Ramadhan 1429 sudah ke penghujungnya, jangan menyesal nanti!

Ramadhan 1429 semakin menuju penghujungnya. Sepuluh hari terakhir – menawarkan perlepasan dari api neraka. Suatu tawaran yang sangat besar disediakan oleh ALLAH kepada mereka yang hidup hatinya. Orang-orang yang bersungguh-sungguh menghayati Ramadhan akan mula merasai countdown pemergian Ramadhan 1429, manakala yang orang yang entah apa-apa hanya membilang hari hendak raya.

Padahal tiada apapun usahanya dalam bulan Ramadhan. Padahal tarawihnya kantoi, sedekahnya kantoi, tidurnya memanjang, aktiviti lalai memenuhi jadual dan seumpamanya. Sedar tidak sedar, golongan ini tidak berasa malu kepada ALLAH, kerana menumpang berhari raya yang ALLAH sediakan untuk orang-orang yang bersungguh-sungguh berusaha mentarbiyah diri dalam bulan Ramadhan.

Aku harap diriku tidak tergolong dalam golongan yang tidak tahu malu kepada ALLAH. Harap juga kalian begitu. Ramadhan 1429 masih berbaki 5-6 hari lagi. Masih terbuka untuk kita terus membaiki diri. Masih ada ruang untuk kita menggandakan ibadah jika umur kita dipanjangkan sedikit lagi. Berusahalah, kerana Ramadhan tahun depan belum tentu kita dapat. Jika kita mati, sebelum Ramadhan 1430, maka dalam minggu terakhir Ramadhan 1429 inilah satu-satunya peluang untuk kita kaut segala tawaran yang ALLAH sediakan.

Sekiranya peluang ini kita lepaskan, kelak menyesal besar kita. Menyesal bagaimana? Menyesal yang tidak akan dapat lagi mengubah apa-apa. Hari ini kita tidak rasa bagaimana menyesal itu dirasai. Apabila mengalaminya kelak, baru kita faham betapa peritnya sebuah penyesalan yang tidak boleh sama sekali diperbaiki.

Oleh itu, perbanyakkan amalan kita. Perbanyakkan ibadah kita. Perbanyakkan nasihat-menasihati sesama kita. Perbanyakkan doa kita. Berdoalah dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh. InsyaALLAH mudah-mudahan minggu terakhir Ramadhan memberi suatu makna kepada kita. Semoga Syawal nanti menjadi ibadah kepada kita.

Allah taala berfirman:



وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan doa-doa orang yang berdo`a apabila mereka memohon kepada-Ku. Maka hendaknya mereka mengucapkan labbaik /menyambut segala perintah- Ku dan hendaknya mereka beriman kepada-Ku, agar mereka mendapat petunjuk.

[Al-Baqarah 187]


Antara doa-doa yang boleh kita amalkan:

اللهم أصلح لنا ديننا الذى هو عصمة أمرنا

وأصلح لنا دنيانا التى فيها معاشنا

وأصلح لنا آخرتنا التى فيها معادنا



واجعل الحياة زيادة لنا في كل خير

Jadikanlah keHidupan bertambah bagi kami segala kebaikan

واجعل الموت راحة لنا من كل شر

Dan jadikan keMatian bagi kami rehat daripada segala keburukan


اللهم إنا نسألك حبك وحب من يحبك وحب عمل يقربنا إلى حبك

[Allahumma inna nas-aluka hubbaka, wahubba man yuhibbuka, wahubba ‘amalin yuqarribuna ila hubbika]

Ya Allah, kami mohon kepada-Mu kecintaan kepada-Mu, dan kecintaan kepada orang-orang yang Engkau cintai, dan kecintaan kepada amalan yang mendekatkan kami kepada-Mu

اللهم اغفرلنا وارحمنا وأعتق رقابنا من النار

اللهم اغفرلنا وارحمنا وأعتق رقابنا ورقاب والدينا من النار

اللهم اغفرلنا وارحمنا وأعتق رقابنا ورقاب أزواجنا من النار

اللهم اغفرلنا وارحمنا وأعتق رقابنا ورقاب أولادنا من النار

اللهم اغفرلنا وارحمنا وأعتق رقابنا ورقاب معلمينا وأستاذنا صديقنا من النار

[ALLAHumma-ghfir lana warhamna wa-a’tiq riqobana wariqoba mu’allimina wa ustazina wa shodiqina minannar]

Ya ALLAH, ampuni dosa kami dan kasihanilah kami. Bebaskan leher kami dari Api Neraka.

Ya ALLAH, ampuni dosa kami dan kasihanilah kami. Bebaskan leher kami dan leher kedua ibubapa kami dari Api Neraka.

Ya ALLAH, ampuni dosa kami dan kasihanilah kami. Bebaskan leher kami dan leher suami/isteri kami dari Api Neraka.

Ya ALLAH, ampuni dosa kami dan kasihanilah kami. Bebaskan leher kami dan leher anak-anak kami dari Api Neraka.

Ya ALLAH, ampuni dosa kami dan kasihanilah kami. Bebaskan leher kami dan leher guru-guru kami, ustaz-ustaz kami dan rakan-rakan kami dari Api Neraka.

اللهم إياك نعبد ولك نصلى ونسجد وإليك نسعى ونخفض

نرجوا رحمتك ونخشى عذابك

إن عذابك الجد بالكفار ملحق

لآإله إلا أنت

أنت الغنى ونحن الفقراء

أنزلنا علينا الغيث ولا تجعلنا من العائثين



Banyak lagi doa yang boleh diamalkan. Doa dalam Bahasa Melayu pun boleh. Dalam bahasa Inggeris pun boleh. Bahasa Jepun pun boleh.

Dalam sepuluh malam akhir Ramadhan ini, banyakkanlah berdoa agar ALLAH melepaskan kita daripada belengu api neraka. Berdoalah bersungguh-sungguh, terutama ketika awal pagi sebelum bersahur. Menangislah mohon keampunan dari-Nya. Sesungguhnya ALLAH mengharamkan api neraka kepada mata yang menagis kerana takutkan ALLAH.

Berdoalah untuk kejayaan kita dunia dan akhirat.

Berdoalah agar Ramadhan kita kali ini bernilai dan diterima di sisi ALLAH.

Berdoalah untuk kesejahteraan diri, keluarga dan umat Islam.

Berdoalah agar dikurniakan kepada kita pemimpin yang boleh mendambakan rahmat dan keampunan Tuhan kepada negara dan rakyatnya.

Berdoalah agar kita bisa menemui Ramadhan tahun hadapan. Semoga kita bersama mendapat rahmat dah kasih sayang ALLAH. WaLLAHU a’lam.


Respon terhadap respon "Suatu Malam di Planet X…"

Ada orang respon terhadap posting Suatu Malam di Planet X

Rasanya tuan blog itu kenal aku, aku kenal dia. Huhu… mungkin namaku saja dia kurang tahu. Macam kata-kata yang aku quote “wa hentam lu, lu hentam wa, di luar kita bersaudara. Profesional“. Harap tuan blog tersebut juga bersikap begitu.

Responnya boleh dilihat di sini.

“Kadang-kadang aku pun tak paham pemikiran orang-orang sebegini. Sebagai salah seorang bekas pelajar sekolah agama, ak faham, diz blgger resah/ ‘jijik’ melihat tingkah laku dan ‘pergaulan’ secara bebas dikalangan mereka.”

Rasanya kita pernah mendengar Tazkirah Ramadhan selepas solat witir, salah satunya bermaksud orang-orang yang beriman akan menganggap satu dosa itu bagaikan sebuah gunung yang mahu menghempapnya, sedangkan orang-orang fasik merasakan dosa itu bagaikan lalat yang hinggap di hidungnya.

Harap kita saling memahami.
Rujuk Artikel ini :
1) Ikhtilat
2) Pergalulan Lelaki dan Perempuan : Harus atau Haram?
3) Ikhtilat … Ikhwah dan Akhawat

“Cuma…..kenapa tak menegor secara berhadapan?..mengapa mesti ditangkap gambar pelaku2x dan disebarkan dalam blog? bukan ke ia mengaibkan. Memang niat diz blogger jujur dan ikhlas, tetapi pada pendapat aku, kalo seseorang melakukan kesalahan didepan mata, tegur secara berdepan adalah lebih baik dan sopan tanpa melukakan hati sesiapa. Tidak perlulah menangkap gambar and publish all of them dalam blog.”

Mungkin ini juga kelemahan insan bernama ‘aku’. Gambar tu tak dipublishkan semua. Aku pilih yang tak nampak muka saja. Tapis juga. Hehe. Minta maaf lah kalau tidak menepati piawaian. Blog ni pun ada piawaian sendiri.

Sekurang-kurangnya, dengan publish di sini, orang lain juga boleh tumpang memahami situasi. Dan ada kebaikan juga untuk panduan bagi penganjuran aktiviti-aktiviti lain. Tak semestinya hanya aktiviti keagamaan saja kita kena jaga batas-batas pergaulan. Sebagai muslim, setiap masa, setiap program kita ada akhlak yang Islam ajar.

“Susah juga ye jika mahu mengendalikan program-program berbentuk keagamaan ne yer.. Adakah orang-orang biasa yang tidak mempumyai ilMu agama yang cukup tidak layak untuk mengendalikan program seperti ini?”

Semua orang layak, anjur apa saja program keagamaan bahkan kita alu-alukan. Bukan program keagamaan je kita kena jaga batas-batas pergaulan.

Oklah.
Tahniah kpd tuan blog tersebut. Terima kasih juga sebab tegur aku ini.
Muslim sesama Muslim adalah bersaudara.

Jangan optimis hendak ke syurga…

Ramadhan terus meniti hari. Hari berganti hari. Hari ini 17 Ramadhan. Kita bercuti sempena sambutanNuzul-Qur-an. Fasa kedua Ramadhan semakin ke penghujungnya. Tawaran “pengampunan beramai-ramai” oleh ALLAH kepada hambanya terbuka luas. ALLAH Maha Pengampun, sentiasa memberi keampunan tak kira dalam bulan Ramadhan ataupun tidak. Cuma tentulah ada pakej istimewa dalam bulan Ramadhan.
Aku, dan sahabat-sahabat sekalian,
Hidup kita di dunia, tidak terlepas daripada dosa dan pahala. Orang baikkah kita, orang sederhana baikkah kita, atau orang tidak berapa baikkah kita – pasti kita tidak terlepas daripada melakukan dosa dan kadang-kadang pula kita lakukan amalan yang berpahala. Iman manusia, naik dan turun. Ketika iman sedikit segar, kita pasti akan termotivasi untuk berbuat kebajikan. Gandakan ibadah. Sebaliknya ketika iman mengalami perosotan, tiba-tiba saja malas menguasai. Tiba-tiba saja ajakan nafsu disambut dengan penuh diplomasi.

Kita manusia biasa. Kita bukan nabi yang maksum – terpelihara dari perbuatan dosa. Adalah menjadi tugas kita untuk mentarbiyah diri kita supaya kekal istiqamah dalam perkara kebaikan samada ketika iman kita segar mahupun rosot. Dosa dan pahala adalah adalah perkara ghaib yang wajib kita imani. Setiap amal perbuatan kita ada penilaian dosa dan pahala. Hatta sekecil-kecil amalan – membuang duri kecil yang mengganggu laluan orang ramai, hingga menganjurkan program-program besar, hingga kepada membentuk sebuah negara Islam, semua itu ada penilaian dosa, dan juga pahala.

Bermula dari kita bangun tidur, meter dosa dan pahala mula berfungsi. Setiap langkah kita ke masjid untuk solat subuh berjamaah di masjid, diambil kira. Setiap komunikasi kita dengan manusia lain, dicatat – samada berkomunikasi dalam blog, hatta hanya dengan status pada Yahoo! Messenger sahaja sekalipun. Tidak akan terlepas kita daripada catatan amalan kita melainkan semuanya direkod kemas oleh Raqib dan Atid.

Sebagai seorang Muslim, kita mestilah berfikir akan dosa dan pahala dahulu sebelum melakukan sesuatu. Adakah perkara yang kita mahu laksanakan itu dikira dosa, atau pahala. Kira mendatangkan dosa, maka tinggalkanlah. Ataupun carilah kaedah lain untuk menghindari dosa. Orang-orang yang beriman akan melihat dosa itu bagaikan gunung yang mahu menghempapnya, manakala orang-orang fasik hanya menganggap dosa itu bagaikan lalat yang hinggap di atas hidungnya sahaja.

Matlamat kita hidup di dunia adalah untuk mencari keredhaan ALLAH. ALLAH redha, balasannya syurga. Memanglah jumlah pahala yang besar belum tentu menempatkan kita di syurga. Keredhaan ALLAH hanya kepada hamba-Nya yang taat kepada segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Bagaimanakah kita boleh harapkan keredhaan ALLAH sekiranya kita sering melakukan perkara dosa?

Sebelum kita menduduki peperiksaan, kita pernah mendengar segolongan daripada kita yang optimis sahaja lagaknya untuk berdepan dengan kertas peperiksaan. “Rileks laa, soalan tu nanti jawab pakai hint-hint yang pensyarah bagi, confirm B+ ke atas“. “Eleh, tak payah susah-susah sangat study. Buat saja soalan past year, gerenti! “. “tak payah study bab tu, tak masuk rugi je“. “Selalu aku jawab cincai je, dapat A…” dan macam-macam lagi keoptimisan. Ya, optimis dalam menghadapi peperiksaan tidak mengapalah. Sebab pensyarah yang memeriksa kertas juga manusia.

Akan tetapi malang sekali apabila kita optimis mahu ke syurga ALLAH, tanpa betul-betul beriman dan bertaqwa. Tanpa benar-benar beramal soleh. Tanpa ikhlas dalam setiap pekerjaan. Malang sekali jika kita anggap amalan kita sudah cukup untuk ke syurga. Kita sudah rasa seperti beriman besar apabila kita tak pernah miss solat tarawih. Kita rasa bagaikan tidak tertanggung lagi pahala apabila kita menginfaqkan seluruh tenaga dan wang ringgit kita untuk menjayakan aktiviti Ramadhan. Kita anggap dengan menulis blog – menegur orang lain sudah menjadi satu tiket untuk dianggap baik. Semua itu hanya anggapan yang optimistik sahaja. Sedangkan semua amalan baik kita jika dikumpul segala pahalanya, tidak dapat membayar sekelumit pun untuk membeli syurga ALLAH.

Gambar hiasan

Bercita-cita ke syurga ALLAH, perlu kepada takut dan harap. Takutlah kita daripada terhumban ke neraka. Haraplah agar kita ke syurga dengan pengharapan yang benar-benar mengharap. Harap mestilah berlapik dengan segala ketaatan kepada ALLAH. Ahli-ahli sufi sering mengharapkan syurga ALLAH dengan amalan dan doa.

Tuhanku aku TIDAK layak, untuk ke Syurga-Mu, namun TIDAK pula aku sanggup ke Neraka-Mu.

Itulah bait-bait pengharapan. Memang kita tidak layak pun ke syurga. Usahlah optimis. Kita rayu kepada ALLAH, harap kepadanya bermodalkan pahala ketaatan kita. Rayu, bukan membeli syurga itu dengan pahala kita. Jika semua orang ke syurga, seorang sahaja ke neraka – maka TAKUT-lah yang seorang itu adalah kita. Jika semua orang ke neraka, hanya seorang sahaja ke syurga – maka HARAP-lah bahawa yang seorang itu adalah kita.

Dalam kehidupan harian kita, termasuk aku sekali, kita lebih banyak optimis dalam menuju ke syurga. Kata-kata seperti :

“ah… dalam bulan Ramadhan ni, tidur pun jadilah, dapat juga pahala…” “malam ni cutilah kejap dari tarawih. masih banyak malam lagi…” “tegur orang pakai status YM sudah lah…” “solat sorang-sorang pun ok la, drpd tak solat langsung…” “bergaul-bebas lelaki perempuan tu sikit je, pahala lain banyak lagi…”
“quran dah nak habis dah baca, apa salahnya buat dosa sikit-sikit je (tengok muvi, bercouple dll)…”
“Tadarus tiap-tiap malam. hebat betul Ramadhan aku tahun ni…” “insya-ALLAH, kita akan dapat syurga…”

Banyak lagi contoh optimistik dalam amal ibadah. Cukupkah optimis begitu dapat syurga, sedangkan nabi, para sahabat, ahli-ahli sufi sering menangis pada malam hari mengharap keredhaan ALLAH. Kita, jarang sekali merayu, apatah lagi nak menangis kerana mengharap belas kasihan ALLAH.

Aku dalam kehidupan harian aku, juga tidak terlepas daripada gejala keoptimisan ini. Rasa cepat berpuas hati dengan amalan baik. Itulah nafsu, jika ia jemu. Nafsu Ammarah, – tahap nafsu yang selalu mengajak kepada kemaksiatan. Nafsu Lawwamah sering berbolak balik.. kejap nak, kejap taknak buat amalan baik. Nafsu Muthma-innah pula adalah tingkatan tertinggi kemuliaan manusia. Nafsu kita boleh dianggap Lawwamah. Harap tidak merosot kepada Ammarah.

Optimistik, bukan jalan ke syurga. Syurga adalah kepada orang yang berusaha dengan tekun, istiqamah dan ikhlas serta mengharap kepada ALLAH. Kita berusahalah ke arah Nafsul-Muthma-innah. Melawan kedegilan nafsu, mendidik nafsu, supaya menjadi baik. Hingga ke suatu tahap di mana nafsu sudah tiada lagi keinginan untuk melakukan maksiat kepada ALLAH, nafsu menajdi begitu ghairah untuk beramal soleh, nafsu ketika itu tidak memandang lagi kepada tipu daya dunia, ketika itu ALLAH berfirman;

“Hai jiwa yang tenang (Nafsul-Muthma-innah). Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jama’ah hamba-hamba-Ku, masuklah ke dalam syurga-Ku.

Surah al-Fajr (27-30)

WaLLAHu a’lam.

Tolonglah…jangan halau Ramadhan

Usia Ramadhan tahun ini sudah hampir kepada fasa purnama. Sekali pandang, masa seperti sangat pantas berlalu. Pandang dari sisi lain pula, masih lambat nak raya. Sekarang zone pertengahan Ramadhan. Zon Maghfirah – keampunan. Mohonlah keampunan yang banyak. Lipat gandakan usaha dalam bulan Ramadhan, untuk mentarbiyah diri bagi menghadapi kekalutan dalam 11 bulan seterusnya sebelum Ramadhan berikutnya.

Setiap tahun kita mendengar tazkirah dan ceramah yang hampir sama isi kandungannya, iaitu supaya kita bersungguh-sungguh beribadat dalam bulan Ramadhan. Pelbagai tawaran istimewa dari ALLAH untuk hamba-Nya dihamburkan dalam bulan ini.

Namun malangnya, belum pun 15 hari Ramadhan, sudah kedengaran sambutan Hari Raya di mana-mana. Di pasaraya, di pasar borong, di kedai runcit, di rumah-rumah, di kafetaria-kafetaria dan sebagainya. Malah dalam bilik pun ada.

Kenapa ghairah nak raya? Macam tak suka saja dengan Ramadhan ni. Lagu-lagu raya dipasang rancak dan bunyi-bunyi mercun seolah-olah mahu menghalau Ramadhan – yang sangat dirindui oleh orang-orang beriman. Halau Ramadhan? Jangan… tolonglah. Bukankah sekiranya kita tahu kelebihan bulan Ramadhan, nescaya kita akan mahu ALLAH jadikan Ramadhan itu sepanjang tahun! 

Masalahnya kita tak tahu (?).Atau tahu tapi kurang yakin (?). Kalau yakin pasti tidak jadi begitu. Terpersona dengan tawaran jualan hari raya lebih daripada tawaran keampunan dan perlepasan dari azab api neraka. Masya-ALLAH. Sedangkan orang-orang bertaqwa, akan menangis dipenghujung Ramadhan kerana Ramadhan mahu pergi. Belum tentu dapat bertemu Ramadhan berikutnya.

Mahasiswa sekampus denganku juga, termasuk aku sekali…

Tiada kelihatan kita berlumba-lumba menggandakan amalan. Malah solat tarawih pun mahu short and cut. Siap pilih masjid dan surau lagi. Mana-mana imam yang baca paling cepat, paling pendek, itulah pilihan. Lebih malang lagi, sudahlah cepat, dan pendek… solat witir pun entah ke mana.

Tadarus, qiamullail, lagi lah sukar nak dilaksanakan…

Mahu saja lepak dalam bilik, tengok movie, main game, chatting, buka friendster, check e-mail. Tak ubah macam bulan September! Roh Ramadhan tiada. Kalau tiada tarawih kan seronok. Walaupun sunat, tapi kalau tak buat, malu laa. Orang kata apa pula… adoii.

Movie? simpan la dulu kalau nak tengok sangat. lepas Ramadhan tengok la. Sekarang ni tiap-tiap orang Hard Disk berkapasiti besar. Simpan dulu. Bulan Ramadhan ni tumpu ibadah. Dekatkan diri kepada Tuhan yang selalu bermurah hati dengan kita. Nak main friendster? Apalah untungnya bendalah tu dibandingkan dengan tadarus al-Quran… Nak juga, utamakan yang utama dulu. 

Ustaz-ustaz di Pusat Islam hampir kehabisan idea bagaimana mahu meramaikan jemaah di Pusat Islam. Mahu Pusat Islam aktif dengan penglibatan kita. Menu-menu hidangan berbuka puasa dipersedapkan seboleh-bolehnya – kecewa juga apabila lepas solat maghrib, kita pulang ke bilik dan tak datang semula untuk solat Isyak dan tarawih. Pelbagai aktiviti yang Pusat Islam anjur, hasilnya – muka yang sama saja hadir. Mahasiswa Islam lain?

Jangan letakkan diri kita sebagai orang yang menghalau Ramadhan. Mari kita berusaha belajar menyintai Ramadhan. Merindui Ramadhan seberapa boleh. Berjihadlah dalam bulan mulia ini. Aku memesan kepada diriku dan rakan-rakan yang terbaca artikel ini. Ramadhan tahun ini tidak akan muncul lagi selepas ini sampai bila-bila. Ramadhan tahun depan adalah Ramadhan tahun depan. Jangan biarkan kita menyesal suatu hari nanti di mana pada hari itu tiada lagi ibadah yang akan diterima, hanya menunggu pembalasan sahaja.

Sudah 10 Ramadhan… semakin bersemangatkah kita?

Mendengar tazkirah lepas Zohor yang disampaikan oleh Prof. Hanafi tadi, bulan Ramadhan sarat dengan anasir-anasir motivasi yang sepatutnya kita teruja untuk mengejar posisi hamba yang bertaqwa kepada ALLAH.

Kalau ibadah puasa itu sudah dinyatakan WAJIB dalam al-Quran, maka umat Islam mesti berpuasa samada suka atau tidak. Sesiapa yang tidak berpuasa dalam bulan Ramadhan tanpa keuzuran, berdosalah dia. Namun disebalik perintah WAJIB yang sesetengah orang melihatnya sebagai ‘beban’, ALLAH menawarkan pakej-pakej ganjaran yang tidak terhitung oleh jangkauan peralatan teknologi manusia.

Ganjaran-ganjaran besar dalam bulan Ramadhan adalah menjadi motivasi kepada orang-orang beriman untu menyempurnakan keWAJIPan berpuasa. Mereka akan berpuasa dengan penuh keimanan dan muhasabah diri, dan sesudah itu mereka akan diampun segala dosa mereka. Dengan tawaran yang besar sebagai motivasi ini, kita sepatutnya lebih teruja. Lebih bersungguh-sungguh dalam Ramadhan. Malah, bonusnya, syaitan-syaitan yang sering memperbodoh kita juga ditambat!

Maka apakah lagi alasan kita untuk lemah dalam ibadah? Apa lagi jenis motivasi yang kita mahu untuk lebih memotivasikan diri dalam menjana ketaqwaan kepada ALLAH? Hari ini hari ke 10 Ramadhan. Genaplah satu semester KERAHMATAN bagi pengajian dalam universiti Ramadhan.

Barangsiapa yang lulus cemerlang dalam semester pertama itu, akan senang hatilah dia meneruskan pengajian dalam semester kedua – yang menawarkan pakej KEAMPUNAN. Senang hati dalam erti kata bertambah rasa ingin lebih dekat kepada ALLAH. Lebih merindui ganjaran yang ALLAH tawarkan. Adapun bagi yang tidak manis ‘CGPA’ nya dalam semester pertama, beban mula terasa apabila pengajian memasuki fasa ke dua. Walhasilnya, kita dapat lihat betapa ramai yang solat tarawih pada semester pertama, kini jumlah itu berkurangan.

Maka bagi kita yang akan memasuki fasa KEAMPUNAN ini, mudah-mudahan kita akan istiqomah, supaya kita beroleh kekuatan untuk terus cemerlang melanjutkan motivasi diri hingga ke fasa akhir – perlepasan dari api neraka.

Sesudah tamat tiga semester dalam universiti Ramadhan, 1 Syawal adalah hari konvokesyen untuk dirai oleh mereka yang berjaya dalam Ramadhan. Namun suasana sekarang adalah aneh dan pelik. Orang yang gagal dan tidak cemerlang dalam Ramadhan seolah-olah beraya sakan dan seronok lebih. Tanpa rasa malu kepada ALLAH, mereka menyertai sambutan konvokesyen  yang jemputannya hanyalah kepada graduan-graduan Ramadhan.

Kita perlu mencorakkan hari graduasi kita. Ramadhan kita kali ini harapnya lebih baik daripada Ramadhan sebelumnya. Jika upaya kita masih lemah untuk menggandakan amalan, maka gunakanlah upaya yang ada meninggalkan amalan-amalan yang melalaikan. Sesungguhnya jika kita tidak sibukkan diri dengan amalan soleh, kita pasti akan disibukkan pula oleh amalan lagha dan mendatangkan dosa.

Esok 09-09-08 …

Esok 09 September 2008. Tarikh itu tak ada yang istimewa jika dibanding dengan 16 September yang ligat diperkatakan akhir-akhir ini. 
09 September sedikit sebanyak mengingatkan diriku ini bahawa semakin hari, ajalku semakin hampir. 09-09-09 tahun depan adalah Jubli Perak hidupku di dunia sekiranya umurku dipanjangkan-Nya. Namun, jika direnungkan semula, apakah sumbangan aku terhadap Islam – membuatkan aku sedih. Saban hari aku dilaghakan dengan dunia. Sekali aku insaf, sepuluh kali pula syaitan akan buat counter attack yang cuba memadam keinsafan. Lemahnya diriku ini.
Ramadhan – syaitan dibelenggu. Terasa sedikit lega daripada gangguang makhluk yang tidak kenal erti give up itu, tetapi kedegilan hawa nafsu yang 11 bulan lain diasuh syaitan sangat menyukarkan. Semoga sahabat-sahabat sekalian dapat membantu aku ini yang entah apa-apa…
Tentang 16 September ini, kita tunggu dan lihat. Jangan terlalu taksub. Kalau benar-benar terjadi, AlhamduliLLAH… kalau tidak menjadi, itu adalah perancangan ALLAH jua. Selamat berpuasa pada hari ke 8..

Jom Ibadah…

The Return of Ramadhan 1429

Ramadhan kembali. Bulan yang penuh dengan keberkatan dan tawaran istimewa dari ALLAH kembali mengunjungi kita. Sedar atau tidak, masa begitu pantas berlalu sehingga ada yang merasakan kita baru sahaja berpisah dengan Ramadhan lalu, kini Ramadhan datang lagi.
Kedatangan Ramadhan dinanti-nanti oleh umat Islam dalam pelbagai persepsi. Orang-orang yang beriman dan bertaqwa pasti menyambut Ramadhan dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran. Bulan barakah akan digunakan sepenuhnya untuk mendamba keredhaan ALLAH, dengan strategi dan penjadualan ibadah yang sistematik dan kompetetif agar sebulan bulan Ramadhan tidak dipersia-siakan.
Adapun terdapat pula golongan yang bergembira dengan kedatangan Ramadhan atas dasar keuntungan dunia. Mungkin pada bulan Ramadhan, potensi untuk para peniaga melariskan jualan. Ada pula potensi golongan yang mengukir nama dalam medan politik dengan menghadiri majlis-majlis yang berkaitan dengan Ramadhan. 
Manakala golongan  yang berasa berat dengan kehadiran Ramadhan tidaklah pula sedikit. Bagi mereka Ramadhan adalah beban kepada mereka untuk bersuka ria. Para artis amnya, berasa seolah-olah Ramadhan menyekat aktiviti mereka, sehingga terpaksa membuat rakaman program hari raya sebelum Ramadhan. Ramadhan adalah berat dan menyusahkan bagi golongan yang beridentiti munafik.
Bagi kita umat Islam, kita harus faham dan rasa seronok dalam bulan Ramadhan kerana nikmat dan ganjaran besar yang ditawar oleh ALLAH, yang tiada dalam bulan-bulan lain. Seringkali ungkapan dan tawaran besar ini diulang-ulang saban tahun, namun hasilnya lihatlah, seperti tidak berkesan. Kita seperti tidak ‘makan saman’ dengan tawaran pahala sunat pada bulan biasa menjadi pahala wajib dalam bulan Ramadhan. Seolah-olah tawaran tersebut kosong, walaupun dibibir kita percaya kepada tawaran itu. 
Begitu juga ganjaran hebat Lailatul Qadr yang dipersembahkan kepada kita pada sepuluh malam terakhir. Berapa keratkah kita yang berlumba-lumba mengejarnya? Sungguh lemah kita. Sungguh lemah diriku ini. Berbanding dengan tawaran duniawi yang kita sering teruja.
Kembalilah kita kepada firman ALLAH:
Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa, ” [Al-baqarah: 183]
Tujuan puasa adalah untuk mencapai status taqwa. Status yang sangat penting  bagi seorang hamba untuk mendapat kemuliaan di sisi ALLAH.
Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa – bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. ” [Al-hujuraat: 13]
Untuk mencapai taqwa, kita mungkin rasa sangat sukar, lebih-lebih lagi keadaan persekitaran yang tidak kondusif untuk ke arah taqwa. Ditambah pula dengan tuntutan nafsu yang meronta-ronta ke arah perkara yang dilarang. Sesungguhnya nafsu kita sudah sekian lama dilatih oleh iblis dan syaitan, maka nafsu kita sememangnya degil untuk berbuat kebaikan walaupun iblis dan syaitan dibelengu dalam bulan Ramadhan.
Maka, tugas kita untuk mancapai taqwa menjadi sukar. Sebulan dalam bulan Ramadhan dirasakan tidak cukup untuk berperang melawan kedegilan nafsu. Mujahadah yang tinggi sangat diperlukan. Ketegasan dalam ‘mencantas’ gerak-geri nafsu perlu diasah untuk mengawal tindak-tanduk yang dilarang ALLAH dalam bulan Ramadhan.
Jika sekalipun sukar untuk mencapai taqwa, maka kita perlulah menyenarai target-target tertentu ke arah taqwa. Sekalipun taqwa belum dicapai, sekurang-kurangnya, target yang ditetapkan dicapai dan memberi kesan yang baik walaupun Ramadhan berlalu.
Antaranya, cubalah kita target untuk meningkatkan khusyuk dalam solat, menjadikan solat berkualiti, menghilangkan sifat kedekut, ataupun membina sifat pemaaf, menghindarkan diri daripada melakukan perkara makruh, menjinakkan diri dengan masjid dan solat berjamaah, menggemarkan diri dengan siri-siri kuliyah agama, bersifat tegas kepada diri daripada melakukan aktiviti yang mebuang masa  dan sebagainya. Satu target untuk Ramadhan setiap tahun yang mana target-target itu perlu mendapat kualifikasi ke arah taqwa.
Alangkah baiknya, setelah selesainya Ramadhan nanti, gugur sifat hasad dengki sesama saudara kita. Kemudian disemai pula dengan sifat berkasih sayang. Ramadhan seterusnya pula dibuang pula sifat tamak kepada harta benda dunia. Seterusnya setiap kali Ramadhan, diri kita dicuci dari sifat-sifat buruk satu per satu.
Jika demikian, barulah Ramadhan bermakna dan berkesan. Ramadhan bukan bulan untuk bermalas-malasan, bukan bulan untuk menjadi lemah. Ramadhan mengajar erti kesabaran dan keazaman, semangat dan bersungguh-sungguh. 
Ya ALLAH, jadikanlah aku sebagai hamba-Mu yang ikhlas. Jadikan kami hamba-hamba-Mu yang ikhlas. Kami memohon kepada-Mu agara Ramadhan kali ini memberikan kami tingkatan taqwa yang Engkau kehendaki. Kurniakanlah kepada kami cinta kepada-Mu, cinta kepada orang-orang yang mencintai-Mu dan cinta kepada amalan yang membawa kepada dekat kepada cinta-Mu.