Bosannya akhbar-akhbar hari ini!

Berita-berita di dada akhbar arus perdana akhir-akhir ini banyak memuatkan berita-berita mengenai pencalonan-pencalonan untuk pemilihan agung Umno Mac nanti. Macam-macam cerita, rebut sana rebut sini, lobi sana, lobi sini. Pelan peralihan kuasalah, politik wanglah, dilemalah, macam-macam berita yang membosankan lagi. Macamlah akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian itu Umno yang punya.

Media TV pun lebih kurang sama. Dimonopoli berita-berita Umno. Apa, ingat semua rakyat Malaysia ni sukakan berita Umno? Kalau nak cerita sangat pasal Umno, jangan guna akhbar arus perdana. Terbitkan Akhbar rasmi Umno. Buat macam PAS, ada Harakah, PKR ada Suara KeAdilan. Dalam akhbar rasmi, nak sumbat apa saja berita mengenai Umno, lantaklah. Lobilah puas-puas.

Akhbar arus perdana sepatutnya menyampaikan berita yang lebih adil kepada semua pihak yang bergelar warganegara Malaysia. Utusan Malaysia dengan tema Penyebar Fikiran Rakyat, bukan lagi menyebar fikiran rakyat, tetapi menghamburkan racun-racun keUmnoan untuk dihadam oleh fikiran rakyat. Rakyat perlu diberi ruang berfikir dengan memuatkan berita yang sama rata bagi pelbagai pihak. Bukan hanya menggunakan perspektif Umno sahaja untuk menjuarai isu.

Dalam hal ini, Umno/BN telah mencabul hak rakyat untuk mendapat berita yang adil dan seimbang. Malah Umno/BN telah menyalahgunakan kuasanya untuk mendominasi medium penyampaian maklumat kepada rakyat. Penyampaian berita adalah amanah yang wajib ditunaikan dengan jujur dan benar. Dalam hal ini, sidang editorlah yang bertanggungjawab di atas penyelewengan tersebut. Manakala wartawan hanya menjalankan tugas mengumpul berita untuk disusun oleh editor.