Raja di atas politik, apa pula di atas raja?

‘Raja berada di atas politik’

KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Azlan Shah semalam menegaskan, Raja berada di atas politik dan tidak boleh berdebat secara terbuka bagi menjawab serta memberi penerangan untuk menangkis tohmahan dan fitnah yang dilemparkan kumpulan politik tertentu.

Bagaimanapun, titah baginda, tindakan kumpulan politik berkenaan yang sampai ke peringkat menghasut rakyat untuk mencetuskan huru-hara selain mencemar institusi Raja dengan menyemai rasa benci rakyat umpama ‘menyalakan api dalam sekam” yang amat berbahaya serta boleh memusnahkan kerukunan rakyat dan negara.

Bertitah pada istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri Perak sempena ulang tahun keputeraan ke-81 baginda di Istana Iskandariah, semalam, Sultan Azlan Shah kesal dengan perbuatan kuasa politik mencemar dan mempamerkan wajah hodoh dengan membenarkan kelakuan orang-orang sedemikian.[Baca Lagi…]

Ada benarnya titah Sultan Azlan. Raja berada di atas politik. Raja berada atas perlembagaan, bagi mengawal keharmonian negara, bukan sekadar apa yang tersurat dalam perlembagaan. Raja boleh bertindak berlandaskan budi bicaranya sekiranya perlembagaan sesebuah negeri itu tidak dapat memberikan rasa puas hati kepada semua pihak. Raja berada di atas politik bermakna Raja tidak akan dipengaruhi oleh makhluk-makhluk yang meraih kuasa politik.

“Raja pemerintah mempunyai tanggungjawab lebih luas dalam memastikan bahawa semangat Perlembagaan, falsafah di sebalik setiap undang-undang yang tersurat, kepentingan negara dan warga negara perlu sentiasa dilindungi.”

Dalam masa-masa tertentu, Raja perlu menongkah arus perlembagaan sekiranya keadaan yang berlaku tidak dapat diselesaikan oleh perlembagaan dan undang-undang tubuh negeri, kerana perlembagaan bukanlah suatu piagam dan peraturan yang sempurna dan tiada kecacatan. Perlembagaan adalah hasil karya manusia. Perlembagaan adalah hasil pemikiran manusia yang serba cetek. Jadi perlembagaan tidak akan sempurna sekalipun di rombak dan dipinda, kerana yang merombak dan yang meminda perlembagaan juga adalah manusia yang hanya menguna logika akalnya.

Maka logiklah, dalam keadaan tertentu, Raja bertindak menjadi autoriti menongkah arus perlembagaan, membuat keputusan sekalipun bercanggah dengan beberapa peruntukan dalam perlembagaan. Raja adalah di atas perlembagaan.

Pada masa yang sama, Raja juga adalah manusia. Raja juga tidak sempurna. Bohonglah kalau mengatakan Raja itu sempurna dan kuasanya boleh menyelesaikan semua masalah yang tidak dapat diselesaikan perlembagaan. Raja hanya menampung kekosongan dan kecarikan perlembagaan. Sifat penampung, bila-bila pun tidak sempurna.

Raja di atas politik. Raja di atas perlembagaan. Tetapi patut kita ingatkan bahawa Islam di atas raja. Islam di atas politik. Islam adalah di atas perlembagaan. Islam itu tinggi dan, tiada yang lebih tinggi daripadanya. Islam adalah tatacara hidup yang sempurna. Islam adalah satu peraturan hidup yang sempurna. Islam bukan nukilan manusia. Ia adalah modul ALLAH untuk keharmonian hidup manusia. Itu kita perlu sedar.

Sehebat-hebat Raja, perlu tunduk kepada Islam. Islam mengandungi aspek keadilan, keamanan, cara berpolitik dan sebagainya. Raja adalah tidak sempurna, dan punya banyak kelemahan, perlu merujuk kepada Islam – prinsip keadilan. Sebagaimana perlembagaan perlu merujuk kepada Raja, Raja juga perlu merujuk kepada prinsip keadilan. Raja tidak boleh bertindak melampaui batas prinsip keadilan, sebagaimana perlembagaan tidak dapat mengatasi kuasa Raja. Prinsip keadilan yang sempurna diajar dalam Islam.

Maka keharmonian sesebuah negara bukanlah bergantung kepada keluhuran perlembagaan semata-mata kerana kesetiaan kepada raja dan negara berada di atasnya. Dan perlu ingat, Kepercayaan kepada Tuhan adalah di atas kesetiaan kepada Raja dan negara. ALLAH adalah Raja kepada segala jenis raja di langit dan bumi. Maka raja-raja di bumi usah angkuh dengan kuasa yang ada. Penggubal-penggubal perlembagaan usah mendabik dada. Semuanya adalah pinjaman dari-Nya, dan Dia Maha Berkuasa menjatuhkan kekuasaan Raja sekiranya Dia menghendaki, sebagaimana jatuhnya kerajaan Namrud, binasanya kerajaan Fir’aun, tersungkurnya kekuasaan raja Rom dan Parsi.

Perlembagaan boleh dilanda krisis. Raja juga kadang-kadang berlaku krisis. Islam tidak akan dilanda krisis, malah menjadi penyelesai kepada segala krisis yang melanda. Terpulang kepada manusia samada menggunakan akal fikiran manusia ataupun mendapat panduan dari modul ALLAH, yakni Islam, untuk menghadapi pergolakan sesuatu perlembagaan.

WaLLAHu a’lam.

Siapa lebih gembira? Bersedia untuk PRK akan datang pula….

Tahniah!

Parti Islam, PKR dan BN masing-masing berjaya memenangi satu kerusi di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai. Ketewasan BN di dua ‘bukit’ mungkin memberi isyarat pertama berakhirnya dinasti BN setelah lengkapnya teori R.A.H.M.A.N. AlhamduliLLAH, setelah gigih berusaha, kuat bekerja, disusuli doa dan tawakkal kepada ALLAH, Parti Islam berjaya memenangi kerusi Perlimen Bukit Gantang, dan sekutunya PKR berjaya mempertahankan juga kerusi Bukit Selambau. Takziah kepada BN kerana hanya berjaya memenangi Batang Ai.

Bagi Parti Islam dan PKR, serta juga DAP dalam gabungan yang dinamakan Pakatan Rakyat ini, kemenangan dua bukit ini menggambarkan sentimen penolakan terhadap BN masih mempunyai momentum yang kuat di semenanjung Malaysia. Malah kemenangan Ir Nizar memberi isyarat kepada BN bahawa kempen ‘Nizar Derhaka’ tidak berjaya mempengaruhi majoriti rakyat Perak sendiri.

Tahniah sekali lagi dan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam usaha sepanjang pilihanraya kecil ini termasuk para petugas dari seluruh ceruk negeri dan kawasan, para aktivis politik, para bloggers, anggota-anggota unit amal, para perayu undi dan seterusnya para pengundi yang mengundi calon Pakatan Rakyat! Sesungguhnya usaha kalian hanyalah dapat dinilai oleh-Nya. Alangkah terharunya apabila mendengar berita, petugas yang nun datang dari jauh dengan menjual ternakan serta bergadai tanah semata-mata untuk datang ke Bukit Gantang bagi memenangkan calon Parti Islam. Alangkah terharunya apabila melihat pak cik-pakcik tua, anak-anak muda, remaja-remaja, makcik-makcik dan srikandi-srikandi bekerja keras setiap malam dan siang semata-mata untuk melihat Parti Islam dan Pakatan Rakyat menang.

Sesungguhnya tidak sama kegembiraan antara penyokong dan para petugas. Penyokong pasti gembira dengan kemenangan ini, tetapi para petugas lebih-lebih lagi gembira dan merasai manisnya kememangan ini. Lihatlah para penonton dan penyokong seseuatu pasukan bola sepak. Mereka akan bersorak kegembiraan apabila pasukan yang mereka sokong menang. Akan tetapi setakat mana tahap kegembiraan mereka? Sudah tentu mereka hanya menang sorak. Bagaimana pula keadaan para pemain pula? Mereka pasti lebih gembira, dan juga dapat menjulang piala serta imbuhan-imbuhan tertentu hasil kemenangan mereka. Siapa yang lebih merasai kemanisan ‘menang’ itu? Tentulah para pemainnya.

Begitulah jua kisahnya antara kegembiraan penyokong dan para petugas. Penyokong bergembira dengan kemenangan ini. Tetapi para petugas yang gigih berusaha, akan mendapat merasai manisnya kemenangan dan piala yang ALLAH janjikan (berupa pahala, darjat di sisi-Nya, insyaALLAH syurga-Nya). Segala pengorbanan, jual ternakan, gadai tanah, infaq harta, memerah keringat dan sebagainya, semua itu akan dihitung oleh ALLAH untuk ditukar kepada ganjaran yang sangat berharga sekiranya semuanya ikhlas kerana-Nya.

Bagi mereka/kita yang hanya sekadar penyokong untuk PRK kali ini, kita harap kegembiraan kita dengan kemenangan Parti Islam ini akan dapat juga ganjaran dari-Nya walaupun tidak sama dengan para pejuang yang bekerja keras. Dan tanamlah azam dan semangat dalam diri kita, bahawa kita akan turun jua ke medan menjadi pejuang dan petugas pada mana-mana PRU dan PRK yang akan datang bagi meraih piala dari ALLAH.

Khabarnya, di Johor nanti kemungkinan akan satu lagi pilihanraya kecil, dan di Perak pula dalam masa tiga bulan dari sekarang, kemungkinan akan ada juga pilihanraya sekali lagi. WaLLAHU a’lam.

ALLAHU AKBAR!!!

Dalam keputusan rasmi Parlimen Bukit Gantang:

Calon PAS, Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin – 21,860 undi,
Calon BN, Ismail Saffian -19,071 undi,
Calon Bebas, Kamarul Ramizu Idris- 62 undi.

Nizar menang dengan majoriti 2,789

Keputusan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau.

1. R Loganathan (Bebas) – 31 undi
2. Tan Hock Huat (Bebas) -78 undi
3. Radzi Md Lazim (Bebas) – 25 undi
4. S Manikumar (PKR) – 12,632 undi
5. Mohd Fadzil Wahab (Bebas) – 83 undi
6. Abdul Rahim Abu (Bebas) – 60 undi
7. L Sarala (Bebas) – 49 undi
8. Datuk S Ganesan (BN) – 10,229 undi
9. A Jayagopal (Bebas) – 35 undi
10. S Moganakumar (Bebas) – 46 undi
11. Khamis Awang (Bebas) – 29 undi
12. Husaini Yaakob (Bebas) – 257 undi
13. M Vaneson (Bebas) – 32 undi
14. Mej (B) Anuar Abd Hamid (Bebas) – 528 undi
15. T Chandrarajan (Bebas) – 73 undi.

Undi rosak 415.
Majoriti 2,403 undi.

Kesimpulan mudah PRK 2 Bukit 1 Batang:

1) PR menang 2-1 atasi BN, bukti rakyat Semenanjung masih marahkan BN
2) Isu Nizar Derhaka tidak berjaya mempengaruhi majoriti rakyat Bukit Gantang
3) Rakyat masih yakin bahawa Nizar dianiaya
4) Rakyat tolak kepimpinan Najib
5) Kempen BN masih ditakuk lama dan kebudak-budakan
6) Tun Dr M sudah tidak relevan – sia-sia saja dia turun kempen
7) Rakyat Bukit Gantang suruh MB Kudeta BN muhasabah status diri.
8) …
9) …
10) ….
(tiru style blog sape pulak ni … haha)

Ayat-ayat biasa orang kalah :
1) Ganesan tetap berbakti walaupun kalah – [ada serupa macam calon BN yg kalah di Permatang Pauh ]
2) Gagal bukan bermakna rakyat tolak kepimpinan Najib: Hishammuddin
3) BN hormati pilihan pengundi: Hishamuddin

Link-link berkaitan:
1) Rakyat belum maafkan BN
2) Pakatan 2 Bukit, BN Batang Ai
3) Pas pertahan Bukit Gantang
4) Kalah di dua bukit, rakyat semenanjung tolak Najib

Kepada penyokong BN, usah bersedih dengan kekalahan calon anda. Tukarlah kapal dan mari sambut kegembiraan ini bersama-sama. Yang menang, jagalah adab. Jangan sakiti hati mereka yang kalah. Islam itu indah.

p/s: sshhhh…. ‘mahasiswa tak boleh berpolitik daaa…

Begini rupanya wajah DAP Perak

UMNO menuduh Hj Nizar boneka DAP, mengikut telunjuk Nga dan Ngeh, pentingkan Cina dari Melayu, setiap ucapan kena rujuk DAP, kenyataan akhbar juga ikut kehendak DAP, beri kuasa DAP agih tanah pada Cina dan sebagainya. Hari ini saya nak cabar kerajaan haram BN dedahkan semua yang didakwa dengan bukti-buktinya, lapor pada SPRM atau polis dan seretlah Hj Nizar dan semua EXCO ke mahkamah. BN ada kuasa haram, gunakanlah kuasa haram untuk mengiyakan apa yang kamu dakwa.
Sebenarnya itu semua dakwaan kosong, fitnah, palsu, tak ada modal nak cari isu, mereka-reka isu palsu supaya rakyat terpedaya, media pula dikuasai oleh mereka, Samad Majid dari FM Perak pula buat lapuran dalam Berita Perak di Radio setiap hari. Setiap dakwaan dan tuduhan tidak pula Hj Nizar sebagai MB dan EXCO diberi peluang menjawabnya. Hubungan antara pimpinan Pakatan Rakyat Perak cukup intim, saling memahami, tidak pernah menimbulkan isu yang sensitif samada agama atau yang menyentuh hak orang Melayu. Hj Nizar pula setiap kali memulakan ucapan dalam apa sahaja majlis samada majlis itu dihadiri ramai orang bukan Islam atau tidak, pasti muqaddimah ucapannya dimulakan dengan petikan ayat-ayat al Quran, diterjemah dan diberi kupasan untuk tujuan dakwah kepada mereka. Kadang-kadang diterjemah dalam bahasa Inggeris supaya mereka lebih memahaminya.

Nga, salah seorang EXCO DAP sentiasa mengikuti ayat-ayat Quran yang dibaca oleh Hj Nizar dan bertanya saya dari ayat mana dan surah apa. Saya beritahu ayat dan surah yang dibaca. Katanya dia mahu study di rumah ayat yang dibaca oleh Hj Nizar. Di mini perpustakaan Nga ada terjemah al quran dalam bahasa Inggeris, dia cari ayat tersebut dan dikajinya. Akhirnya beliau kagum dengan Hj Nizar, menurut Nga ayat-ayat Quran yang dibaca Hj Nizar mesti ada kaitan dengan majlis yang diadakan. Malahan, beliau turut mencari mana-mana ayat al Quran yang berkaitan dengan prinsip keadilan, kebajikan, integriti, ketelusan dan amanah, beliau bertanya saya dan meminta saya mengajarnya bagaimana cara menyebut dalam bahasa Arab, saya menulis dalam huruf rumi ayat-ayat tersebut dan ternyata dibacanya dalam ucapan dan ceramah walaupun pelat, diterjemah dan dihurai dengan begitu baik prinsip-prinsip tersebut mengikut ajaran al Quran.

MCA, MIC dan semua parti komponan BN yang lain, ada atau tidak pemimpin mereka membuka al Quran, membaca dan menterjemah serta mengulas mana-mana konsep mengikut ajaran Islam. Seingat saya, tidak ada pemimpin MCA dan MIC yang berbuat demikian, sebab itu mereka tidak faham Islam walaupun berkawan dengan UMNO sejak sekian lama, apatah lagi UMNO yang menjadi rakan mereka sendiri tidak faham Islam. Sebaliknya, DAP sejak berkawan dengan PAS, sama-sama memerintah Perak khususnya, cukup memahami konsep keadilan, amanah dan kebajikan mengikut ajaran Islam. Bahkan mereka juga tahu hukum Hudud yang selama ini mereka diberi gambaran yang salah oleh media dan pemimpin BN.

Qari dan Qariah Perak telah menjuarai tilawah al Quran peringkat Kebangsaan. Ngeh dari DAP mencadangkan kepada MB Perak supaya mereka diberi anugerah berupa sumbangan, MB setuju beri 5 ribu setiap seorang, Ngeh cadang 10 ribu setiap seorang, sebab mereka telah mengharumkan nama Perak. Malahan turut dicadangkan kerajaan taja mereka mengerjakan haji atau umrah. Cadangan tersebut diberi perhatian oleh MB dan bersetuju buat majlis dan beri sumbangan 10 ribu seorang dan jurulatihnya 5 ribu.

Seorang Tok Guru pondok dari Pengkalan Hulu yang juga ahli majlis fatwa negeri Perak yang dikenali dengan nama Pak Teh. Pak Teh ada pondok yang mempunyai murid yang agak ramai, pondok Pak Teh agak uzur, muridnya ramai, gurunya pula tidak mempunyai pendapatan yang tetap. Pak Teh ada memohon kira-kira 45 ekar tanah hutan di belakang pondoknya. Tanah hutan tersebut dipohon sejak bertahun-tahun dahulu untuk diusahakan dengan pertanian. Pak Teh mengadu pada Dato’ Seri Hj Nizar sempena lawatan kerja MB Perak ke Pengkalan Hulu. Di pejabat, MB mengarahkan pegawainya menyemak semula permohonan Pak Teh, dalam semakan MB, didapati permohonan Pak Teh sudah lengkap laporannya di PTG, semua Jabatan berkaitan menyokong permohonan Pak Teh dengan mengatakan tiada halangan untuk diberi pertimbangan kelulusan, tetapi fail tersebut tidak diangkat ke mesyuarat EXCO untuk diluluskan, Hj Nizar terus mengarahkan PTG menyediakan fail segera untuk diangkat ke mesyuarat EXCO supaya diberi pertimbangan kelulusan.

Dan mesyuarat EXCO terus meluluskan, Ngeh bertanya kepada MB mengapa hanya 45 ekar sahaja yang diluluskan, tanah kerajaan luas lagi di Pengkalan Hulu, untuk mencari dana bagi tujuan pendidikan Ngeh mencadangkan diberi sahaja 100 ekar.Tujuan Pak Teh mohon tanah kata Ngeh bukan untuk kepentingan peribadi tetapi kepentingan bagi melahirkan tokoh-tokoh ulama di Perak. Itu kata Cina DAP yang sering ditohmah oleh UMNO. Tajol Rosli jadi MB Perak sejak 10 tahun dulu bersama dengan EXCO muslim yang lain, Pak Teh pula ahli Majlis Fatwa negeri Perak, permohonan tanah yang diajukan kepada MB BN ketika itu diabaikan. Sepatutnya mereka malu dengan Ngeh yang nampaknya lebih prihatin terhadap perkembangan pendidikan Islam di Perak.

DAP tidak pernah membantah apa sahaja cadangan mengenai hal ehwal Islam, apabila bantuan perkapita diberi semula kepada Sekolah Agama Rakyat, EXCO DAP tidak membantah. Mereka tidak pula meminta supaya sekolah-sekolah Cina turut diberi bantuan perkapita. Permohonan-permohonan untuk tujuan baik pulih masjid, surau, sekolah-sekolah agama sering diluluskan oleh MB, DAP dan EXCOnya tidak juga membantah atau dengki. Program-program Islam yang dicadangkan dan dilaksanakan oleh kerajaan Negeri seperti buka puasa dan solat tarawikh di dataran DBI, kempen solat, tazkirah setiap hari sepanjang Ramadhan menggunakan pembesar suara dan juga azan Zohor di Surau SUK menggunakan pembesar suara tidak pernah dibantah oleh DAP.

Sebenarnya DAP dengan semua ADUNnya jauh lebih baik, prihatin, mudah mesra dan pandai menyesuaikan diri berbanding dengan MCA dan MIC. Sebab itu, mereka ditolak oleh pengundi Cina dan India. Orang Melayu juga yang payah berubah, tetapi Insya Allah saya yakin, perkembangan politik mutaakhir ini menunjukkan orang Melayu juga akan berubah untuk menolak BN secara total dalam pilihanraya akan datang.

Oleh: Ust Misbahul Munir

Dipetik dari: Greenboc