USM terutamanya kampus kita ini, yakinlah kepada ganjaran yang ALLAH akan berikan kepada kalian.

Akan tercatat dalam sejarah, anda adalah sebahagian yang berjuang mewujudkan pengajian Islam dalam kampus ini. Walaupun anda tidak sempat mengikuti subjek tersebut, tetapi anda sudah berjasa kepada generasi Mahasiswa Muslim seterusnya. Walaupun tidak sebesar mana, kita boleh mengharapkan bahawa itulah amal-jariyah kita selagimana terlaksananya kursus tersebut dan bukti kita cintakan Islam. Wallahu A’lam.

Artikel berkaitan :Tidak lengkap USM tanpa Pengajian Islam

Mahasiswa Kedah Tubuh NGO

KUALA LUMPUR : Keprihatinan, kepekaan dan kesungguhan telah ditunjukkan oleh mahasiswa-mahasiswa Kedah terhadap perpaduan rakyat, semangat integrasi, soal-soal kebajikan dan juga sumbangan serta khidmat bakti mereka kepada masyarakat terutamanya di negeri Kedah, telah terbukti dengan tertubuhnya sebuah badan NGO baru, yang dinamakan Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA).

Persatuan Mahasiswa Darul Aman atau ringkasannya PERSADA, ditubuhkan dibawah ikatan amanah dan dijadikan sebagai satu medium terbaik untuk mahasiswa-mahasiswa Kedah, sama ada yang berada di dalam dan juga di luar negara, menggagaskan dan memperluaskan peranan mereka hingga mencapai tahap yang optimum, demi kebaikan seluruh mahasiswa anak-anak Kedah dan masyarakat khususnya untuk rakyat negeri Kedah itu sendiri.


Dengan tertubuhnya PERSADA yang menaungi semua persatuan-persatuan mahasiswa dan pelajar negeri Kedah di setiap IPTA dan IPTS, persatuan mahasiswa dan pelajar di semua Institut Perguruan dan maktab, kolej-kolej, politeknik-politeknik, sama ada di dalam dan juga di luar negara, ia diharapkan mampu menjadi wadah kesatuan buat semua mahasiswa anak jati negeri tersebut.


PERSADA yang telah didaftarkan secara sah dan rasmi sebagai sebuah badan NGO yang bebas, turut menyertai gabungan badan-badan NGO seluruh negeri Kedah yang lebih dikenali sebagai WEHDAH. Daripada sambutan yang agak memberansangkan dan juga respon positif yang telah ditunjukkan oleh mahasiswa-mahasiswa Kedah atas penubuhan PERSADA ini, menyerlahkan kesungguhan dan kesanggupan mahasiswa-mahasiswa Kedah berganding bahu dan bekerjasama bagi mencapai matlamat penubuhannya.


Antara matlamat penubuhan PERSADA ini ialah untuk menganjurkan sebarang aktiviti kebajikan bagi mahasiswa-mahasiswa Kedah yang berada di dalam mahupun di luar negara. PERSADA juga bermatlamat untuk menjayakan dan melaksanakan kerja-kerja ke arah memaksimumkan pengupayaan mahasiswa dan masyarakat melalui peningkatan ilmu, kemahiran, pengalaman dan daya inisiatif untuk membangunkan mereka dengan nilai-nilai murni yang kondusif.


Selain itu juga, penubuhan PERSADA turut bertujuan untuk mengadakan kerjasama dengan badan-badan dan pertubuhan-pertubuhan di peringkat negeri dan juga nasional dalam usaha mencapai matlamatnya. Penubuhan PERSADA secara tuntasnya bertindak sebagai wadah yang dapat mengemblengkan tenaga, idea, gerak kerja dan usaha, seterusnya memacu mahasiswa Kedah di seluruh Malaysia dan di luar negara, untuk memberi dan mencurahkan khidmat bakti kepada masyarakat.


Menurut Presiden Penaja PERSADA, Mohd Faisal bin Mustaffa, dengan termaktubnya PERSADA ini sebagai badan NGO berdaftar, beliau berharap PERSADA dapat menjadi medan terbaik untuk mahasiswa-mahasiswa Kedah dari pelbagai kaum dan agama, sama ada di dalam dan di luar negara, berkumpul dan duduk di bawah naungan yang satu, iaitu PERSADA, demi penyatuan mahasiswa Kedah itu sendiri.


Beliau juga menegaskan bahawa melalui PERSADA jugalah mahasiswa dapat bergerak dengan lebih aktif untuk membantu masyarakat terutamanya di negeri Kedah, di atas nama sebuah badan NGO yang sah.


Hasrat beliau lagi agar PERSADA yang ditubuhkan atas dasar menyedari kepentingan hubungan keintelektualan mahasiswa dengan masyarakat, dalam mendepani arus sebenar dalam dunia masa kini, mendapat sokongan dan kerjasama daripada pelbagai pihak, bagi merealisasikan apa yang telah direncanakan. – Sumber


Web SiswaKedah : http://www.siswakedah.com