Muhasabah Konvokesyen USM ke-40

Hari ini, Jumaat ~ 14 Ogos 2009 ~ hari konvokesyen USM ke-40. Para graduan Sarjana Muda Kejuruteraan berjubah ungu berkalung hijau menghadiri majlis konvikesyen ini, termasuk aku.
AlhamduliLLAH, syukur kepada ALLAH, selawat dan salam ke atas nabi Muhammad RasulaLLAH. Terima kasih emak dan ayah, terima kasih adik-adik, terima kasih sahabat-sahabat seperjuangan, terima kasih para guru dan pensyarah, terima kasih rakan-rakan batch 04/08, 05/09, 06/10… terima kasih semua.
Majlis konvokesyen adalah majlis rasmi universiti bagi meraikan kejayaan para graduan. Dengan berjubah dan bertopi begitu, para graduan melangkah memasuki dewan untuk menerima ijazah mereka.
“Kejayaan…”
Apakah aku sudah berjaya hanya kerana menerima ijazah ini? Tidak. Konvokesyen ini hanyalah simbol tamat pengajian peringkat ijazah sarjana muda sahaja. Tidak lebih dari itu. Sama juga ijazah kedoktoran ( PhD) sekalipun, ia hanya simbol. Tiada kejayaan mutlak di dunia ini, melainkan kejayaan yang diiktiraf oleh Raja segala raja. Raja kepada segala canselor.
Aku berlindung dengan ALLAH dari sifat-sifat mazmumah yang mungkin terbit dengan penerimaan ijazah ini. Sekiranya “kejayaan” aku ini akan menyebabkan aku dinilai buruk oleh ALLAH, rela aku tidak menerima ijazah ini. Semoga ALLAH memelihara aku, ibubapaku, adik beradikku, sahabat-sahabiyah seperjuangan serta rakan-rakanku daripada kerkaan-Nya.
Berbalik kepada “kejayaan” yang kita fahami, menerima ijazah itu itu adalah kejayaan. Sedikit pengiktirafan yang diberikan universiti kepada kita, dengan majlis sambutan yang rasmi dan gemilang, sudah tentu sebagai manusia, timbul paling tidak, sedikit rasa bangga dan bersyukur atas anugerah ALLAH dan usaha kita selama ini serta dorongan emak ayah, adik beradik dan sahabat handai kita selama ini.
Seronok, bangga, syukur, senyum 5 inci …
Wahai aku, wahai sahabat-sahabat yang turut berkonvokesyen, ini baru kejayaan yang sedikit di dunia yang fana dan penuh dengan persepsi yang dibentuk sendiri oleh doktrin duniawi.
Tidakkah kita sekalian mahu juga berkonvokesyen dihari akhirat kelak dengan kejayaan yang kekal abadi, syurga yang ALLAH sediakan? Audiens pada hari itu bukan sahaja manusia sejak nabi Adam a.s hingga kiamat, bahkan jin-jin dan para malaikat yang sangat tidak terhitung bilangannya akan menyaksikan majlis “konvokesyen” pada hari tersebut. Bukankah ALLAH akan muliakan seseorang yang menghadiri majlis ilmu, dengan menyebut namanya di depan khalayak? Bukankah ALLAH akan menyebut nama si fulan bin si fulan dengan bangga kerana amalannya yang soleh di dunia?
Alangkah bangganya kita ketika itu, sekiranya kita benar-benar si fulan itu. Seronok yang amat besar kerana diiktiraf oleh Maliki YaumidDeen. Jika di dunia, kita akan bangga apabila Sultan atau raja menyebut nama kita dan mengiktiraf kita depan khalayak ramai, maka sudah tentu kita akan lebih gembira dan nikmat apabila raja yang paling berkuasa pada hari serba kalut itu mengiktiraf kita.
Raja yang menunjukkan sifat kemurkaan yang jelas nyata kepada pengkhianat agama-Nya semasa di dunia, raja yang sangat memurkai orang-orang yang menentang Rasul-rasul-Nya, raja yang menyediakan ledakan Neraka untuk membaham musuh-musuhnya semasa di dunia… Raja ini tiba-tiba dengan penuh kasih sayangnya menjulang nama kita, mengiktiraf nama an diri kita dan menyediakan ijazah syurga yang kekal selama-lamanya kepada kita. Tidakkah kita akan rasa sangat ingin mendapat kejayaan yang tulen seperti itu?
Ya, sudah tentu kita sangat idamkan. Akan tetapi, syurga bukan semudah yang disangka untuk mendaftarkan diri. Tiket keimanan perlu sentiasa berasa dalam diri. Taqwa adalah kayu ukur darjat kemuliaan kita di sisi ALLAH. Keredhaan ALLAH adalah kejayaan yang sebenar bagi orang-orang beriman.
Kepada yang berkonvo hari ini, jangan anggap inilah kejayaan diri selama berada di kampus. Tidak…anda belum tentu berjaya. Aku pun belum tentu berjaya. Ijazah bukan ukuran, tetapi ukurlah kejayaan kita dengan kacamata iman. Apakah kita dikira berjaya dengan ijazah kita, sedangkan solat 5 waktu kita di kampus dahulu tidak terjaga? Apakah nilai kejayaan kita jika di kampus dahulu kita lalai untuk solat berjemaah? Kita sambil lewa dalam perjuangan amru bil ma’ruf, wanahyu ‘anil munkar, apakah kita berjaya? Aku bertanya diriku, anda tanyalah diri anda sendiri.
Mudah-mudahan, muhasabah diri kita ini merendahkah bibit-bibit riak, takabur dan ujub dalam diri. Perjalanan masih jauh, dan masa perlu kita maksimumkan untuk kembali ke landasan perjuangan yang diredhai ALLAH. Hidup hanya sekali. Mati bila-bila masa sahaja tanpa amaran. Ingatlah, keredhaan ALLAH adalah kejayaan yang sebenar bagi kita, orang-orang beriman.
WaLLAHu a’lam,
~ Selamat Berkonvokesyen ~

Jangan jadi bodoh apabila masuk USM Apex

Berehat seketika dari entry politik.

Dua minggu sudah berlalu siswa-siswi baru mendaftar masuk ke USM selaku siswa-siswi tahun pertama. Belum terlambat kiranya kita ucapkan tahniah dan selamat datang kepada mereka. Mereka adalah ambilan pertama sejak USM dinobatkan sebagai universiti Apex. Mereka inilah siswa-siswi tahun pertama USM Apex.

Selamat datang. Walaupun blog ini pasti tidak dikenali mereka, tetapi ucapan selamat datang dan tahniah ini boleh disampaikan melalui senior-senior yang terbaca entry ini.

Mungkin gelaran USM Apex ini tidak begitu difahami sepenuhnya oleh siswa-siswi baru dan menganggapnya sebagai “biasa” saja. Bagi siswa-siswi lama, gelaran Apex mungkin menjadi kebanggaan kerana pengiktirafan yang begitu tinggi kepada USM, walaupun hakikat Apex itu belum difahami.

Persoalan Apex atau tidak, itu bukan soal yang perlu kita beri fokus kerana ilmu ALLAH luas. Di mana sahaja boleh kita ambil jika kena caranya. Terpilihnya anda melangkah ke USM Apex ini adalah anugerah ALLAH kepada anda semua. Barangsiapa yang bersyukur, maka ALLAH akan tambah lagi anugerah-anugerah yang kita sendiri tidak jangka. Tapi awas, jika anda kufur kepada anugerah yang ALLAH kurniakan ini, kufur dengan erti kata membantah setiap perintah-Nya, berawaslah! Azab ALLAH sangat dahsyat sifatnya.

Sememangnya anda seorang yang pandai dan hebat, lantaran itu anda ditempatkan oleh ALLAH di USM Apex ini. Bukan mudah, hanya orang-orang pandai sahaja diterima masuk universiti, malah khabarnya hendak masuk USM Apex ini ada peperiksaan MunSYi. Anda berjaya diterima masuk, dan telah berjaya mendaftar, serta telah 2 minggu memulakan pengajian. Tahniah.

Namun sepandai-pandai anda, belum tentu anda seorang yang cerdik dan bijak. Belum tentu tahap kepandaian anda dalam bidang akademik, sukan dan pelbagai aktiviti menjadikan anda bijak. Anda tidak diiktiraf cerdik dan bijak sekiranya kepandaian anda membuatkan anda menjadi sombong dan degil terhadap ALLAH, Tuhan yang menempatkan anda di USM Apex ini. Walau sepandai mana pun anda, dengan keputusan peperiksaan SPM 21A, Matrikulasi 4.0, dapat pula masuk USM Apex, tidak cerdiklah anda sekiranya anda memilih penghujung hidup anda di azab oleh ALLAH dalam Neraka.

Tidak cerdik bererti bodoh. Maka orang-orang yang membantah perintah ALLAH, dia adalah orang yang bodoh, sekalipun dia pandai. Sekalipun dia adalah siswa-siswi Usm Apex. Sekalipun dia adalah pensyarah USM Apex. Pandai tetapi bodoh.

Bodoh dalam bahasa Arab bermaksud jahil. Apakah perkataan “jahil” itu lebih mulia daripada perkataan “bodoh”? Jahiliyyah, berasal dari perkataan jahala, yajhalu, jahil selalunya digunakan kepada masyarakat Arab sebelum kedatangan Nabi Muhammad S.A.W. Sebenarnya konsep jahiliyyah ini akan berterusan sehingga hari kiamat. Pengertian jahiliyyan bukan sekadar memberi maksud sesuatu bangsa itu tidak bertamadun, bahkan jahiliyyah itu bersangkutan dengan ideologi pemikiran manusia yang sesat dan lari dari panduan ALLAH.

Lihatlah Araba jahiliyyah. Mereka bukan tidak pandai. Orang-orang Saba’ misalnya, mempunyai teknologi pembinaan Empangan Maarib. Kabilah-kabilah Arab, bijak berniaga dan berdagang. Mereka punya jutawan, sasterawan, pakar astronomi, panglima-panglima perang dan sebagainya. Mereka ini hebat dan pandai, tetapi ALLAH tidak mengiktiraf mereka. Mereka digelar jahil. Mereka diberi gelaran “bodoh” dek kerana ideologi, pemikiran dan fahaman mereka jauh dari panduan-Nya.

Maka apakah anda siswa-siswi Apex tidak terlepas dari dianggap bodoh oleh ALLAH sekiranya anda menjauhi setiap perintah ALLAH dan mendekati setiap larangan-Nya? Menjadi lumrah, bahawasanya orang-orang bodoh akan saling bersama-sama dengan orang-orang bodoh juga. Tidak akan selamanya bodoh bagi orang-orang yang bersama-sama dengan orang-orang cerdik. Marilah bersama-sama orang-orang cerdik, yakni orang-orang yang baik dan sering melaksanakan perintah ALLAH dan meninggalkan larangan-Nya.

Sebagai panduan kepada diriku dan anda semua sahabat-sahabat, antara ciri-ciri orang-orang yang bodoh kerana sengaja memilih neraka di akhirat kelak ialah:

1) Golongan yang tidak menunaikan solat Fardhu 5 waktu
2) Golongan yang kadang-kadang solat, kadang-kadang tidak
3) Golongan yang suka dan tidak malu-malu mendedahkan aurat kepada khalayak
4) Golongan yang suka bercouple tanpa ikatan nikah yang sah
5) Golongan yang suka pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan
6) Golongan yang ada kesedaran Islami tetapi cuba mengelak untuk menjadi baik
7) Golongan yang redha dengan semua jenis pelanggaran perintah ALLAH

Semua ciri di atas adalah gambaran tentang beberapa golongan bodoh yang terdapat di USM Apex. Mereka pandai, tetapi di sisi Islam, mereka ini bodoh. Jahil. Maka jauhilah mereka. Jika anda punya kekuatan, selamatkanlah mereka daripada terus menjadi bodoh. Kasihan mereka.

Sebagai cara menjaga diri anda daripada terjebak dalam ciri-ciri orang bodoh, berikut adalah saranan yang boleh diikuti:

1) Selalulah ke masjid/Pusat Islam untuk solat fardhu secara berjamaah
2) Selalulah bergaul dengan orang-orang yang baik dan cerdik pada pandangan Islam
3) Selalulah ikuti majlis-majlis ilmu yang dianjurkan di Pusat Islam
4) Sertailah usrah-usrah yang dianjurkan bagi mengukuhkan ukhuwwah sesama Islam
5) Hindari sifat malas dalam perkara kebaikan
6) Bangunlah dihujung-hujung malam berqiamullayl dan berdoa supaya kita semua dihindari daripada sifat-sifat kebodohan yang merugikan kita.

Akhir sekali, sekali lagi tahniah kerana berjaya mengaji di USM Apex ini. Tahniah kerana anda seorang yang pandai, dan teruslah berusaha menjadi orang-orang yang cerdik dan bijak seiring dengan kepandaian anda.

WaLLAHu a’lam.

=========================
Kata-kata pemimpin:

“Saya telah mengirim surat kepada Perdana Menteri yang mengandungi soalan, ‘kenapa Umno tolak Islam? “Islam itu bukan PAS yang buat, tetapi kenapa Umno tetap mahu menolak Islam. Sebab itu saya berkempen dan berdakwah hingga ke hari ini untuk Islam,”

-TG Nik Abdul Aziz Nik Mat

USM Apex, ada sesuatu yang kita kena fikir…

Suatu malam, lepas solat Isyak, aku dan sahabatku Azwadi, berbual-bual dengan Ustaz Yusof. Dalam banyak-banyak topik perbualan, aku suka kepada fokus universiti Apex yang diutarakan oleh ustaz. Menurutnya, title universiti Apex ini terlalu tergesa-gesa untuk diperoleh, dan akan mengakibatkan banyak perkara akan terlepas pandang. Sebelum ini aku pernah terfikir, tidakkah perlaksanaan program Apex untuk seluruh USM terlalu drastik dan bagaimana kemampuan semua warga dan fasilitinya. Tentu sekali memerlukan satu mujahadah dan kerja yang amat keras untuk memperolehinya.
Sembang-sembang dengan ustaz malam itu agak selari dengan apa yang aku fikirkan. Aku banyak mendengar input dari ustaz yang juga merupakan staff USM yang terlibat secara langsung dalam program Apex ini. Idea-idea aku diperkuat oleh hujah-hujah yang ustaz kemukakan dalam sembang-sembang kami. Walaupun ia hanya sembang-sembang, tetapi ada inputnya. Program Apex adalah sangat tergesa-gesa, walaupun kita nampak banyak kebaikan yang kita akan peroleh. Kita bukan sahaja akan gah pada nama semata-mata tetapi dalam pelbagai sudut dari kacamata ketamadunan. Akan tetapi, kecemerlangan yang akan kita peroleh yang harapannya sangat gemilang ini, mungkin kita akan kehilangan sesuatu yang lebih besar. Kebimbangan ini dicetuskan oleh ustaz Yusof.

Beliau memberi contoh kemajuan tamadun Islam di Cordova, yang pernah menjadi ibu segala pusat keilmuan dunia, akhirnya sekarang hilang dari peta dunia. Zaman kegemilangan Cordova itu telah melahirkan pelbagai tokoh Islam yang kita ketahui, seperti Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, dan sebagainya. Kegemilangan ilmu dan keilmuan sangat tinggi ketika itu. Tetapi bagaimanakah kegemilangan Cordova itu tidak dapat dipertahankan sedangkan zaman itu adalah zaman keemasan kepada ketamadunan ilmu. Apakah keghairahan mengejar ilmu sehingga mereka sampai ke tahap taksub kepada kehebatan ilmu sehingga lupa kepada perkara basic yang sepatutnya diperkukuh? Itu aku tidak mahu komen. Ustaz juga meninggalkan tanda soal di situ untuk kita sama-sama berfikir.

Lihat pula dalam isu universiti Apex ini. Kita seperti terkejar-kejar dengan status Apex, yang seolah-olah mahukan perubahan mendadak dalam kemajuan USM ke arah 100 universiti terbaik dunia. Ya, kita mungkin akan dapat status antara 100 universiti terbaik dunia, tetapi pernahkah kita terfikir kesan sampingan yang boleh membuatkan kita hilang sesuatu yang lebih besar? Walaupun ada orang kata, tak perlulah terlalu memikirkan kesan negatif, sebaliknya bekerjasama dengan sistem yang sedang bergerak ke arah matlamat itu dengan fikiran yang positif, tetapi tidak salah untuk kita letakkan kebimbangan-kebimbangan tertentu sebagai muhasabah.

Apa yang kita mungkin akan hilang? Tamadun Cordova suatu ketika dahulu tidak pernah terfikir mereka akan lenyap dari peta dunia – hanya tinggal sejarah. Mereka mungkin tidak pernah meletakkan kebimbangan-kebimbangan tertentu yang memberi kesan buruk kepada tamadun tersebut kerana beranggapan ketamadunan yang sangat tinggi yang mereka capai ini adalah sukar diruntuhkan. Akhirnya mereka kehilangan permata yang mereka bina. Ketamadunan ilmu mereka diambil oleh pihak Barat yang akhirnya berjaya membangunkan tamadun Barat.

Kita lihat USM Apex, beberapa tanda yang kita perlu lihat sebagai kebimbangan yang boleh menjadikan kita berputih mata kelak walaupun USM sudah bergelar universiti antara 100 terbaik dunia. Lihatlah hari ini, siapakah yang mendominasi kecemerlangan akademik dalam USM? Kita tahu jawapannya. Ada pihak yang berbangga bahawa para pensyarah, penyelidik, dan sebagainya, semuanya ‘orang kita’, tetapi dalam jangka panjang, siapa boleh jangka? Perhatikanlah para penyelidik yang hebat-hebat, siapakah yang menjadi pelajar PhD-nya, pelajar Master-nya dan orang-orang sekelilingnya. Jadi bagaimana masa depan umat Islam dalam USM? Apakah ini petanda awal kita akan berputih mata kelak sedangkan pihak kerajaan dan pentadbiran kita hanya mengejar nama Apex semata-mata? (Maaf jika tidak berkaitan)

Kita bersyukur, USM terpilih sebagai Universiti Apex. Kita punya persediaaan ekonomi untuk ke arah itu. Apabila punya peruntukan ekonomi yang baik, fasiliti yang baik akan dapat direalisasi. Tetapi bagaimana dengan persediaan insani? Adakah semua warga USM ini akan berubah mentalitinya secara mendadak daripada bergerak secara constant speed kepada accelerated speed? Ustaz Yusof memberi anologi seperti pokok asam yang buahnya dikehendaki manis. Maka pokok itu akan dipaksa dengan pelbagai baja dan ramuan, akhirnya pokok asam itu akan berbuah manis. Berjaya dari sudut itu. Tetapi apabila benihnya ditanam semula, hasilnya akan kembali menjadi buah asam yang masam jua sifatnya. Begitu jua USM. Pasti akan ada sesuatu yang tidak kena kelak jika kegemilangan dicapai sebelum masa matangnya.

Aku berkesimpulan bahawa kita tidak menghalang program Apex dan merendah-rendah status Apex kepada USM. Tetapi setiap pandangan ada nilainya tersendiri. Dalam mengejar Apex, perlu wujud satu force yang besar untuk memperkukuh basic, supaya kita terselamat daripada kesan negatif disebalik kejayaan USM Apex nanti. Team untuk menjaga basic perlu sehebat team yang bergerak ke arah Apex. Barulah peristiwa jatuhnya kegemilangan Cordova dapat dielakkan daripada terjadi kepada USM yang kita cintai. Belajar daripada sejarah bukanlah hanya dengan mengetahui bila, di mana dan siapa, tetapi ambillah iktibar , ‘ibrah dan renungi corak pemikiran pelaku-pelaku sejarah ketika itu. Kita sudah digazet sebagai universiti Apex, maka tiada alasan untuk kita mundur kebelakang semula. Perjuangan mesti diteruskan.

Apa perkara basic yang kita perlu perkuatkan? Aku serah kepada kalian untuk terjemahkan apa itu basic..

Mungkin orang lain ada komen berbeza, silakan….

Pilihanraya Kampus USM Kampus Kejuruteraan

Hari ini calon-calon sudah mula berkempen. Tetapi suasana pilihanraya kampus ini pada pendapat aku, tidak meriah. Kenapa? Kalau ada orang rasa meriah, mungkin mereka syok sendiri. 
Perang poster tidak banyak kelihatan. Meriahkah? Adakah calon-calon kurang dibantu? Kasihan.
Kenapa tidak meriah?
Sepatutnya ada tujuh kerusi dipertandingkan.
Tetapi hanya satu kerusi, konstituensi umum sahaja dipertandingkan.
Di mana kerusi konstituensi-konstituensi pusat pengajian?
Rasa sekali lagi konstituensi pusat pengajian tiada pertandingan seperti tahun-tahun sebelumnya. Menang tanpa bertanding, ataupun dilantik khas. Itu saja andaian yang boleh aku buat.
Jadi PRK ini dapat dilihat satu lawan satu, antara Abul dan Aini, yang kedua-duanya mengaku mewakili mahasiswa, bukan pro mana-mana kumpulan.
Aini atau Abul? Abul atau Aini? Yang mana satu pilihan anda? Tunggu rapat umum malam nanti.
Tahniah kepada Abul dan Aini, kerana menghidupkan demokrasi dalam kampus, walaupun agak dingin suasananya. Menang atau kalah, nombor dua. Anda berdua berjaya mengembalikan demokrasi dalam kampus. Selamat berkempen!

Pengajian Islam di USM akan membebankan mahasiswa?

Kenapa perlu Islamic Study… bla-bla…

Itu reaksi pertama dan spontan daripada seorang pelajar non-Muslim apabila seorang sahabat mencadangkan agar subjek Islamic and Moral Study diperkenalkan sebagai subjek elektif atau kursus wajib universiti, dalam satu program talk petang semalam, mengenai cadangan mahasiswa kepada perlaksanaan program-program Universiti Apex.

Gambar Hiasan

Kita yang berada di USM Kampus Kejuruteraan, bermula dari tahun pertama, sehingga tahun akhir, hatta ijazah tinggi sekalipun, tidak ditawarkan sebarang kursus sedemikian. Dengan kata lain, kursus-kursus kejuruteraan di USM ini terpisah terus daripada roh Islam. Sahabat yang mencadangkan tadi menjelaskan sebab perlunya kursus tersebut kepada mahasiswa dan Universiti Apex.

Pelajar non-Muslim tersebut tidak berpuas hati dengan title Islamic Study, lalu mencadangkan dimansuhkan Islamic, diganti dengan Culture Study. Nampaknya Islamofobia tetap wujud dalam masyarakat hari ini.

Saya tidak bersetuju. Ia akan menambah beban pelajar

Lebih kurang begitu bunyinya suara seorang mahasiswa Muslim yang membantah cadangan memperkenalkan Islamic Study. Kalau pelajar non-Muslim tadi, kita faham, yang dia tidak faham mengenai Islam. Islamofobia bersarang dalam benaknya. Tetapi mengejutkan apabila mahasiswa Islam sendiri menolak cadangan tersebut.

Jika kita letakkan sebagai subjek elektif, ia tidak membebankan

Sahabat yang mencadangkan bersuara. Dialognya lebih kurang begitulah.

“Setelah jadi Universiti Apex, pelajar undergrad akan berkurangan. Apa yg akan terjadi kalau terlalu banyak subjek ditawarkan? Siapa yang nak ambil?” bantahnya lagi.

Ah, itu pemikiran yang prejudis terhadap apa saja yang berkaitan dengan Islam. Sedangkan subjek Bahasa Russia, Bahasa Perancis, ditawarkan, berapa kerat mahasiswa yang daftar? Kenapa tidak timbul isu tiada orang nak ambil kursus itu?

Lagipun subjek-subjek Islamik itu sudah diajar di sekolah-sekolah dulu

Dia terus berhujah untuk menolak cadangan murni sahabat tadi. Sedangkan pelajar non-Muslim tadi hanya berdiam diri sahaja, mungkin berasa lega disebabkan orang Islam sendiri yang sanggup menjadi jurucakapnya – menolak cadangan Islamic Study itu.

Jika begitu, mansuhkanlah subjek BM (LKM400) dan BI (LMT100, LSP 300, LSP404 dll) di USM.

Pantas saja sahabat yang mencadangkan itu menjawab. Dialog seterusnya tidak ku ingat. Tetapi sedikit perdebatan kecil berlaku. Akhirnya perkataan islamic itu digugurkan daripada cadangan asal, bertukar menjadi Culture, Moral and religion study… lebih kurang begitulah.

Bagaimana pandangan kita mengenai perkara di atas?
Baru satu usaha mencadangkan sahaja, sudah ditolak. Islamofobia jelas bersarang dalam diri non-Muslim, dan sikap prejudis pula wujud dalam sesetangan mahasiswa Muslim.

Sepatutnya, kita selaku Mahasiswa Islam akan berbangga jika cadangan itu dilaksanakan. Pengajian Islam di kampus Kejuruteraan, menjadi kursus elektif, atau option pun sudah memadai untuk permulaan. Tidak perlu timbul isu tiada orang yang akan ambil, sudah belajar di sekolah, mahasiswa sudah matang dan boleh fikir sendiri, membebankan dan sebagainya.

Kita lihat sahaja subjek Bahasa Russia. Apa relevannya belajar bahasa Russia, melainkan kepada mereka yang ingin ke Russia? Berapa ramai yang daftar kursus tersebut. Jika sedikit kenapa tidak dimansuhkan, sedangkan subjek Islamic Study yang belum tentu sedikit yang mendaftar, ditolak mentah-mentah cadangan tersebut.

Apa pula relevannya belajar subjek Teknik Berfikir? Pada dasarnya, Teknik Berfikir membantu pelajar belajar berfikir secara sistematik dan profesional. Tetapi hakikatnya subjek tersebut tidak mempamerkan output yang sepatutnya. Maka apa salahnya diperkenalkan Islamic Study. Sesiapa yang tak mahu ambil, tiada siapa yang paksa ambil.

Jika pelajar non-Muslim tersebut tidak suka kepada title Islamic Study, tak usah lah ambil. Kenapa dia tidak mahu mencadangkan agar subjek Bhuddism/Hinduism/Christian Study diperkenalkan? Biar penganut-penganut mereka yang mendaftar. Kenapa sibuk menganggu cadangan mengenai Islam?

Program yang MPP anjur tersebut adalah untuk mahasiswa memberi cadangan. Jadi berilah apa saja cadangan. Seterusnya pihak atasanlah yang akan memutuskannya. Tidak perlu timbul tidak bersetuju dengan cadangan itu dan ini kerana bukan kerja kita. Itu kerja pentadbiran universiti.

Berbalik kepada sikap prejudis terhadap title Islam. Sebagai mahasiswa Islam kita harus fahami betapa perlunya pendidikan Islam setiap masa dan peringkat. Bukan hanya di sekolah sahaja. Kita tidak wajar mengenepikan Pengajian Islam semata-mata kerana kita adalah pelajar kejuruteraan.

Wahai sahabat-sahabat MPP yang ada. Bukalah minda, cadangkanlah sesuatu yang boleh membantu mahasiswa Muslim memahami aqidah Islam, akhlak Islam dan sebagainya. Kita tidak mahu produk Universiti Apex yang rosak akhlak dan tidak takut kepada ALLAH. Jika sahabat-sahabt MPP berjaya membuat suatu perubahan ini terhadap sistem akademik USM terutamanya kampus kita ini, yakinlah kepada ganjaran yang ALLAH akan berikan kepada kalian.

Akan tercatat dalam sejarah, anda adalah sebahagian yang berjuang mewujudkan pengajian Islam dalam kampus ini. Walaupun anda tidak sempat mengikuti subjek tersebut, tetapi anda sudah berjasa kepada generasi Mahasiswa Muslim seterusnya. Walaupun tidak sebesar mana, kita boleh mengharapkan bahawa itulah amal-jariyah kita selagimana terlaksananya kursus tersebut dan bukti kita cintakan Islam. Wallahu A’lam.

Artikel berkaitan :Tidak lengkap USM tanpa Pengajian Islam

Tahniah, USM cipta kamera perubatan pertama negara!

USM Induk | Pro Mahasiswa USM mengucapkan tahniah kepada Universiti di sini dan Dr. Zainal Ahmad Rajion sendiri atas penemuan terbaru mereka dalam bidang perubatan. Ciptaan tersebut dikenali sebagai Kamera MyCranio dan MyCast. Tahukah kita apa itu Kamera MyCranio dan MyCast?

Jika sebelum ini proses mengukur muka pesakit dijalankan secara manual menggunakan pita ukur dan pembaris, kini ia boleh dilakukan menggunakan kamera untuk mendapatkan hasil yang lebih tepat.

Kamera MyCranio dan MyCast itu dicipta oleh pensyarah Fakulti Sains Pergigian Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Zainul Ahmad Rajion bersama-sama seorang lagi pensyarah dari Fakulti Kejuruteraan dan Sains Geoinformatik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Zulkifli Majid.

Ciptaan pertama seumpamanya di Malaysia itu yang melibatkan kepelbagaian bidang kepakaran iaitu kejuruteraan, kedoktoran dan sains komputer itu membolehkan doktor mengambil gambar pesakit sebelum data seperti ukuran muka, tulang atau gigi pesakit dianalisis dan diproses.

Menurut Dr. Zainul, MyCranio dikhaskan untuk mengukur muka pesakit dan kini digunakan untuk memproses tisu muka lembut dan membuat imbasan muka di jabatan radiologi serta pakar bedah plastik untuk merawat kecacatan muka serta tengkorak.

MyCast pula berfungsi untuk mengukur bahagian bukan muka seperti tulang dan digunakan di klinik pergigian untuk mengukur saiz gigi yang akan dibentuk semula.

Kamera ini kini digunakan di Hospital Universiti Kubang Kerian, Kelantan sejak empat bulan lalu bagi membuat pengukuran muka pesakit,” katanya pada sidang media di USM semalam.

Tambah beliau, kamera itu memiliki kelebihan berbanding kaedah manual atau menggunakan laser kerana masa yang diambil untuk mengambil gambar adalah lebih singkat iaitu antara dua atau tiga saat berbanding laser (19 saat) dan manual (20 minit)

Selain itu ukuran yang dihasilkan juga lebih tepat iaitu perbezaan hanya 0.03 milimeter (mm) menggunakan kamera itu berbanding manual (3 hingga 5 mm) dan laser (2 hingga 4 mm).

Tidak lengkap USM tanpa Pengajian Islam

USM sudah bergelar Universiti Apeks. Canggih betul gelaran tu. Antara nak bangga dan tidak, paling penting semua warga universiti termasuk mahasiswanya perlu berlari seiringan dengan gelaran hebat itu. Tahniah.
Dengan gelaran bertaraf dunia itu, maka warga USM haruslah berfikiran terbuka, bebas dan rasional dalam suasana persaingan sihat. Mahasiswanya juga harus keluar dari takuk pemikiran lama, yang hanya menumpu kepada akademik semata-mata.
Tumpuan hanya kepada akdemik sahaja, tidak sepenuhnya menghasilkan seorang individu bergelar mahasiswa yang cemerlang. Tidak cemerlang, maka sukarlah untuk gemilang. Akan kempunanlah Perdana Menteri untuk melihat mahasiswa yang terbilang.
USM juga bakal mencipta satu lagi sejarah dalam pembangunan pengajian tinggi negara menerusi inisiatif penawaran program baru pengajian Sains Perkhidmatan dan Pengurusan Kejuruteraan (Service Science, Management and Engineering – SSME) yang pertama di negara ini. Sesuailah dengan ke-Apeks-an USM, program-program tersebut perlu di-islamisasikan. Diacuan mengikut cara kita, cara Islam.

Bagi tujuan tersebut, USM akan menandatangani memorandum persefahaman dengan International Business Machine (IBM) Malaysia Sdn. Bhd. pada hari Jumaat, 12 Ogos 2008, jam 8.45 pagi di Bilik Persidangan Canselori, Aras 6, Bangunan Canselori, USM,Pulau Pinang.

USM akan diwakili oleh Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak manakala IBM pula akan diwakili oleh Pengarah Urusan IBM Malaysia Sdn, Bhd., En. Ou Shian Waei.Pengajian SSME USM ini akan ditawarkan di peringkat Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah bermula dengan pengambilan seramai 25 orang pelajar mulai tahun hadapan.

Program ini akan menjurus kepada perluasan bidang pengurusan dalam dunia kerja yang lebih berorientasikan sifat teknikal khususnya dalam dunia kejuruteraan dan pengkomputeran selain industri yang melibatkan penawaran perkhidmatan kepada masyarakat. – Dipetik dari Berita USM

Namun USM masih kekurangan program-program pengajian Islamik. Walaupun USM adalah universiti sains, namun program-program Islamik perlu juga diwujudkan bagi mengukuhkan lagi taraf sebagai sebuah universiti antarabangsa. Anehnya program-program seni dan kebudayaan mendapat tempat lebih daripada program pembinaan pemikiran, syakhsiah, akhlak dan jatidiri mahasiswa.
Jika tidak program fekah, usuluddin, syariah dan apa-apa yang seangkatan pun, sekurang-kurangnya wujud program pengurusan ekonomi Islam, falsafah perundangan Islam, pengurusan kejuruteraan dalam Islam, dan sebagainya yang boleh difikirkan bagi melahirkan graduan yang cemerlang dunia dan akhirat. Malah program-program pencambahan pemikiran Islam boleh juga dimasukkan. Sedangkan subjek Teknik Berfikir boleh diajar, yang pada hemat saya, itu adalah cara berfikir sekular dan kebaratan. Tidak dinafikan, ada kebaikannya, tetapi roh Islamnya tiada. Kita pasti tidak mahu hasilkan graduan yang sekular, tamak dan mementingkan diri semata-mata. Kita mahu graduan yang hebat, mempunyai jatidiri, rasional, kreatif dan berfikrah Islam, bermoral tinggi (bagi yang bukan Islam).
Mahasiswa adalah bakal mencorak masa depan negara. Bagaimana mahasiwa boleh jadi hebat? Antara cara menghebatkan seseorang individu itu, kita seharusnya dedahkannya dengan suatu yang hebat. Sebagai seorang Muslim, kita tahu tiada suatu sistem pun yang lebih hebat melainkan Islam. Aqidah kita diajar begitu. Jadi, sistem pendidikan yang mempunyai pendedahan Islamik, pasti melahirkan graduan yang cemerlang, malah terbilang.
Bagi mahasiswa bukan Islam, tidak salah mereka belajar dalam sistem yang menerapkan nilai-nilai Islamik dalam setiap kuliyah. Dalam kuliyah TITAS Tamadun Islam, mereka dapat sahaja belajar. Jika USM dapat menggabung-jalinkan unsur Islamik dalam setiap ilmu yang diajar, tidak mustahil praduk-produk USM, samada mahasiswa mahupun pensyarahnya, pasti dapat mengatasi kualiti mereka dari universiti-universiti lain.
Alangkah baiknya sekurang-kurangnya mewujudkan subjek yang dimaksudkan sebagai subjek keperluan universiti ataupun elektif. Mana tahu, suatu hari nanti Universiti Apeks USM menjadi unversiti terbilang dalam dunia. Jika ditanya apakah formulanya, dengan bangga kita boleh menjawab – Islam adalah formulanya.
Tahniah kepada USM atas kejayaan merangkul gelaran Universiti Apeks dan penawaran program baru pengajian Sains Perkhidmatan dan Pengurusan Kejuruteraan (Service Science, Management and Engineering – SSME) yang pertama negara.

Suatu malam di Planet X …

Baiklah… artikel ini untuk dibaca dan dianalisis saja. Yang baik, ambil. Yang kurang enak, kuis ke tepi. Kasi kucing makan. Saling tegur menegur. Pinjam ayat Aduka Taruna : “Wa hentam lu, lu hentam wa. Di luar kita tetap bersaudara. Profesional“. Tapi artikel ni bukan nak hentam-hentam.

Di suatu planet, berlangsung majlis yang baik. Program mengaji quran.. orang sebut tilawah. Ada program nasyid-nasyid. Panel-panel juri pula bertaraf antarabangsa. Al-hamdulillah… program bertemakan kesenian Islam, kalau tak silap, berakhir sebentar tadi.

Baik. Program di Planet X tersebut yang baru selesai tadi, dikira bagus. Perjalanannya lancar. Para penggeraknya juga lincah dan tangkas bekerja untuk menjayakan majlis. Tambahan pula majlis yang berkaitan dengan Islam. Kesenian Islam. 

Kebaikan-kebaikan program tersebut banyak. Tak perlu disebut di sini. Yalah…majlis tilawah. Ayat-ayat suci diperdengarkan. Dalam bulan Ramadhan pula, pahalanya pasti berganda. Para penggeraknya juga insyaALLAH dapat ganjaran.

Namun agak dikesalkan, program yang diisi dengan slot-slot yang baik itu, diakhiri dengan gejala kurang enak dipandang. Selesai saja program itu, para penggeraknya tadi yang tekun menjayakannya, dilihat bergaul bebas lelaki dan perempuan. Kalau dianalisis, roh tilawah yang dianjurkan itu tidak diserap langsung oleh beberapa kerat mereka-mereka ini. 

Lihatlah gambar-gambar yang dikepilkan ini…

Bergambar… boleh, tapi kenapa berkepit? Kalau adik beradik, minta maaf lah…

Adakah ini output program? Tambahan pula bulan Ramadhan. Berlangsung pula di Planet X

Ini pula gambar dua orang panel jemputan bertaraf antarabangsa… tapi tak ada orang nak beramah mesra… nak buat macamana…bertaraf antarabangsa sekalipun, kalau dah berlatar belakang ustaz atau imam… sape la yang nak…

Banyak lagi gambar. Cuma masa ini tak perlulah post banyak-banyak. Harapnya gejala tidak sihat ini dipantau untuk program-program akan datang. Ini program tilawah al-Quran pun macam ni, apa lagi kalau program lain. Buat di Planet X pula, apa lagi kalau ditempat lain. Buat pula dalam bulan mulia, apa lagi kalau bulan lain.

Kasihanlah panel-panel yang datang dari jauh. Kasihanilah VIP yang hadir. Mereka tidak bersalah untuk turut terpalit tempias-tempias dosa yang dilakukan beberapa kerat manusia. Tidak salah untuk rasa gembira , lega dan puas hati dengan kejayaan penganjuran tersebut. Tapi semua itu ada batas dan had nya…. 

Syabas kepada penganjur yang berjaya mengelola majlis tersebut. Mudah-mudahan dapat ambil perhatian. Kita saling bertegur-teguran. Wassalam…

p/s: Satu lagi pesanan penaja, lepas ni, kita ramai-ramailah datang ke Planet X untuk solat berjamaah. Bukan hanya ketika ada program besar saja… Sesungguhnya Planet X kesepian. 

Tahniah USM – Universiti Apex pertama


PUTRAJAYA 3 Sept. – Universiti Sains Malaysia (USM) dipilih sebagai universiti Apex pertama selepas mengetepikan tiga lagi universiti yang turut disenarai pendek iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, pemilihan itu bermakna USM kini memikul peranan penting untuk menjadi universiti terbaik dunia dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

”USM dipilih sebagai universiti Apex selepas ia diberi penilaian yang lebih tinggi dalam tiga aspek iaitu keadaan semasa, kesediaan untuk berubah dan penyediaan pelan transformasi,” katanya pada sidang akhbar di kementeriannya di sini hari ini.

Universiti Apex ialah pengiktirafan yang diberikan kepada institusi pengajian tinggi tempatan untuk menjadi penanda aras di peringkat dunia dalam bidang pengajian tinggi.

Di bawah program itu, USM disasarkan untuk disenarai dalam ranking 100 universiti terbaik dunia dalam tempoh lima tahun dan ranking 50 terbaik menjelang 2020.

Ditanya mengapa universiti tertua iaitu UM tidak dipilih, Khaled berkata, sejarah bukan faktor yang diberi penilaian dalam pemilihan universiti Apex.

”Ia bukan tentang mana universiti yang lebih awal ditubuhkan, ia adalah mengenai universiti mana yang boleh mencapai transformasi pengajian tinggi ke arah bertaraf dunia,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan USM sebagai universiti Apex akan merangsang universiti-universiti lain untuk meneruskan usaha ke arah kecemerlangan di peringkat dunia.

”Ini tidak bermakna selepas USM dipilih sebagai universiti Apex, universiti lain akan ditinggalkan.

”Kita bukan nak letakkan ranking antara universiti ini, ketiga-tiga universiti penyelidikan yang lain juga mempunyai kekuatan sendiri,” katanya.

Mengenai autonomi urus tadbir dan peruntukan yang akan diberikan kepada USM, Khaled berkata, perkara tersebut akan dibincangkan dengan pihak universiti.

”Soal urus tadbir dan kewangan serta pelan pelaksanaan program Apex akan dibincangkan. Kita akan panggil mereka untuk mewujudkan pelan implementasinya.

”Universiti Apex akan kemukakan cadangan bajet untuk tempoh lima tahun dalam pelan transformasinya. Kita akan pertimbangkan cadangan itu setiap kali bajet negara dibentangkan,” katanya.

Ditanya sama ada lebih banyak universiti akan dipilih untuk menyertai program Apex, Khaled berkata, perkara itu akan ditentukan melalui prestasi USM.

”Jika USM bergerak cepat, mungkin kita akan pertimbangkan untuk mewujudkan lebih banyak universiti Apex,” katanya.
===================================================================
PUTRAJAYA: Universiti Sains Malaysia (USM) dipilih sebagai Universiti Apex pertama, mengetepikan beberapa institusi pengajian tinggi lain termasuk universiti tertua negara, Universiti Malaya (UM). 

Keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Pemilihan Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (Apex) selepas mendapati USM memenuhi syarat dan kriteria yang ditetapkan. 

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika mengumumkannya berkata, USM mengatasi universiti saingan lain berdasarkan tiga kriteria iaitu tahap kesediaan, pelan transformasi dan kesediaan untuk berubah. 

 

“Penilaian yang kita gunakan untuk memilih USM adalah berasaskan sudut kuantitatif dan kualitatif yang masing-masing bersandarkan kepada tahap kesediaan untuk melalui transformasi dan pencapaian akademik,” katanya pada sidang media di kementeriannya, semalam. Hadir sama, kedua-dua Timbalannya, Datuk Idris Haron dan Datuk Dr Hou Kok Chung. 

Selain USM dan UM, lima lagi institusi pengajian tinggi awam yang mengemukakan permohonan untuk menjadi Universiti Apex adalah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). 

Dua institusi pengajian tinggi swasta, Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Tenaga Nasional (Uniten), turut mengemukakan permohonan. Universiti Apex akan diberi autonomi dari segi kewangan, skim perkhidmatan, pengurusan, pengambilan pelajar, kepemimpinan tertinggi dan penetapan yuran pengajian. 
 

Mohamed Khaled berkata, sepanjang tempoh pemilihan sebagai Universiti Apex, USM perlu berada di antara 100 universiti terbaik dunia dan senarai 50 universiti terbaik dunia pada 2020. 

“Kita perlu lihat dan menilai pencapaian USM dengan kertas cadangannya bertema ‘Perubahan Pengajian Tinggi Untuk Kestabilan Hari Esok’. Dalam tempoh berkenaan dan selepas itu barulah keputusan akan dibuat sama ada perlu pemilihan Universiti Apex lain atau tidak,” katanya. 

Ditanya kenapa UM sebagai universiti tertua negara tidak terpilih, Mohamed Khaled berkata, pemilihan bukan berdasarkan usia tetapi keupayaan membawa perubahan dalam sistem pendidikan tinggi sehingga mencapai tahap dunia. 

“Pemilihan USM tidak bermaksud universiti lain dipinggirkan, sebaliknya akan menjadi perangsang kepada universiti yang tidak terpilih untuk terus berusaha mencapai status yang lebih baik dan bertaraf dunia,” katanya. 

Mengenai aspek pembiayaan, Mohamed Khaled berkata, perkara itu akan dimasukkan dalam setiap bajet tahunan yang akan diumumkan kerajaan dalam merangka pelan transformasi selama lima tahun. 

Sementara itu, Timbalan Pendaftar USM, Mohamad Abdullah, dalam kenyataannya berkata pemilihan universiti itu sebagai Universiti Apex akan menjadi pendorong utama untuk memartabatkan pengajian tinggi ke peringkat dunia. 

Beliau berkata, USM mahu melonjakkan usaha mentransformasikan pengajian tinggi bagi mewujudkan dunia yang sejahtera berteraskan pembangunan lestari. 

“USM menjadi pusat kepakaran serantau bagi pendidikan lestari dengan adanya Pusat Latihan Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sejak 2005. Ini adalah pengiktirafan yang besar kepada USM dan ia kejayaan seluruh warga kampus, apalagi dalam sambutan 40 tahun universiti,” katanya.

==================================================
Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini berjaya dipilih untuk menyertai Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan atau Apex dengan mengenepikan tiga lagi universiti termasuk Universiti Malaya (UM). 
   –
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pemilihan USM adalah berdasarkan kepada pelan tranformasi dan kesediaannya untuk berubah seperti yang terkandung dalam kertas cadangnnya, memenuhi kriteria pemilihan yang diperlukan.
   –
“Pemilihan bagi program Apex tidak hanya melihat kepada pencapaian dan kecemerangan lepas tetapi lebih kepada perancangan masa depan serta sama ada universiti itu dapat mencapai status bertaraf dunia dalam tempoh yang diberikan iaitu lima tahun,” katanya semasa mengumumkan pemilihan USM di Putrajaya hari ini, demikian menurut laporan Bernama.
   –
Dalam tempoh itu USM mesti berada di antara 100 universiti terbaik dunia dan berada di dalam senarai 50 universiti terbaik dunia pada 2020, katanya yang juga yakin USM mampu mencapai universiti bertaraf dunia.

“Kita lihat dulu bagaimana kejayaan USM selepas itu barulah keputusan dibuat sama ada akan terdapat satu lagi universiti dipilih untuk program Apex,” katanya.
   –
Ditanya mengapa UM sebagai universiti tertua negara tidak terpilih, Mohamed Khaled berkata: “Pemilihan USM tidak bermaksud universiti lain akan dipinggirkan, sebaliknya diharapkan ia akan menjadi perangsang kepada universiti yang tidak terpilih untuk terus berusaha mencapai status yang lebih baik dan bertaraf dunia.”
   –
Sembilan universiti seluruh negara telah menghantar permohonan dan hanya empat universiti iaitu USM, UM, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) disenarai pendek.
   –
Kertas cadangan USM bertemakan “Transforming Higher Education for a Sustainable Tomorrow”. 
   –
Universiti Apex ialah pengiktirafan yang diberikan kepada IPT tempatan yang menjadi penanda aras di peringkat dunia dalam bidang pengajian tinggi dan dijanjikan autonomi dari segi kewangan, skim perkhidmatan, pengurusan, pengambilan pelajar, kepimpinan tertinggi dan penetapan yuran pengajian.